Wednesday 3 August 2011

SPKB AKAN MENERUSKAN PERJUANGAN DR LO'LO' MEMBELA NASIB PEMILIK DAN PERWARIS TANAH KG BHARU



Sekretariat Pembangunan Kampung Bharu (SPKB) dengan ini menyatakan bahawa kami akan meneruskan perjuangan Allahyarhamuha YB Dr. Lo'lo',bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, untuk membela nasib pemilik dan
perwaris tanah Kg Bharu.

SPKB adalah sebuah unit yang ditubuhkan di bawah Pusat Khidmat Masyarakat Wakil Rakyat Titiwangsa. SPKB adalah terdiri daripada pemilik tanah, pakar undang-undang, profesional, dan aktivis
masyarakat yang selama ini memberikan sokongan kepakaran dan tenaga kepada Allahyarhamuha YB Dr Lo'lo' untuk memastikan keadilan tertegak dalam usaha untuk membangunkan tanah Kg Bharu. SPKB akan terus wujud selepas pemergian arwah untuk memastikan harapan beliau dan rakyat tercapai.

Selari dengan hasrat rakyat, SPKB menuntut agar Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg Bharu 2010 (RUU PPKB) dimansuhkan. SPKB ingin menegaskan bahawa apa sahaja cadangan pembangunan Kg Baruselepas ini mestilah dilakukan secara telus dan jujur dengan pemilik dan perwaris tanah selepas meminta pendapat, mengambil kira pandangan, dan mendapatkan persetujuan mereka sebelum dikemukakan di Parlimen.

SPKB akan meneruskan program-program penerangan dan turun padang untuk menjelaskan kepada semua penduduk, perwaris dan pemilik tanah tentang cadangan pindaan kpd RUU PPKB yg dicadangkan kerajaan baru-baru ini.

SPKB berpendapat bahawa cadangan pindaan tersebut sangat mengelirukan kerana ia tidak mengubah langsung RUU PPKB yang telahpun dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen pada 17 Disember 2010 yang lalu.Penduduk Kg Bharu harus diberikan pemahaman yang jelas tentang perkara ini.

Allahyarhamuha YB Dr Lo'lo' telah berjuang sepanjang hayat beliau sehingga ke detik yang terakhir. Pengorbanan beliau adalah untuk rakyat dan perjuangan beliau akan diteruskan. SPKB mengajak semua
pihak untuk mendoakan agar Allah memberikan sebaik-baik ganjaran kepada arwah dengan rahmatNya. Al-Fatihah.

AHMAD ZAMRI ASA'AD KHUZAIMI
Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kg Bharu (SPKB)
Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Wakil Rakyat Titiwangsa
Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

No comments: