Tuesday 16 May 2006

Syurga dibawah tapak kaki ibu Pagi ini semasa mengemas akhbar semalam sebelum saya bersiap keklinik saya terbaca sesuatu yang sangat menarik dalam sisipan sebuah akhbar harian edisi hari minggu. Fokusnya tentang sambutan Hari Ibu. Saya sendiri ambil berat juga tentang Hari Ibu, walaupun sebenarnya ibu dihargai setiap hari tetapi ada masanya kita agak lalai dan kurang menghubungi dan berinteraksi dengan ibu yang jauh. Berbalik kepada akhbar tadi, apa yang menarik adalah tentang liputan seorang artis yang menyambut Hari Ibu dengan penghargaan kata-kata yang sangat istimewa. “ Saya sentiasa ingat pepatah Melayu, syurga itu dibawah kaki ibu, jadi jangan sekali-kali menderhaka, menyakiti hati mahupun menjatuhkan air matanya. Bagi saya, pincanglah masa depan seseorang anak itu kalau mereka menderhaka kepada kedua orang tua. Tak berkat rezeki yang kita dapat jika membelakangkan ibu sendiri “. Cukup bagus kata-kata yang diluahkan dan nasihat yang sangat berguna kepada anak-anak. Cumanya saya terus terfikir tentang Pencipta kepada ibu yang disayangi artis tersebut, yang juga Pencipta diri kita sendiri dan seluruh makhluk serta alam ini. Bagaimana pula jika kita menderhaka, kita engkar kepada Maha Pencipta. Kita tidak patuh, buat apa yang dilarang dan tinggalkan pula apa yang disuruh. Apa pula yang akan terjadi ? Adakah rezeki kita berkat , apakah hidup kita selamat, selamat didunia dan selamat di akhirat ? Kalau ibu sangat berjasa kerana melahirkan kita, menyusukan dan mendidik kita, bagaimana pula Allah Yang Mencipta. Dengan Kehebatan Allah maka kita tumbuh membesar dalam rahim ibu, kemudian bila lahir sedut Oksigen Allah, kemudian minum air Allah, makan makanan yang Allah sediakan, dan berjalan, bekerja , bermain dan berkasih saying dibumi yang Allah hamparkan untuk kita semua. Bagaimana ketaatan dan kepatuhan kita kepada Allah pula. Adakah kita bersyukur dan ‘melapur diri’ kepada Allah 5 waktu sehari semalam. Adakah kita berusaha dan bekerja kuat untuk memastikan syariat Allah tertegak dibumiNya ini, atau kita lebih selesa dan lebih yakin dengan tatacara dan kaedah yang lain dari kaedah Allah seperti yang dinukilkan dalam Kalimah Allah iaitu AlQuran. Marilah kita meraikan hari-hari kita sebagai hamba Allah dengan melaksanakan suruhanNya, meninggalkan laranganNya. Janganlah kita jadi penentang Allah dengan menentang mereka-mereka yang menegakkan Islam, Islam betul-betul Islam bukan Islam yang ditambah-tambah dengan hadhari atau tidak hadhari. Tak berkat dan tak selamat. Selamat Hari Ibu kepada dua orang yang sangat berjasa dalam hidup saya iaitu ibu saya Datin Hjh Zainab Salleh dan ibu mertua saya Puan Hjh Zauyah Salleh. Anda berdua adalah ibu-ibu yang hebat yang telah mendidik saya dan suami menjadi orang-orang yang mu’min. Selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu yang ‘Memelihara diri dan keluarganya dari bakaran api neraka’ Dr Lo’lo’ bt Hj Mohamad Ghazali 0192100066 docpearl.blogspot.com 15 May 2006 / 17 Rabiul Akhir 1427H

No comments: