Sunday, 20 June 2010

Ucapan Ahli Parlimen Titiwangsa dalam perbahasan RMK10

Saya telah berucap sebentar tadi, terpaksa berucap dengan 'points form' sebab masa hanya 10 minit. Saya sempat menyebut kebanyakan fakta-fakta kecuali pertanyaan tentang berapa peruntukan dari RMK10 yang disediakan pembangunan semula Kg Baru.

Deraf Ucapan RMK 10 yang telah di 'up-date':


Saya mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri / Dato YDP yang memberi saya peluang untuk berucap dalam perbahasan RMK10. 

Tan Sri/Dato YDP, 

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menggesa agar kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar bersikap telus kepada semua pemilik dan pewaris hartanah Kampung Baru berhubung cadangan untuk membangunkan semula satu-satunya tanah milik penuh Melayu di tengah2 Kota Metropolitan Kuala Lumpur ini. 


Jika  kita merujuk dokumen RMK10 muka surat 174 ada disentuh sedikit tentang Pembangunan Kg Baru dimana menyebut "Dalam tempoh Rancaqngan iaitu antara 2011-2015 satu projek khas akan dilaksanakan iaitu Pembaharuan Kg Baru. Kerajaan akan menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kg Baru untuk bekerjasama dengan penduduk Kg Baru bagi membangunkan satu model perniagaan yang mana hasil daripada pembangunan semula tanah tersebut akan dikongsikan secara saksama". Seterusnya disebut "Skim pembiayaan yang inovatif akan diwujudkan bagi membolehkan penduduk sedia ada membeli unit kediaman di kawasan yang dibangunkan semula".


Jadi disini ada beberapa persoalan iaitu antaranya bagaimana PPKB hendak bekerjasama dengan penduduk sedangkan Lembaga Pentadbir MAS atau Penempatan Pertanian Melayu dipinggirkan; sehinggakan baru-baru ini mereka terpaksa membuat kenyataan menafikan bersetuju dengan kenyataan Menteri WP bahawa orang Kg Baru bersetuju dengan perancangan pembangunan Kg baru yang beliau kemukakan. Menteri WP pula menjawap yang MAS seolah-olah tiada kuasa perundangan untuk bercakap, keputusan ditangan pemilik dan pewaris. Adakah Menteri WP menyedari MAS adalah suara orang Kg Baru dan Enakmen MAS tidak pernah dimansuhkan meski pun Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dan Akta (Perancang) WP 1982 diwujudkan.


Persoalan kedua tentang ungkapan "Model Perniagaan". Apa yang dimaksudkan dengan ungkapan ini. Manakala apa pula yang dimaksudkan Skim Pembiayaan yang akan diwujudkan untuk penduduk bagi membeli unit kediaman. Adakah ini bermaksud untuk penduduk yang menyewa atau siapa?, bagaimana pula pemilik dan pewaris, apa pula kaedah untuk pastikan hak pemilikan keatas hartanah mereka. Mereka tidak perlu sebarang Skim Pembiayaan kerana memang telah sedia memiliki hartanah di Kg Baru kecualilah pembiayaan untuk turut terlibat dalam pembangunan. Jadi ini sangat mengelirukan dan perlukan penjelasan.


Justeru itu saya ingin bertanya kerajaan, berapa sebenarnya dari RM220billion dana RMK10 yang akan diperuntukkan untuk pembangunan semula Kg Baru.  


Saya juga perlukan penjelasan tentang jawapan Menteri WP dalam soalan saya no 10 sesi soal-jawab iaitu "Pembangunan Semula Kg Baru akan dilaksanakan melalui proses penyerahan tanah dibawah seksyen 197 Kanun Tanah Negara (KTN) yang berkaitan prosedur penyerahan tanah oleh tuan punya kepada kerajaan. Juga disebut proses penyerahan dan pemberi-milikan semula tanah dibawah seksyen 240D KTN. Adakah penggunaan seksyen ini tepat  sedangkan dalam KTN, yang ada adalah Seksyen 240(1)&(2) yang berkaitan penamatan dengan cara selain dari penyerahan balik tanah iaitu berkenaan pajakan, sedangkan Kg Baru bukan tanah pajakan. Adakah Menteri WP bermaksud seksyen 204D iaitu yang berkaitan dengan penyerahan balik dan pemilikan semula tanah daripada kerajaan kepada tuan punya tanah tadi. Penting sangat kekeliruan ini diperjelaskan.


Tan Sri/Dato YDP,


Ramai penduduk Kg Baru pinta supaya kerajaan bangunkan dulu 20 hektar atau 80 ekar tanah kerajaan di Kg Baru milik kerajaan terlebih dahulu sebelum mengusik tanah mereka yang seluas 55.5 hektar atau 222 ekar. Mereka mahu lihat bukti depan mata mereka dulu kemampuan kerajaan membangunkan kampung mereka sebelum mereka berani meletakkan geran hartanah mereka untuk dimajukan. Paling tidak pun bangunkan dulu Projek Puncak Baru yang telah pun dibuat upacara pecah tanahnya oleh mantan PM Tun Abdullah Ahmad Badawi seminggu sebelum meletakkan jawatan iaitu akhir bulan Mac 2009, dimana dijanjikan projek itu akan 'take-off' dalam masa 3 bulan, namun kini 1 tahun 2 bulan sudah berlalu, tiada apa-apa pun yang berlaku di hartanah tersebut yang merupakan bekas Pasar Minggu Kg Baru yang terkenal satu masa dulu.


Tan Sri/Dato YDP,


Seterusnya saya juga perlu penjelasan tentang soalan saya dalam sesi soal jawab parlimen dimana soalannya adalah "Apakah 2 lagi konsep daripada 3 yang dipersetujui Kabinet melalui kertas cadangan yang dibawa KWPKB selain dari penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru". Menteri WP menjawap dengan menyatakan iaitu “yang dkemukakan adalah 4 bukan 3 konsep iaitu 4 konsep pilihan pembangunan kg Baru seperti yang termaktub dlm Draf Pelan Bandar Raya KL 2020”. Apa yang dijawab menteri adalah konsep deraf pelan yg saya boleh semak sendiri dalam buku 4, Draf Pelan Tempatan Kampung Baru. Sedangkan cadangan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kg Baru adalah antara 3 perkara yg diluluskan Kabinet dan saya bertanya apa lagi 2 perkara yang telah diluluskan seperti lapuran media pada 6 May dimana Menteri menyebut seperti berikut: “Kabinet telah meluluskan cadangan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kg Baru yang akan bertanggung jawab untuk melaksana dan memantau pembangunan semula kg Baru, kata Menteri WP. Beliau mengatakan Kertas Cadangan telah diluluskan Kabinet semalam, beliau menambah perkara tersebut adalah antara 3 perkara yang dipersetujui Kabinet berkenaan pembangunan semula Kg Baru”. Saya pun tidak faham siapa yg menyediakan jawapan, adakah menteri sendiri atau pegawai kementerian sehingga begitu lari dari menjawab soalan yg sebenar, jadi saya mohon jawapan yang lebih bertanggung jawab. 


Dalam jawapan yang sama menteri WP menyatakan Jemaah Menteri telah bersetuju dengan konsep Pembangunan Komprehensif setelah mengambil kira pandangan awam terhadap DPKL 2020 serta pandangan daripada pemilik dan pewaris yang secara majoriti meminta supaya pembangunan dilaksanakan secara komprehensif. Saya ingin bertanya kepada menteri keputusan pandangan mana tentang konsep pembangunan yg menteri bawa ke kabinet , sedangkan sehingga kini tiada satu pun kenyataan dikeluarkan tentang hasil pendengaran awam Draf Pembangunan KL 2020 khususnya Deraf Pembangunan Kg Baru. Jadi bagaimana boleh timbul isu Pembangunan secara komprehensif yang dipersetujui ramai sehingga mendorong kabinet juga bersetuju dengan Pembangunan Komprehensif. Saya tidak ada masalah dengan apa jua konsep pembangunan yang hendak dibuat tetapi hendaklah benar-benar telus dan selaras dengan kehendak majoriti orang Kg Baru melalui hasil kompilasi pendengaran awam Deraf KL 2020 yang dijalankan tahun lalu 


Tan Sri/Dato YDP,

Setelah cadangan kerajaan untuk membuka 40% pemilikan tanah Kampung Baru kepada bukan Melayu dan pelabur asing menimbulkan kemarahan dan tentangan penduduk Kampung Baru sendiri, kerajaan terdesak menukar pendekatan dan bersetuju untuk mengekalkan pemilikan 100 peratus hak Bumiputera Melayu.

Sungguhpun begitu, cadangan pembangunan semula Kampung Baru secara komprehensif seperti yang dimaklumkan baru-baru ini masih lagi menjadi tanda tanya dan mencetuskan beberapa persoalan kepada penduduk-penduduk Kampung Baru sendiri. Rata-rata penduduk masih belum jelas apakah mekanisma dan kaedah pembangunan sebenar yang akan digunakan?

Apakah mereka perlu berpindah semasa proses pembangunan semula itu dilaksanakan? 
Sedangkan semasa tinjauan PM ke Kg Baru yang lalu. PM mengumumkan penduduk tidak payah berpindah semasa pembangunan berjalan. Menteri WP pula berjanji hendak beri RM4juta bagi setiap pemilik tanah (Kosmo ), bagi SETIAP pemilik (bukan bagi setiap lot atau setiap geran).
Semasa majlis dialog baru-baru ini pula dikatakan penduduk mungkin akan dipindahkan ke kawasan Stadium TPCA dimana akan dibangunkan pangsapuri disana. Jadi yang mana satu yang betul? Kenyataan PM atau pengumuman Menteri WP.

Dato YDP,

Persolannya juga apakah jaminan kerajaan bahawa hak milik tanah Kampung Baru akan betul-betul kekal di tangan pemilik dan pewaris asal setelah pembangunan tersebut siap sepenuhnya kelak? Pemilik dan pewaris menyatakan mereka sekali-kali tidak akan menyerahkan geran hartanah mereka kecuali mereka benar2 yakin dengan mekanisma dan badan atau institusi dimana penyerahan dan penyimpanan geran itu akan diuruskan.

Kebimbangan pemilik-pemilik tanah ini memang ada asasnya, memandangkan sejarah pahit sebahagian mereka yang telah tertipu sehingga tanah warisan mereka yang berpuluh2 buah tergadai oleh tidak lain tidak bukan tokoh korporat Melayu juga,. Apatah lagi melihat kepada kenyataan berdolak-dalik atau flip-flop serta janji-janji pembangunan dari bekas Menteri-Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini dan janji bekas Perdana Menteri Malaysia tentang Puncak Baru yang sehingga kini masih gagal ditunaikan. Ini ditambah pula dengan beberapa percanggahan kenyataan yang ketara di antara PM dan Menteri WP sebelum ini berkenaan pembangunan semula Kampung Baru.

Saya mencadangkan ditubuhkan sebuah Badan Amanah yang dianggotai oleh MAS, individu-individu terpilih yang dari kalangan anak-anak Kg Baru yang telah berjaya membangunkan hartanah mereka, NGO yang berwibawa dan juga wakil dari pihak kerajaan dimana Badan Amanah ini bertanggung jawab sepenuhnya mengurus geran-geran hartanah semasa pembangunan berjalan.

Tan Sri/Dato YDP,

Kerajaan dikatakan akan menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang bertanggungjawab untuk menyelia dan melaksanakan pelan pembangunan semula kawasan tersebut. Sungguhpun cadangan penubuhan Perbadanan tersebut akan dibentangkan di Parlimen tidak berapa lama lagi, tetapi sehingga kini orang Kampung Baru masih tidak jelas apakah objektif, peranan dan fungsi sebenar penubuhan Perbadanan ini.

Soalnya, siapakah yang akan menganggotai Perbadanan tersebut? apakah suara anak-anak Kampung Baru akan didengar dalam menentukan proses pembangunan semula tersebut dan yang paling penting, apakah Lembaga MAS (Penempatan Pertanian Melayu) yang selama ini menaungi dan membawa suara kolektif penduduk Kampung Baru akan turut diberi peranan penting ataupun diketepikan begitu sahaja?

Haruslah diingat bahawa Lembaga MAS dianggotai antaranya oleh tujuh orang ketua kampung yang mewakili tujuh kampung dalam kawasan Kampung Baru ini. Justeru itu, Lembaga MAS perlulah diberikan peranan penting dan diletakkan sebahagian daripada anggota Perbadanan, termasuklah dengan melibatkan wakil rakyat Titiwangsa dalam Badan Amanah dan atau Perbadanan dan dalam setiap mesyuarat, perbincangan serta cadangan pembangunan yang akan dilaksanakan nanti. Baru-baru ini MAS telah bangun bersuara menafikan yang mereka bersetuju dengan apa yang dikatakan keputusan mesyuarat dengan 50 orang wakil pemilik dan pewaris hartanah Kg Baru. Ini sekali lagi membuktikan ketidak-telusan Menteri WP dalam menangani isu Kg Baru.

Saya difahamkan bahawa anggota perbadanan ini akan terdiri dari Pegawai-pegawai Tinggi kerajaan diketuai Dato Bandar sebagai Komisyener, KSU KWPKB, KSU K.Kewangan, Ketua Pengarah DBKLdan 2 orang profesional tanpa diwakili MAS dan wakil rakyat, jadi inilah yang dibimbangi orang Kg Baru kerana suara mereka akan terpinggir dalam sebuah badan yang dikatakan mempunyai kuasa dan otoriti yang penuh terhadap pembangunan semula Kg Baru.

Saya mencadangkan agar Perbadanan ini jika hendak ditubuhkan juga adalah sebagai entiti pentadbir dan pengurus serta pemantau kepada pembangunan sahaja termasuk mengendalikan Konsortium Pemaju yang akan menjadi Pemaju utama pembangunan Kg Baru. Adalah wajar Badan Amanah atau Trustee Body diwujudkan untuk mengurus hartanah dimana mungkin perlu diwujudkan sebuah syarikat yang akan menilai geran-geran tanah dalam bentuk share atau saham termasuk bagi pihak penama-penama yang tidak dapat dikesan bagi memastikan keadilan dan hak kepada semua pihak. Orang-orang Kg Baru tidak rela geran mereka digadaikan kepada bank-bank swasta untuk menjana dana pembangunan. Sebaliknya Kerajaan bertanggung jawab untuk menyediakan dana khusus untuk pembangunan Kg Baru tanpa penglibatan swasta.


Sebarang Mekanisma perundangan yang akan digunakan kelak perlulah memastikan bahawa tidak ada siapa yang teraniaya dan berhak mendapatkan keadilan yang sewajarnya. Kita sangat bimbang kerana menurut maklumat yang saya terima, segala keputusan yang telah dibuat oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Baru itu nanti adalah muktamad dan tidak boleh dirayu atau dicabar di mana mana mahkamah pun di dunia ini. (Mahkamah akhirat nanti baru tahu siapa jujur siapa amanah siapa tidak)


Justeru itu, penglibatan Lembaga MAS dan wakil rakyat amatlah perlu bagi mencerminkan niat ikhlas dan murni kerajaan untuk benar-benar membangunkan Kampung Baru. Adalah amat malang sekiranya kawasan eksklusif penempatan orang-orang Melayu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ini yang diilhamkan oleh pihak British sejak lebih 110 tahun yang lalu dan tidak  diganggu malah diiktiraf semasa pendudukan Jepun, dibiarkan tergadai atau terlepas dari pemilikan Melayu sekiranya kerajaaan cuai dan gagal memelihara aset penting orang-orang Melayu ini. Orang Melayu setakat ini tidak mampu atau terlalu sedikit yang mampu memiliki hartanah lain di KL, hatta Menara Berkembar Petronas pun orang Melayu terpelanting walaupun umno mendakwa sebagai juara rakyat. Kepada seorang-dua orang Kg Baru yang terjerit-jerit secara biadap semasa dialog dengan disokong Menteri WP saya ingin mengingatkan Janganlah Menang Sorak Kampung Tergadai.

Akhirnya Dato YDP saya sekali lagi menegaskan pembangunan semula Kg Baru hendaklah atas konsep pembangunan yang mengekalkan ciri-ciri Melayu Islam, pembangunan yang berimbang, yang ada nilai estetika ada rohnya. Pembangunan berimbang dengan menjadikan Masjid Kg Baru sebagai pusat atau nadi pembangunan bagi memastikan rohani menjadi paksi pembangunan. Kita tidak mahu Kg Baru naik dan maju tetapi penduduknya runtuh moral dan bankrap akhlaknya. Kita tidak mahu bangunan-bangunan pencakar langit yang tiada nilai kerohanian. Kita mahukan pembangunan Hijau yang serasi dengan alam sekitar, bangunan-bangunan yang 'bijak' yang menggunakan tenaga semula-jadi untuk terus mampan. Pandangan yang popular pada masa kini adalah pembangunan semula yang menjadikan Kg Baru akan menjadi Pusat Sehenti Melayu-Islam yang merupakan mercu tanda kegemilangan Melayu Islam bersama pelbagai etnik dan kepercayaan ditengah-tengah bandar Metro KL.



Dr Lo’Lo’ bt Datuk Hj Mohd Ghazali
Ahli Parlimen Titiwangsa sejak 2008


--
Pusat Khidmat Masyarakat
Ahli Parlimen Titiwangsa
No. 10 Jln Raja Muda Musa
Kg Baru 50300 KL
Tel   : 03 - 2698 0025
Faks: 03 - 2698 0026

No comments: