Terasa kosong sambutan Hari Ibu pada saya. Sejak kematian ibu tercinta Hjh Zainab Salleh pada 20 Oktober 2008 yang lalu takde serinya lagi Hari Ibu pada saya. Mak adalah panggilan kami kepada ibu tercinta. Dia lahir pada tahun 1933, tapi mungkin 1930 sebenarnya sebab zaman itu surat beranak lambat dibuat, jadi dia meninggal pada umur 78 tahun. Mak mengidap pelbagai penyakit; kencing manis, darah tinggi, hypotiroid, arthritis dan lemah jantung. Kesian Mak sebab terpaksa makan ubat segenggam sehari ! termasuk vitamin dan makanan kesihatan. Saya pun hampir terlupa berapa tahun Mak tidak mampu lagi berjalan sebab katanya kaki dia lemah dan tidak kuat. Mula2 guna tongkat satu kaki akhirnya guna tongkat 4 kaki. Dalam rumah Mak mengesot atau bergerak dengan kerusi yang beroda, beransur2 Mak semakin gayat untuk berdiri apatah lagi berjalan hingga terpaksa menggunakan kerusi roda.
Hujung usia Mak selama 4 bulan Mak tidak sedarkan dunia, makan minum pun melalui tiub. Sedih tengok keadaan Mak begitu sedangkan dia dulu sangat aktif. Saya mengenali Mak sebagai seorang suri rumah yang taat pada suami. Apatah lagi arwah Aba (panggilan untuk ayahanda tercinta) sangat memanjakan Mak dan menyediakan semua keperluan Mak termasuk orang gaji. Mak agak 'slow' buat kerja rumah sebab sakit hipotiroid yang dihidapinya, tapi dia seorang tukang masak yang handal. Masakan Mak memang sedap hingga menjilat jari. Aba pulak tidak cerewet, ada nasi beras India(beras rebus sebab Aba pengidap kencing manis), ada sambal+ulam, ada gulai semata dan ikan goreng dah cukup bagus. Speciality Mak adala gulai tempoyak, maklumlah orang Perak asal dari Parit lagi.
Walaupun suri rumah sepenuh masa, Mak adalah orang kanan Aba dalam mengurus kelas2 pengajian kaum ibu bermula dari rumah kerajaan yang kami duduki semasa Aba memegang jawatan sebagai Mufti Selangor di Jalan Raya Barat Kelang. Masih segar diingatan saya bagaimana Mak mengatur kelas pengajian tersebut setiap Hari Sabtu. Rumah kerajaan yg kami duduki tu luas dan punyai verandah yg selesa untuk menampung anak2 murid terdiri dari kaum ibu. Selepas Aba pencen, kami pindah ke Taman Alam Shah yang terletak sebelah pagar istana kediaman Sultan Selangor. Di Taman tersebut Aba selaku bekas Mufti meneruskan tradisi menyampaikan ilmu dengan mengasaskan surau di salah sebuah unit rumah kedai taman yang baru dibuka ketika itu, Mak sekali lagi main peranan penting mengatur kelas2 pengajian terutama untuk kaum ibu.
Bila arwah Aba dipanggil balik ke Perak dan dilantik sebagai Mufti, kelas pengajian terus subur di Madrasah depan rumah kami di Kg Tengku Husin Baru, Ipoh. Begitu juga di Masjid Al Ittihadiyah yang berhampiran. Selepas Aba meninggalkan alam fana ini, Mak meneruskan Kelas2 Pengajian yang dipelopori oleh Aba semasa hayatnya. Mak sebagai anchor woman, bersenjatakan sebuah talipon rumah. Mak mengatur dan mengurus jadual pengajian, memastikan ustaz/ustazah yang mengajar jadir, mencari ganti jika ada yang tidak dapat mengajar atas sebab2 tertentu. Mak jugalah menjadi sumber maklumat dan penerangan. Buku talipon Mak yang bertulis jawi, saya kira masih ada hingga kini, penuh dengan nombor2 penting urusan Kelas2 Pengajian. Walaupun berkerusi roda Mak tetap pergi ke Madrasah depan rumah untuk meneruskan agenda 'Ballighul 'anni walau aayah'.
Penyakit Mak semakin makan diri sehingga Mak sudah tidak mampu bergerak dan menghabiskan masanya di bilik. Ingatan Mak pun semakin lemah dan tidak secergas dulu. Sedih melihat Mak mengintai Kelas yang dia terajui dulu melalui tingkap biliknya. Kawan2 pun sorang2 mengadap Ilahi.
Kesungguhan dan pengorbanan Mak dan Aba kami warisi. Yong kakak yang sulung seorang balu meneruskan dengan aktif di surau berhampiran rumah dia di Bangi. Nyah abang nombor 2, memang orang kuat Masjid Tg Husin, Yang abang nombor 3 dengan aktiviti tablighnya,Yah dan Ju adik2 perempuan saya juga aktif di Ipoh. Ju memang secara langsung terlibat dengan PAS selaku ketua muslimat Tambun dan AJK Muslimat negeri Perak Muhsin adik yang bungsu aktif di surau Tmn Sri Jenaris Kajang, Markaz cawangan pun sebelah rumah dia. Saya sendiri seperti yang sedia maklum meneruskan perjuangan Ayahanda sebagai antara 3 orang pengasas PAS awal tahun 5 puluhan dulu.
Saya menruskan perjuangan Mak dalam membudayakan ilmu Islam dalam masyarakat. Kalau Mak yang tidak mengaji tinggi pun mampu mengurus Kelas2 Pengajian mengapa tidak kita yang belajar tinggi apatah lagi dengan kemudahan IT.
Semoga roh Mak dan Aba aman dalam rahmat Allah. Kepada Ibu Mertua saya Hjh Zauyah Salleh, kepada anak sulung kesayangan saya Mawaddah, kepada bisan2 saya Rosnani dan dan Hazizah, kepada ipar2 saya Kak Edah, Kak Nyah, Kak Yang, Yati, Kak Wasiah, Kak Cik, Kak Zan, Kak Adi, Jamilah; kepada Yong Thuraiya, adik2 Yah dan Ju, semua sdra mara, jiran tetangga, shbt2 seperjuangan, penyokong2 dan seluruh rakyat Msia dan dunia amnya yang bergelar ibu saya ucapkan Selamat Hari Ibu, Kita semua adalah ibu2 yang hebat walau apa pun kelemahan kita kerana kita adalah pelangsung generasi manusia di bumi Allah ini.
Kepada para jururawat terutama yang pernah dan sedang bertugas dengan saya di Pusat Perubatan Kohilal Taman Melawati, di Pusrawi, di HKL, di Hospital Alor Setar dan di Pusat Kesihatan Pokok Sena serta seluruh jururawat yang sedang berbakti, saya ucapkan Selamat Hari Jururawat.
Kepada guru-guru yang berjasa mendidik saya, mendidik anak2 saya dan mendidik anak2 bangsa serta seluruh guru-guru peneraju pendidikan negara saya mengucapkan Selamat Hari Guru. Jasamu dikenang.
TABAH AMANAH BERTAQWA
DR LO'LO' BT DATUK HJ MOHD GHAZALI
AHLI PARLIMEN TITIWANGSA
yb.drlolo@gmail.com
No comments:
Post a Comment