Pembangunan Kg Baru
Isu seterusnya adalah berkenaan dengan pembangunan Kg Baru. Baru-baru ini Perdana Menteri telah turun dalam program 'walk-about' beliau yang dikatakan sangat terpuji dan sangat popular ke Kg Baru. Walau pun saya tidak langsung dimaklumkan tentang kehadiran YAB dan hanya mendapat maklumat dari orang ramai itu pun setelah berada jauh di Utara tanah air, saya berasa berbangga kerana PM memilih untuk bersarapan pagi di kedai nasi lemak Mak Wanjor yang terletak betul-betul disebelah Pusat Khidmat saya. Namun isunya di sini adalah pembangunan Kg Baru yang begitu bercelaru dan mengelirukan . Setiap pemimpin BN yang berjawatan Menteri WP hinggalah kedua-dua orang PM yang lalu dan yang kini mengeluarkan kenyataan yang berbeza-beza dan adakalanya kontradik antara satu sama lain.
Perdana Menteri menyatakan pembangunan Kg Baru akan mengekalkan pemilikan dan penduduk Kg Baru tidak perlu pun berpindah, tetapi Menteri WP menyatakan akan bayar pampasan hingga RM4juta seorang, akan guna Akta Pengambilan Tanah 1960 dan mengugut pemilik-pemilik supaya akur. Ini semua mengelirukan. Saya dapat maklumat bahawa Kementerian WP sedang rancak mengadakan perbincangan-perbincangan tentang pembangunan Kg Baru bersama beberapa pihak seperti DBKL, beberapa individu , sebuah NGO iaitu PAKAM dan pimpinan UMNO Titiwangsa. Pertamanya saya ingin bertanya sebab orang Kg Baru yang mengundi dan menyokong saya sering bertanya kenapa wakil rakyat yang dipilih rakyat untuk mewakili mereka tidak diturut serta dalam perbincangan yang penting itu. Sejak bila pula NGO PAKAM mewakili pemilik-pemilik aset Kg Baru. Apa dengan izin 'local standi' UMNO Titiwangsa dipanggil dalam mesyuarat terseut. Adakah aspirasi1 Malaysia PM tidak dihayati oleh Menteri WP sehingga mewujudkan 2 WP dan 2 'standard'.
Namun begitu selaku wakil rakyat yang bertanggung jawab saya mengemukakan beberapa cadangan berkaitan pembangunan Kg Baru seperti dalam kenyataan media saya sebelum ini:
Saya menyeru PM agar memperuntukkan satu Dana Khas seperti peruntukan pembangunan Wilayah Iskandar, ECER dan NCER, tapi kali ini khas untuk pembangunan Kg Baru. Peruntukan ini mesti dikendalikan satu Badan Amanah sebagaimana yang dijanjikan di mana Badan Amanah ini mestilah dianggotai wakil-wakil pemilik dan pewaris dari setiap Kampung yang terdapat di Kg Baru yang sememangnya terdiri dari kalangan mereka yang pakar dalam pelbagai bidang, DBKL, M.A.S, wakil rakyat dan dari ICU mewakili Kerajaan Pusat; dengan ini penduduk Kg. Baru boleh memberi keyakinan bahawa pembangunan itu adalah demi kepentingan mereka.
Badan Amanah ini akan merancang secara bersama kaedah dan mekanisma pembangunan Kg. Baru dengan mengambil kira kebajikan dan hak pemilik, memastikan pembangunan dimulakan dalam masa yang sewajarnya dan secara berfasa supaya penduduk tidak perlu semuanya dipindahkan, memilih satu konsortium yang akan menjadi “Pemaju” dengan ini memastikan tiada penyelewengan, ketirisan dan kebocoran berlaku dan pemilik akan mendapat manfaat dengan terus memiliki dan menjadi 'stake-holder'.
No comments:
Post a Comment