Thursday, 29 October 2009

Dr. Lo' Lo' persoal kes juvana ketagih gam

Dzulfikar Mashoor Wed | Oct 28, 09 | 12:58:14 pm MYT

KUALA LUMPUR, 28 Okt:Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali pagi tadi meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan sejauhmana Polis berjaya berusaha membanteras penagihan dadah di Malaysia.

Menjawab persoalan tersebut,timbalan menterinya Datuk Wira Abu Seman Yusof menjelaskan sebanyak 45 kes rampasan dadah terbesar berjaya dibuat sepanjang tahun lepas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah menjelaskan, Polis berjaya merampas dadah bernilai RM44 juta pada 4 Mac tahun lepas di Senai Johor.

Rampasan itu termasuk 52.8 kg shabu dan 12 orang yang dipercayai terbabit dalam sindikit.

Selain itu, Polis juga berjaya merampas dadah bernilai RM1.2 juta pada 20 Mac tahun lepas di beberapa makmal haram, di Permas, Johor.

Dalam rampasan tersebut, sebanyak 66.5 kg heroin dan 20.4 kg shabu berjaya ditemukan, bersama-sama 12 individu yang disyaki terbabit dalam sindikit itu.

Dalam soalan lisan tambahan kemudiannya, Dr. Lo' Lo' membangkitkan isu ketagihan gam yang berleluasa dalam kalangan juvana, kerana tidak ada undang-undang yang jelas untuk membendungnya.

Menjawab soal itu, Abu Seman mengakui, kementeriannya menyedari kelemahan itu.

"Tentang ketagihan gam ini, memang tiada suatu undang-undang khusus digubal untuk haramkan gam," tegasnya.

Sehingga kini, kerajaan hanya mengklasifikasikan gam hanya sebagai bahan beracun, bukannya dadah.

Tambahnya lagi, kementeriannya bersama Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) telah melaksanakan pelbagai kempen di sekolah-sekolah peringkat rendah dan menengah betapa bahayanya gam.

"Bagaimanapun, kementerian (KDN) telah hantar draf rang undang-undang berkaitan larangan bahan ketagih gam pada pihak (Jabatan) Peguam Negara untuk semakan segera, sebelum dibawa ke Parlimen,"jelasnya.

Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee mengarahkan Dewan menjawab soalan lisan seterusnya.

No comments: