Monday 29 March 2010

Soalan Jawab Parlimen -tajaan Tabung Haji-

Dr. Lo’ Lo’ Haji Mohamad Ghazali [Titiwangsa] minta Perdana Menteri menyatakan tentang individu atau kumpulan RA yang pergi menunaikan haji secara ditaja sepenuhnya oleh Lembaga Tabung Haji sedangkan mereka ini adalah dari kalangan penyokong parti politik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim]: Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakaatuh.

Dato’ Haji Ismail bin Mohamed Said [Kuala Krau]: Ada penaja pergi Mekah.

Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim: Tuan Yang di-Pertua, saya mohon untuk menjawab soalan ini bersekali dengan pertanyaan lisan daripada Yang Berhormat Kota Bharu yang dijadualkan pada 30 Mac kerana ia adalah berkaitan.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Baiklah Yang Berhormat.

Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim: Terima kasih. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, RA adalah Rombongan Am yang ditaja sepenuhnya oleh Lembaga Tabung Haji. Senarai Rombongan Am terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) dan Ahli Majlis Penasihat Haji (AMPH). Pada tahun 2009, seramai 7 orang Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji telah menunaikan ibadat haji dan kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada mereka adalah penerbangan haji pergi dan balik, kemudahan pengangkutan di Tanah Suci, penginapan di Mekah dan Madinah, perkhidmatan perubatan, sajian makanan harian dan juga elaun penghargaan. Bagi individu pula atau pun mana-mana penyokong parti politik, Lembaga Tabung Haji tidak menaja mana-mana individu untuk tujuan menunaikan fardu haji. Terima kasih.

Dr. Lo’ Lo’ Haji Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih atas jawapan Timbalan Menteri. Saya dimaklumkan tahun-tahun sebelum ini, bilangan yang mengikuti Rombongan Am ini adalah antara 50 sehingga 60 orang. Kalau tadi Timbalan Menteri ada mengatakan dalam 7 orang ahli lembaga pengarah. Jadi kalau boleh disebutkan lagi siapakah yang selain daripada ahli-ahli lembaga pengarah? Kemudian pada tahun ini dikatakan hampir 100 orang dalam Rombongan Am ini. 
Saya ingin bertanya adakah pendeposit-pendeposit tabung haji dimaklumkan tentang perbelanjaan Rombongan Am ini yang mendapat layanan VVIP. Saya masih ingat lagi semasa saya mengikuti rombongan haji atau pun saya menunaikan haji, pakej pertama yang diperkenalkan Tabung Haji pada masa itu Pengerusi Tabung Haji menginap di penthouse dengan anak beranaknya. Ini yang dikatakan oleh kakitangan Tabung Haji sendiri dan ditanggung sepenuhnya oleh Tabung Haji. Jadi, kita ingin tahu adakah pendeposit-pendeposit tabung haji dimaklumkan tentang perbelanjaan RA ini dan adakah mereka ini reda duit mereka diambil untuk memberi layanan VVIP kepada RA ini? Saya perlukan penjelasan. Terima kasih.

Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim: Terima kasih kepada Yang Berhormat. Untuk menjawab soalan Yang Berhormat secara tepat, kalau kita melihat pada tahun 2009 atau 1430 Hijrah, jumlah Rombongan Am yang mengikuti, yang ditaja oleh Tabung Haji seluruhnya hanyalah 11 orang yang mana mereka ini dibenarkan untuk membawa pasangan masing-masing. Jadi jumlahnya adalah seramai 22 orang sahaja. Senarai mereka terdiri daripada Yang Berhormat Menteri dan isteri, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa selaku Pengerusi Tabung Haji dan isteri, Dato’ Ismi Ismail dan isteri, Dato’ Zainol selaku Ahli Lembaga Pengarah, Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Hussin Ahli Lembaga Pengarah, Dato’ Paduka Badruddin, Ahli Lembaga Pengarah, Dato’ Abd. Halim Said Ahli Lembaga Pengarah, Dato’ Latifah Abdul Mansur Ahli Lembaga Pengarah, Dato’ Rasul, Dato’ Ibrahim dan Dato’ Abd. Rahman selaku Ahli Majlis Penasihat.
Jumlah mereka cumalah 22 orang sahaja. Mereka ini pergi bersama dengan pasangan masing-masing. Yang Berhormat, untuk makluman kita tidak perlu memaklumkan kepada pendeposit tentang urusan ini kerana ia termasuk di antara kos operasi yang ditanggung. Mereka yang terdiri daripada ahli lembaga ini perlu maklum dan perlu mendapat gambaran sebenar dalam setiap isu yang berlaku di tanah suci. Jadi kehadiran mereka ini adalah kehadiran untuk bertugas dan memantau operasi yang berlakunya di tanah suci. Telahan Yang Berhormat mengatakan 100 orang ditaja sepenuhnya itu nampaknya memang fitnahlah Yang Berhormat. 

[Dewan riuh]

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Bukan telahan.

Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim: Tidak benar.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Itu adalah maklumat daripada mereka yang...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Mengikuti RA itu sendiri.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah I [Dato’ Haji Hasan bin Malek]: Bohong lagi.

Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim: Maklumat itu...

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Bukan telahan.

Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim: Besar kemungkinan... [Dewan riuh] Besar kemungkinan Yang Berhormat, kadang-kadang ada di antara jemaah haji yang pergi ini adalah daripada pakej-pakej tersendiri yang dibayar dengan harga yang agak mahal daripada pakej yang mereka sendiri bayar tetapi ia bukan tajaan daripada Tabung Haji. Terima kasih. 

[Dewan riuh]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Jempol.

Dato’ Haji Lilah Yasin [Jempol]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Penyimpan-penyimpan kepada Tabung Haji ini tidak kisah. Siapa hendak pergi, pergilah sebab mereka hendak pahala dan juga masuk syurga. Akan tetapi mereka bertanya Tuan Yang di-Pertua, kenapakah dividen dan bonus Tabung Haji sekarang ini rendah sangat?
Jikalau dahulu pernah mencapai sampai 9% telah ditolak zakat. Akan tetapi sekarang ini adakah mana-mana kelemahan tertentu yang menyebabkan dividen dan bonus ini tidak dapat dibayar sewajarnya kepada penyimpan-penyimpan Tabung Haji? Jikalau dividen dan bonus ini meningkat tinggi, hendak tambah bilangan pergi pun tidak ada masalah.

Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim: Terima kasih Yang Berhormat Jempol. Yang Berhormat, kalau Yang Berhormat lihat kepada pelaburan semua daripada syarikatsyarikat yang lain pun mengalami lebih kurang kita katakan keuntungan yang sama juga. Apa lagi kalau kita lihat penyimpan atau pendeposit di Tabung Haji, kalau Yang Berhormat simpan dalam bank untuk akaun semasa pun Yang Berhormat tidak dapat keuntungan seperti mana yang diberi oleh Tabung Haji. Ini kerana pendeposit ini dia boleh keluar seperti mana daripada bank tiap-tiap hari dia boleh keluar dan dalam masa yang sama kita memberi pulangan atau dividen yang cukup meyakinkan. Terima kasih.Yang Berhormat.

No comments: