Tuesday, 6 April 2010

Anwar curiga 2 agen perisikan Israel di Bukit Aman

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 6 April: Kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipertikai apabila Asiasoft (M) Sdn Bhd dilantik sebagai sub-kontraktor bagi pembangunan Sistem Laporan Polis (RPS) Fasa ketiga, dari sistem analog kepada sistem digital.
"Sistem Laporan Polis (PRS) fasa ketiga diserahkan pada Perunding Master Plan Sendirian Berhad (kontraktor utama) yang kemudiannya diserahkan pada sub kontraktor Asiasoft tanpa mengikut prosedur," jelas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) tengah hari tadi dalam suatu kenyataan media di lobi Parlimen.
Menurutnya, perlantikan firma komunikasi strategik tersebut mencurigakan kerana turut membabitkan dua programmer dari Agensi Perisikan Israel (ISA), iaitu Izhak David Naskar dan Ido Sccheschter.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mendedahkan, Izhak merupakan pakar sistem komputer yang pernah memenangi anugerah dari Kementerian Pertahanan Israel.
Izhak kemudiannya, menurut Anwar, bertanggungjawab membangunkan sistem perisikan berteknologi tinggi negara haram Israel beberapa dekad lalu.
Manakala, Ido pula, menurut Anwar dipercayai masih berkhidmat sebagai tentera kor risik Israel.
Kedua-dua peribadi misteri tersebut, menurut dakwaan Anwar, sedang melakukan tugas masing-masing di tingkat dua dan tiga, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Tidak cukup dengan itu, menurut Anwar, keterlibatan perisik Zionis-Israel dalam PDRM dan sistem keselamatan dalam negeri turut disahkan sendiri oleh (Unit Polis) Cawangan Khas dan Jabatan Logistik Polis Bukit Aman.
Pun begitu, menurut Anwar, pegawai tertinggi dalam Polis dan KDN sendiri seolah-olah merestui keterlibatan dua perisik Israel dalam sistem keselamatan negara.
Dari segi yang lain, Anwar berkata, walaupun AsiaSoft tersebut didaftarkan di Malaysia, namun syarikat itu dimiliki secara penuh oleh Asiasoft Pte. Ltd yang berpangkalan di Singapura.
Bercakap pada sidang media yang sama, Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS merayu kepada Majlis Raja-Raja Melayu supaya campur tangan dalam isu terbaru tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Majlis Raja-Raja Melayu wajar berbuat demikian memandangkan PDRM di bawah legasi mereka.
Antara yang menyertai Anwar dan Mahfuz adalah Tian Chua (Ahli Parlimen Batu), Mohd Nasir Zakaria (Ahli Parlimen Padang Terap), Yusmadi Yusof (Ahli Parlimen Balik Pulau).
Sebelum pada itu, Anwar ketika membahaskan bajet tambahan KDN di Dewan Rakyat, mendedahkan beberapa surat rasmi PDRM berhubung pembabitan dua perisik Israel dalam PDRM.
Selain itu, beliau turut meminta KDN menjelaskan tentang projek APCO425 (kemudiannya dikenali sebagai RMT Net) di Taman Teknologi Sungkai yang bernilai antara RM900 juta hingga RM999 juta.

1 comment:

CALIPHALLAH said...

Ya Allah Apa benar ker ni??
Selamatkan Malaysia dari balamu Ya Allah