Tuesday, 3 August 2010

Menteri Hal Ehwal Agama Islam bersekongkol dengan UMNO mencemar institusi masjid dengan politik sempit mereka

Semalam Isnin 1 Ogos 2010 antara waktu Maghrib dan Isya satu majlis Bicara Pemimpin Bersama Rakyat dan Sumbangan kepada Masjid-masjid dan Surau-surau Zon 3 untuk Ramadhan telah diadakan di Masjid Alam Shah anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan JAWI, UMNO bahagian Cheras dan UMNO bahagian Titiwangsa.


Majlis tersebut diisi dengan program Tazkirah Maghrib oleh Syed Amru Ketua Biro Agama Pemuda UMNO Bahagian Cheras yang juga dikatakan AJK Masjid Alam Shah yang baru dilantik. Selepas solat Isya yang diimamkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom majlis diisi dengan ucapan-ucapan oleh Ketua UMNO Cheras, Pemangku Ketua UMNO Titiwangsa dan Senator Menteri.

Juruacara, pimpinan UMNO dan Menteri langsung tidak menyebut atau mengalu-ngalukan kehadiran Wakil Rakyat Titiwangsa walau pun mereka maklum kerana Ketua Pengarah JAWI telah sedia dimaklumkan. Majlis ini dianjurkan JAWI, sudah pasti menggunakan dana JAWI, sumbangan-sumbangan juga dari peruntukan JAWI tetapi UMNO yang menguasai dari awal hingga akhir.

Menurut Ketua Pengarah JAWI Datuk Che Mat beliau yang membenarkan UMNO hadir dan menjadi penganjur bersama atas kapasiti beliau sebagai Ketua Penarah JAWI. Apabila saya mencadangkan untuk PAS bekerjasama dengan JAWI untuk program-program selepas ini, beliau menyatakan boleh buat permohonan. Setelah mungkin menyedari implikasi dari jawapan tersebut beliau terus menyatakan kena fikir dua tiga kali kerana PAS bukan kerajaan. Saya menyatakan disini UMNO bukannya terlibat sebagai kerajaan tetapi sebagai parti politik sedangkan JAWI dan Jabatan-Jabatan Agama Islam seluruhnya melarang aktiviti politik dalam masjid, beliau menyatakan beliau sendiri yang menjemput UMNO hadir dan turut terlibat.



Saya difahamkan Senator Menteri telah turun ke lima Zon dalam WP untuk proram-program yang sama dan dikatakan setiap program tersebut secara langsung melibatkan sekurang-kurangnya 2 bahagian UMNO yang terletak dalam zon tersebut. Zon 3 yang melibatkan Cheras dan TW adalah zon terakhir yang dikunjungi Menteri dengan anjuran JAWI

Sebagai Wakil Rakyat saya disini merakamkan kekesalan diatas sikap 'double-standard' pihak Menteri yang memperalatkan JAWI untuk meluaskan pengaruh politik UMNO/BN yang telah ditolak rakyat di WP khususnya di Kuala Lumpur. Menteri yang dilantik langsung tidak memperdulikan etika dan profesionalisma pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Pusat sehingga tidak memperdulikan larangan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung untuk tidak mempolitikkan institusi Masjid dan Surau. Malah Menteri secara sedar mengheret JAWI sebagai sebuah jabatan kerajaan dalam kemelut ini.

Saya juga menyelar pihak UMNO khususnya UMNO Bahagian Cheras dan Titiwangsa yang kelihatan sangat tidak berupaya, lemah dan tiada kredibiliti sehingga terpaksa menempek kepada agensi-agensi kerajaan seperti JAWI dan DBKL untuk mengadakan program-program. Ini bukanlah kali pertama UMNO bersikap bacul seperti ini di WP khususnya TW dan seluruh Malaysia malah kelihatan semakin terdesak dan tersepit dengan bertambahnya sokongan rakyat berbilang kaum kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Saya juga menyeru pihak Menteri supaya bersikap lebih adil dan berintegriti kerana beliau bukanlah Menteri kepada orang UMNO sahaja tetapi Menteri yang dilantik Perdana Menteri untuk menjaga Hal Ehwal Agama Islam semua orang Islam di Malaysia. Sikap memihak dan mengenepikan wakil rakyat-wakil rakyat yang dipilih secara sah oleh rakyat; menyerlahkan sikap hipokrit terutama apabila bercakap isu perpaduan umat Islam Malaysia dan hasrat 1Malaysia Perdana Menteri. Sepatutnya Menteri yang berpendidikan agama menunjukkan perbezaan yang boleh dicontohi oleh menteri-menteri lain yang tiada latar belakang pendidikan agama Islam dengan melibatkan semua pihak yang berlainan latar belakang dan kecenderungan politik serta menghormati pilihan rakyat, barulah rakyat melihat kesungguhan menteri membawa aspirasi perpaduan.

Menteri hendaklah menyatakan kekesalan kerana telah melakukan kesalahan yang sangat serius dengan menyalahi titah perintah DYMM Yang DiPertuan Agung yang melarang mempolitikkan institusi Masjid dan Surau. Setiap penglibatan dengan Masjid dan Surau hendaklah atas kapasiti jawatan dalam kerajaan atau NGO yang berdaftar.

Saya percaya semua tindakan-tindakan Menteri memperalatkan agensi dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan serta membiarkan UMNO mencemarkan institusi masjid dan surau diperhatikan oleh rakyat yang semakin pandai menilai dan insyaAllah akan menatijahkan lebih sokongan terhadap PAS dan Pakatan Rakyat hingga akhirnya menolak kebobrokan UMNO dan BN dalam PRU 13 nanti.




Dr Lo'Lo' bt Datuk Hj Mohd Ghazali

Ahli Parlimen Titiwangsa

Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

1 comment:

Anonymous said...

YB boleh kah semua YB-YB Muslim Pakatan Rakyat bergembleng tenaga untuk wujudkan satu PUSAT/YAYASAN untuk Anak-anak YAtim??

Ini kerana sedih saya tengok orang persendirian menubuhkan pusat jagaan anak2 yatim dgn pendapatan sendiri dan ehsan orang ramai.. apa guna PUZAT ZAKAT dan BAITULMAL?? Kenapa tak gunakan kutipan ZAKAT dan SEDEKAH ,WAKAF untuk membina satu PUSAT/YAYASAN Anak-Anak YAtim di satu tempat yang boleh menampung sekurang-kurangnya 5,000 orang berserta dengan sekolah??

Pada pendapat saya,YB-YB Muslim di semua kerajaan pakatan rakyat mampu melakukannya,kenapa tidak kan.

YB-YB boleh mengerakkan kutipan derma(sedekah/wakaf) daripada semua ahli-ahli PAS,PKR dan DAP Muslim yang MEMATUHI AJARAN ALLAH dan yang sememangnya MENEGAKKAN KEADILAN dan KEBAJIKAN untuk membantu untuk mencapai matlamat tersebut.

Saya rasa dengan ini tak perlu berkempen teruk-teruk,rakyat akan terus mengundi PR..

Wassalam..

p/s: harap dapat dengar CADANGAN ini dimajukan di MESYUARAT PAS,PKR atau DUN.