Thursday, 17 June 2010

Lembaga Pentadbir MAS nafi setuju dengan cadangan Menteri WP tentang pembangunan Kg Baru

Akhirnya MAS berani bersuara. MAS selaku Lembaga Pentadbir telah diwujudkan seawal kewujudan Kg Baru sejak 110 tahun lalu. Selayaknyalah mereka didengari dan dilibatkan secara aktif kerana mereka yang sangat arif dan maklum tentang Kg Baru.Anggota2 MAS terdiri dari Ketua2 dari 7 buah kampung dlm Kg Baru sendiri. Badan inilah yg mewakili Kg Baru dan bukannya 50 orang yang pilih oleh Menteri WP dalam perbincangan pada hari Isnin 14 Jun yg lalu. Syabas MAS, Menteri boleh datang dan pergi, Dato Bandar, KSU, TKSU dan yang lain2 boleh datang dan pergi tapi MAS akan terus dianggotai oleh orang Kg Baru. Oleh itu sangat wajar MAS menjadi benteng mempertahankan pemilikan hartanah dan hak pemilik serta pewaris Kg Baru.

Dr Lo'Lo'
Ahli Parlimen Titiwangsa



Dari Malaysian Insider
Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru, yang selama ini hanya berdiam diri, hari ini menafikan mereka bersetuju dengan cadangan pembangunan semula kawasan tersebut itu sebagaimana diiumumkan oleh menteri, kelmarin.

“Kita diam selama ini tidak bermaksud bersetuju dengan segala laporan yang dibuat,” kata Pemangku Naib Pengerusi MAS, Mashuti Mat Soom.

“Tetapi selepas menerima banyak persoalan dalam perkara ini daripada penduduk kami berpendapat adalah lebih baik menyatakan pendirian dalam hal ini.

“Kita bukan mahu menyanggah pendapat yang dikeluarkan menteri tetapi ini adalah tanggungjawab kami yang selama ini mentadbir Kampung Baru selama 110 tahun,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang mengatakan pemilik dan pewaris tanah bersetuju dengan cadangan pembangunan kampung itu yang akan mengekalkan 100 peratus hak milik Bumiputera.

Difahamkan persetujuan itu dinyatakan pada sesi perbincangan yang berlangsung antara Raja Nong Chik dengan 50 wakil persatuan mewakili pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru kelmarin.

“Sekarang kita bercakap dalam nada yang sama (mengenai cadangan pembangunan Kampung Baru),” kata Raja Nong Chik.

Beliau berkata pemilik dan pewaris tanah pada perbincangan itu mahu pembangunan Kampung Baru dilakukan secara komprehensif tanpa menjejaskan hak pemilikan bumiputera yang melibatkan 222 kawasan MAS dan lebih 80 ekar milik kerajaan.

Mashuti berkata MAS bersetuju sekiranya pembangunan dijalankan di Kampung Baru tetapi cara yang digunakan itu yang pihaknya bantah.

“Kita bukan antipembangunan bahkan penduduk juga mahukan pembangunan dijalankan cuma apa yang kita bantah adalah cara yang digunakan.

“Tindakan Raja Nong Chik yang membuat keputusan tanpa merujuk kepada MAS seolah-olah mengetepikan kewujudan kami.

“Sepatutnya segala perancangan ataupun keputusan yang hendak dibuat perlu merujuk kepada tuan tanah terlebih dahulu tapi ini tidak.

“Mengapa beliau tidak mahu berbincang terlebih dahulu dengan kami sebelum membuat sebarang keputusan? Bukankan lebih baik kerana kata sepakat boleh dibuat melalui perbincangan,” katanya.

Mereka juga membantah penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) sekiranya ia tidak memasukkan ahli lembaga sebagai anggota perbadanan itu.

Mashuti berkata pihak lembaga berpendapat penubuhan PPKB tidak akan memberi kebaikan kepada pembangunan di situ dan sekaligus juga akan melupuskan lembaga pentabiran itu yang telah mentadbir kawasan tersebut selama 110 tahun.

“Kampung Baru dan MAS telah bersama sejak awal penempatan Kampung Baru lagi, kami faham masalah penduduk dan segala urusan telah diuruskan oleh kami sejak dulu lagi.

“Kami risau sekiranya penubuhan PPKB ini yang dianggotai oleh orang yang bukan asalnya dari Kampung Baru dan dianggotai oleh Badan Berkaitan Kerajaan dan pihak-pihak komersial, hak-hak istimewa orang Melayu akan hilang,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MAS Shamsuri Suradi berkata pihaknya bersetuju dengan cadangan untuk membangunkan Kampung Baru tetapi dengan bersyarat.

“Syarat yang telah kita tetapkan adalah pembangunan yang dibuat mesti secara komprehensif, pertubuhan perbadanan mesti mengikut kehendak penduduk, ciri-ciri pembangunan mesti berkonsepkan Melayu dan penduduk tidak akan berpindah.

“Ini kerana kita mahu satu pembangunan yang melambangkan ciri-ciri Kampung Baru bukan seperti yang dicadangkan kerajaan untuk menjadikan kampung seolah-olah bandar yang maju.

“Penduduk tidak mahukan bangunan yang tinggi-tinggi dan mereka juga tidak mahu berpindah kerana mahu terlibat dalam pembangunan itu sendiri,” katanya.

Kampung Baru mempunyai keluasan 122.93 hektar dan berdasarkan penilaian yang dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada Mac 2007 membabitkan 54.4 hektar, kadar yang ditetapkan bagi satu kaki persegi untuk tanah kediaman ialah antara RM270 hingga RM300 dan RM500 hingga RM600 untuk satu kaki persegi bagi tanah perdagangan.

“Mengenai cadangan kerajaan untuk menjadikan Kampung Baru sebagai pusat komersial iaitu 75 peratus untuk perniagaan dan 25 peratus lagi untuk kediaman kita memang tidak setuju.

“Kenapa mesti nak berbuat demikian? Bahkan penduduk juga tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Bukankah lebih baik pembangunan itu dibuat mengikut kehendak penduduk? Jadi segala urusan boleh dibuat dengan mudah tanpa perlu bertindak diluar batasan,” kata Shamsuri.

Samsuri juga berkata kerajaan mempunyai hak untuk mengambil tanah di Kampung Baru tetapi mereka perlu tahu implikasi yang akan diterima selepas bertindak demikian.

“Kerajaan ada hak tapi mereka perlu tahu implikasinya nanti,” katanya.



(difahamkan Utusan juga ada mengeluarkan kenyataan yang sama hari ini)



No comments: