Tuesday 17 June 2008

Kenyataan Bersama MP PAKATAN WP: DBKL Wajib Batalkan Kenaikan Caj Tempat Letak Kereta

Posted on oleh HermanSamsudeen

Kami selaku Ahli Parlimen mewakili rakyat di seluruh Kuala Lumpur berasa amat kecewa dengan tindakkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikan kadar caj tempat letak kereta di pusat bandar sehingga mencecah 35% dari 60 sen kepada 80 sen yang akan berkuatkuasa Isnin hadapan.

Tindakan ini umpama menangguk di air keruh dan menambahkan lagi beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat selepas Perdana Menteri mengumumkan kenaikkan harga minyak sebanyak 78sen hingga RM1 minggu lalu.

Kami tidak menolak langkah proaktif DBKL bagi menukarkan sistem kutip caj tempat letak kereta yang lama kepada Sistem Letak Kereta Elektronik (SLKE). Walaubagaimana pun kami berharap agar DBKL mengkaji semula kenaikan ini yang didakwa berpunca dari perubahan sistem yang ada.

Kami difahamkan bahawa mesin yang digunakan untuk SLKE hanya menggunakan tenaga solar untuk berfungsi pada waktu siang dan menggunakan bateri pada waktu malam. Ianya tiada kaitan langsung dengan penggunaan minyak atau pun elektrik bagi jangka masa panjang.

Oleh itu, kenaikan ini adalah tidak wajar dilakukan jika disebabkan oleh penukaran sistem ini sahaja. Isu kos penukaran akan selesai dengan sendirinya bila kutipan dilakukan pada masa hadapan tanpa perlunya melibatkan sebarang kenaikan.

Untuk itu, DBKL harus prihatin pada situasi semasa rakyat dan wajib mengambil kira pandangan rakyat melalui wakil rakyat yang dilantik sebelum mengumumkan apa-apa dasar yang melibatkan perbelanjaan rakyat di masa hadapan.

Sekian. Terima Kasih.

Sepuluh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat KL

No comments: