Wednesday 24 November 2010

Apa nak disembunyikan pada penduduk Kg Baru

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mahu Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin membentangkan cadangan Rang Undang-Undang Penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru kepada penduduk terlebih dahulu sebelum ianya dibentangkan di Parlimen.


Mahfuz berkata, selagi cadangan rang undang-undang itu tidak mendapat persetujuan penduduk Kampung Baru, Nong Chik tidak berhak membentangkannya di Parlimen.



“Saya nak tanya kerajaan khususnya Datuk Raja Nong Chik, apa yang nak takut sangat nak bentang cadangan rang undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru ini kepada penduduk-penduduk? Apa yang nak disembunyikan daripada penduduk-penduduk?



“Selagi mana pandangan daripada penduruk Kampung Baru tidak diterima, selagi itu mereka tidak berhak untuk bentang satu rang undang-undang baru mengenai Kampung Baru. Ini bukan tanah mak bapak dia,” kata beliau ketika berucap di majlis ceramah umum Penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru - Rampasan atau Pembelaan di Kelab Sultan Sulaiman, malam tadi.



Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menegaskan, ahli ParlimenPakatan Rakyat tetap berpendirian menolak rang undang-undang itu selagi kerajaan berkeras tidak mahu menerima pandangan penduduk.



“Komitmen kami sebagai ahli Parlimen Pakatan Rakyat, kami akan tolak rang undang-undang ini kecuali kalau penduduk Kampung Baru bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan, dan kerajaan bersedia mengubah syarat-syarat mengikut permintaan mereka,” katanya.



Turut berucap di majlis yang dihadiri lebih 200 penduduk itu ialah ahli Parlimen Batu, Tian Chua, ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan peguam, Hanipa Maidin.



Tian Chua dalam ucapannya berkata, Kerajaan Persekutuan telah menafikan hak Kerajaan Selangor terhadap Kampung Baru sedangkan tanah Kampung Baru adalah anugerah Sultan Selangor kepada masyarakat Melayu di Kuala Lumpur.



“Tidak wajar Kerajaan Persekutuan menafikan hak Kerajaan Selangor untuk ambil tahu hal Kampung Baru.



“Kerajaan memang buta sejarah, buta undang-undang dan yang mereka nampak hanya wang tanpa memikirkan untuk mempertahankan Kampung Tradisi Melayu.



“Isu kampung Baru ini bukan isu penduduk sahaja, bukan isu orang Melayu, tapi isu nasional yang berpunca daripada Umno, parti orang Melayu yang ingin meminggirkan orang Melayu sendiri,” katanya yang juga Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR).



Sementara itu, Nurul Izzah mendakwa, usaha membangunkan semula Kampung Baru itu menunjukkan kegagalan dasar kerajaan yang memberi kesan kepada ekonomi penduduk kawasan itu.



“Isu pembangunan semula Kampung Baru ini timbul adalah berpunca daripada kegagalan Kampung Baru dari segi ekonomi bangsa kerana dasar-dasar kerajaan sebelumnya.



“Kalau kita lihat di sekeliling Kampung Baru, adanya bangunan pencakar langit tapi di tengah-tengahnya masih terdapat kawasan yang tidak dibangunkan dalam erti kata yang sebenar.



“Ini juga berpunca daripada ketidaktelusan kerajaan dalam menguruskan tanah rezab Orang Melayu, sebaliknya hanya meahu membangunkannya kerana memikirkan keuntungan,” katanya.



Hanipa Maidin pula mempersoal tindakan kerajaan ingin mengawal selia Kampung Baru sedangkan mereka sendiri tidak bersedia untuk dikawal selia.



Katanya, tidak ada satu jaminan bahawa kerajaan akan telus dalam memastikan perbadanan Kampung Baru digunakan untuk kepentingan penduduk semata-mata.



“Penduduk Kampung Baru menentang Perbadanan Kampung Baru bukan menentang pembangunan tapi apa yang kita khuatir adalah sejarah yang dibuktikan Barisan Nasional yang berjanji kepada rakyat tetapi selalunya janji yang bohong.



“Sebab Menteri Wilayah mengatakan perbadanan ini untuk kawal selia Kampung Baru tapi persoalannya siapa pula yang nak kawal selia kerajaan?



“Kalau perbadanan ini lari dari hasrat, apa kita nak buat sedangkan kerajaan selalu menutup pintu untuk kita membawa perkara sebegini ke mahkamah,” katanya.



Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru dijangka dibentangkan di Parlimen pada bulan hadapan setelah Kabinet bersetuju untuk melaksanakan konsep pembangunan semula Kampung Baru secara komprehensif.











Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

No comments: