Sunday 18 June 2006

Kondom dan Jarum Percuma, Pelacuran Yang Dimaafkan Sepanjang bulan Jun ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan cadangan Menteri Kesihatan untuk melaksanakan Program pemberian kondom dan jarum percuma bagi mengatasi masalah kejadian AIDS yang dikatakan akan merebak hingga menjadi epidemic di Malaysia. Kejutan ini saya kira menjadi kegemparan apabila Setia Usaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri, Dato Dr Mashitah dalam jawapanya kepada satu persoalan pembaca dalam Harian Metro hari Ahad menyatakan “Dia terdesak berbuat demikian demi menyelamatkan anak dan memberi makan. Perkara yang dilakukan dalam suasana darurat terlepas daripada hukuman biasa. Dalam keadaan biasa memang melacur itu haram tetapi jika terdesak dan darurat IA DIMAAFKAN…” Mula-mula saya ingin mengulas tentang program pemberian kondom dan jarum percuma. Saya cuba untuk meneliti pelbagai alasan yang dikemukakan untuk menjustifikasikan program tersebut, iaitu dari kebimbangan dengan kadar insiden AIDS yang tinggi, merebak bukan sahaja di kalangan pengamal seks bebas, berbilang dan heteroseksual, sangat menular di kalangan penagih dadah intra venus, malah dikatakan terkini golongan yang tidak berdosa iaitu isteri dan anak-anak pengidap HIV/AIDS semakin ramai menjadi mangsa. PM mengumumkan akan mengadaptasi program ini mulai Bulan Oktober jika tiada pilihan lain yang lebih baik. Akhbar hari ini pula menyatakan 120 pengidap AIDS/HIV yang telah berumah tangga dan berkeluarga akan diberikan kondom percuma mungkin sebagai pilot project. Beberapa Negara dikatakan telah berjaya menurunkan kadar AIDS/HIV termasuk Negara Islam Iran hasil dari implementasi program ini. Isu ini begitu ‘delicate’ dan sangat sensitive kerana melibatkan permasalahan yang berstigma tinggi. Tidak ramai yang memahaminya kerana fobia dengan kesan akibat penyakit tersebut, lebih-lebih lagi cara penularannya pada asalnya adalah melalui perbuatan terlarang dan melibatkan kepercayaan manusia beragama. Soal seks tidak dibincang secara terbuka oleh masyarakat Timor apatah pula seks terlarang. Saya dalam penulisan ini tidak bermaksud untuk mengulas panjang kerana saya hanya mahu mengongsikan pengalaman saya mendapat maklumat asas tentang program mengatasi masalah AIDS/HIV di Negara Amerika Syarikat yang saya lawati Beberapa bulan yang lalu. Saya begitu tertarik dengan polisi kerajaan pimpinan Bush yang saya kira begitu ‘Islamik’ dan di luar jangkaan saya dilaksanakan di sebuah Negara Bukan Islam. Polisi kerajaan Amerika untuk menangani AIDS/HIV dirangkumkan dalam singkatan huruf ABCDE. A - untuk Abstinence yang bermaksud ‘mengelakkan atau menjauhi’. B - untuk Be faithful yang bermaksud ‘setia’. C - untuk Condom yang semua kita di Malaysia kini sudah begitu faham. D - untuk Drugs yang bermaksud ‘ubat‘ atau rawatan. E - untuk Education yang bermaksud ‘pendidikan’. Apa yang menarik disini polisi kerajaan Amerika yang kita lihat begitu liberal dan seolah-olah tidak bertuhan dan beragama meletakkan dasar pencegahan sebagai langkah utama mengatasi AIDS/HIV. Poster-poster dan kain-kain pampang serta risalah-risalah memaparkan konotasi seperti ‘Stay cool stay virgin’ atau ‘Virgin is Cool‘ yang merupakan gesaan kepada para remaja supaya menjaga kesucian masing-masing sehingga berumahtangga atau sesuai dengan kebebasan di sana sehingga mereka berjumpa dengan pasangan yang sesuai dan serius. Sebuah Negara bukan Islam mempromosi satu dasar yang sangat bertepatan dengan ajaran Islam bersuaian dengan firman Allah swt “La taqrabuzzina“ yang bermaksud jangan kamu dekati zina. Dasar pencegahan kedua pula menekankan kesetiaan pasangan suami isteri, menggalakkan pasangan setia antara satu sama lain dan menjauhi seks di luar lingkungan rumahtangga atau di luar hubungan stabil bagi mereka yang tidak memilih institusi perkahwinan. Ketiga barulah dikemukakan penggunaan kondom sebagai langkah untuk mencegah penularan di kalangan mangsa atau pembawa mahupun golongan berisiko tinggi yang aktif melakukan hubungan seks. Langkah keempat dan kelima tidak perlu saya ulas di sini kerana telah difahami fungsinya. Apa yang ingin saya katakan di sini ialah sebagai rakyat Malaysia, sebagai orang Islam yang yakin dengan sesungguhnya dengan system dan acuan yang dikemukakan oleh Yang Maha Pencipta, Jurutera kepada penciptaan manusia dan seluruh makhluk alam ini, saya ingin mengemukakan satu permintaan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia. Seperti yang saya nyatakan dalam beberapa ceramah dan forum yang disertai saya menyeru PM agar mengambil langkah bersungguh-sungguh untuk mengumpulkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang, wakil-wakil NGO termasuk ulama-ulama, para mufti dan ahli-ahli majlis fatwa dalam majlis-majlis perbincangan, wacana dan bengkel2 yang akan mengupas isu ini secara telus, transperan, intensive, comprehensive dan inklusif yakni melibatkan dan mewakili semua golongan masyarakat. Bersikap terbukalah Dato Seri, berilah peluang kepada rakyat yang begitu prihatin dengan kelangsungan dan pembangunan Negara dan masyarakat Malaysia untuk bersama-sama kerajaan dan pemimpin dalam menangani dan memberi pandangan serta berkongsi dalam proses membuat dasar dalam permasalahan yang begitu menggusar dan menggerunkan ini. Selepas permasalahan ini dikupas, dicanai dan dikaji bersungguh2 buruk baiknya, pros dan kons barulah satu keputusan atau dasar diambil. Berkenaan dengan kenyataan Dato Mashitah Ibrahim mengenai isu pelacuran, saya rasa rakyat Malaysia yang tidak tinggi ilmunya seperti Dato Mashitah pun boleh menilai jawapan tersebut sangat lari dari reality pemahaman dan waqi di Malaysia. Di Malaysia sepanjang pengetahuan kita semua tahu tidak ada ibu tunggal yang begitu melarat dan tidak dipedulikan sehingga anak2nya mungkin mati kebuluran dan kelaparan sehingga menjadi begitu dharurah sehingga ketahap menghalalkan nsesuatu yang sangat haram. Jika itulah keadaannya maka ini adalah tanda kegagalan yang besar kerajaan Pusat yang diterajui BN dalam menjaga kebajikan rakyat. Mengapa Dato Mashitah mengemukakan jawapan yang begitu mengelirukan sedangkan soalan yang ditanya tidak terlalu kompleks untuk dijawab mengikut pemahaman langsung dari Alquran dan hadis serta pandangan ulama-ulama muktabar. Tidakkah timbul kebimbangan dalam hati dan minda Dato Mashitah jawapannya itu mungkin akan dijadikan alasan bagi sesetengah ahli masyarakat terutama masyarakat Islam yang rendah ilmunya dan pemahamannya untuk melakukan kemungkaran dan maksiat. Berhati-hatilah agar ilmu yang ada dikongsi untuk dimanfaatkan dan bukan jadi ‘dosa‘ jariah. Dr Lo’lo’ Mohd Ghazali 0192100066 docmarjan@yahoo.com JUN 2005

No comments: