Friday 31 December 2010

‎10 janji Pakatan Rakyat dalam 100 hari jika diberikan kuasa memerintah


1. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.


2. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

3. Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.


4. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.

5. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

6. Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

7. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannyakepada generasi kedua dan ketiga Felda.

8. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.


9. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.


10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.



Perancangan PAKATAN RAKYAT yang merangkumi pendidikan, ekonomi, pengurusan negara, merombak struktur subsidi dan menitiberatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat itu bukan satu pembohongan sepert dakwaan pemimpin BN............... 




Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

Thursday 30 December 2010

Saya tidak 'racist' . Saya cuma pertahankan hartanah orang Melayu di Kg Baru

Isu Perbadanan Pembangunan Kg Baru-kenyataan kepada Malaysian Insider saya diambil TIDAK menepati apa yang mahu d ipertegaskan.Interpretasi editor MI dalam Bahasa Inggeris adalah tersasar dari fokus sebenar. Ada komen-komen yg menyatakan saya 'racist'. Itu adalah sangat jauh dari sifat saya yang sebenar dan amalan seharian saya. Saya hanya memperjuangkan agar hartanah Kg Baru tetap kekal dalam pemilikan Melayu 100% kerana Kg Baru satu-satunya aset yang memang sudah sediamilik Melayu. Kalau ada China Town,Little India yang dibangunkan dengan mengekalkan warisan mengapa Kg Baru hendak dibangunkan 100% sebagai Pusat Kormesial.
Paling malang sebab Perbadanan Kg Baru yang telah dibentang oleh Menteri Wilayah Persekutuan secara tergesa-gesa di Parlimen tidak mampu untuk pertahankan hartanah Kg Baru




Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

Wednesday 29 December 2010

RANG UNDANG-UNDANG PERBADANAN PEMBANGUNAN KAMPONG BHARU HAKIS HAKMILIK MELAYU DI KAMPUNG BARU


Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dengan jelas akan membatal dan membubarkan Enekmen Malay Agricultural Settlement (MAS) dan Lembaga MAS. Ini memberikan implikasi yang sangat besar terhadap survival pemilikan hartanah orang-orang Melayu di Kampung Baru kerana Kaedah-kaedah yang digariskan di bawah Enekmen MAS tersebut secara jelas memperuntukkan bahawa hartanah di Kampung Baru hanya boleh dimiliki oleh orang-orang Melayu dan dipindahmilik kepada orang-orang Melayu sahaja. .


Dengan pemansuhan tersebut, tidak ada jaminan lagi hartanah Kampung Baru akan terus kekal seratus-peratus milik orang-orang Melayu di masa akan datang. Tambahan pula, tafsiran “kepentingan orang Melayu” yang dimaksudkan dalam RUU tersebut hanya merujuk kepada budaya, adat resam dan seni bina bangunan masyarakat Melayu sahaja. Ia tidak secara jelas dan spesifik menyatakan bahawa pemilikan hartanah mesti kekal di tangan orang Melayu. Oleh itu, cadangan milikan 60:40 peratus seperti yang diwar-warkan oleh Kerajaan sebelum ini nampaknya semakin menjadi kenyataan. UMNO memang benar-benar ingin menggadai dan menjual tanah orang Melayu di Kampung Baru kepada orang asing.

Ini diperkuatkan lagi dengan Fungsi Perbadanan yang dinyatakan di dalam RUU tersebut bahawa Perbadanan boleh berurusan dengan “mana-mana orang” untuk mengurus serta memindahmilik dan melupuskan aset Kampung Baru. Kesudahannya, jika RUU ini diluluskan kelak, maka milikan hartanah orang Melayu di Kampung Baru akan terhakis dan tidak ada jaminan ia akan terus kekal di tangan orang-orang Melayu pada masa akan datang.

Pembubaran Lembaga MAS juga merupakan satu tindakan yang langsung tidak menghormati badan tersebut yang telah berkhidmat lebih satu abad lamanya dan terus berkhidmat untuk penduduk Kampung Baru sehingga kini. Tindakan Kerajaan tersebut bukan sahaja membelakangkan penduduk Kampung Baru, malah ia menafikan langsung suara dan penglibatan wakil-wakil penduduk dalam proses pembangunan tanah mereka sendiri. UMNO untuk kesekian kalinya terus mengkhianati amanah untuk menjaga survival dan milikan tanah orang-orang Melayu di negara ini.

Selepas tanah-tanah rezab orang Melayu semakin hari semakin mengecil jumlahnya, kini kampung-kampung tradisi dan kampung warisan orang Melayu pula cuba dinodai oleh tauke-tauke elit Melayu UMNO yang berselindung di sebalik kalimah “Ketuanan Melayu” yang diagung-agungkan. Amat malang bagi orang-orang Melayu mempunyai pemimpin-pemimpin Melayu seperti ini yang rakus untuk merampas hak-hak Melayu.

Cadangan penubuhan Majlis Penasihat di bawah RUU tersebut adalah bersifat kosmetik dan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Ia jelas menampakkan ketidakjujuran dan ketidaktelusan Kerajaan kerana RUU tersebut jelas menyatakan bahawa Kerajaan tidak terikat untuk mengikut apa-apa,nasihat daripada wakil-wakil penduduk Kampung Baru tersebut. Oleh itu, peranan Majlis Penasihat tersebut hanya sebagai gimik politik semata-mata dan jelas tidak relevan langsung di kacamata Kerajaan. Sudahlah penduduk Kampung Baru tidak dibawa berbincang terlebih dahulu sebelum RUU tersebut dibentangkan di Parlimen, kini suara dan nasihat mereka yang kononnya dijamin di bawah RUU tersebut langsung tidak berharga dan tidak mempunyai sebarang makna. Kerajaan berhak untuk membakulsampahkan sahaja cadangan atau apa-apa nasihat mereka tersebut.

Seperti yang telah dikemukakan semasa majlis pelan alternatif pembangunan kampung baru bersama kerajaan negeri Selangor, saya ingin terus mendesak penubuhan Badan Amanah Kampug Baru yang bertanggungjawab sepenuhnya keatas hartanah Kampug Baru. BAKB ini adalah entiti yang berbeza dari PPKB dan tidak terikat langsung dengan PPKB. Badan Amanah akan mengurus dan mentadbir sepenuhnya hartanah Kampug Baru semasa pembangunan dijalankan. Saya menyokong cadangan Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor yang mencadangkan hartanah ditukar ke bentuk saham. Saham A dan Saham B. Saham A adalah saham pemilikan. Saham B adalah saham sewaan/perniagaan. Apabila pembangunan sudah disempurnakan pemilik akan kembali menduduki Kampug Baru dan pada masa sama mendapat pendapatan melalui saham sewaan/perniagaan. MAS akan di naik taraf sebagai Badan Amanah kerana hanya MAS yang benar-benar mewakili suara dan kepentingan Kampung Baru.

Saya mewakili penduduk-penduduk Kampung Baru membantah penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu tersebut dan menyarankan supaya Kerajaan menubuhkan Badan Amanah yang diwakili oleh wakil-wakil penduduk Kampung Baru dan mereka yang berkepentingan langsung dalam pembangunan Kampung Baru. Proses pembangunan Kampung Baru perlulah dilakukan dengan telus dan mengikut pandangan dan suara hati anak-anak Kampung Baru sendiri dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa yang akhirnya akan merugikan penduduk dan pemilik tanah Kampung Baru sendiri.



YB DR LO’LO’ BINTI DATO’ HAJI MOHD GHAZALI

Ahli Parlimen Titiwangsa





Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

laporan Isu & masaalah dalam kawasan parlimen titiwangsa sehingga Disember 2010

PENDAHULUAN



Kertas pembentangan ini dibahagikan kepada 4 bahagian mengikut zon iaitu:


i) Zon Pandan

ii) Zon Kampung Baru

iii) Zon Datuk Keramat

iv) Zon Desa Rejang

Zon Pandan meliputi kawasan Kg. Pandan, Desa Pandan, Desa Pahlawan, Kg. Pandan India, Taman Maluri, Jln Peel dan Jln Cochrane.


Zon Kampung Baru meliputi kawasan Kg. Pindah, Kg. Paya, Kg. Masjid, Kg Hujung Pasir, Kg Baru Atas A & B, Kg Periuk, dan Chow Kit.


Zon Datuk Keramat meliputi kawasan Kg. Datuk Keramat, Flat Bukit Baru, Bukit Keramat, Pasar Keramat, Jln. Semarak, Jln. Gurney, PPR Jelatek dan PPR Hiliran Ampang.


Zon Desa Rejang meliputi kawasan Flat Perumahan Awam Desa Rejang. Zon Desa Rejang terletak di dalam Parlimen Setiawangsa tetapi dimuatkan sekali adalah kerana terdapat lebih kurang 7000 orang pengundi Parlimen Titiwangsa yang dipindahkan ke situ dari Flat Perumahan Awam Jln Pekeliling.


Zon Pandan


1) KOMPLEKS TERBIAR DI BLOK C, PPR LAKSAMANA


Terdapat sebuah kompleks orang ramai di bahagian belakang blok C yang terbiar sejak setahun lalu, mengandungi food court dan dewan orang ramai. Kelihatan meja-meja makan dan kerusi yang menakungi air yang boleh menjadi medium pembiakan nyamuk aedes. Duit rakyat dibelanjakan tetapi manfaatnya tidak dapat atau terlalu lambat kembali kepada rakyat.


2) JALANRAYA YANG PERLU DIBAIKI DI JALAN WIRA, TAMAN MALURI, KAMPUNG PANDAN

Sehingga kini hanya 30 peratus daripada jalanraya tersebut telah diturap, namun baki 70 peratus lagi yang masih belum diturap dikhuatiri boleh mengakibatkan kemalangan kepada pengguna kerana keadaan jalan yang tidak rata serta berlopak. ( Sila Lihat Lampiran )


3) SAMPAH DAN TEMPAT SAMPAH YANG MASIH TIDAK TERURUS DENGAN BAIKNYA


Terdapat dua kawasan yang masih menerima aduan penduduk setempat tentang sampah-sampah yang melimpah keluar dari tong-tong sampah yang disediakan kerana tidak dikutip oleh pihak Alam Flora. Perkara ini menyebabkan dua kawasan ini dicemari dengan bau yang busuk. Kawasan tersebut ialah Blok J, Desa Pandan, Jalan Perkasa dan Taman Maluri.


4) TEMPAT LETAK KERETA DI BAHU JALAN KEDAI-KEDAI DAN PEJABAT-PEJABAT SEKITAR DESA PANDAN


Walaupun aduan pernah dibuat tetapi sehingga kini tiada tindakan yang diambil berkenaan bayaran tempat letak kereta di sekitar Desa Pandan. Sebelum ini tiada caj yang dikenakan kepada pengguna lot-lot tempat letak kereta di situ, namun dalam 2 tahun kebelakangan ini mesin-mesin bayaran telah dipacakkan di situ. Apabila bayaran tidak dibuat, saman akan dikeluarkan oleh DBKL.

5) Sokongan Bantahan berkaitan Cadangan kepada residental 3 ( R3 ) Diatas Tanah Lot 11590 “ Dalam Kampung Warisan “ Pandan India ( Parlimen Titiwangsa )


- Mahu kekalkan tanah Lot 11590 kekal dalam Kampung Warisan , sebagaimana yang telah dirizabkan di dalam Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang asal ( Lihat Lampiran )


6) Bantahan terhadap binaan Pusat Penjaja oleh Persatuan Kebajikan & Sosial Penduduk Blok E Desa Pandan Kuala Lumpur . (Lihat Lampiran)








- Jarak antara pusat penjaja yang akan dibina hanya 40 kaki dengan kediaman.

- Akan menyebabkan masalah sampah sarap, pembiakan tikus dan masalah tempat letak kereta.

- Mencadangkan Projek tersebut ditukar kepada pembinaan Dewan Serbaguna dengan 3 gelanggang Badminton.

- Dewan serbaguna ini akan memberikan manfaat kepada lebih 10,500 penduduk dikawasan ini


Zon Kampung Baru


1) Masalah penjaja di Kg baru. Pastikan berlesen dan tidak menggangu laluan tuan rumah masuk ke rumah. Jalan jadi sempit, privacy dah hilang dan paling teruk, kotor sampai tikus berkeliaran.

2) Lagi satu Pasar chow kit yang terbiar. YB minta peruntukan 50juta untuk upgrade pasar chowkit dalam bajet 2011 sementara menunggu Kg Baru dibangunkan yang melibatkan Chow Kit juga. DBKL masih gagal setelah ditegur YB berkali-kali tentang pengurusan sampah di Chow Kit khususnya walaupun perjumpaan dengan Alam Flora telah diadakan. Tong-tong sampah di tepi kuil Sikh masih belum diurus dan dialihkan walaupun aduan sudah dibuat. Mohon sebelum Dato Bandar habis kontrak bulan Julai ni tinggalkan jasa besar di Chow Kit.



3) Masih terdapat kerosakan dan Jalan berlubang di Jalan Raja Alang & Jalan Raja Muda Musa . Ini adalah aduan yang ke4 sejak pertemuan dengan pejabat Datuk Bandar dengan MP wilayah , tetapi masih belum ada tindakan selanjutnya dari pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. ( Sila lihat lampiran 2 )

i) Jalan Raja Muda Musa (berhampiran Pintu Gerbang)


ii) Persimpangan Jalan Daud dan Jalan Raja Alang


4) Masih ada lagi peniaga yang berniaga di bahu jalan walaupun aduan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sudah dibuat. Tiada tindakan dari pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur . (Sila lihat Lampiran 1 )


PENIAGA-PENIAGA DI CHOW KIT BERNIAGA DI ATAS TAPAK LETAK KENDERAAN


Jalan Raja Alang


Jalan Haji Hussien

Gambar-gambar ini diambil dari Februari 2010 hingga Dsember 2010


5 ) Bengkel kereta yang dijalankan di Jalan Datuk Abdul Yasin mengganggu lalulintas kerana kereta yang rosak di letakkan di bahu sepanjang jalan sehingga menyebabkan kesesakan di kawasan bengkel tersebut.




Bengkel kereta di Jalan Datuk Abdul Yasin ( kenderaan yang rosak diletakkan di sepanjang jalan depan bengkel sehingga menyebabkan kesesakan


Zon Datuk Keramat

1) PELANGGAN KEDAI MAKAN MELETAK KENDERAAN DI KIRI DAN KANAN JALAN


Terdapat segelintir pelanggan kedai-kedai makan di sepanjang Persiaran Gurney dan Jalan Keramat meletakkan kenderaan mereka di kiri dan kanan jalan menyebabkan hanya tinggal laluan tengah sahaja yang boleh digunakan. Apabila terdapat dua kenderaan yang datang dari arah bertentangan akan menyebabkan kesesakan dan kesukaran. Perkara ini berlaku mungkin kerana tiada tempat meletak kenderaan yang berdekatan. Saya mencadangkan supaya dikuatkuasakan satu peraturan supaya mereka hanya boleh meletakkan kenderaan di satu bahagian sahaja samada kiri atau kanan.


2) LAMPU JALAN YANG TIDAK MENYALA DI JALAN BUKIT KERAMAT KE JALAN PADANG TEMBAK


Terdapat lampu jalan yang tidak menyala di selekoh jalan dari Jalan Bukit Keramat menuju ke Jalan Padang Tembak. Perkara ini boleh menyebabkan kemalangan berlaku pada waktu malam. Jenayah seperti ragut juga boleh berlaku di kawasan tersebut kerana kawasan yang gelap.


3) SAMPAH YANG DIBUANG DI ATAS SUSUR PEJALAN KAKI DI JALAN BUKIT KERAMAT


Sebelum ini sebuah tong sampah besar diletakkan di kawasan tersebut dan penduduk setempat membuang sampah di situ. Tapi, kini tong itu telah dialihkan oleh DBKL kerana ramai pejalan kaki mengadu kawasan itu berbau busuk disebabkan sampah-sampah tersebut. Tetapi sekarang ini masih lagi ada penduduk yang membuang sampah di kawasan tersebut meskipun tiada tong sampah. Ini mungkin kerana tiada tempat alternatif yang disediakan.


4 ) Keramat Mall:



DBKL tidak tegas sebagai landlord sehingga penyewa boleh mengatur DBKL. Kalau nak tunggu pasar basah di bina hasil dari pengambilan rumah-rumah kedai tepi keramat Mall berapa tahun lagi nak biar Keramat Mall. Rugi duit pembayar cukai. Dicadangkan DBKL bertegas bawa masuk peniaga-peniaga kering/barangan perkhidmatan dahulu untuk hidupkan Keramat Mall dan mulakan operasi Banquet Hall untuk majlis kenduri kendara orang tempatan


Zon Desa Rejang


1) MASALAH KEBERSIHAN DAN KESIHATAN


- Stor DBKL yang kosong perlu dibersihkan kerana menjadi punca pembiakan nyamuk disebabkan air bertakung dalam stor tersebut.

- Tanah milik FELCRA di hutan belakang blok A, B, C dan G menjadi tempat pembiakan nyamuk kerana terdapat golongan yang membuang sampah-sarap di situ. Diharap pihak DBKL dapat berkerjasama dengan FELCRA untuk membersihkannya.

- Sampah sering dibuang dari tingkat atas flat, ini sangat merbahaya bagi penduduk yang lalu lalang. Ini mungkin disebabkan tong sampah yang disediakan tidak mencukupi.

- Kontraktor pembersihan setiap blok tidak ramai menyebabkan sampah sarap bertaburan di bahagian bawah blok kerana tidak dikutip mengikut jadual sepatutnya.

- Banyak tikus dan lipas di kawasan Desa Rejang ini terutamanya di medan selera. Jika ini berlarutan boleh membahayakan kesihatan para penduduk di sini.

- Penduduk memelihara binatang larangan seperti anjing atau kucing

2) MASALAH KESELAMATAN DAN JENAYAH


- Ada sebilangan rumah yang telah lama retak dan tidak dibaiki.

- Banyak anai-anai di hujung batu.

- Diminta sediakan bonggol di setiap blok kerana sesetengah kenderaan dibawa dengan laju terutama motosikal.

- Diharap sediakan bumbung (susur gajah) bagi pejalan kaki di setiap blok bagi mengelakkan objek dari atas jatuh menimpa penduduk.

- Diharap seluruh belakang blok di pasang lampu kerana tempat tersebut akan menjadi terlalu gelap di waktu malam dan perkara ini boleh membahayakan penduduk.

- Untuk memantau aktiviti jenayah yang semakin meningkat, disarankan untuk dipasang kamera liter tertutup (CCTV).

- Sebuah Pondok Polis juga diperlukan supaya dapat mengurangkan aktiviti jenayah.

- Terdapat penduduk yang meletakkan motosikal mereka di tingkat masing-masing kerana bimbangkan kehilangan. Ini adalah kerana terdapat banyak kes kecurian motosikal, alat ganti atau petrol apabila mereka meletakkan motosikal mereka di kawasan bawah flat.

- Terdapat segelintir golongan terutamanya remaja yang pecah masuk rumah kosong yang telah dikunci dengan tujuan untuk melakukan perbuatan yang tidak bermoral.

- Ruang berhampitan Lif dan tangga harus ditutup supaya tiada objek dibuang kebawah kerana merbahaya bagi penduduk yang berjalan dibawah

- Kabel elektrik dan telefon telah dicuri di rumah kosong walaupun telah dipasang sempurna oleh DBKL


3) MASALAH PENGANGKUTAN AWAM


- Tiada perkhidmatan bas yang disediakan di kawasan Desa Rejang walaupun perkara ini telah lama diajukan.

- Pengangkutan awam yang ada hanyalah teksi tetapi ini menyukarkan mereka yang berpendapatan rendah.

4) MASALAH INFRASTRUKTUR


- Tandas awam untuk lelaki dan wanita di medan selera mengalami kerosakan yang teruk seperti kehilangan sinki dankepala paip serta paip yang pecah. Disebabkan ini, mereka terpaksa berkongsi tandas terutamanya untuk tandas di tingkat bawah medan selera tersebut.

- Telah lebih 6 bulan sinki di medan selera tidak boleh digunakan kerana rosak dan ini menyukarkan pelanggan untuk membasuh tangan.

- Banyak meja makan di medan selera mengalami kerosakan.

- Pasar di Desa Rejang berbau yang tidak menyenangkan terutamanya di waktu malam.

- Diharap pasar di Desa Rejang dapat disediakan bumbung untuk memudahkan penduduk melakukan urusan jual beli walaupun untuk sementara.

- Selain daripada itu, terdapat juga mereka yang tidak bertanggungjawab yang membuang sampah dan juga membuang air kecil di dalam lif sehingga menyebabkan lif berbau busuk.

- Tiada laluan untuk orang OKU di blok F

- Tiada Papan kenyataan untuk maklumat kepada penduduk setiap blok

- Perjalanan keluar masuk kereta tidak ikut aturan.

- DBKL lambat mengambil tindakan terhadap aduan paip pecah..

- Ramai penduduk mahu pembelian rumah melalui sewa beli.


SURAT SURAT SOKONGAN KEPADA PIHAK DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR (DBKL)


1) Surat Sokongan Menyewa Rumah PPR


- Pihak Pejabat Parlimen Titiwangsa ada mengeluarkan beberapa surat sokongan untuk menyewa rumah PPR di sekitar Kuala Lumpur, apakah status pemohon tersebut. ( Lihat Lampiran }


Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

Sunday 26 December 2010

Bebanan Rakyat

Kelesuan ekonomi dan kegagalan pentadbiran sedia ada melonjakkan ekonomi ke prestasi lebih tinggi membawa kesan yang mendalam kepada rakyat. Gaji yang tidak meningkat menyebabkan kuasa beli rakyat berkurangan, apatah lagi dalam suasana kos sara hidup yang makin meningkat.



2.6% purata kenaikan gaji rakyat Malaysia antara tahun 2000 – 2010, berbanding 3.2% purata kenaikan gaji dunia (termasuk negara-negara miskin).

4% penurunan kuasa beli pengguna jika dibandingkan nisbah gaji dan inflasi antara tahun 1990 dan 2009.


40% dari rakyat Malaysia berada dalam lingkungan isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan, menjadikan mereka golongan paling miskin di Malaysia.

3 dari 4 keluarga yang berada dalam kategori ini (golongan paling miskin) adalah keluarga Melayu/Bumiputra.

34% dari pekerja Malaysia (dianggarkan seramai 4 juta orang) dibayar gaji kurang dari RM700 sebulan, iaitu bayaran dibawah paras kemiskinan.

62% dari jumlah RM39 bilion bayaran subsidi dan pampasan yang ditanggung kerajaan setiap tahun adalah subsidi kepada sektor korporat (penjana bebas, konsesi lebuhraya).


3 bilion adalah subsidi makanan (gula, gandum, beras) yang cuba ditarik balik UMNO/BN, berbanding RM19 bilion subsidi gas kepada penjana bebas dan RM4 bilion pampasan kepada konsesi lebuhraya setiap tahun.

RM19 bilion subsidi diberikan kepada penjana bebas milik kroni setiap tahun, berbanding hanya RM11 bilion subsidi minyak kepada rakyat yang cuba ditarik balik.



Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

Saturday 25 December 2010

NEGARA DLM KRISIS:

12 thn belanjawan defisit.

10 thn gagal capai pertumbuhan ekonomi

Eko. tumbuh 4.7% 2001-2005, target 7%.

Eko. tumbuh 4.2% 2006-2010, target 6%

2009 KDNK negara lebih kecil dari Singapura (pertama kali)

RM325 billion duit pertonas digunakan dari 2007-2010

53.5% hutang negara berbanding KDNK (2009), dr 35.1% (1998)

3x ganda peningkatan perbelanjaan kerajaan ditampung Petronas dan hutang.

Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

Buku Jingga mengariskan sepuluh perkara yang akan dilakukan oleh PAKATAN RAKYAT dalam tempoh 100 hari pertama memerintah, iaitu :




1. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lainbadan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

2. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

3. Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.

4. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
5. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

6. Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

7. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannyakepada generasi kedua dan ketiga Felda.

8. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.

9. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.

 10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.



Perancangan PAKATAN RAKYAT yang merangkumi pendidikan, ekonomi, pengurusan negara, merombak struktur subsidi dan menitiberatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat itu bukan satu pembohongan sepert dakwaan pemimpin BN............



 Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

Thursday 16 December 2010

ENAKMEN MAS DAN LEMBAGA MAS DIBUBARKAN - HAKMILIK MELAYU DI KAMPUNG BARU SEMAKIN TERANCAM

PAS Wilayah Persekutuan kesal dengan hasrat Kerajaan untuk memansuh dan membubarkan Enekmen Malay Agricultural Settlement (MAS) dan Lembaga Pengurusan Petempatan Pertanian Melayu (Lembaga MAS) apabila Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2010 dikuatkuasakan kelak. Rang Undang-undang Akta tersebut telahpun dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen pada hari Selasa lalu oleh Datuk Raja Nong Chik, Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Rang Undang-undang tersebut akan dibahaskan pada sesi Parlimen bulan Mac akan datang..

Seksyen 57(1) dan (2) Rang Undang-undang tersebut secara jelas menyatakan berkenaan pembatalan dan pembubaran Enakmen dan Lembaga MAS tersebut dan perkara ini mempunyai implikasi yang sangat besar terhadap survival pemilikan hartanah orang-orang Melayu di Kampung Baru. Ini kerana Kaedah-kaedah yang digariskan di bawah Enekmen MAS tersebut secara jelas memperuntukkan bahawa hartanah di Kampung Baru hanya boleh dimiliki dan dipindahmilik oleh orang-orang Melayu sahaja.


Apa yang dibimbangi ialah dengan pemansuhan tersebut, tidak ada jaminan lagi hartanah Kampung Baru akan terus kekal seratus-peratus milik orang-orang Melayu di masa akan datang. Tambahan pula, tafsiran “kepentingan orang Melayu” yang dimaksudkan dalam Akta tersebut hanya merujuk kepada budaya, adat resam dan seni bina bangunan masyarakat Melayu sahaja dan tidak secara jelas menyatakan berkenaan pemilikan hartanah mesti kekal di tangan orang Melayu. Ini diperkuatkan lagi dengan Fungsi Perbadanan yang dinyatakan di bawah Seksyen 14 Akta tersebut bahawa Perbadanan boleh berurusan dengan “mana-mana orang” untuk mengurus serta memindahmilik dan melupuskan aset Kampung Baru. Kesudahannya, jika Rang Undang-undang ini diluluskan kelak, maka milikan hartanah orang Melayu di Kampung Baru akan terancam dan tidak ada jaminan ia akan terus kekal.


Pembubaran Lembaga MAS juga merupakan satu tindakan yang langsung tidak menghormati badan tersebut yang telah berkhidmat lebih satu abad lamanya dan terus berkhidmat untuk penduduk Kampung Baru sehingga kini. Tindakan Kerajaan tersebut bukan sahaja membelakangkan penduduk Kampung Baru, malah ia menafikan langsung suara dan penglibatan wakil-wakil penduduk dalam proses pembangunan tanah dan masa depan mereka sendiri. UMNO jelas sekali lagi mengkhianati amanah untuk menjaga survival dan milikan tanah orang-orang Melayu di negara ini. Selepas tanah-tanah rezab orang Melayu semakin hari semakin mengecil jumlahnya, kini kampung-kampung tradisi dan warisan orang Melayu pula cuba diintai oleh tauke-tauke elit yang mendambakan keuntungan maksima di kawasan segitiga emas bandaraya Kuala Lumpur ini.


Cadangan penubuhan Majlis Penasihat di bawah Seksyen 19 Akta tersebut yang diwakili oleh lima belas orang wakil masyarakat Kampung Baru pula sekadar melepaskan batuk di tangga dan jelas menampakkan ketidakjujuran dan ketidaktelusan Kerajaan. Ini kerana Akta tersebut menyatakan dengan jelas bahawa Kerajaan tidak terikat untuk mengikut apa-apa,nasihat daripada wakil-wakil penduduk Kampung Baru tersebut. Oleh itu, peranan Majlis Penasihat tersebut hanya sebagai gimik politik semata-mata dan jelas tidak relevan langsung di kacamata Kerajaan.


PAS Wilayah Persekutuan mengulangi pendirian membantah penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu tersebut dan menyokong penuh saranan Ahli Parlimen Titiwangsa, YB Dr Lo’Lo’ Bt. Dato’ Hj Mohd Ghazali untuk menubuhkan Badan Amanah yang diwakili oleh wakil-wakil penduduk Kampung Baru dan mereka yang berkepentingan langsung dalam pembangunan Kampung Baru tersebut. Proses pembangunan Kampung Baru perlulah dilakukan dengan telus dan mengikut pandangan dan suara hati anak-anak Kampung Baru sendiri.





AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI

Penasihat Undang-Undang

PAS Wilayah Persekutuan


Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

Saturday 11 December 2010

Penduduk Desa Pandan Blok E bantah pembinaan Food Court

Penduduk Blok E Desa Pandan membantah cadangan pihak DBKL membina Pusat Penjaja di atas sebuah tapak di sekitar kediaman mereka. Penduduk di blok tersebut mahu sebuah dewan dibina diatas tapak tersebut berbanding cadangan Pusat Penjaja yang dilihat akan menimbulkan pelbagai masalah.


Melalui wakil mereka di dalam Persatuan penduduk, satu surat bantahan telah dihantar kepada Pejabat Menteri Wilayah.









Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

Pokok mati membahayakan Penduduk Desa Pandan ( Blok A5 )


Wakil Parlimen Titiwangsa ( Zon Pandan ) Abu Hassan Othman dibawah Pokok yang mati , ianya membahayakan orang ramai yang lalu lalang disitu , terdapat juga pondok tempat penduduk berehat , pokok yang mati ini boleh tumbang bila2 masa sahaja dan  jika tindakan tidak diambil mungkin ianya akan menimpa orang ramai yang lalu disitu atau menghempap pondok yang mana ada orang2 tua berehat dibawah pondok tersebut. Pihak DBKL sudah dimaklumkan tentang perkara tersebut dan berjanji akan mengambil tindakan secepat mungkin


Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

Thursday 9 December 2010

Happy ending buat Khir?

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Ramai yang seolah-olah sudah mampu membuat jangkaan bagaimana penghujung jalan cerita kes pendakwaan Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo.

Tanpa perlu membuat analisis terperinci, bekas Menteri Besar Selangor itu sendiri sudah memberi pembayang berhubung kesudahan kesnya apabila dengan penuh yakin mendakwa kes ini akan 'membersihkan' namanya.

Bagi beberapa pemimpin PAS, kenyataan itu sudah cukup untuk menjelaskan status sebenar pendakwaan yang dibuat ke atas Khir Toyo itu.

AJK PAS Pusat, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali contohnya turut melahirkan rasa hairan apabila Khir seperti mengetahui nasib yang sedang direncanakan ke atasnya.

"Awal lagi (Khir) dah kata: Ni peluang saya nak bersihkan nama.

"Maknanya dia sudah dijanjikan happy ending, kalau tak, tak kan relaks sahaja kata begitu," katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.

Bagi Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub pula, beliau tidak mahu meletakkan keyakinan yang terlalu tinggi terhadap pendakwaan yang telah dibuat ke atas Khir itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian sebelum ini mendakwa, kes Khir tersebut hanya satu peratus dari kes jerung yang dilaporkan.

Tambahnya, beliau risau trend yang sama semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri kini berulang.

Abdullah ketika zaman pemerintahannya juga turut membuat pendakwaan rasuah kepada Eric Chia dan Kasitah Gadam, namun akhirnya digugurkan apabila berlaku pilihanraya.

Bagi seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, beliau juga melahirkan rasa hairan dengan kenyataan penuh yakin Khir bahawa perbicaraan di mahkamah nanti akan membersihkan namanya.

"Ataukah sudah ada 'kira-bicara' dibuat sebelum Khir didakwa di mahkamah," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Selain itu, banyak pihak juga merasakan tindakan terhadap Khir itu hanya gimik berdepan Pilihan Raya Umum ke-13.

Ini kerana, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat cuba menonjolkan imej menentang rasuah bagi membersihkan imej Umno yang selama ini terpalit dengan isu itu.

Khir, Isnin lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Khir didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Adun Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang Dun Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.




Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

Ketuanan Melayu UMNO

Apabila pemimpin Umno bercakap soal ketuanan Melayu, sama seperti kalau isteri pemimpin Umno menyeru wanita semua kena menutup aurat, kerana ini adalah arahan Allah. Inilah analogi yang layak dipakai, dalam erti kata yang lain cakap tidak serupa bikin. Selepas PRU 2008 pemimpin Umno macam orang kena sawan. Berbagai formula yang dicari untuk menyembuhkan penyakit. Sudah banyak doktor pakar datang merawat, sudah banyak tok bomoh membaca jampi, namun penyakit ini tidak juga sembuh malahan makin parah.

Cuma ada satu lagi ubat untuk dicuba iaitu Ketuanan Melayu. Dengan muka tidak malu pemimpin Umno mula menunjukkan Umno juara Melayu dan Pakatan Rakyat tidak bela Melayu. Dakwaan mereka, yang boleh tegak ketuanan Melayu ialah melalui Umno. Sebenarnya Umno cuba menutup bangkai gajah dengan tudung saji, kerana cuba untuk menutup kegagalan mereka selama ini.

Orang Melayu jangan tertipu lagi dengan slogan ketuanan Melayu ala Umno. Pemimpin Umno cuba meniupkan sentimen ini melalui media televisyen terutamanya. Media ini akan pusing isu ini seolah-olah Umno sahaja yang mempertahankan ketuanan Melayu sehingga setengah rakyat yang menganggap Umno begitu suci dan tidak boleh diganggu.

Sebenarnya ketuanan Melayu Umno hanya untuk menjadi tiket pemimpin mereka menggadai hak Melayu dan memberi kesenangan kepada keluarga dan suku sakatnya sahaja. Dalilnya sudah lebih separuh abad Umno diberi peluang untuk menjaga hak Melayu akhirnya satu persatu tergadai. Bukankah ini semua angkara Umno?

Faktanya ketuanan Melayu Umno telah merugikan orang Melayu, bukan mengangkat martabat Melayu di negara ini.

· Ketuanan Melayu Umno menjadikan taraf hidup orang Melayu semakin menurun, malahan lebih teruk daripada kaum India. Dalam parlimen pada tahun 2007 , disebutkan bahawa lebih 600,000 rakyat di negara ini hidup di bawah paras kemiskinan iaitu berpendapatan kurang dari RM800. Statistik kaji selidik pendapatan isi rumah yang dilakukan menunjukkan hampir 90 peratus daripada mereka yang berada di bawah paras kemiskinan adalah orang Melayu. Memanglah kemiskinan adalah satu senjata untuk Umno guna bagi mengekalkan kuasa, dalilnya Sabah dan Terengganu yang berada di bawah ketuanan Melayu Umno merupakan negeri termiskin di Malaysia walaupun keduanya kaya dengan minyak


· Ketuanan Melayu Umno yang menindas negeri Kelantan, walaupun majoriti rakyatnya Melayu. Sebanyak 118 projek pusat disekat sejak RMK 6 tahun 1991. Apakah Tuan Guru Nik Aziz yang memimpin Kelantan seorang Bangladesh?

Ketuanan Melayu Umno, menyebabkan peneroka bandar telah dihalau macam anjing. Yang menjadi broker ialah pemimpin Umno dengan pemaju. Contoh yang terdekat seperti yang berlaku kepada penduduk setinggan di Kampung Plentong Tengah Pasir Gudang. Mereka sudah tinggal 30 tahun dan menjadi penyokong tegar Umno. Sewaktu mereka dihalau, batang hidung pemimpin Umno langsung tidak nampak. Begitu juga apa yang terjadi di Kampung Berembang Ampang di zaman Umno berkuasa. Ini semua kawasan tegar menyokong Umno. Sewaktu berhadap dengan pemaju ialah daripada PAS, PKR, DAP dan NGO sehingga ada yang merengkok dalam lokap. Mana pergi pemimpin Umno yang hendak menegakkan ketuanan Melayu ketika penyokong mereka dihalau.

· Ketuanan Melayu Umno menyebabkan orang Melayu ketinggalan kebelakang. Diskriminasi sesama bangsa hanya kerana berlainan ideologi, akhirnya telah menempatkan bangsa merempat di bumi sendiri. Kita tidak pernah dengar bagaimana pemimpin kaum lain yang menindas kaum sesama bangsa kerana berlainan ideologi. Tetapi ini berlaku kepada pemimpin Umno akhirnya peratus kemiskinan di kalangan bumiputera meningkat. Seperti yang pernah dinyatakan oleh bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah Dato’ Zainal Osman Cina 0.6%, India 2.9%, Melayu 8.3%.


· Ketuanan Melayu Umno mengorbankan kepentingan agama dan bangsa sendiri. Persempadanan semula 2003, menunjukkan Umno telah mengkhianat orang Melayu-Islam semata-mata untuk melawan PAS. Akibat persempadanan ini selepas pilihan raya umum ke 11 pada 21 Mac 2004 lalu, kerusi Melayu tinggal hanya 54.33 peratus sahaja. SPR dengan arahan BN enggan menambah kerusi majoriti Melayu, khuatir kedudukan politik mereka terancam. Walaupun pertambahan pengundi di Kelantan 24 %, Terengganu 21.76% dan Kedah 17.4%. Malangnya kerusi Parlimen di negeri tersebut tidak bertambah.

· Ketuanan Melayu Umno, menyebabkan lesap RM52 bilion saham yang diperuntukkan kepada para pelabur bumiputera dari 1984 hingga 2005. Hanya nilai RM2 bilion sahaja yang masih ada di tangan bumiputera.

· Ketuanan Melayu Umno punya angkara, sehingga pernah menjual saham BERNAS (Syarikat Beras Negara) kepada syarikat Wan Tak Co. Ltd yang berpengkalan di Hong Kong sebanyak 31.36%. Umno tidak sedarkah majoriti yang mengusahakan sawah ialah orang Melayu. Apakah jaminan petani-petani ini tidak dizalimi. Amat merbahaya apabila syarikat asing menguasai lesen beras negara di negara yang tercinta. Cuba bayangkan kalau yang menjual itu ialah kerajaan Pakatan Rakyat, nescaya akan dituduh agen asing di negara ini.

· Ketuanan Melayu Umno sanggup mengkhianati hak orang miskin contohnya lesap wang PPRT sebanyak 32 juta ditipu oleh lelaki Cina Ooi Kee Siang. Yang menjadi menterinya pada waktu itu ialah Datuk Anuar Musa daripada Umno.

· Ketuanan Melayu Umno yang sanggup membunuh bahasa sendiri dengan menyokong mata pelajaran Metematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris, walaupun berpuluh orang profesor dan pakar pendidikan tidak bersetuju. Demi untuk memberi projek kepada kroni, biarlah bahasa hancur dan RM6 bilion wang negara hangus. Sedangkan berapa lama usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu telah hancur berkecai. Malahan pemimpin Umno melemparkan tuduhan kepada pejuang bahasa sebagai pelampau. Jika bahasa sendiri pun Umno tidak boleh pertahankan, apa yang hendak diharapkan untuk menegakkan satu bangsa yang lebih gagah.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat








Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'