Wednesday 24 March 2010

Majlis Syura PAS akan tentukan siapa Mursyidul Am malam ini

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Majlis Syura Ulamak PAS bermesyuarat buat pertama kalinya malam ini untuk sessi baru bagi melantik barisan kepimpinan tertinggi badan yang paling berkuasa dalam PAS itu.

Mesyuarat malam ini yang dipengerusikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pemimpin paling kanan di kalangan anggota yang ada. Mereka akan menentukan siapakah pengerusi Majlis Syura Ulama iaitu Mursyidul Am dan timbalannya serta empat lagi anggota majlis itu.

Mursyidul Am PAS dan timbalannya kini disandang masing-masing oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Dr Haron Din.

Mesyuarat malam ini juga buat pertama kalinya akan mengikut format baru Majlis Syura berdasar pindaan terbaru kepada Perlembagaan PAS.

Melalui pindaan ini, anggota majlis ini adalah empat dipilih oleh Jawatankuasa PAS Pusat, empat dari Dewan Ulamak PAS Pusat dan dua dari setiap dewan iaitu Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Mereka pula akan memilih empat lagi anggota tambahan.

Sebelum ini, Majlis Syura hanya terdiri dari 12 anggota iaitu empat dilantik oleh Jawatankuasa PAS Pusat dan empat oleh Dewan Ulamak PAS. Kelapan-lapan mereka pula akan melantik empat lagi anggota serta Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am.

Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat sebelum ini telah memilih Abdul Hadi bersama dengan timbalan presiden Nasharudin Mat Isa, naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta AJK Datuk Abdul Halim Abdul Rahman sebagai wakil mereka ke Majlis Syura.

Dewan Ulamak pula telah memilih ketuanya Datuk Harun Taib, timbalan Datuk Ahmad Yaakub, naib Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan AJKnya Ustaz Nik Zawawi Salleh sebagai anggota Majlis Syura.

Wakil Dewan Pemuda PAS pula adalah ketuanya, Nasharudin Hassan dan AJKnya Ustaz Zaharudin Mohamad.

Namun begitu, Dewan Muslimat tidak membuat keputusan di kalangan mereka tetapi menyenaraikan lima nama untuk dipilih dua di kalangan mereka oleh mesyuarat Majlis Syura yang pertama malam ini.

2 comments:

Anonymous said...

Salam Dr,

Dah tentu Tok Guru Nik Aziz siapa yang layak kalau bukan beliau.Dato' Harun Din tak pandai politik dan sehebat Tok Guru Nik Aziz.

Beranikah siapa gantikan Tok Guru.Inilah persoalannya yang perlu Dr jawab.

KAIZER

MalaysianKita said...

Assalamualaikum Dr,

PAda pandangan saya, barisan saf kepimpinan PAS, baik Majlis Syura, Dewan Ulama, Kepimpinan PAS, perlu dikekalkan bagi mengelak spekulasi politik jahat UMNOBN.

Yang amat perlu, kesemua yang pemimpin dan ahli perlu memuhasabah diri, fokus kepada jihad perjuangan, bersatu dan taat setia kepada kepimpinan.

Segala pertikaian perlu diselesaikan melalui saluran yang betul.