Friday, 28 August 2009

Walaupun belum sihat sepenuhnya, Dr Lo' Lo' bersemangat untuk berbakti

Azamin Amin Wed Aug 26, 09 3:04:24 pm MYT

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Setiap kali Ramadan, wajahnya yang ceria sentiasa menyantuni penghuni lorong-lorong 'gelap' dan golongan daif ibu kota. Namun kali ini, beliau terpaksa berehat seketika selepas menjalani satu pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

Itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya yang masih tinggi untuk berbakti kepada masyarakat khasnya kepada para penduduk di kawasan beliau, Parlimen Titiwangsa.

Dalam keadaannya yang uzur, beliau masih berusaha mencari dana dan sumbangan oleh orang ramai yang bersimpati terhadap golongan yang tidak bernasib baik, daif dan gelandangan ibu kota yang perlukan perhatian dan meringankan beban yang ditanggung.

Ini terbukti, apabila beliau mengirimkan sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Harakahdaily untuk meuar-uarkan Program Singgah Iftar yang lazimnya di adakan saban tahun oleh Lajnah Kebajikan PAS Pusat dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Titiwangsa yang diketuai oleh Dr Lo' Lo' sendiri.

"Saya masih mahu terus berbakti dengan sedaya upaya dan dengan kemampuan yang ada. Takkanlah kerana saya sakit, saya mesti berada dalam keadaan lemah dan tak buat apa-apa untuk masyarakat," katanya melalui sms.

Lajnah Kebajikan PAS Pusat (LKKPP) katanya akan mengadakan edaran pek makanan percuma seperti nasi dan bubur lambuk untuk warga Lorong Haji Taib dekat sini.

Image

(Dr.Lo'lo' mengunjungi IJN 3 Ogos lalu dalam rangka kerja sebagai anggota Parlimen kawasan Titiwangsa sebelum dia sendiri terpaksa mendapatkan rawatan di situ)

Ini termasuklah edaran buku panduan Ramadhan, sejadah dan lain-lain di samping LKKPP juga akan mengadakan Majlis Iftar serta Solat Terawih untuk warga INSAF Lorong Hj. Taib sepanjang Ramadhan.

Sebelum ini, turut mengadakan makanan percuma ialah Pejabat Agung PAS, yang mengedarkannya pada setiap hari Jumaat dan tahun lalu, aktiviti edar juadah percuma ini telah 'dipanjangkan' oleh Lajnah Kebajikan PAS Pusat yang diketuai oleh Dr. Lo' Lo' sendiri yang mendekati dan beramah mesra dengan penghuni-penghuni 'lorong gelap' di sekitar Lorong Hj Taib, berhampiran bangunan PAS ini.

Sesuatu yang mengejutkan apabila reaksi yang memberangsangkan diterima daripada penghuni-penghuni yang gembira di samping mesra dan melayan kehadiran rombongan para pimpinan PAS yang turut turun padang, malah ada yang 'membenarkan' naik ke flat tempat tinggal mereka, untuk bertemu rakan-rakan yang lain.

"Saya selaku Pengerusi Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP) merayu sumbangan orang ramai untuk program-program tersebut," kata Dr Lo' Lo' yang menjelaskan butiran sumbangan yang diperlukan.

Bagi bubur lambuk RM400 diperlukan untuk satu periuk, pek nasi RM500 (100 orang) manakala buku-buku dan risalah berkenaan Ramadan, Syawal, Solat dan Taubat sekitar RM10 setiap orang.

"Sejadah RM10 sehelai. Untuk setiap majlis dianggarkan antara 250-300 orang akan disantuni. Anda boleh menyumbang sepenuhnya iaitu RM25 darab dengan 300 orang yang jumlahnya RM7500 atau sebahagian dari kos tersebut,"

"Sila maklumkan sekiranya sumbangan melalui transaksi bank. Semoga setiap sumbangan anda akan mendapat ganjaran dari-Nya..Ameen," katanya penuh semangat.

Selain itu beliau turut memohon maaf kerana tidak dapat ditemui buat sementara waktu, sungguhpun sudah berada di rumah kerana faktor kesihatan dan bagi mengelak penularan wabak influenza A H1N1 muktakhir ini.

"Dalam keadaan kesihatan sekarang, saya dinasihatkan untuk tidak menerima tetamu, kerana risiko tinggi. Saya mohon maaf banyak-banyak," katanya mengakhiri perbualan.

Bagi yang berhajat menyumbang, bolehlah disalurkan di tiga akaun iaitu Dana Kami Prihatin, akaun BIMB 12113010026150, Yayasan Prihatin Titiwangsa, akaun MayBank 564799106040 dan Dr. Lo' Lo', akaun CIMB 14410005980052.

Atau untuk mengetahui maklumat lanjut, sila ke Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Titiwangsa, No. 10. Jalan. Raja Muda Musa, Kg. Baru, Kuala Lumpur atau hubungi talian Tel: 03-26980025. Fax 0326980026_

-Harakahdaily

4 comments:

armouris said...

info tentang serangan jantung kat sini - Bahaya dan Gejala Serangan Jantung

muslimat ttwangsa said...

Assalamualaikum Dr. Kami sekeluarga mendoakan semoga Dr sentiasa berada dalam keadaan sihat, Insya-Allah. Buat masa ini, diharapkan agar DR perbanyakkanlah berehat agar beroleh kesihatan yang lebih baik. Pada Ramadhan kali ini, kami di Titiwangsa amat merasai ketiadaan Dr. Sunyi sangat rasanya. Walau pun saya jarang mengiringi Dr dalam prog2 Iftar sekitar Titiwangsa ini, saya tetap merasai kekurangan dan kesepian , apalagi di Darul Ummah. Maaf kerana tidak sempat untuk menziarahi Dr di hospital atau di rumah.
Akhir kata sekali saya mengharapkan agar DR akan beroleh kesihatan yang lebih baik , disamping dapat beribadat kepada Allah , juga dapat meneruskan perjuangan dan aktiviti2 seperti sediakala, INSYA-ALLAH.

AKHIRNYA SAYA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN INI, UNTUK MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN DARI KAMI SEKELUARGA, dengan pertanyaan.... ingat cornflakes coklat lagi ke???? SEMOGA DR SIHAT SELALU.

Dewan Ulama PAS Kedah said...

Selamat Berpuasa dan selamat Hari Raya.Moga sihat sejahtera untuk memainkan peranan sebagai srikandi Muslimah sejati.

DR. LO'LO' BT DATO' HJ. MOHAMAD GHAZALI said...

Terima kasih, syukran, TQ