Tuesday, 6 April 2010

Logo Kami Prihatin

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Sedikit sahaja Yang Berhormat Menteri tentang ”Kami Prihatin” tadi, terima kasih. Saya ingin dirakamkanlah dalam Dewan ini. Bahawa kempen ”Kami Prihatin” ini bukanlah maknanya daripada kementerian sahaja. Akan tetapi sebenarnya Lujnah Kebajikan PAS Pusat telah pun adakan Kempen Kami Prihatin ini sejak 2006 yang lalu. Malah mempunyai logo yang lebih kurang sama sahaja Yang Berhormat Menteri iaitu ’hati’. Jadi saya ingin rakam di situ, yang mana di situ agaknya kita sama-samalah menggunakan dan saya harap tidak ada usaha-usaha dibuat untuk menghalang pihak-pihak lain menggunakan kempen yang sama. Terima kasih.

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil: Tuan Yang di-Pertua, saya rasa bersyukur dan Alhamdulillah kerana sebenarnya rakyat Malaysia memang amat prihatin. Mana-mana jua kalau kita tengok NGO, orang perseorangan, orang politik atau aktivis sosial mereka semua mengambil tindakan untuk membuat program-program. Jadi sebagaimana Yang Berhormat Titiwangsa katakan tadi itu, mungkin betul dan seperti mana yang lain. Saya tengok logo ataupun simbol yang paling diminati oleh rakyat Malaysia bila kita buat kerja-kerja kebajikan ialah simbol hati itu. Jadi macam-macam dia punya penulisan dan caranya itu.

Akan tetapi kalau buat kerja-kerja kebajikan itu percayalah simbol yang digunakan adalah hati. Saya hendak mengalu-alukanlah semua pihak kerana ini adalah tanggungjawab bersama. Isu sosial seperti ini saya hendak menegaskan sekali lagi adalah tanggungjawab bersama. Bagi menjawab Ahli-ahli Yang Berhormat tadi, kita sebenarnya ada empat cara, di kementerian kita identify empat cara untuk menangani isu-isu sosial seperti ini. Pertama advokasi, isu macam pembuang bayi dan lain-lain mesti ada advokasi. Di sinilah kita mengadakan smart partnership dengan semua pihak. Advokasi kedua, pencegahan.

Pencegahan di sinilah undang-undang, peraturan dan polisi itu mustahak. Ketiga sokongan. Ada atau tidak ada sokongan daripada kerajaan, bukan kerajaan dan masyarakat. Keempat penyelidikan yang mesti dibuat sebab kita hendak tahu macam mana perkara ini berlaku dan bagaimana. Akan tetapi saya rasa bahawa kalau semua struktur rakyat Malaysia memainkan, menjalankan tugas dan tanggungjawab insya-Allah kita akan dapat menangani masalah ini.

Hansard Parlimen 1 April 2010

No comments: