Friday 6 August 2010

 

 

 

Kampung Baru: MB Selangor bentang model pembangunan Ahad ini

KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Baru, Ahad ini bagi membentangkan model cadangan pembangunan semula penempatan warisan orang Melayu itu.

Kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Selangor berkata, pertemuan itu ditaja bersama Pejabat Menteri Besar dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), dan akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman.
“Model pembangunan semula Kampung Baru yang akan dibentangkan ini mengekalkan hak milik tanah kepada orang Melayu tetapi pada masa yang sama pemilik tanah mendapat manfaat dari hasil pembangunan bagi tujuan komersial.
“Cadangan pembangunan semula Kampung baru ini mengambil kira semua isu yang terlibat terutama hak milik kekal orang Melayu, masalah pembahagian tanah serta membina pembangunan yang setaraf dengan kawasan yang berdekatan,” katanya.
Khalid (gambar) memberikan alternatif kepada cadangan kerajaan persekutuan Jun lalu.
Kenyataan itu menambah, cadangan ini telah dibuat 15 tahun lalu atas permintaan kerajaan pusat ketika itu, akan dibentangkan semula tetapi dengan ditambah baik mengikut keperluan semasa dan perubahan persekitaran.
Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) telah dimaklumkan mengenai taklimat ini dan mereka dijemput menghadirinya, tambah kenyataan itu.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’lo Ghazali turut dijemput dijemput bagi menyampaikan taklimat itu, kata kenyataan tersebut dikeluarkan pagi ini.
“Pembangunan semula ini masih di peringkat cadangan dan perlu mendapat persetujuan penduduk Kampung Baru.
“Kerajaan Selangor berpendirian bahawa pemilik tanah Kampung Baru patut diberi hak untuk membuat pilihan yang terbaik untuk mereka dan generasi akan datang,” katanya lagi.
Pada 2 Ogos lalu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Raja Datuk Nong Chik Raja Zainal Abidin yang mewakili inisiatif kerajaan persekutuan memberitahu, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang berfungi sebagai perancang dan pengawal selia pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur dijangka beroperasi tahun depan.
Rang undang-undang penubuhan perbadanan itu dijangka dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.
Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang meliputi tujuh buah kampung adalah seluas 90.2 hektar dan berusia 110 tahun. Ia kini mempunyai 35,000 penduduk.
Raja Nong Chik berkata selain Perbadanan Kampung Baru, turut akan ditubuhkan ialah Pemaju Pembangunan Kampung Baru yang akan menyedia dana dan melaksanakan pembangunan fizikal di kawasan tersebut.
Beliau berkata dua syarikat berkaitan kerajaan iaitu Permodalan Hartanah Berhad dan Lembaga Tabung Haji telah menyatakan persetujuan untuk membangunkan Kampung Baru


Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

No comments: