Wednesday 17 February 2010

Pemuda PAS mahu Nong Chik tarik balik ugutan

KUALA LUMPUR, 17 Feb: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin meminta maaf serta menarik balik ugutan terhadap penduduk Kampung Baru dan sekitar.
Ketuanya, Kamaruzaman Mohammad berkata, ini ekoran menteri itu yang mahu menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi memaksa penduduk Kampung Baru dan beberapa kampung lain sekitar ibu negara menyerahkan tanah mereka.
Katanya, seluruh negara mengetahui bahawa tanah Kampung Baru adalah Tanah Rizab Melayu dan kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya memaksa penduduk untuk menjual tanah mereka apalagi mengambilnya secara paksa menggunakan peruntukan undang-undang.
Tambahnya, kenyataan Nong Chik dalam rancangan Bual Bicara di TV3 baru-baru ini memperjelaskan lagi sikap tidak demokratik dan zalimnya pemimpin Umno terhadap rakyat dan orang Melayu khususnya.
Menurutnya, sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah turun ke Kampung Baru dan menjanjikan pembangunan di situ, sama seperti janji-janji manis yang ditabur oleh dua bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir dan Tun Abdullah.
Namun, ujarnya, tiada sebarang rundingan dan perbincangan tentang bentuk pembangunan yang diinginkan oleh penduduk.
“Nong Chik cuba memaksa penduduk menerima Draf Cadangan Pembangunan Kampung Baru oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sehingga ke hari ini masih gagal dibentang di Parlimen,” katanya.
Sehubungan itu, DPPWP bertegas supaya semua draf atau cadangan pembangunan yang dikemukakan oleh DBKL hendaklah dibentangkan di Parlimen terlebih dahulu selepas menerima maklum balas dan cadangan rakyat.
Ini, katanya kerana DBKL adalah organisasi yang bertanggungjawab membangunkan ibu negara dan bukannya membangunkan ‘pekan koboi’ yang kecil.
“DPPWP menolak penggunaan Akta Pengambilan Tanah dalam urusan pembangunan dan mahu kaedah rundingan digunakan tanpa ada sebarang maksud yang bertindih atau prejudis kepada kepentingan rakyat,” ujarnya.

1 comment:

Anonymous said...

Disamping menghadapi kejahatan BN khususnya UMNO, Pas juga terpaksa bertarung dengan kumpulan-kumpulan Islam yang lain. Ada antara mereka secara terang-terangan menzahirkan mereka Pro Umno dan ada yang menamakan mereka jamaah Islam tetapi bertindak menyerang Pas. Pas dianggap tidak syumul dalam perjuangannya. Pas bergerak secara tidak sistematik, Pas masih tradisional dan tidak mampu menjuari zaman. Pas tidak syarie,kerana mengambil pendekatan Demokrasi.

Sedikit sebanyak suara-suara itu menganggu perjalanan Pas, khususnya pelajar-pelajar yang mula berjinak-jinak dengan Pas di Pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Hingga berlaku rebut merebut ahli Usrah. Penampilan "elit" jamaah tersebut berjaya mencuri anak-anak usrah Pas yang seketika terlupa erti "berjamaah dan wala".

Dengan kehendak Allah..Pas berjaya membentuk kerajaan di Kelantan selepas Pilihanraya 1990. Sejak itu Pas terpaksa memperluaskan tingkapnya ( bukan hanya pintu dibuka) kerana menyambut "tetamu" yang datang dari segenap lapisan masyarakat. Parti yang dahulunya dilihat kolot dan tradisional mula dipuji dan didampingi. Benarlah kata seorang ulama; "tawanlah kerusi nescaya engkau akan lebih berjaya menawan hati".

Alhamdulillah..akhirnya mereka-mereka yang sebelum itu agak geli geleman untuk berdampingan dengan Pas, kerana dilihatnya Pas hanya parti pak-pak lebai yang tidak punya wawasan,akhirnya dapat makan setalam. Kumpulan elit yang gagal membentuk "jamaah Islam elit" akhirnya terpaksa bertenggek di dahan Pas. Ramai antara mereka yang telah insaf bahawa jamaah Islam mestilah syumul sebagaimana Islam itu sendiri adalah agama yang syumul.

Namun malangnya..ada antara mereka masih tidak senang berketuakan sesetengah pimpinan Pas. Lalu dibentuknya komuniti sendiri di atas "dahan Pas". Sesekali dilihat dari jauh mereka seperti sebahagian dari dedaun yang merimbun diatas pohon Pas. Namun bila diamat-amati rimbunan itu rupanya DEDALU yang sedang bertenggek dicelah dahan. Mereka ada ketua sendiri yang lebih mereka wala'. Mereka ada mesyuarat sendiri yang lebih mereka taati. Mereka ada wawasan sendiri yang sesekali dilontar dan jelas bertentangan dengan wawasan Pas.

Justeru itu mereka tidak hairan dengan pimpinan Pas. Justeru itu tiada lagi adab dan hormat kepada pimpinan Pas. Kini rimbunan Dedalu itu semakin membesar. Benih-benih kecil mula bertenggek disetiap dahan. Percaturan disusun dengan rapi ...Tahniah kepada yang ikhlas bersama dengan Pas dan Awaslah kepada yang berniat khianat. Keterbukaan Pas bukan untuk dikhianati.Waspadalah sentiasa agar jamaah ini terpelihara daripada pengkhianatan. (sumber)

Ingat !! KETERBUKAAN PAS JANGAN DISALAH ERTI DAN DIKHIANATI.