Thursday 1 April 2010

Wakil Rakyat boleh masuk disetiap Sekolah

Dr. Lo’ Lo’ Haji Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran tentang jawapan yang begitu positif di mana saya selaku Ahli Parlimen, wakil rakyat di kawasan saya merasa gembira dengan jawapan positif daripada Yang Amat Berhormat Menteri berkenaan dengan sesiapa juga pimpinan masyarakat boleh masuk ke sekolah dengan tujuan untuk sama-sama membantu membangunkan sekolah di kawasan kita masing-masing, seperti yang dikatakan asalkan jangan dipolitikkan. Kita mengerti kerana kita semua adalah Ahli-ahli Parlimen yang matang, yang bukan maknanya mengambil semberono sahaja, semua tempat hendak dipolitikkan.

Akan tetapi baru-baru ini, untuk pengetahuan Yang Amat Berhormat Menteri, bagaimana UMNO Bahagian Segambut telah masuk ke sebuah sekolah menengah di Segambut dengan program-program tertentu dan malah Puteri UMNO membuat pendaftaran Ahli Puteri UMNO di sekolah tersebut. Ini jelas satu aktiviti politik dan saya harap mendapat perhatian daripada Yang Amat Berhormat Menteri. Saya mengharapkan supaya apa yang dikatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ini akan boleh kita praktikkan ataupun realisasikan di luar sana.

Baru-baru ini di kawasan saya sebagai contoh di mana seorang bekas Wakil Rakyat Titiwangsa yang merupakan pengerusi sebuah yayasan iaitu Yayasan Pendidikan Titiwangsa merasmikan sukan-sukan sekolah, PIBG sekolah dan sebagainya di kawasan saya sedangkan saya sebagai Ahli Parlimen memang dilarang memang masuk. Ini realitinya. Jadi, saya mintalah juga jawapan positif ini menjadi sesuatu yang kita boleh praktikkan di luar. Terima kasih.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Yang Amat Berhormat Menteri, satu soalan? Tentang dasar, apa yang saya ingin bangkitkan ialah bagaimanakah menyelesaikan masalah guru yang berkurangan secara berperingkat. Kedua, saya juga minta Tan Sri jelaskan sejak bila kementerian duduk dan berbincang tentang masalah kekurangan guru dengan Dong Jiao Zhong. Terima kasih.

Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin: Biar saya jawab dulu. Pertamanya terima kasih Yang Berhormat Titiwangsa. Saya sudah jelaskan, saya tidak perlu ulangkan. Akan tetapi kalau ada katanya Puteri UMNO masuk ke sekolah daftar Ahli Puteri UMNO saya pun fikir itu tidak sepatutnyalah walaupun dari parti. Saya akui kadang-kadang ada berlaku sebegitu sebab kita hendak mengelakkan kawasan itu menjadi kawasan orang kata di mana pihak parti politik menyalahgunakan. Jadi, kalau ada kelemahan itu kita boleh perbaiki.

Tuan Haji Ahmad Kassim [Kuala Kedah]: Yang Amat Berhormat Menteri, kalau dasar Yang Amat Berhormat Menteri sebutkan tadi boleh direalisasikan dalam kementerian bermakna parti-parti politik tidak dibenarkan masuk dalam sekolah. Kalau hendak benar, dibenarkan semua, kalau tidak hendak benar, tidak dibenarkan semua boleh dijadikan satu polisi. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri.

Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin: Cuma jangan dipolitikkan. Pemimpin-pemimpin masyarakat boleh pergi...

Tuan Haji Ahmad Kassim [Kuala Kedah]: Kami setuju. Be fair. Setuju.

Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin: Akan tetapi ia tidak boleh jadi forum untuk dipolitikkan.

No comments: