Tuesday, 23 March 2010

Ahli-Ahli Parlimen seksis akan disenarai hitamkan



Wanita Malaysia tidak akan memilih calon-calon Ahli Parlimen yang seksis dalam pilihan raya akan datang.
Anutan seksisme (sexism) membawa pemikiran bahawa satu gender adalah lebih inferior atau lemah dari yang lainnya. Ia juga bermaksud mendiskriminasi gender dan tidak mempeduli soal memelihara maruah dan martabat gender, lelaki atau wanita. (kepercayaan ini boleh menyebabkan seseorang itu melakukan keganasan keatas gender yang dilihat lebih lemah dimana disini seringkali wanita menjadi mangsa rogol dan mangsa jenayah)

Seksisme adalah berlawanan dengan Perlembagaan Malaysia dan pengakuan Malaysia dalam mendukung tuntutan untuk menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita (CEDAW). Seksisme dalam Parlimen sering berulang kerana tiada pengharaman terhadap pengujaran dan kelakuan seksis dalam Peraturan Mesyuarat.

Ahli-Ahli Parlimen yang seksis yang sepatutnya dihukum, bebas lepas begitu saja (scott free). Seksisme adalah penghalang besar terhadap pencapaian keadilan dan kesetaraan gender. Seluruh rakyat Malaysia wajar berasa sangat bimbang jika AhliAhli Parlimen menganggap isu seksisme ini sesuatu yang remeh dan tiada bernilai sedikitpun.

Ahli-Ahli Parlimen yang seksis tidak akan mampu membawa keadilan untuk semua – lebih-lebih kepada wanita yang sentiasa menjadi golongan yang didiskriminasi dan dipinggir. ( Sebagai penggubal dasar, polisi dan undang2 negara Ahli Parlimen yang seksis TIDAK akan gender positif dalam memberi cadangan2 yang berkenaan malah mungkin akan membuat keputusan yang tidak peka kepada keperluan gender ). Menurut satu kajian, lebih 60% rakyat miskin adalah terdiri dari wanita. Wanita masih ketinggalan dalam sektor ekonomi, pekerjaan dan kepimpinan pentadbiran dan politik. Wanita belum berasa selamat dan aman dari penganiayaan dan keganasan yang masih berterusan berlaku.


Ahli-Ahli Parlimen yang seksis dikhuatiri tidak akan dapat menghayati situasi bahawa wanita perlu diberdaya (empowered) dalam menghasilkan sumbangan terbaik untuk negara dalam kesemua ruang lingkup kehidupan masyarakat dan negara. Dengan itu, kebiasaannya ialah segala keputusan penting untuk kepentingan umum akan meminggirkan keperluan khusus wanita.

Wanita Pakatan Rakyat akan menyenarai hitamkan para pemimpin yang bersikap seksis kerana individu seksis tidak mampu memberi pertimbangan yang adil dan saksama terhadap wanita. Di antara KPI calon-calon Ahli Parlimen akan datang ialah mereka mestilah bebas dari sebarang bentuk amalan seksis sepanjang keahlian mereka dalam Dewan Rakyat ke-12 ini. ( Islam telah memartabatkan wanita sejak lebih 1430 tahun yang lalu dan meletakkan wanita ditempat yang sangat mulia sebagaimana maksud hadis Nabi : Syurga terletak dibawah tapak kaki ibu )

Wanita Pakatan Rakyat






Senarai hitam MP seksis

Hazayani Zakaria. www.harakahdaily.net


KUALA LUMPUR, 23 Mac: Wanita Pakatan Rakyat (PR) hari ini menyeru seluruh wanita Malaysia menyenaraihitamkan ahli parlimen (MP) yang bersikap seksis pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam satu kenyataan bersama yang dibacakan oleh Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali (PAS-Titiwangsa) tengah hari ini, wanita PR berkata, ahli parlimen seksis tidak layak menjadi wakil rakyat.
Ahli parlimen, ujar mereka perlu bebas dari sebarang bentuk amalan seksis, dan ianya perlu dijadikan indeks pencapaian utama (KPI) terhadap calon-calon Parlimen akan datang.
"Wanita Malaysia tidak akan memilih calon-calon ahli parlimen yang seksis dalam pilihan raya akan datang," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu merujuk kepada perkataan 'anak jantan' dan 'anak betina' yang dikeluarkan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) di Dewan Rakyat semalam.
Menurut wanita PR, anutan seksisme (sexism) membawa pemikiran bahawa satu gender adalah lebih 'inferior' atau lemah dari yang lainnya.
Ia juga bermaksud mendiskriminasi gender dan tidak mempedulikan soal memelihara maruah dan martabat gender, lelaki atau wanita sekaligus berlawanan dengan Perlembagaan Malaysia.
"Kita bantah kerana penggunaan perkataan 'anak jantan' dan anak betina ini sangat tidak wajar sebab perkataan itu sering dikaitkan dengan binatang dan juga wanita yang tidak baik," katanya.
Menurutnya lagi, biarpun perkara itu dipandang remeh oleh sesetengah pihak, namun apa yang dibimbangi jika dibiarkan, lebih banyak lagi perkataan serupa digunakan di Parlimen.
Sementara itu, Siti Zailah (PAS-Rantau Panjang) menyifatkan kempen 'Budi Bahasa Budaya Kita' yang diwar-warkan kerajaan sebagai gagal apabila menteri sendiri tidak menunjukkan budi bahasa yang baik sewaktu berbahas di Parlimen.
"Kenyataan ini jelas membuktikan kegagalan kempen 'Budi Bahasa Budaya Kita' yang dilaungkan kerajaan. Kerajaan telah menghabiskan berjuta ringgit untuk melaksanakan kempen itu tapi malangnya \menteri sendiri tidak berbudi bahasa walaupun dalam dewan yang mulia," katanya.
Manakala Zuraida Kamarudin (PKR-Ampang) pula melahirkan rasa kecewa kerana Ahli Parlimen Barisan Nasional masih lagi gagal memahami konsep kesetaraan gender dan kenyataan-kenyataan bersifat seksisme.
"Ini menampakkan kelemahan kerajaan apabila ahli parlimen lelakinya masih gagal untuk memamahi konsep ini. Jika perkara semudah ini pun mereka tidak boleh faham, bagaimana rakyat khususnya wanita hendak meletakkan harapan kepada mereka," katanya.

1 comment:

Pacifist said...

salam ziarah dr,semoga segala urusan dipermudahkan