Tuesday, 23 March 2010

1Malaysia Najib lompang, tiada pengisian – Presiden PAS

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR, 23 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) menyifatkan slogan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai lompang dan tiada pengisian yang jelas.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat petang semalam berkata, 1Malaysia belum bebas daripada masalah moral di kalangan pemimpin Umno/BN.
"Bukan saya marah 1Malaysia, tapi jangan tulis 1Malaysia besar-besar tapi pengisian tidak tepat. Di negeri saya (Terengganu) contohnya, banyak sekolah didirikan di pedalaman tapi tiada pelajar. Ada kelas yang langsung tidak ada pelajar disebabkan kroni-kroni Umno/BN berebut untuk mendapatkan projek sehingga berlakunya lebihan sekolah.
"Tetapi ada pula di kawasan yang padat penduduk tapi sekolah tidak mencukupi. Bilik darjahnya tak cukup, makmal komputer runtuh kerana masih ada salah urus, rasuah yang perlu disiasat," katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan terdahulu bertanggungjawab terhadap salah guna kuasa dan penyelewengan yang berleluasa hari ini kerana ianya diwarisi oleh mereka.
"Perkara ini berlaku dalam era pemerintahan yang lalu. Jadi kerajaan hari ini harus berani menyatakan kesalahan pemimpin yang lalu," katanya.
Beliau menambah, slogan 1Malaysia akan juga menjadi seperti slogan yang terdahuliu jika kerajaan hanya memikirkan slogan pada zahirnya, tanpa berusaha meningkatkan mutunya.
"Media yang hanya mengiklankan 1Malaysia, sehingga salam pun 1Malaysia, bukan mengisi modal insan akan menyebabkan slogan 1Malaysia menerima nasib yang sama dengan slogan yang terdahulu," katanya.
Ustaz Abdul Hadi turut menyentuh mengenai media yang semakin tidak bermutu kerana lambakan rancangan hiburan yang melampau, mendahului fungsinya sebagai penyebar ilmu dan maklumat kepada rakyat.
"Media ialah alat mengilmukan rakyat tapi sekarang ini media dipenuhi oleh hiburan yang melampau. Media bukan lagi menjadi alat untuk kita mendapatkan ilmu yang berfaedah sebaliknya hanya menjadi penting ketika adanya pilihan raya kerana media digunakan Umno/BN untuk memenangkan mereka.
“Rakyat sedang diperbodohkan kerajaan melalui media dengan menyiarkan iklan-iklan yang melampau menjadikan rakyat lebih berkhayal di alam impian daripada berilmu dan beramal di alam nyata," katanya.
Menyentuh mengenai sistem kehakiman pula, Beliau berkata, sehingga kini sistem itu di Malaysia belum mendapat kepercayaan yang sepenuhnya daripada rakyat.
"Betapa besarnya bidang kehakiman, sehingga Islam meletakkannya dalam perkara fardu kifayah dan menjadi perkara fardu ain pula kepada pengamalnya. Oleh sebab itu, Islam meletakkan sistem ini terpisah dengan sistem lain," katanya.

No comments: