Tuesday, 30 March 2010

Ucapan Junjung kasih Titah YDPA

Akhir-akhir ini Dato YDP, kita dipaparkan dengan berita-berita yang mengejutkan dan sebahagiannya berkenaan dengan perkara-perkara atau insiden-insiden yang mengancam keselamatan negara. Bukan sahaja orang boleh terbang melompat Dato Speaker, enjin jet pejuang juga boleh terbang, juara lawak tahun 2009, Kita juga diberitakan tentang Kementerian Pertahanan dicerobohi sehingga menyebabkan rahsia keselamatan negara bocor malah dikatakan pemberi maklumat berada dalam Kementah sendiri dan ditaja oleh kedutaan tertentu. Ini kenyataan Menteri Pertahanan sendiri. Yang terkini PDRM pula dicerobohi pihak ketiga yang memberi tekanan sehingga menyebabkan KPN mengadu kepada pihak media. Saya kira ini satu SOS dari KPN seperti mana kapten kapal yang hampir karam atau terhempas menghantar distress signal. Saya ingin merakamkan kekecewaan rakyat diatas sikap Menteri Dalam Negeri yang dilihat tidak serius dan tiada “urgency“ dalam menangani isu ini.

Saya memang agak kecewa kerana usul 18(1) saya ditolak dalam kamar, namun sempena Hari Polis ke-203 pada 25 Mac 2010 yang lalu saya  sebagaimana ahli Parlimen Puchong mendesak jawapan yang telus dari menteri untuk memastikan teka-teki dan spekulasi yang berlegar dikalangan masyarakat tentang pencerobohan langsung ke atas sebuah institusi yang sepatutnya paling selamat.

Yang paling menghairankan apabila Menteri Dalam Negeri yang menjaga PDRM menyatakan tidak maklum tentang isu pihak ketiga ini. Kita kesal kerana Menteri dan KPN bermain kata-kata dalam media dan tidak serius untuk duduk berbincang bagi menyelesaikan isu pihak ketiga dalam PDRM yang saya kira Mat Rempit tepi jalan pun tahu ini merupakan ancaman serius kepada keselamatan negara.

Kita mahu menteri DN menyiasat dengan segera dan memaklumkan kepada dewan ini siapakah pihak ketiga ini, apakah arahan-arahan yang telah diberikan dan Pegawai-pegawai Polis yang mana yang telah akur kepada arahan-arahan ini. Kita juga perlu dimaklumkan apakah yang telah berlaku hasil campurtangan pihak ketiga ini serta apakah tindakan-tindakan segera yang telah diambil oleh KDN untuk menangani pencerobohan keselamatan dalam PDRM sendiri.

Apakah mungkin campur tangan pihak ketiga menyebabkan ada pihak polis yang tidak menggunakan pendekatan melalui undang-undang yang sedia ada sebaliknya membuat keputusan sendiri yang tidak selari. Sebagai contoh tindakan Pemangku Ketua Polis Dang Wangi yang membawa berpuluh-puluh FRU menyerbu program sambutan 2 tahun PR di Kelab Sultan Sulaiman Kg. Baru. Sedangkan KSS adalah kawasan persendirian yang berpagar dan ada kawasan yang luas, lebih-lebih lagi KSS adalah tanah milik Kerajaan Negeri Selangor dimana Tan Sri MB sendiri merupakan Presiden Kelab. Alasannya kerana dibuat luar dewan sedangkan dalam penghakiman kes YB Kuala Krai isu ceramah dalam Markaz di Raub/ Rompin jelas menyatakan kawasan persendirian termasuk kawasan yang berpagar. Alasan pemasangan pembesar suara dan skrin besar yang disediakan adalah sangat dangkal kerana seperti yang saya nyatakan tadi KSS mempunyai kawasan yang luas dan sebarang aktiviti dalam kawasan tidak langsung mendapat perhatian orang ramai di luar kawasan KSS.

Tahanan Pelajar Luar Negara diBawah ISA:
Isu seterusnya yg ingin saya sentuh adalah berkenaan penahanan 10 atau 12 orang dibawah ISA dalam Bulan Januari atau secara bkhususnya pada 21 Jan 2010 yg kebanyakannya adalah dari kalangan penuntut2 pasca ijazah di beberapa Universiti di Malaysia. Saya harap Menteri Dalam Negeri memaklumkan secara tepat maklumat orang-orang yang tahan seperti nama, warganegara mana dan apakah yang mereka lakukan di Malaysia seperti pelajar Universiti mana mereka yang ditahan ini. Sudahlah mereka ditahan dan dituduh terlibat dengan aktiviti sunversif, dituduh pengganas dll tuduhan yang berat mereka dinafikan peguam dan dinafikan lawatan keluarga. Bayangkan jika pelajar kita diluar negara ditahan, dituduh militan tanpa bicara apa agaknya tindakan Kerajaan Malaysia.
Setelah mungkin menyedari kesilapan yang dilakukan dan mungkin juga tekanan antara bangsa terutama dari negara asal  tahanan-tahanan tersebut, tiba-tiba mereka dibebaskan dan secepat kilat dihantar pulang tanpa memaklumkan pada keluarga iaitu anak isteri yang masih lagi di Malaysia. Bayangkan seorang isteri ditinggalkan di negara orang dengan anak-anak 4-5 orang, suami pula dihantar pulang, sedangkan mereka masuk Malaysia atas visa pelajar suami. Mereka dibiarkan tanpa pembelaan dan dalam keadaan yang sangat takut dan bimbang, Anak isteri tidak bersalah dan sangat tidak patut mereka dihukum dengan penderaan psikologi, emosi dan tanpa sumber kewangan yang mencukupi untuk tambang balik. Dimanakah sifat tanggungjawab Kerajaan yang memerintah, dimana menteri wanita yang sering dipaparkan di media sebagai sangat prihatin tapi tutup mata dari menyelesaikan isu ini.
Saya bariskan di sini Dosa-dosa UMNO/BN terhadap tangkapan sekumpulan Pelajar Luar Negara Pascasiswazah tersebut :
1- Menuduh mereka sebagai pengganas tanpa peluang membela diri kerana dinafikan peguam.
2- Menafikan hak untuk berjumpa ahli keluarga.
3- Menahan tanpa bicara.
4- Menghantar balik tanpa dimaklumkan pada keluarga.
5- Membiarkan isteri dan anak-anak tanpa pembelaan dan tersadai di negara orang.
6- Melabel mereka dengan label pengganas yang akan menyebabkan mereka menghadapi tindak-balas dari kerajaan mereka sendiri yang mungkin 'bacul' seperti kerajaan Malaysia yang takut kepada tekanan Amerika.
7- Menyebabkan mereka menghadapi tindak-balas antara bangsa kerana telah dicop pengganas.
8- Menyebabkan Malaysia hilang daya tarikan untuk menjadi Hub pendidikan Antara Bangsa dan mungkin juga akan semakin mengurangkan minat pelaburan asing.
Maklumat yang saya ada antara Isteri-isteri tersebut adalah Bashirah isteri kepada Luqman Abdul Salam yang dihantar pulang pada 13 Mac 2010 dan Khalidah isteri kepada Abdul Alhi Bolajoko Uthman yang dihantar pada 14 Mac 2010. Kedua-duanya dihantar pulang ke Nigeria.
Tindakan kerajaan Malaysia yang mempunyai elemen penderaan emosi dan psikologi terhadap isteri mangsa ISA adalah bertentangan dengan Konvensyen Antarabangsa, CEDAW yang menghendaki setiap negara di dunia menghentikan sebarang bentuk penderaan dan keganasan terhadap wanita dan Sudah tentu bertentangan dengan amalan soleh terhadap sesama manusia lebih-lebih lagi orang Islam terutama kaum wanita dan kanak-kanak.
Saya ingin mendapat maklumat lengkap berapa orang dari mereka telah dihantar pulang, tarikh penerbangan dan ke negara mana mereka dihantar balik. Saya mendesak agar Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Luar atau Kementerian Pembangunan, Wanita dan Keluarga agar menanggung sepenuhnya perbelanjaan keluarga yang ditinggalkn juga kos penghantaran balik mereka. Kerajaan hendaklah memohon maaf atas kesilapan menahan suami mereka dan membayar gantirugi pengajian suami mereka yang terhenti disebabkan penangkapan ISA.

Kita ingin mengingatkan Menteri Dalam Negeri bahawa kes penangkapan ini akan menjadi bebanan dan memburukkan lagi imej Malaysia di mata dunia. Malaysia yang selama ini mempromosikan bahawa negara kita adalah destinasi pelancongan dan sebagai hub pendidikan pelajar luar negara khususnya dari negara-negara Timur Tengah telah tercemar dan menakutkan mereka kerana adanya undang-undang drakonian iaitu ISA.

Selepas ini bukan hanya indeks FDI menurun malah FS atau foreign students akan juga menurun kerana mereka berasa takut menjejakkan kaki mereka di bumi Malaysia yang menggerunkan mereka. Kami PR bersama rakyat Malaysia yang waras bukan yang berfikiran songsang seperti beberapa NGO yang membuta-tuli menyokong ISA; menuntut ISA dimansuhkan kerana ISA zalim kepada rakyat Malaysia dan zalim kepada rakyat luar. Paling utama zalim kepada kaum wanita dan kanak-kanak. Katakan tidak kepada ISA dan tidak kepada pindaan ISA.

Pembangunan Kg Baru

Isu seterusnya adalah berkenaan dengan pembangunan Kg Baru. Baru-baru ini Perdana Menteri telah turun dalam program 'walk-about' beliau yang dikatakan sangat terpuji dan sangat popular ke Kg Baru. Walau pun saya tidak langsung dimaklumkan tentang kehadiran YAB dan hanya mendapat maklumat dari orang ramai itu pun setelah berada jauh di Utara tanah air, saya berasa berbangga kerana PM memilih untuk bersarapan pagi di kedai nasi lemak Mak Wanjor yang terletak betul-betul disebelah Pusat Khidmat saya. Namun isunya di sini adalah pembangunan Kg Baru yang begitu bercelaru dan mengelirukan . Setiap pemimpin BN yang berjawatan Menteri WP hinggalah kedua-dua orang PM yang lalu dan yang kini mengeluarkan kenyataan yang berbeza-beza dan adakalanya kontradik antara satu sama lain.

Perdana Menteri menyatakan pembangunan Kg Baru akan mengekalkan pemilikan dan penduduk Kg Baru tidak perlu pun berpindah, tetapi Menteri WP menyatakan akan bayar pampasan hingga RM4juta seorang, akan guna Akta Pengambilan Tanah 1960 dan mengugut pemilik-pemilik supaya akur. Ini semua mengelirukan. Saya dapat maklumat bahawa Kementerian WP sedang rancak mengadakan perbincangan-perbincangan tentang pembangunan Kg Baru bersama beberapa pihak seperti DBKL, beberapa individu , sebuah NGO iaitu PAKAM dan pimpinan UMNO Titiwangsa. Pertamanya saya ingin bertanya sebab orang Kg Baru yang mengundi dan menyokong saya sering bertanya kenapa wakil rakyat yang dipilih rakyat untuk mewakili mereka tidak diturut serta dalam perbincangan yang penting itu. Sejak bila pula NGO PAKAM mewakili pemilik-pemilik aset Kg Baru. Apa dengan izin 'local standi' UMNO Titiwangsa dipanggil dalam mesyuarat terseut.  Adakah aspirasi1 Malaysia PM tidak dihayati oleh Menteri WP sehingga mewujudkan 2 WP dan 2 'standard'.

Namun begitu selaku wakil rakyat yang bertanggung jawab saya mengemukakan beberapa cadangan berkaitan pembangunan Kg Baru seperti dalam kenyataan media saya sebelum ini:

Saya menyeru PM agar memperuntukkan satu Dana Khas seperti peruntukan pembangunan Wilayah Iskandar, ECER dan NCER, tapi kali ini khas untuk pembangunan Kg Baru. Peruntukan ini mesti dikendalikan satu Badan Amanah sebagaimana yang dijanjikan di mana Badan Amanah ini mestilah dianggotai wakil-wakil pemilik dan pewaris dari setiap Kampung yang terdapat di Kg Baru yang sememangnya terdiri dari  kalangan mereka yang pakar dalam pelbagai bidang, DBKL, M.A.S, wakil rakyat dan dari ICU mewakili Kerajaan Pusat; dengan ini penduduk Kg. Baru boleh memberi keyakinan bahawa pembangunan itu adalah demi kepentingan mereka.

Badan Amanah ini akan merancang secara bersama kaedah dan mekanisma pembangunan Kg. Baru dengan mengambil kira kebajikan dan hak pemilik, memastikan pembangunan dimulakan dalam masa yang sewajarnya dan secara berfasa supaya penduduk tidak perlu semuanya dipindahkan, memilih satu konsortium yang akan menjadi “Pemaju” dengan ini memastikan tiada penyelewengan, ketirisan dan kebocoran berlaku dan pemilik akan mendapat manfaat dengan terus memiliki dan menjadi 'stake-holder'.

Isu Keramat Mall:

Dato YDP, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Selangor yang telah berjaya menyelesaikan kemelut Flat PKNS Pusat Bandar Taman Keramat yang bersempadan Parlimen Titiwangsa, dimana pemilik unit flat 2 bilik bersaiz 500 kaki persegi dibayar pampasan RM250,000 dan pemilik 3 bilik dibayar RM350,000. Mari kita bandingkan dengan layanan  Kerajaan Pusat melalui DBKL terhadap 8 orang pemilik sederet rumah kedai 2 tingkat, saya ulangi rumah kedai 2 tingkat dimana aset mereka diambil menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk menambah keluasan Keramat Mall. Sudahlah mereka menjadi mangsa kepada kelemahan perancangan DBKL, pampasan yang ditawarkan kepada mereka adalah lebih kurang RM200,000 untuk sebuah rumah kedai yang jauh lebih tinggi nilainya dari sebuah flat 500 kaki persegi.

Saya berharap Kerajaan Persekutuan akan lebih prihatin pada rakyat seperti mana prihatinnya Kerajaan PR di beberapa negeri.

Berbalik kepada isu Keramat Mall sekali lagi saya mewakili rakyat yang sudah bosan dengan projek-projek sakit sampai bilakah Keramat Mall akan beroperasi. Rakyat juga bertanya berapakah jumlah kos pembinaan keseluruhannya, iaitu dari pembayaran kepada kontraktor pertama hinggalah kepada kontraktor yang menyudahkan pembinaan. Berapa pula kos pembaikan atas kerosakan seperti kebocoran bumbung dan lain-lain serta kos ubah-suai. Kita juga mahukan penjelasan tentang kos penyenggaraan bulanan Keramat Mall yg tidak berpenghuni.

Dato YDP, saya mendapat aduan dari kakitangan bawahan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang tidak berpuas hati dengan Kursus Selama Tiga Bulan Kerja Asas Sosial yang telah dan sedang berjalan.

Untuk makluman semua,bahawa kami kakitangan bawahan agak rasa tertekan dengan adanya kursus tiga bulan ini,dengan tempoh yang terlampau lama ini agak menyukarkan bagi mereka meneruskan tugas harian mereka sebagai pekerja sosial yang mahu berbakti kepada masyarakat. Memang kakitangan ini wajar mengikuti kursus-kursus untuk meningkatkan kemahiran mereka tetapi 3 bulan secara berterusan mungkin agak lama sehingga menyebabkan kebajikan keluarga mereka sendiri terabai, terutama yang telah mempunyai suami atau isteri dan anak-anak. Tambahan pula kursus-kursus seperti ini menambah kos saraan keluarga dan memberi tekanan kepada keluarga yang ditinggalkan.

Pekerja sosial waktu ini secara purata memegang sehingga 200 hingga ke 400 kes dalam suatu masa dan ini juga sebenarnya sudah membebankan dan bertambah-tambah pula kerana terpaksa menanggung kerja rakan mereka yang pergi berkursus selama tiga bulan. Apatah lagi pekerja yang menanggung kerja tidak dapat untuk menuntut elaun menanggung kerja dengan alasan pembantu kebajikan masyarakat   S17 ramai.

Isu seterusnya Dato YDP  ialah tentang Hari Wanita SeDunia yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun di seluruh dunia. Saya percaya ramai wanita Malaysia yang tidak menyedari kerana sering diraikan pada 25 Ogos yang sebenarnya adalah hari penubuhan wanita umno. Itu bukanlah isunya di sini, kerana saya kira ada banyak isu-isu yang perlu diambil kira dalam memperkatakan tentang wanita khususnya wanita Malaysia kini. Kejadian pembuangan bayi, penderaan terhadap kanak-kanak sehingga maut, masalah ragut yang mencedera dan meragut nyawa, jenayah kekerasan rogol dan pemerkosaan terhadap wanita semakin menjadi-jadi dan menakutkan. Wanita sering menjadi mangsa, malah ahli keluarga sendiri boleh menjadi pemangsa.

Kejayaan dan penguasaan wanita dalam dunia pekerjaan juga kini dipersoalkan. Apakah hukum 'merit' tidak terpakai bila melibatkan kaum hawa? Wanita adalah gender yang rajin bekerja, sanggup berkorban dan sedia berkhidmat walaupun ada beberapa pengecualian. Buktinya di Malaysia Pusat-pusat Pengajian Tinggi terpaksa merendahkan markah kemasukan pelajar lelaki bagi menyeimbangkan peratus siswa dan siswi. Namun begitu dalam dunia pekerjaan wanita seringkali menghadapi dilema antara kepentingan karier dengan keutamaan keluarga. Proses mengandung, melahirkan dan menyusukan anak sama mencabar dengan 'dateline' di pejabat. Malangnya proses fitrah ini dipersoalkan, sedangkan proses ini adalah merupakan sebahagian dari sumbangan wanita kepada negara iaitu melahirkan modal insan yang berkualiti. Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Selangor yang telah memberi cuti bersalin 90 hari kepada pekerja wanita seperti juga yang telah lama dipraktikkan oleh Kerajaan Kelantan. Saya yakin langkah yang sama akan diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah dan Pulau Pinang.

Wanita muda sering terperangkap dengan proses biologi dan fitrah ini sehingga menjadi mangsa kepada kejahilan dan nafsu menggila yang tidak terkawal. Maka lahirlah sikecil yang tidak diperlukan dan dibenci. Dibuang di tong-tong sampah, dinyah dalam aliran sungai, ditinggalkan tepi surau dan to'kong, dibakar, dipotong-potong malah dicampak dari tingkat atas flat. Bayi tidak berdosa, yang berdosa adalah ibu dan jangan lupa bayi ini lahir dari benih seorang lelaki yang bernama bapa yang berdosa. Kita sering lupa bahawa setiap bayi yang dicampak, bapanya ada di luar sana. Bapanya mungkin tahu mungkin tidak tahu atau memang tidak mahu ambil tahu. Disini peranan wanita sebagai ibu, sebagai guru penting untuk mengingatkan anak lelaki, pelajar lelaki bahawa setiap benih yang mereka tumpahkan dalam rahim wanita disitu ada kemungkinan akan tumbuh nyawa yang akan menuntut pembelaan.
Para bapa lagi amat penting dan sangat penting untuk menjadi tauladan kepada anak-anak lelaki, mengingatkan mereka tentang kedudukan lelaki yang Allah martabatkan sebagai pelindung dan pemimpin kepada wanita dan zuriat mereka. Kejadian pembuangan bayi yang berleluasa memerlukan pendekatan yang berbeza untuk ditangani. Sudah pasti sistem atau model (sibghah) yang dinukilkan melalui Kalimah Allah yang Maha Pencipta adalah yang terbaik.

Dato YDP saya juga disini ingin mendapat penjelasan mengenai cadangan mengemukakan ke Parlimen satu Bill yang bertajuk Akta Veteran Angkatan Tentera Malaysia. Ramai dikalangan bekas tentera tidak pernah dibawa berbincang, dimaklumkan atau diberi penerangan mengenai isi kandungan Bill yang akan dikemukakan ke Parlimen mungkin pada sesi depan. Saya difahamkan bill ini telah pun berada di pejabat AG. Oleh kerana Bill ini secara eksklusifnya menyentuh mengenai urusan bekas tentera sewajarnya lah mereka dimaklumkan atau diberi penerangan apakah hasrat yang tersirat dan tersurat di dalam cadangan Akta tersebut. Mereka mahu merakamkan kekesalan kerana pandangan mereka tidak diambil kira terlebih dahulu sebelum draf bill itu dikemukakan.

Umno minta bantuan Israel laknatullah

“Surat" Mahathir: "Israel, Tolong Bantu Kami (UMNO)"

"Surat" ini ditandatangani oleh Dr. Mahathir Mohamad, bertarikh 16 Ogos 1999 yakni sebelum Pilihanraya Umum ke-10 (PRU 10) dan ditujukan kepada Perdana Menteri Israel, Ehud Barak.

Meneliti kandungan "surat" tersebut, Mahathir memulakannya dengan mengucapkan tahniah sebagai mewakili UMNO, BN dan kerajaan Malaysia atas kejayaan Barak dilantik sebagai Perdana Menteri Israel.Perenggan kedua "surat" ini menyatakan keikhlasan Mahathir yang berharap agar dapat diaturkan satu pertemuan (antara beliau dengan Barak) melalui Menteri Luar ketika itu,

Syed Hamid Albar dengan David Levy (Menteri Luar Israel) bersempena dengan Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) bagi membincangkan perkara berkaitan pungutan dana untuk parti UMNO dalam persediaannya menghadapi PRU 10.
Secara mudahnya, Mahathir memohon bantuan Israel untuk melobi Presiden Bill Clinton bagi mendapatkan bantuan kewangan untuk membiayai perbelanjaan pilihanraya UMNO!Perenggan ketiga pula menyebut kesediaan Mahathir untuk membenarkan pasukan tentera udara Amerika Syarikat menggunakan tanpa had (unlimited use) kemudahan pengkalan tentera di Malaysia sebagai balasan timbalbalik atas bantuan dana oleh Clinton Fund dalam membiayai perbelanjaan pilihanraya parti UMNO.

Ini adalah surat yang sudah lama berlegar dialam maya tetapi masih tiada jawapan yang konkrit dari kerajaan samada surat ini benar atau palsu. Apa yang diminta disini adalah penjelasan. Jika surat ini benar maka rakyat berhak untuk mempersoalkan tindakan seorang bekas PM yang bercanggah dengan pendirian kerajaan.

Wanita umno ciplak Kami Prihatin

Pada 23 Mac iaitu minggu lepas saya dimaklumkan tentang berita muka depan utusan malaysia tentang kempen kami prihatin wanita umno. Pada keesokan harinya saya dapati lapuran berita yang KPWK telah 'adopt' (dengan izin) kempen Kami Prihatin ini sebagai program kementerian. Saya ingin bertanya adakah Menteri sedar bahawa logo dan motto Kami Prihatin seperti ini telah lama menjadi slogan dan bahan kempen LKKPP dan sebuah lagi NGO yang saya asaskan tetapi tidak mahu saya nyatakan di sini untuk mengelakkan tindakbalas pentadbiran, iaitu sejak tahun 2006 lagi.

Saya mohon supaya wanita umno dan KPWK cukup bermaruah untuk menggunakan slogan atau motto serta logo lain dari Kami Prihatin sebab LKKPP dan NGO yang saya nyatakan tadi sedang dalam proses untuk patent logo dan motto ini.  Jikapun mungkin Kementerian tidak boleh patah balik saya harap agar tidak akan ada apa-apa tindakam selepas ini untuk menghalang LKKPP dan NGO dari terus mengguna Logo dan Motto Kami Prihatin.

Dr Lo'Lo'
29 Mac 2010

No comments: