Wednesday 17 December 2008

Hansad Parlimen 1.12.2008

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]:

Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin penjelasan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri, apakah kementerian ada membuat usaha yang bersungguh-sungguh untuk memastikan pendidikan ataupun penerangan yang jelas kepada rakyat terutama mereka yang membeli peralatan yang akhirnya menjadi e-Waste ini dimaklumkan dengan jelas bagaimana mereka hendak menguruskan akhirnya e-Waste ini dan adakah kementerian bersedia untuk menambah bilangan pusat pembuangan e-Waste ini di seluruh negara dan dimaklumkan kepada media dan orang ramai tentang pusat-pusat ini.

Terima kasih.

Dato’ Maznah Mazlan:

Terima kasih, Yang Berhormat Titiwangsa. Program-program pendidikan awam ataupun program jangkauan awam ataupun dalam bahasa Inggerisnya outreach program adalah salah satu strategi yang digunakan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab semua rakyat Malaysia dalam semua hal berkaitan dengan alam sekitar, pencemaran dan kawalannya.

Setakat ini memang sudah ada modul-modul yang mana telah dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar untuk kumpulan-kumpulan sasar tertentu dan insya-Allah perkara ini akan diperluaskan dari semasa ke semasa. Selain daripada itu juga kementerian berdamping rapat dengan akhbar-akhbar dan media-media elektronik untuk membantu pihak kementerian menyebarkan maklumat-maklumat yang boleh dikongsi bersama dan membantu meningkatkan taraf kesedaran rakyat di negara ini.

Tentang bilangan pusat pelupusan pada masa ini dua yang saya sebutkan tadi adalah mencukupi untuk pelupusan e-Waste ini dan lain-lain bahan buangan dan setakat ini kawalan yang dibuat juga oleh kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar ialah untuk memantau pengeluaran-pengeluarannya dan dengan pemberian lesen-lesen yang perlu mengikuti syaratsyarat tertentu untuk proses.

.. Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Maksud saya collection centre.

Dato’ Maznah Mazlan:

Bagi Collection centre, tanggungjawab memungut semua barang untuk pelupusan termasuk e-Waste adalah dalam bidang tanggungjawab kerajaan tempatan dan pada masa ini pihak-pihak yang terlibat dalam industri ini mereka sudah ada peraturan-peraturan yang ditetapkan di bawah Jabatan Alam Sekitar yang memantaunya. Seperti yang saya katakan tadi mereka yang terlibat dalam pembuangan sisa-sisa ini perlu dipantau daripada peringkat awal penggunaan, pemprosesan, pengolahan, pengangkutan sampai kepada pelupusan. Terima kasih.

No comments: