Wednesday, 28 April 2010

Mari Belajar Cara Australia Jadikan Perpustakaan Milik Masyarakat




BUDAYA membaca sebenarnya adalah satu sikap yang sukar dipupuk walaupun
dalam mana-mana masyarakat sekali pun. Sikap ingin menambah pengetahuan
terutama selepas zaman persekolahan merupakan bukan sesuatu perkara
yang mudah dilaksanakan.

Bagaimanapun, cara Australia memajukan
perpustakaannya dan cara mereka menarik masyarakat mendampingi
perpustakaan sangatlah unik dan wajar diteladani oleh kita semua.

Pengalaman
saya meninjau ke beberapa buah perpustakaan terutamanya perpustakaan
desa di sekitar Victoria, banyak membuka mata saya, bagaimana sistem di
sini memupuk budaya ingin membaca berlaku walaupun tanpa wujudnya
kempen-kempen tertentu.

Perpustakaan awam di Australia didirikan
di setiap daerah, tanpa mengira bilangan populasi setempat. Ini
bermakna walaupun populasi di sesuatu tempat tidak sampai satu ribu
penduduk pun, tetap diadakan sebuah bangunan khusus untuk perpustakaan.

Pengurusan
perpustakaan diletakan di bawah seliaan kewangan perbandaran tempatan.
Yang menariknya, setiap perpustakaan tidak mempunyai sebarang dana
tertentu untuk menjalankan apa jua aktiviti yang direncanakan,
melainkan gaji tetap para pekerja pustakaan tersebut.

Dan untuk
menjadi ahli di mana-mana perpustakaan di sini, tidaklah sesusah di
Malaysia. Keahlian tidak memerlukan sebarang gambar passport ataupun
penjamin, apatahlagi mengisi borang-borang yang menyusahkan.

Secara
tidak langsung, peraturan yang longgar ini dapat manarik minat
masyarakat setempat untuk menjadi ahli perpustakaan. Apatahlagi
peraturan-peraturan yang disediakan cukup mesra pengguna.

Perpustakaan
dibuka untuk kegunaan semua orang, tidak kira sama ada anda merupakan
ahli ataupun bukan. Kelebihan menjadi ahli adalah sekadar untuk
pinjaman dan penggunaan peralatan alatan.

Lebih menarik, bila
anda mendaftar untuk sesebuah perpustakaan awam, secara automatis anda
menjadi ahli untuk kesemua perpustakaan yang terdapat di daerah
tersebut. Anda boleh meminjam sebuah buku di perpustakaan A dan
menghantarnya ke perpustakaan B, menarik bukan?

Tambah teruja,
perkhidmatan penghantaran dan pengambilan buku/video/cd ke rumah
sebagai perkhidmatan tambahan, tanpa dikenakan sebarang caj tertentu.
Maka secara tidak langsung anda tidak ada sebarang alasan untuk tidak
membaca.

Perpustakaan di sini tidak menegah untuk membuat
bising…sesuatu yang pastinya kita tidak akan jumpa di mana-mana
perpustakaan pun di dunia mungkin. Bagi masyarakat Australia,
perpustakaan tidak perlu senyap, kerana bagaimana ilmu dapat disalurkan
tanpa adanya diskusi dan interaksi.

Perpustakaan juga
menyediakan perkhidmatan membantu menyiapkan kerja sekolah - satu
tarikan utama untuk golongan pelajar, untuk datang ke perpustakaan.
Perkhidmatan ini juga disediakan secara percuma.

Aktiviti-aktiviti
yang dijalankan di sini melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa
mengira umur mahupun latarbelakang seseorang. Menariknya, mereka
menggalakkan penggunaan internet, permainan video malah PS (Play
Station) mahupun WII (Nintendo) disediakan - mungkin juga sebagai satu
daya penarik agar golongan muda mengunjungi perpustakaan.

Bayangkan
setiap hari ada sahaja aktiviti dijalankan, dari kelas membaca sehingga
ke kelas komputer, secara tidak langsung mengamit orang untuk datang ke
perpustakaan. Disamping itu setiap persatuan sejarah setempat
diletakkan di bawah seliaan perpustakaan.

Bayi (di bawah umur 2
tahun) juga telah disediakan aktiviti tertentu, agar dapat dipupuk dari
awal sikap ingin tahu, budaya membaca dan budaya bersosial.

Kesimpulannya,
semua ini secara tidak langsung melibatkan masyarakat setempat, dalam
berkongsi pengalaman dan menyalurkan ilmu kepada yang lain. Setiap
aktiviti bukan sahaja dijayakan oleh perpustakawan malah para
sukarelawan yang tidak dibayar, bersama-sama mengemblengkan tenaga
untuk menjayakan sesuatu aktiviti.

Duit mahupun dana bukan
penghalang untuk melaksanakan sesuatu aktiviti. Masyarakat setempat
tidak memerlukan makanan percuma untuk hadir sesuatu aktiviti, mahupun
t-shirt tanda kenangan ataupun sijil kehadiran.

Pengguna
perpustakaan amat dahagakan ilmu, bukannya cenderahati. Penceramah juga
tidak menuntut sebarang saguhati atau honorari, kerana kesedaran
tanggungjawab sosial yang tinggi.

Perpustakaan bukan sekadar
tempat lambakan buku, ia dijadikan tempat tumpuan setempat. Tempat
perbincangan dan tempat untuk berkongsi pengalaman. Pendek kata
perpustakaan janganlah terlampau menakut-nakutkan pengguna, dengan
peraturan-peraturan yang rigid.

Ilmu janganlah dijadikan
terlampau eksklusif hanya untuk golongan tertentu sahaja dan janganlah
sama sekali kita menjadikan duit sebagai penghalang untuk maju ataupun
melakukan sebarang aktiviti-aktiviti.

DR AHMAD
ZAHARUDDIN SANI merupakan Honarary Visiting Academician di University
of Melbourne. Beliau boleh dihubungi menerusi email asani@unimelb.edu.au

1 comment:

Anonymous said...

I like this idea. Sebuah entri yang bernas untuk memandaikan bangsa. Mudah-mudahan apabiala PR memegang tampuk kekuasaan Malaysia nanti, setiap bandar besar atau kecil mempunyai perpustakaan yang dipenuhi dengan buku yang bermutu dalam berbagai bidang. Pembinaan bangunan dan perolehan buku sudah tentunya terhindar dari gejala rasuah.