Thursday, 29 May 2008

Lo' Lo' beri perhatian terhadap nasib peniaga Kampung Baru

Intan Abdullah Wed | May 28, 08 | 4:00:38 pm MYT

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) - Perihal nasib peniaga di pasar Kampung Baru yang tidak berkesudahan sebelum ini mendapat perhatian Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali (PAS-Titiwangsa).

Menurutnya, para peniaga pasar minggu Kampung Baru itu telah mula menjalankan perniagaan di Jalan Pekin yang kini dikenali sebagai Jalan Raja Alang sejak tahun 1960-an telah dipindahkan ke tapak pasar malam Kampung Baru yang pada ketika itu ditadbir oleh Malaysian Agriculture Settlement (MAS).

"Malangnya, pada tahun 1990-an yang lalu, pasar tersebut mengalami kebakaran secara besar-besaran dan ia tidak dibangunkan semula menyebabkan peniaga tidak boleh berniaga di pasar tersebut," ujarnya selepas ditemui Harakahdaily di Lobi Parlimen sempena sidang dewan rakyat hari ini.

Jelasnya, hal demikian mengakibatkan mereka terpaksa menjalankan aktiviti perniagaan di bahu-bahu jalan kerana tiada sesiapa yang mahu masuk ke dalam pasar tersebut.

Pada masa sama ujarnya, terdapat sebahagian daripada pemilik asal tapak perniagaan di pasar tersebut juga telah menyewakan premis perniagaan mereka kepada pendatang asing.

"Saya dimaklumkan bahwa tapak pasar di sana adalah di bawah kelolaan PKNS walaupun sebelum ini peniaga tidak membayar cukai atau yuran kepada PKNS," katanya.

Walau bagaimanapun ujarnya lagi, peniaga ini tidak memiliki 'legal procedure' (sepatutnya legal document) kerana kelemahan pentadbiran pihak PKNS terdahulu dalam menguruskan masalah ini.

"Peniaga-peniaga ini juga tidak mengambil berat mengenai hak-hak mereka dalam isu pemilikan tapak perniagaan di pasar Kampung Baru," ujarnya lagi.

Lo' Lo' yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pusat telah dimaklumkan bahawa PKNS telah menjual pemilikan pasar tersebut kepada DBKL.

"Jadi, DBKL telah menganggap tapak pasar itu sebagai hak milik mereka," katanya lagi.

Apatah lagi katanya apabila pemilik asal premis perniagaan tersebut tidak berusaha untuk diberi pengesahan terhadap pemilikan tanah tersebut selama ini.

"Setelah menjalani pemeriksaan di Pejabat Tanah, saya mendapati tapak pasar tersebut masih berada di bawah hak milik PKNS meskipun ia telah dijual kepada DBKL.

"Sampai sekarang saya tidak dapat berjumpa dengan ketua Pengarah DBKL tetapi hanya dapat bertemu dengan Menteri Besar Selangor yang berminat untuk membantu menyelesaikan masalah ini," ujarnya lagi. - mns

1 comment:

BELIA PASAR MINGGU said...

TERIM KASIH YB DR. LO' LO DI HARAP DAPAT MEMBANTU PENDUDUK DAN PENIAGA PASAR MINGGU