Thursday 16 December 2010

ENAKMEN MAS DAN LEMBAGA MAS DIBUBARKAN - HAKMILIK MELAYU DI KAMPUNG BARU SEMAKIN TERANCAM

PAS Wilayah Persekutuan kesal dengan hasrat Kerajaan untuk memansuh dan membubarkan Enekmen Malay Agricultural Settlement (MAS) dan Lembaga Pengurusan Petempatan Pertanian Melayu (Lembaga MAS) apabila Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2010 dikuatkuasakan kelak. Rang Undang-undang Akta tersebut telahpun dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen pada hari Selasa lalu oleh Datuk Raja Nong Chik, Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Rang Undang-undang tersebut akan dibahaskan pada sesi Parlimen bulan Mac akan datang..

Seksyen 57(1) dan (2) Rang Undang-undang tersebut secara jelas menyatakan berkenaan pembatalan dan pembubaran Enakmen dan Lembaga MAS tersebut dan perkara ini mempunyai implikasi yang sangat besar terhadap survival pemilikan hartanah orang-orang Melayu di Kampung Baru. Ini kerana Kaedah-kaedah yang digariskan di bawah Enekmen MAS tersebut secara jelas memperuntukkan bahawa hartanah di Kampung Baru hanya boleh dimiliki dan dipindahmilik oleh orang-orang Melayu sahaja.


Apa yang dibimbangi ialah dengan pemansuhan tersebut, tidak ada jaminan lagi hartanah Kampung Baru akan terus kekal seratus-peratus milik orang-orang Melayu di masa akan datang. Tambahan pula, tafsiran “kepentingan orang Melayu” yang dimaksudkan dalam Akta tersebut hanya merujuk kepada budaya, adat resam dan seni bina bangunan masyarakat Melayu sahaja dan tidak secara jelas menyatakan berkenaan pemilikan hartanah mesti kekal di tangan orang Melayu. Ini diperkuatkan lagi dengan Fungsi Perbadanan yang dinyatakan di bawah Seksyen 14 Akta tersebut bahawa Perbadanan boleh berurusan dengan “mana-mana orang” untuk mengurus serta memindahmilik dan melupuskan aset Kampung Baru. Kesudahannya, jika Rang Undang-undang ini diluluskan kelak, maka milikan hartanah orang Melayu di Kampung Baru akan terancam dan tidak ada jaminan ia akan terus kekal.


Pembubaran Lembaga MAS juga merupakan satu tindakan yang langsung tidak menghormati badan tersebut yang telah berkhidmat lebih satu abad lamanya dan terus berkhidmat untuk penduduk Kampung Baru sehingga kini. Tindakan Kerajaan tersebut bukan sahaja membelakangkan penduduk Kampung Baru, malah ia menafikan langsung suara dan penglibatan wakil-wakil penduduk dalam proses pembangunan tanah dan masa depan mereka sendiri. UMNO jelas sekali lagi mengkhianati amanah untuk menjaga survival dan milikan tanah orang-orang Melayu di negara ini. Selepas tanah-tanah rezab orang Melayu semakin hari semakin mengecil jumlahnya, kini kampung-kampung tradisi dan warisan orang Melayu pula cuba diintai oleh tauke-tauke elit yang mendambakan keuntungan maksima di kawasan segitiga emas bandaraya Kuala Lumpur ini.


Cadangan penubuhan Majlis Penasihat di bawah Seksyen 19 Akta tersebut yang diwakili oleh lima belas orang wakil masyarakat Kampung Baru pula sekadar melepaskan batuk di tangga dan jelas menampakkan ketidakjujuran dan ketidaktelusan Kerajaan. Ini kerana Akta tersebut menyatakan dengan jelas bahawa Kerajaan tidak terikat untuk mengikut apa-apa,nasihat daripada wakil-wakil penduduk Kampung Baru tersebut. Oleh itu, peranan Majlis Penasihat tersebut hanya sebagai gimik politik semata-mata dan jelas tidak relevan langsung di kacamata Kerajaan.


PAS Wilayah Persekutuan mengulangi pendirian membantah penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu tersebut dan menyokong penuh saranan Ahli Parlimen Titiwangsa, YB Dr Lo’Lo’ Bt. Dato’ Hj Mohd Ghazali untuk menubuhkan Badan Amanah yang diwakili oleh wakil-wakil penduduk Kampung Baru dan mereka yang berkepentingan langsung dalam pembangunan Kampung Baru tersebut. Proses pembangunan Kampung Baru perlulah dilakukan dengan telus dan mengikut pandangan dan suara hati anak-anak Kampung Baru sendiri.





AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI

Penasihat Undang-Undang

PAS Wilayah Persekutuan


Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

No comments: