Friday, 8 August 2008

Perbincangan dengan Pewaris dan Pemilik Tanah Kg. Baru

Oleh: YB Dr. Lo’lo’ binti Dato’ hj. Mohamad Ghazali

Pada 3 Ogos 2008 yang lalu satu sejarah telah tercipta dimana hampir 300 orang Pewaris dan Pemilik Tanah Kg. Baru telah hadir, mendengar dan berkongsi pendapat serta pandangan bersama-sama YAB Tan Sri Dato Abd Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor tentang hala-tuju pembangunan Kg Baru khususnya Deraf Kg Baru 2020 . Perjumpaan tersebut adalah anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Titiwangsa yang diadakan di tanah Selangor iaitu di Kelab Sultan Sulaiman dimana turut melibatkan Prof Datuk Dr Nik Mohd Zain b Mohd Yusof, Ir Tuan haji Mohd Nor mewakili panel perunding PKWR dan anak Kg Baru serta Peguam Zamri b As’ad Kuzaimi.Idea untuk membawa turun YAB tercetus setelah dimaklumkan bahawa enakmen tanah MAS (Malay Agriculture Settlement) di Kg baru masih berkuat-kuasa kerana tidak pernah dimansuhkan meskipun Kg Baru telah diserahkan kepada WP pada 1974 dan berada dibawah ‘Federal Territorial Planning Act’. Apatah lagi mengikut enakmen tersebut MB Selangor selayaknya menjadi Yang Di Pertua MAS. Uniknya tanah MAS ini kerana dijamin hak miliknya kepada orang Melayu selama-lamanya malah dalam enakmen tersebut termaktub peraturan yang melarang kaum lain dari orang Melayu memiliki tanah disini malah melarang dari bermalam di tanah Kg Baru.

Tambahan pula ‘mood’ pemilik dan pewaris yang mencurigai orng luar yang didapati cuba untuk membangunkan KgBaru lalu mengenepikan pandangan, kehendak dan sensitiviti malah mungkin akan mengambil tanah-tanah mereka. Pengalaman lalu mengajar mereka lebih berhati-hati dan kurang mempercayai pihak2 yang dirasakan ada kepentingan sampingan terutama melaba keuntungan. Paling membimbangkan pemilikan mereka akan terhakis, pampasan tidak seberapa yang ada hanyalah sekeping sijil saham yang entah laku entah tidak 10-15 tahun akan datang. Angka 20:80 yang diumumkan oleh Gabem menyemarakkan lagi kecurigaan mereka.

Alhamdulillah dengan jemputan dari PKWR pemilik dan pewaris datang secara sukarela dan memberi respon yang sangat positif. Saya sendiri selaku Ahli Parlimen telah memberi ucapan alu-aluan yang saya ungkapkan langsung dari hati. Teks ucapan terpaksa saya ketepikan kerana teks tersebut menyebut banyak tentang peranan MAS, malangnya tidak ada seorang pun wakil MAS yang berani menghadirkan diri meskipun peringkat awal begitu beriya2 menyokong usaha majlis tersebut. Walau bagaimana pun majlis berjalan lancar. YAB MB berucap dan antara penekanan beliau ialah pertama kena pastikan kepentingan dan hak milik orang Melayu Kg Baru terbela. Kedua nilai tanah di Kg Baru akan menjadi lebih bernilai jika pembangunan itu melibatkan seluruh 225 ekar tanah MAS dan bukan secara tanah individu. Ketiga yang paling penting tidak ada campur tangan politik dan tidak ada kumpulan/gabungan yang cuba menangguk keuntungan peribadi. Selepas selesai YAB MB berucap, dalam sesi dialog ada 23 soalan dikemukan. Ada juga yang tidak mampu bercakap meskipun telah mendaftar untuk menyoal kerana begitu emosional.Perbincangan yang kadangkala panas, kadangkala bersemangat akhirnya membuahkan beberapa resolusi atau lebih tepat kesimpulan.

Antaranya Ahli Parlimen akan menyelaraskan Penubuhan Perbadanan Pembangunan Kg. Baru oleh anak-anak Kg. Baru sendiri, Ini bermakna sumber idea, masa dan kesungguhan cerdik pandai dikalangan anak-anak Kg Baru akan digembeling bagi melahirkan penubuhan perbadanan tersebut. Projek Kg. Baru hendaklah dimartabatkan sebagai salah satu koridor ekonomi yang boleh namakan sebagai Koridor Kg. Baru untuk memastikan keutamaan diberikan kepada Projek mega ini; dengan ini satu-satunya kampong Melayu ditengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur malah mungkin didunia ini akan dijamin kelangsungan dan kejayaannya pembangunannya oleh kerajaan sendiri dan bukan oleh mana-mana syarikat/ korporat/ gabungan yang mungkin boleh bankrup atau terbengkalai sehingga menyebabkan kerugian besar kepada pemilik dan pewaris.

Kg baru akan membangun dengan citarasa dan selera anak2 Kg Baru seiring dengan KL yang dikatakan akan jadi “World Class City”. Saya juga mencadangkan agar dividen petronas sebanyak RM6 bilion yang diberikan kepada kerajaan Pusat dijadikan sebagai peruntukan awal untuk pembangunan Kg. Baru. Untuk lebih meyakinkan dan lebih mantap hak pemilik asal serta pewaris tanah Kg. Baru hendaklah dijamin melalui Akta Parlimen..Peserta majlis juga meminta supaya saya mengemukakan permintaan kepada Dato Bandar untuk memanjangkan waktu bantahan yang akan berakhir hujung bulan ini hingga ke bulan depan.

Pengumuman YAB MB untuk mengarahkan beberapa Pegawai Perancang dari PKNS turun membantu Ahli Parlimen TW beserta dengan peruntukan RM 50,000 sebagai dana untuk bekerja, mengkaji dan menghalusi lalu menghasilan satu cadangan balas kepada Deraf KgBaru 2020 disambut dengan nafas lega para hadirin dalam perjumpaan tersebut. Inilah yang dikatakan ‘cakap serupa bikin’, bukan cakap2 penyedap atau sebagai halwa telinga tetapi ‘cakap2 yang bekerja’.

Sejak hari tersebut usaha2 awal telah dimulakan iaitu cuba mendapatkan temujanji dengan Dato Bandar, tetapi sehingga kini belum berhasil. Seterusnya mengadakan mesyuarat ‘penaja’ penubuhan jawatan kuasa Perbadanan Anak Kg Baru iaitu pada malam ini 6/8 di PKWR. Moga-moga usaha murni akan Berjaya dan memberi munafaat kepada para pemilik dan pewaris Kg Baru.

Dr Lo’lo’ bt Hj Mohd Ghazali http://drlolo.wordpress.com/

Ahli Parlimen Titiwangsa http://docpearl.blogspot.com/

No comments: