Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dengan jelas akan membatal dan membubarkan Enekmen Malay Agricultural Settlement (MAS) dan Lembaga MAS. Ini memberikan implikasi yang sangat besar terhadap survival pemilikan hartanah orang-orang Melayu di Kampung Baru kerana Kaedah-kaedah yang digariskan di bawah Enekmen MAS tersebut secara jelas memperuntukkan bahawa hartanah di Kampung Baru hanya boleh dimiliki oleh orang-orang Melayu dan dipindahmilik kepada orang-orang Melayu sahaja. .
Dengan pemansuhan tersebut, tidak ada jaminan lagi hartanah Kampung Baru akan terus kekal seratus-peratus milik orang-orang Melayu di masa akan datang. Tambahan pula, tafsiran “kepentingan orang Melayu” yang dimaksudkan dalam RUU tersebut hanya merujuk kepada budaya, adat resam dan seni bina bangunan masyarakat Melayu sahaja. Ia tidak secara jelas dan spesifik menyatakan bahawa pemilikan hartanah mesti kekal di tangan orang Melayu. Oleh itu, cadangan milikan 60:40 peratus seperti yang diwar-warkan oleh Kerajaan sebelum ini nampaknya semakin menjadi kenyataan. UMNO memang benar-benar ingin menggadai dan menjual tanah orang Melayu di Kampung Baru kepada orang asing.
Ini diperkuatkan lagi dengan Fungsi Perbadanan yang dinyatakan di dalam RUU tersebut bahawa Perbadanan boleh berurusan dengan “mana-mana orang” untuk mengurus serta memindahmilik dan melupuskan aset Kampung Baru. Kesudahannya, jika RUU ini diluluskan kelak, maka milikan hartanah orang Melayu di Kampung Baru akan terhakis dan tidak ada jaminan ia akan terus kekal di tangan orang-orang Melayu pada masa akan datang.
Pembubaran Lembaga MAS juga merupakan satu tindakan yang langsung tidak menghormati badan tersebut yang telah berkhidmat lebih satu abad lamanya dan terus berkhidmat untuk penduduk Kampung Baru sehingga kini. Tindakan Kerajaan tersebut bukan sahaja membelakangkan penduduk Kampung Baru, malah ia menafikan langsung suara dan penglibatan wakil-wakil penduduk dalam proses pembangunan tanah mereka sendiri. UMNO untuk kesekian kalinya terus mengkhianati amanah untuk menjaga survival dan milikan tanah orang-orang Melayu di negara ini.
Selepas tanah-tanah rezab orang Melayu semakin hari semakin mengecil jumlahnya, kini kampung-kampung tradisi dan kampung warisan orang Melayu pula cuba dinodai oleh tauke-tauke elit Melayu UMNO yang berselindung di sebalik kalimah “Ketuanan Melayu” yang diagung-agungkan. Amat malang bagi orang-orang Melayu mempunyai pemimpin-pemimpin Melayu seperti ini yang rakus untuk merampas hak-hak Melayu.
Cadangan penubuhan Majlis Penasihat di bawah RUU tersebut adalah bersifat kosmetik dan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Ia jelas menampakkan ketidakjujuran dan ketidaktelusan Kerajaan kerana RUU tersebut jelas menyatakan bahawa Kerajaan tidak terikat untuk mengikut apa-apa,nasihat daripada wakil-wakil penduduk Kampung Baru tersebut. Oleh itu, peranan Majlis Penasihat tersebut hanya sebagai gimik politik semata-mata dan jelas tidak relevan langsung di kacamata Kerajaan. Sudahlah penduduk Kampung Baru tidak dibawa berbincang terlebih dahulu sebelum RUU tersebut dibentangkan di Parlimen, kini suara dan nasihat mereka yang kononnya dijamin di bawah RUU tersebut langsung tidak berharga dan tidak mempunyai sebarang makna. Kerajaan berhak untuk membakulsampahkan sahaja cadangan atau apa-apa nasihat mereka tersebut.
Seperti yang telah dikemukakan semasa majlis pelan alternatif pembangunan kampung baru bersama kerajaan negeri Selangor, saya ingin terus mendesak penubuhan Badan Amanah Kampug Baru yang bertanggungjawab sepenuhnya keatas hartanah Kampug Baru. BAKB ini adalah entiti yang berbeza dari PPKB dan tidak terikat langsung dengan PPKB. Badan Amanah akan mengurus dan mentadbir sepenuhnya hartanah Kampug Baru semasa pembangunan dijalankan. Saya menyokong cadangan Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor yang mencadangkan hartanah ditukar ke bentuk saham. Saham A dan Saham B. Saham A adalah saham pemilikan. Saham B adalah saham sewaan/perniagaan. Apabila pembangunan sudah disempurnakan pemilik akan kembali menduduki Kampug Baru dan pada masa sama mendapat pendapatan melalui saham sewaan/perniagaan. MAS akan di naik taraf sebagai Badan Amanah kerana hanya MAS yang benar-benar mewakili suara dan kepentingan Kampung Baru.
Saya mewakili penduduk-penduduk Kampung Baru membantah penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu tersebut dan menyarankan supaya Kerajaan menubuhkan Badan Amanah yang diwakili oleh wakil-wakil penduduk Kampung Baru dan mereka yang berkepentingan langsung dalam pembangunan Kampung Baru. Proses pembangunan Kampung Baru perlulah dilakukan dengan telus dan mengikut pandangan dan suara hati anak-anak Kampung Baru sendiri dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa yang akhirnya akan merugikan penduduk dan pemilik tanah Kampung Baru sendiri.
YB DR LO’LO’ BINTI DATO’ HAJI MOHD GHAZALI
Ahli Parlimen Titiwangsa
Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'
1 comment:
Salam Dr..
A very good article.
Take care of yourself. Beware of bloggers, I repeat, beware of bloggers.. some are musuh di dalam selimut..
Wassalam
Post a Comment