Friday 26 November 2010

Alhamdulillah, kebangkitan anak-anak Kg Baru menyedarkan Nong Chik

Putrajaya setuju temui pemilik Kg Baru sebelum bentang akta baru


Oleh Syed Mu’az Syed PutraNovember 25, 2010



Raja Nong Chik berkata rang undang-undang tersebut akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat semasa. — gambar failKUALA LUMPUR, 25 Nov — Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru berkata pihaknya dimaklumkan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru akan dibentangkan terlebih dahulu kepada pemilik dan pewaris tanah kawasan itu dalam masa terdekat sebelum dibawa ke Parlimen bulan depan.



Menurut Setiausaha Agung MAS Shamsuri Suradi, pihaknya telah dipanggil Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar minggu lalu bagi membincangkan mengenai rang undang-undang itu.



Dalam pertemuan itu, Shamsuri berkata pihak kementerian telah bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan pemilik dan pewaris tanah bagi memaklumkan butiran rang undang-undang tersebut sebelum dibentangkan Parlimen.



“Kita sebelum ini telah dipanggil oleh pihak kementerian dan dalam pertemuan itu, kita minta supaya rang undang-undang itu dibentangkan dulu kepada penduduk sebelum dibawa ke Parlimen.



“Jadi, kementerian bersetuju dengan permohonan kita, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat.



“Pihak MAS akan membantu menjayakan pertemuan itu dan kita sedang menguruskan lokasi pertemuan itu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.



Kelmarin, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mencabar Putrajaya membentangkan rang undang-undang tersebut kepada pemilik dan pewaris tanah sebelum dibawa ke Parlimen.



Beliau berkata, rang undang-undang tersebut tidak boleh dibentangkan di Parlimen tanpa mendapat persetujuan pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru terlebih dahulu.



Justeru, beliau mahu Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin memaklumkan butiran kepada penduduk sebelum dibahaskan di Parlimen, di mana perbadanan itu dijangka mula beroperasi tahun depan.



“Saya nak tanya kepada beliau (Raja Nong Chik) kenapa takut sangat nak bentangkan rang undang-undang (Perbadanan Pembangunan Kampung Baru) ini kepada penduduk di Kampung Baru?



“Apa yang hendak disembunyikan sehingga tidak mahu bentangkan kepada penduduk dulu?” kata beliau.



Shamsuri berkata, pertemuan itu akan melibatkan kesemua tujuh kampung di Kampung Baru.



“Pihak kementerian itu juga akan bentangkan rang undang-undang itu kepada kesemua penduduk tujuh kampung di Kampung Baru.



“Kita tidak tahu apa yang penduduk akan katakan dalam pertemuan itu, tapi apa-apa keputusan pun ia mesti mendapat respon daripada penduduk terlebih dahulu.



“Pemimpin perlu datang jumpa penduduk untuk mendapatkan persetujuan, jadi bila kementerian bersetuju ia adalah satu perkara yang baik,” katanya.



Tambahnya, MAS akan bertindak telus dalam perkara itu dan tidak akan menyebelahi mana-mana pihak.



“Mungkin ada yang tidak setuju dengan rang undang-undang itu, mungkin ada yang mahu memberikan cadangan lain. Ia bergantung apa yang akan dibentangkan nanti kerana kita tidak boleh jamin 100 peratus yang akan bersetuju.



“Pendirian MAS dalam perkara ini adalah kita tidak akan menyebelahi mana-mana pihak, mana yang terbaik untuk rakyat kita akan terima. Kita bukan prokerajaan atau antikerajaan,” katanya.



Raja Nong Chik sebelum ini berkata, Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru akan dibentangkan di Parlimen pada sesi Dewan Rakyat semasa.



Beliau berkata draf rang undang-undang itu telah diserah kepada kepada Jabatan Peguam Negara untuk diperhalusi sebelum dibentangkan.



Raja Nong Chik berkata, antara intipati draf ialah perbadanan itu dijadikan badan pengawal dan penyelaras terhadap pembanguan Kampung Baru dan ia akan beroperasi tahun depan.



“Perbadanan berfungsi untuk mempertahankan ciri-ciri Melayu termasuk penglibatan pemilik dan pewaris dalam peringkat lembaga pengarah dan lembaga penasihat,” katanya.



Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berusia 110 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar. Kawasan itu kini didiami sekitar 35,000 orang.



Isu Kampung Baru telah berlarutan sejak beberapa lama apabila kerajaan Umno Barisan Nasional, Pakatan Rakyat yang menguasai Selangor serta beberapa pihak swasta masih tidak mendapat persetujuan mengenai corak pembangunan dengan pemilik dan penduduk penempatan Melayu terbesar di Kuala Lumpur ini.



Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

No comments: