Wednesday 25 November 2009

Ahli Parlimen PAS rakam tahniah kepada Nik Aziz dan Ariffahmi

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Ahli parlimen PAS merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman kerana mendahului keputusan parti berbanding kepentingan peribadi dan keluarga.
Ahli parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusuf Rawa dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi tadi berkata, tindakan Nik Aziz yang menerima keputusan parti untuk menasihati Ariffahmi meletakkan jawatan merupakan satu tindakan yang mempamerkan ketinggian integriti beliau sebagai seorang Menteri Besar.
"Kami (ahli parlimen PAS) mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Kelantan (Nik Aziz) kerana telah menerima keputusan yang telah dibuat oleh PAS pusat agar beliau menasihati Ariffahmi meletakkan jawatan."
"Ini satu tahap integriti yang saya kira cukup baik bagi pihak menteri besar kerana akur tentang keperluan untuk menjaga kepentingan PAS termasuk kepada menantu beliau,Ariffahmi yang juga akur dengan keputusan yang dibuat oleh parti bagi memelihara kepentingan dan kesejahteraan serta integriti parti," katanya.
Mujahid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut berharap agar tindakan Nik Aziz itu dapat dicontohi oleh pemimpin-pemimpin parti lain dan juga rakyat.
"Kami mengalu-alukan keputusan itu dan ia boleh menjadi satu contoh yang baik kepada orang ramai betapa integriti perlu diletakkan lebih utama daripada apa-apa sahaja kepentingan,"
"Kami menyokong, kami harap ia boleh jadi contoh kepada orang lain tentang sikap yang ditunjukkan oleh Tok Guru Nik Aziz dan juga menantu beliau sendiri yang sanggup membuat keputusan itu di atas kepentingan integriti dan juga parti," katanya lagi.
Tindakan Nik Aziz dan Ariffahmi juga ujarnya membuktikan bahawa PAS merupakan sebuah parti yang terbuka dan menjaga disiplin.
"Ini memberikan gambaran bahawa PAS ini bukanlah satu parti yang hanya membuat sesuatu mengikut kehendak tetapi ada batas-batasnya dan mereka akur dengan kehendak dan kepentingan lebih tinggi iaitu jawatankuasa pas pusat," ujarnya.
Sidang media berkenaan turut disertai Ahli Parlimen Pasir Puteh Muhammad Husain, Ahli Parlimen Padang Terap Nasir Zakaria dan Ahli Parlimen Sik Che Uda Che Nik.
Nasir dalam pada itu menyifatkan tindakan Ariffahmi meletakkan jawatan sebagai tindakan bijak untuk jangka masa panjang.
"Tindakan Ariffahmi satu langkah yang jauh ke hadapan dan saya kira ia sepatutnya menjadi satu contoh kepada rakyat dan pemimpin malaysia dalam usaha memelihara integriti terutamanya kerajaan dalam berhadapan isu-isu yang dikatikan dengan nepotisme dan sebagainya," katanya yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat.
Semalam Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS selepas pertemuan dengan pimpinan parti di kediaman Menteri Besar, JKR 10 mengumumkan persetujuannya menasihati Ariffahmi meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Pertemuan semalam turut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din, dan Bendahari Dr. Hatta Ramli.

3 comments:

Unknown said...

5 soalan MENGGELEGAK untuk Dr Lo Lo
1. Dimana kekuatan semulajadi PAS semasa menjadi pembangkang setelah menyarung jersi wakil rakyat?
Kalau dulu, semua tahu kekuatan pembangkang ialah mempersoalkan semua projek yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Semua projek tidak betul. Semua projek dikatakan membazirkan wang rakyat sahaja. Bahkan pihak pembangkang, akan sanggup gali hingga ke lubang cacing untuk tahu di mana wang dibelanjakan, siapakah kontraktor yang mendapat projek, untuk apa projek dijalankan. Saya, sebagai seorang rakyat, memang rasa terbela apabila akan mempunyai pemimpin seperti itu.
Tapi, Cuba lihat apa yg dr lo lo dah lakukan untuk kawasannya sendiri di datuk keramat. Sehingga dia sanggup mengeluarkan perkataan bahawa saya kene bersikap adil dengan pengundi saya di sebelah sana. Adakah UNDI yang dipikirkannya selama ini setelah menjadi pemimpin?? Bukan untuk membela nasib seorang rakyat. Apa perjuangan nya selama ini? Hanya untuk mendapat kuasa atau memang untuk bekerja untuk rakyat seperti yg dilakukan oleh pemimpin DAP setelah dapat kuasa. DR Lo Lo sanggup mengenepikan nasih org yg mempunyai geran tanah dan berniaga dengan cara yg sah dan halal, org yg membayar cukai setiap tahun semata-mata untuk berada di pihak yg memang sejelas-jelasnya penyokong BN semata-mata untuk menjaga undi pada masa akan datAng?
Dr Lo lo sanggup menutup mata pada rasuah yg berlaku di depan mata semata-mata untuk membantu persatuan penjaja dan peniaga kecil pasar datuk keramat dengan membunuh dan mengorbankan nasib 8 org peniaga di depan LRT damai semata-mata untuk pembinaan tempat parking? Adakah dia tahu, ajk2 persatuan2 tu semuanya adalah org2 umno yg nak memperbodoh2kan dia untuk kepentingan sendiri? Dia ada menyiasat ke siapa sebenarnya ajk2 tersebut? Tahu tak bahawa mereka mempunyai leBih dari 4 lot di dalam pasar tersebut? Jika sewa yg dikenakan adalah hanya rm50 oleh dbkl, mereka mengenakan sewa sehingga rm400 untuk satu lot. Dan disewakan kepada peniaga Indonesia. Mereka hanya mengutip sewa setiap bulan. Dan semua lot tersebut menggunakan nama adik-beradik, suami-isteri dan sanak saudara. Saya tak sangkan dr lo lo seorang PAS boleh menutup mata dgn isu ini. Mereka bukan org susah…memang mereka duduk di pprt, tapi tahu ke ada berapa kereta? Kereta mpv dan WAJA pulak tu…mendaptkan projek setiap kali persidangan umno di pwtc sebanyak lebih dari rm100k….
Kenapa dr lo lo tak mempertikaikan…kenapa dibina jejambat di depan lrt damai yg berharga berjuta ringgit, semata2 untuk 2 lane jalan raya? Logic ke? Nasib penduduk uh 8 org tu akan dikorbankan untuk tempat letak kereta. Dikorbankan tanpa sebarang perbincangan yg adil dr pihak dbkl apalagi menteri wilayah yg asyik melarikan diri setiap kali diajak berbincang. Kami dipanggil sebagai setinggan bila fail kami di pejaba t tanah tiba2 hilang sejak dari setahun yg lepas. Pernah ked r lo lo bertanya masalah kami? Pernah ke dia selidik masalah kami? Tapi hanya sibuk dgn undi yg akan dia terima pada pilihanraya akan datang?
Dr lo lo tak usah cerita le di mana dia? Dia sibuk mengatakan isu pengorbanan rakyat palestin tapi lupa dgn org kampungnya sendiri yg akan dikorbankan olehnya sendiri……di mana suara pembangkang? Nampaknya dr lo lo pun sama dgn pemimpin umno juga…hanya mementingkan kuasa dan undi yg akan diterima sahaja…..

Sila tunggu untuk soalan yg seterusnya nanti…………
MANGSA KORBAN 2009 DATUK KERAMAT

Panglima Perang Cyber said...

Baguslah sokongan sebegini...sokong dan tidak berani berkata benar kepada tok guru. sedangkan perbuatan Nik Aziz jelas menyalahi syarak dan menghina Nabi dengan mengatakan kronisme diamalkan oleh Nabi.

sekurang2nya ia dapat menutup mulut orang mengatakan tok guru melantik menantu sekaligus membenarkan kronisme berlaku di kelantan.

sekurang2nya ia dapat menyelamatkan imej PAS dan dapat undi lagi next election.

sekurang-kurangnya jelas nampak maqam Nik Aziz sudah dimaksumkan oleh para pemimpin PAS yang lain..

sekurang2nya saya berani berkata benar dalam tulisan saya.

sekurang3nya....

DR. LO'LO' BT DATO' HJ. MOHAMAD GHAZALI said...
This comment has been removed by the author.