Tuesday, 6 April 2010

Anwar dakwa ejen Israel ‘ceroboh’ PDRM

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani

KUALA LUMPUR, 6 April — Ketika isu APCO Worldwide masih ‘panas’, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan serangan terhadap kerajaan dengan mendakwa wujudnya pencerobohan sayap risikan Israel — kali ini membuat dakwaan ejen-ejen yang pernah bekerja untuk Tel Aviv bertindak sebagai kontraktor di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia.

Dalam tuduhan yang dibuat di Parlimen hari ini, Ketua Pembangkang itu mendakwa ejen-ejen Israel pernah bekerja di bilik server komunikasi Bukit Aman di sini.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa ejen-ejen yang bekerja untuk Asiasoft Malaysia, subkontraktor yang dilantik oleh Master Plan Consulting Sdn Bhd untuk menjalankan kerja-kerja menaik taraf sistem komunikasi PDRM.

Anwar menamakan Pengarah Logistik Mansuri Zainal sebagai individu yang membuat dakwaan sedemikian dalam surat yang dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri, yang turut ditandatangani Pegawai Cawangan Khas yang tidak dinamakan.

Anwar tidak menyatakan bagaimana beliau memperoleh maklumat berkaitan dengan dakwaan itu.

“Pada 25 Nov 2008, Menteri Dalam Negeri ketika itu diberi taklimat di bilik VIP KLIA pada pukul 4 petang berkaitan dengan isu yang dibangkitkan oleh polis khususnya jabatan logistik dam cawangan khas,” kata beliau ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan tambahan hari ini.

“Kemudian antara November dan Disember, satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai polis yang bertanggungjawab dan disiasat oleh ASP Sairah. Kemudian Sairah dipindahkan ke Taiping dan tiada maklumat selepas itu,” katanya.

Pendedahan APCO melampaui Polemik 1 Malaysia

 — Dr Dzulkefly Ahmad

5 APRIL — Secara peribadi saya melihat isu APCO mestinya ditangani melampaui dan melepasi polemik samada APCO pencipta 1-Malaysia atau pun tidak.

Lebih penting dari polemik itu, ialah hakikat bahawa APCO kini secara jelasnya punya kaitan dengan regim Zionis-Israel yang bertanggungjawab melakukan pelbagai kezaliman dan pembunuhan secara ‘genocide’ terhadap Ummat Palestine.

Dewan Rakyat, secara ‘bipartisan’ atau sebulat suara melibatkan pihak Kerajaan BN dan Pembangkang Paktan Rakyat, sedikit waktu mengambil pendirian bagi menyatakan penentangan Malaysia terhadap regim Zionis-Israel khususnya dalam siri-siri serangan kejam dan pembunuhan terhadap umat Palestin di Semenanjung Gaza.

Justeru, ketika Ketua Pembangkang YB Permatang Pauh secara jelas membuktikan keterlibatan pelbagai peribadi ‘high profile’ yang terlibat dalam APCO Worldwide, samada yang berpengkalan di Tel Aviv mahupun di Malaysia dan juga penglibatan syarikat ‘sister company’nya Asero dalam hal urusan perisikan dan keselamatan, maka jelas bagi kita bahawa APCO, bukanlah sekadar firma perunding perhubungan awam yang bersifat internasonal sahaja.

ASERO dikhuatiri akan mempengaruhi dasar dasar luar negara di segi urusan keselamatan dan strategik seperti yang sedang dibahaskan di parlimen hari ini yang bersangkutan dengan Rang Undang –Undang (RUU) Perdagangan Strategik 2010. RUU Perdagangan Strategik ini dilihat sebagai satu akta yang semacam meletakkan negara di bawah telunjuk Amerika Syarikat yang jelas memberikan perlindungan kepada regim Zionis-Israel.

Isyarat-isyarat awal ini sungguh menakutkan walaupun sukar untuk kita buktikan buat hari ini. Yang jelasnya ahli ahli parlimen Pakatan Rakyat keliru dan tertanya-tanya mengapa dengan tiba-tiba RUU ini dibentang dan apakah APCO ada peranan atau ASERO yang memberikan input strategik atas isu-isu besar seperti seluruh urusan kawalan dan pengurusan barang strategik termasuk senjata dan bahan yang berkaitan juga ‘Weapon of Mass Destruction’ atau Senjata Pemusnah Berskala Besar.

APCO Worldwide berpengkalan di Washington, juga mempunyai 23 pejabat di seluruh dunia termasuk Tel Aviv. Adalah diketahui umum bahawa penasihat-penasihat kanan yang terlibat dengan APCO termasuklah personaliti seperti Shimon Shein, bekas Duta Israel ke Germany dan Itamar Rabinovich, bekas Duta Israel ke Amerika Syarikat.

Nama-nama besar termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif APCO di Tel Aviv iaitu Gad Ben-Ari, penasihat peribadi kepada mantan Perdana Menteri Israel Yishak Rabin. Juga salah seorang ahli Badan Penasihat Antarabangsa APCO ialah Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Keselamatan Kerajaan Zionis-Israel.

Khidmat cemerlang beliau kepada Perkhidmatan Risik Israel (ISS) telah melayakkan beliau dinobatkan sebagai pemegang ‘Director’s Recognition Award’ oleh Badan Perisik Amerika Syarikat.

Jelas dan tegasnya APCO tidak lagi hanya polemik Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Bahkan ia sekaligus berpotensi menjejaskan aspek keselamatan negara dan juga serentak mampu menjejaskan nama baik dan kedaulatan negara disegi kaca mata dunia amnya dan negara umat Islam khususnya.

Kerajaan BN di bawah pentadbiran Najib dinasihatkan jangan terlalu ambil ringan dalam hal ini dan jangan menguji kesabaran dan tidak mengendahkan keprihatinan seluruh rakyat dalam hal hubungkait berurusan dengan pihak yang punya kaitan dengan Zionis -Israel. Sensitiviti rakyat seluruhnya adalah amat tinggi dalam hal ini, khususnya umat Islam.

Justeru kerana keprihatinan ummat Islam khususnya dan seluruh warga negara Malaysia amnya terhadap isu kekejaman Zionis-Israel terhadap Zionis-Israel dan segala rangkaian dan kepentingannya, maka amat wajar bagi PAS, melalui MP-MPnya supaya membawa dan mengadapkan isu ini ke bawah Duli Yang DiPertuan Agung dan Majlis Raja-Raja yang sekaligus bertanggungjawab ke atas keselamtan dan kedualatan negara ini.

* Dr Dzulkefly Ahmad is a member of the PAS Central Working Committee.

Anwar curiga 2 agen perisikan Israel di Bukit Aman

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 6 April: Kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipertikai apabila Asiasoft (M) Sdn Bhd dilantik sebagai sub-kontraktor bagi pembangunan Sistem Laporan Polis (RPS) Fasa ketiga, dari sistem analog kepada sistem digital.
"Sistem Laporan Polis (PRS) fasa ketiga diserahkan pada Perunding Master Plan Sendirian Berhad (kontraktor utama) yang kemudiannya diserahkan pada sub kontraktor Asiasoft tanpa mengikut prosedur," jelas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) tengah hari tadi dalam suatu kenyataan media di lobi Parlimen.
Menurutnya, perlantikan firma komunikasi strategik tersebut mencurigakan kerana turut membabitkan dua programmer dari Agensi Perisikan Israel (ISA), iaitu Izhak David Naskar dan Ido Sccheschter.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mendedahkan, Izhak merupakan pakar sistem komputer yang pernah memenangi anugerah dari Kementerian Pertahanan Israel.
Izhak kemudiannya, menurut Anwar, bertanggungjawab membangunkan sistem perisikan berteknologi tinggi negara haram Israel beberapa dekad lalu.
Manakala, Ido pula, menurut Anwar dipercayai masih berkhidmat sebagai tentera kor risik Israel.
Kedua-dua peribadi misteri tersebut, menurut dakwaan Anwar, sedang melakukan tugas masing-masing di tingkat dua dan tiga, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Tidak cukup dengan itu, menurut Anwar, keterlibatan perisik Zionis-Israel dalam PDRM dan sistem keselamatan dalam negeri turut disahkan sendiri oleh (Unit Polis) Cawangan Khas dan Jabatan Logistik Polis Bukit Aman.
Pun begitu, menurut Anwar, pegawai tertinggi dalam Polis dan KDN sendiri seolah-olah merestui keterlibatan dua perisik Israel dalam sistem keselamatan negara.
Dari segi yang lain, Anwar berkata, walaupun AsiaSoft tersebut didaftarkan di Malaysia, namun syarikat itu dimiliki secara penuh oleh Asiasoft Pte. Ltd yang berpangkalan di Singapura.
Bercakap pada sidang media yang sama, Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS merayu kepada Majlis Raja-Raja Melayu supaya campur tangan dalam isu terbaru tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Majlis Raja-Raja Melayu wajar berbuat demikian memandangkan PDRM di bawah legasi mereka.
Antara yang menyertai Anwar dan Mahfuz adalah Tian Chua (Ahli Parlimen Batu), Mohd Nasir Zakaria (Ahli Parlimen Padang Terap), Yusmadi Yusof (Ahli Parlimen Balik Pulau).
Sebelum pada itu, Anwar ketika membahaskan bajet tambahan KDN di Dewan Rakyat, mendedahkan beberapa surat rasmi PDRM berhubung pembabitan dua perisik Israel dalam PDRM.
Selain itu, beliau turut meminta KDN menjelaskan tentang projek APCO425 (kemudiannya dikenali sebagai RMT Net) di Taman Teknologi Sungkai yang bernilai antara RM900 juta hingga RM999 juta.

Logo Kami Prihatin

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Sedikit sahaja Yang Berhormat Menteri tentang ”Kami Prihatin” tadi, terima kasih. Saya ingin dirakamkanlah dalam Dewan ini. Bahawa kempen ”Kami Prihatin” ini bukanlah maknanya daripada kementerian sahaja. Akan tetapi sebenarnya Lujnah Kebajikan PAS Pusat telah pun adakan Kempen Kami Prihatin ini sejak 2006 yang lalu. Malah mempunyai logo yang lebih kurang sama sahaja Yang Berhormat Menteri iaitu ’hati’. Jadi saya ingin rakam di situ, yang mana di situ agaknya kita sama-samalah menggunakan dan saya harap tidak ada usaha-usaha dibuat untuk menghalang pihak-pihak lain menggunakan kempen yang sama. Terima kasih.

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil: Tuan Yang di-Pertua, saya rasa bersyukur dan Alhamdulillah kerana sebenarnya rakyat Malaysia memang amat prihatin. Mana-mana jua kalau kita tengok NGO, orang perseorangan, orang politik atau aktivis sosial mereka semua mengambil tindakan untuk membuat program-program. Jadi sebagaimana Yang Berhormat Titiwangsa katakan tadi itu, mungkin betul dan seperti mana yang lain. Saya tengok logo ataupun simbol yang paling diminati oleh rakyat Malaysia bila kita buat kerja-kerja kebajikan ialah simbol hati itu. Jadi macam-macam dia punya penulisan dan caranya itu.

Akan tetapi kalau buat kerja-kerja kebajikan itu percayalah simbol yang digunakan adalah hati. Saya hendak mengalu-alukanlah semua pihak kerana ini adalah tanggungjawab bersama. Isu sosial seperti ini saya hendak menegaskan sekali lagi adalah tanggungjawab bersama. Bagi menjawab Ahli-ahli Yang Berhormat tadi, kita sebenarnya ada empat cara, di kementerian kita identify empat cara untuk menangani isu-isu sosial seperti ini. Pertama advokasi, isu macam pembuang bayi dan lain-lain mesti ada advokasi. Di sinilah kita mengadakan smart partnership dengan semua pihak. Advokasi kedua, pencegahan.

Pencegahan di sinilah undang-undang, peraturan dan polisi itu mustahak. Ketiga sokongan. Ada atau tidak ada sokongan daripada kerajaan, bukan kerajaan dan masyarakat. Keempat penyelidikan yang mesti dibuat sebab kita hendak tahu macam mana perkara ini berlaku dan bagaimana. Akan tetapi saya rasa bahawa kalau semua struktur rakyat Malaysia memainkan, menjalankan tugas dan tanggungjawab insya-Allah kita akan dapat menangani masalah ini.

Hansard Parlimen 1 April 2010

Prihatin tentang Wanita

Dr. Lo' Lo' Haji Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas penerangan sebentar tadi, terutama daripada apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kinabatangan. Akan tetapi untuk pengetahuan Yang Berhormat Kinabatangan dan juga saya kira mungkin dapat penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri, negara-negara lain juga ramai doctorate-doctorate nya, doktor-doktornya, engineer nya daripada kalangan wanita yang dibangunkan oleh kerajaan negara masing-masing. Ini memang tanggungjawab kerajaan, Yang Berhormat Menteri. Bukannya kerana Kerajaan Barisan Nasional tetapi memang itu tanggungjawab kerajaan. Terima kasih.

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil]: Sebenarnya Yang Berhormat, itu tidak betul. Sebab apa, kalau kita pergi banyak negara termasuk negara maju di negara-negara lain, wanitanya mempunyai potensi dan bakat berkobar-kobar hendak memberi sumbangan tetapi mereka tidak diberi peluang. Saya boleh beri nama beberapa negara di seluruh dunia ini di mana wanita tidak ada tempat atau pentas di persada dunia. Tidak ada. Jangan sekali-kali bersikap bahawa perkara ini akan turun begitu sahaja. No dengan izin, it is not true. Kalau di Malaysia kalau kita ada di bawah kerajaan yang tidak prihatin tentang wanita, percayalah Yang Berhormat wanita tidak akan di benar keluar daripada rumah pun. Akan tetapi Kerajaan Barisan Nasional prihatin...

Puan Hajah Zuraida binti Kamaruddin [Ampang]: Celah, celah sedikit.

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil]: Maka sebab itulah hari ini lebih daripada 60% daripada penuntut yang ada di pusat-pusat pengajian tinggi adalah wanita. Saya hendak kata sekali lagi jangan ingat bahawa, “Oh! Ini tugas tanggungjawab kerajaan maka ia kena menentukan wanita ada tempat.” Dengan izin, it is not true at all. Tengoklah sahaja di banyak negara di dunia ini, di mana tahap pencapaian dan sumbangan wanita?

Puan Hajah Zuraida binti Kamaruddin [Ampang]: Terima kasih. Laluan.

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil]: Saya minta maaf saya hendak...
Puan Hajah Zuraida binti Kamaruddin [Ampang]: Tanya sedikitlah. Saya hendak sentuh sedikit sahaja. Sedikit sahaja. Jawablah.

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil]: Yang Berhormat...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Menteri tidak beri, Yang Berhormat.

Puan Hajah Zuraida binti Kamaruddin [Ampang]: Kita di sini bukan atas dasar 30% yang dilaksanakan oleh Barisan Nasional. Kami di sini kerana...

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil]: Minta maaf Yang Berhormat.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Boleh bangun kemudian nanti Yang Berhormat.
Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil]: Tuan Yang di-Pertua, boleh saya lanjutkan?
Puan Hajah Zuraida binti Kamaruddin [Ampang]: ...Kita prihatin dengan wanitawanita di Pakatan Rakyat maka kita ada ahli pembangkang wanita Pakatan Rakyat yang memenuhi 30% sedangkan Barisan Nasional tidak boleh buat lagi.

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil]: Yang Berhormat...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat..

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Menteri punya jawapan pathetic.

Puan Hajah Zuraida binti Kamaruddin [Ampang]: Jadi Yang Berhormat Menteri, jangan cakap Menteri bawa di sini. Itu satu tindakan misleading kepada Dewan ini kerana tidak benar...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, Menteri tidak beri jalan lagi. Yang Berhormat boleh bangun kemudian nanti Yang Berhormat.

Puan Hajah Zuraida binti Kamaruddin [Ampang]: Kenapa Menteri tidak hendak beri laluan? Menteri, relakslah Menteri.

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil]: Yang Berhormat...

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Janganlah emosi Yang Berhormat.

Puan Hajah Zuraida binti Kamaruddin [Ampang]: Yang Berhormat Kinabatangan tidak payah, duduk.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Menteri, your answer is pathetic lah.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Tidak ada. Tidak ada dalam dunia ini...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, Yang Berhormat duduklah Yang Berhormat. Semua duduklah Yang Berhormat. Ya, sila teruskan Yang Berhormat Menteri.

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil: Yang Berhormat daripada Kuala Langat pula mencadangkan supaya kementerian bersama-sama agensi yang berkaitan meminda akta yang berkaitan bagi melanjutkan tempoh cuti bersalin kepada 90 hari. Berkaitan perkara ini saya suka menjelaskan bahawa kementerian amat menyedari akan pentingnya kemudahan cuti bersalin kepada golongan wanita. Untuk menjaga kesihatan diri dan menggunakan masa berkualiti bersama bayi mereka. Kemudahan cuti bersalin adalah sebahagian daripada usaha mewujudkan suasana kerja yang mesra keluarga ke arah mencapai keseimbangan kerjaya dan keluarga.

Sungguhpun begitu lanjutan tempoh cuti bersalin dari 60 hari ke 90 hari juga mempunyai implikasi tertentu kepada banyak pihak. Sehubungan itu banyak aspek yang perlu diteliti dengan lebih lanjut dan mendalam. Sebelum cadangan perlanjutan cuti bersalin dikemukakan kepada kerajaan perkara-perkara seperti implikasi terhadap produktiviti negara yang melibatkan kedua sektor awam dan swasta kewangan dan perjawatan perlu diambil kira terlebih dahulu.

Puan Hajah Zuraida binti Kamaruddin [Ampang]: Mencelah Tuan Yang di-Pertua sedikit mengenai 90 hari.

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil: Saya nanti bagi juga Yang Berhormat, just bagi saya habis sekarang ini.

Puan Hajah Zuraida binti Kamaruddin [Ampang]: 90 hari ya.

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil: Walaupun tempoh cuti bersalin 90 hari belum dilanjutkan, kerajaan melaksanakan inisiatif melanjutkan cuti menjaga anak untuk kakitangan wanita sektor awam daripada 90 hari kepada had maksimum lima tahun berkuat kuasa mulai 3 September 2007. Untuk perkhidmatan awam bapa diberi cuti isteri bersalin selama tujuh hari.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, sila Yang Berhormat.

Puan Hajah Zuraida binti Kamaruddin [Ampang]: Yang Berhormat Menteri, Tuan Yang di-Pertua yang ini beri laluan ya? Alhamdulillah. Mengenai cuti 90 hari ini kita hendak tahu juga kedudukan dari Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sedangkan National Union of Bank Employees (NUBE) hendak mengangkat 90 hari. Akan tetapi oleh kerana dasar yang ada dalam kerajaan sekarang tidak membenarkan tidak termasuk dalam perlembagaan, maka NUBE kena menunggu, menunggu jawapan ataupun langkah yang diambil oleh kerajaan barulah NUBE dapat menjalankan melaksanakan tuntutan ini kepada semua majikan-majikan perbankan. Akan tetapi apa yang disebutkan Yang Berhormat Menteri tadi mengenai perkaraperkara
yang harus kita fikirkan tentang produktiviti dan sebagainya. Itu satu jawapan yang regresif. Selaku Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat sepatutnya kita sudah fikirkan sekiranya ramai wanita yang berkecimpung dalam dunia pekerjaan maka apakah sistem sokongan yang harus kita sediakan. Ini agar wanita boleh bekerja pada masa yang sama boleh menjaga keluarga mereka.

Jadi ini should be satu langkah progresif yang harus difikirkan. Bukan memikirkan bahawa kalau wanita bekerja dua bulan bercuti, 90 hari bercuti maka produktiviti itu jatuh. Itu tidak benar. Jadi ini yang harus kita fikirkan. Terima kasih.

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil: Tuan Yang di-Pertua, saya hendak berkongsi bersama dengan semua Ahli Yang Berhormat apa yang telah berlaku tentang isu cuti bersalin ini. Sebenarnya Yang Berhormat sebagai seorang wanita saya pun mahu cuti 90 hari ini menjadi kenyataan. Akan tetapi Yang Berhormat tiga tahun dahulu Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempelopori isu ini, di mana kita telah pun mengadakan bengkel-bengkel dengan pelbagai pihak. Ini termasuk dengan kumpulan-kumpulan NGO wanita, dengan izin Malaysian Federation of Employers dan semua serata masyarakat. Apa yang terkejutnya Yang Berhormat saya dapati bahawa ramai juga NGO dan juga wanita yang tidak menyokong untuk kerajaan meningkatkan hari bersalin. Saya sendiri bila dengar dengan telinga saya sendiri ada wanita yang rasa tidak puas hati kita di kementerian memperjuangkan hendak menambahkan isu hari bersalin. Bila saya tanya pada mereka kenapa pula you sebagai seorang wanita you tidak mahu sokong ini? Mereka kata pada saya mereka
takut nanti kalaulah dimandatorikan cuti bersalin ini mereka takut sebagai pekerja wanita, mereka tidak lagi menarik sebagai seorang pekerja...

Beberapa Ahli: [Bangun]

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil: ...Wait, let me finish first, dengan izin Tuan Yang di- Pertua. Ini kata mereka kepada saya. Dia kata kenapa dia kata, sebab apa kita bekerja kita hendak menyumbang dan kita boleh handle 60 hari yang ada. Ini pun ada pendapat daripada ramai daripada anggota masyarakat. Sebab mereka takut dengan izin, they will be list out employment dan majikan tidak mahu nanti hendak ambil wanita sebagai tenaga pekerja. Akan tetapi bila kita jawab balik - saya sendiri kata, itu sebenarnya tidak benar sebab kita kementerian pun berpendapat bahawa masanya sudah tiba mesti ada pertukaran mind set semua pihak bukan hanya kerajaan. Perkhidmatan awam saya percaya kita minta ini mereka akan bagi tetapi yang saya bimbang sedikit adalah sektor swasta. Saya sendiri pun rasa bahawa mesti menyediakan persekitaran supaya ada dengan izin, mindset change. Di mana semua majikan mesti lihat situasi atau alam pekerjaan dengan kaca mata yang lain dengan izin, there has to be more family, friendly workplace.

Malangnya pada hari ini saya tengok bahawa tahap sikap yang ada tidak sampai ke situ. Jadi saya percaya bahawa dengan usaha sama kementerian, kerajaan - Ahli Yang Berhormat semua dalam masa terdekat kita bersama-sama boleh memperjuangkan. Ini supaya bukan hanya cuti bersalin tetapi misal kata macam tempat penyusuan untuk ibu dan lain-lain - taska, tadika, semua prasarana untuk persiapan supaya wanita boleh mudah bekerja dan menyumbang kepada negara akan menjadi kenyataan.

Saya mengaku bahawa pada masa ini saya sendiri pun tidak dengan izin, I am not happy. Saya tidak puas hati dengan keadaan yang ada pada hari ini. Akan tetapi ini menjadi satu cabaran kepada kita semua dan percaya kerajaan melalui kementerian kita di mana NGO wanita itu sendiri yang tidak mahu perkara ini berlaku. Kita mesti convince them dan membawa mereka bersama-sama dengan kita. Insya-Allah Yang Berhormat, yang 90 hari ataupun masa kita di kementerian dahulu - 84 hari kita hendak minta extra berminggu saya berdoa akan menjadi kenyataan.

-----------------------------------------------------
Dr. Lo’ Lo’ Haji Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Isu yang sama. Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih. Sebelum saya bercakap saya ingin merakamkan rasa kesedihan dan kekecewaan saya atas kejadian yang telah berlaku sehingga menyebabkan salah seorang Ahli Parlimen kita diminta keluar daripada Dewan kita pada hari ini tanpa withdrew respect kepada Tuan Yang di- Pertua. Merakamkan sahaja.

Yang Berhormat Menteri, berkenaan dengan ibu tunggal. Sebenarnya ada lagi satu golongan dalam ibu tunggal iaitu ibu tinggal. Maknanya mereka ini masih ada suami dan tidak bercerai atau suami mereka tidak mati tetapi suami tidak berada dengan mereka misalnya isteri-isteri banduan terutama isteri-isteri tahanan ISA di mana mereka ini sering menjadi mangsa. Seperti mana yang kita tahu apa yang berlaku baru-baru ini, saya terlupa nama seorang kanakkanak berumur tiga tahun yang dibelasah sehingga maut, sehingga mati oleh boyfriend kepada ibunya yang merupakan ibu tinggal kerana suami atau bapa budak ini duduk dalam penjara. Jadi isu masyarakat seperti ini sudah banyak dan itu bukanlah satu kes yang pertama.

Saya ingin bertanya adakah kementerian mempunyai satu polisi untuk membantu dan membela isteri-isteri banduan? Ini kerana mereka tidak bersalah, anak-anak mereka tidak bersalah tetapi yang bersalah bapanya ataupun suaminya. Jadi mereka ini perlukan pembelaan sebab biasanya masalah mereka ini bukan sahaja dari segi kekurangan kewangan dan sebagainya tetapi menghadapi tekanan emosi dan psikologi kepada masyarakat juga.

Keduanya adalah isu tahanan ISA di mana pelajar-pelajar luar negara telah ditangkap baru-baru ini. Mereka ini bukan rakyat Malaysia. Setelah ditangkap dan Menteri Dalam Negeri ada dalam sini alhamdulillah, ditangkap dan mereka tiba-tiba dilepaskan dan deported, dengan izin. Dihantar pulang ke negara mereka meninggalkan isteri dan anak-anaknya di sini. Siapa yang bertanggungjawab ke atas mereka? Mereka ini tidak ada wang, tidak ada cukup finance untuk balik ke negara mereka. Mereka terlonta-lonta. Mereka datang ke sini dengan visa suami. Jadi siapa yang bertanggungjawab? Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri ataupun Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat? Adakah sepatutnya mereka ini memang dapat pembelaan kerana mereka ini tidak bersalah? Suami mereka pun ditangkap tanpa bicara. Jadi saya ingin bertanya apakah pendirian kementerian dalam isu ini? Terima kasih.

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil: Tuan Yang di-Pertua, pertamanya bagi menjawab Yang Berhormat Batang Sadong. Saya hendak maklumkan bahawa kita di kementerian sekarang kita akan ada satu peningkatan dengan cara kita membantu kumpulan sasar termasuklah ibu tunggal.

Pertamanya, saya hendak rangkumkan kedua-dua ya. Kita akan beri perhatian sekarang bukan hanya kepada ibu tunggal tetapi wanita yang menjadi ketua isi rumah. Ini sebab seperti manaYang Berhormat Titiwangsa kata kadangkala walaupun dia bukan ibu tunggal tetapi dia ketua isi rumah. Saya sudah meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat mengawasi kes-kes seperti itu sama ada dia banduan atau dalam keadaan lain yang memerlukan bantuan memang saya setuju dengan Yang Berhormat.

Kalau suami itu yang menjadi banduan dia masuk dalam jel kenapa pula isteri dan anak-anaknya yang mesti diseksa. Itu tidak adil. Jadi saya meminta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat kita membuat kerja-kerja kebajikan, kita kena bantu kumpulan sasar. Insya-Allah saya dimaklumkan bahawa beberapa kes di mana suami menjadi banduan, kita sudah pun melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat membantu mereka. Jadi kalau Yang Berhormat tahu ada kes-kes sama ada ISA atau mana-mana pun sila rujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, tindakan akan diambil. Untuk...

Dr. Lo’ Lo’ Haji Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Minta maaf. Ini akan jadi satu polisi, satu dasar kepada kementerian?

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil: Itu sebagai arahan daripada Menteri bahawa kalau ada kes-kes seperti itu sebab apa kemiskinan dan juga kes-kes seperti ini kita tidak kira siapa jua yang merujuk. Kalau ada rujukan insya-Allah Jabatan Kebajikan Masyarakat akan turun ke padang secepat mungkin membantu. Saya sendiri pun rasa sebagai seorang wanita apabila saya dengar dan dapat tahu akan kes-kes seperti ini saya pun risau dan memang saya pun geram dan sakit hati kenapa seorang wanita itu dan anak-anak mesti menanggung risiko kerana perbuatan seorang suami yang tidak bertanggungjawab. Jadi insya-Allah Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membantu.

------------------------------------------------------------
Dr. Lo’ Lo’ Haji Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Menteri saya hendak sambung sedikit sahaja daripada itu, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Oleh sebab sekarang ini kementerian sedang dalam penggubalan dasar program keluarga saya dengar tadi ya? Jadi saya ingin meminta supaya ia dimasukkan kalau boleh ke dalam kurikulum pelajaran sekolah ataupun universiti dan sebagainya iaitu di mana seperti kata Yang Berhormat Kota Raja apabila adanya seorang bayi dibuang, di situ yang bertanggungjawabnya adalah dua insan iaitu seorang lelaki dan juga seorang wanita. Pernah tidak kita agaknya sebagai ibu bapa, sebagai guru, sebagai ustaz, sebagai ulama, sebagai ketua-ketua agama menasihatkan kepada remaja-remaja lelaki misalnya, bahawa apabila dia telah baligh maka dia bertanggungjawab atas diri dia sendiri. Kalau dalam Islam kena jaga pandangan, tundukkan pandangan, jaga kemaluan dan kena ingatkan kepada dia.

Sebagai seorang doktor saya tidak malu menyebut benda ini bahawa setiap benih yang dia taburkan itu kalau sekiranya menjadi manusia, maka dia bertanggungjawab dunia dan akhirat. Jadi perkara ini kita kena sebutkan supaya remaja-remaja lelaki ini sedar bahawa dia boleh buat tidak tahu kepada teman wanita yang telah mengandung misalnya, tetapi apabila bayi itu dibuang dan disia-siakan maka dia sebenarnya bertanggungjawab di situ. Jadi maksudnya dalam kurikulum itu, mesti ada unsur-unsur seperti ini bukanlah sahaja kepada pihak wanita tetapi pihak kepada lelaki. Terima kasih.

Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil: Tuan Yang di-Pertua, saya - mungkin kita bila kita cakap tentang isu bayi ini, kita wanita ini tidak kira di mana sahaja, kita mempunyai perasaan yang sama. Saya hendak berkongsi pengalaman kami di kementerian, sebenarnya untuk isu pembuangan bayi ini, kita di kementerian, kita macam hendak tarik rambut daripada tepung. Kita boleh hendak hentak betul-betul dan misal kata hendak tentukan kita tangkap ibu itu dan persoalannya apa akan jadi kepada beliau, mungkin kebanyakan daripada ibu ini muda.

Soalannya adakah kita beri peluang kedua kepada remaja ini, dia sudah buat salah sudah, dihukum tetapi kalau dihukum adakah hukuman itu memberi peluang kedua untuk rehabilitasi, pertama. Keduanya pula, di mana bapa-bapa ghaib ini, saya tengok tiap-tiap kes tidak siapa pun tanya mana bapak ghaib itu? Mai kot mana anak yang wanita itu boleh melahirkan anak, betul tidak? Jadi saya tanya macam mana ini kalau ada isu seperti ini, wanita sahaja yang dipersalahkan.

Saya tidak kata wanita tidak salah tetapi saya hendak tanya mana dia bapak-bapak ghaib ini pun. Memang betul apa yang Ahli-ahli Yang Berhormat kata, ini menjadi cabaran kepada kita semua. Saya harap keadaan akan bertambah baik dengan kerjasama yang ada. Yang Berhormat saya hendak baca dan hendak sambung sebab apa, banyak soalan yang ditanya itu ada di dalam jawapan saya. Saya hendak cakap sikit tentang perundangan yang ada, okeylah kita bagi chance sekali kepada Yang Berhormat Padang Besar, selepas itu saya hendak sambung semula.

Hansard Parlimen 1 April 2010
Soalan saya naik nombor 68 bermakna tidak akan dijawab secara lisan tetapi akan dijawab secara bertulis. Jawapan secara lisan oleh Menteri atau Timbalan Menteri hanya sempat ke soalan nombor 10 sahaja, kadang2 sampai ke nombor 12.

PR-1231-L36677
Dr. Lo' Lo' binti Mohamad Ghazali [ Titiwangsa ] minta PERDANA
MENTERI menyatakan penggunaan peruntukan khas Parlimen
Titiwangsa seperti siapakah pemohon, untuk projek, program atau
sumbangan apa, masa dan tarikh diluluskan, siapa pihak penerima dan
jumlah yang diperuntukkan setiap satu bagi tahun 2008 dan 2009.

Kita tunggukan jawapannya sebab kita hendak tahu kemana perginya RM 1 juta yang diperuntukkan setiap tahun yang sepatutnya digunakan oleh Ahli Parlimen untuk parlimen masing2. Menurut pegawai Pembangunan Negeri (SDO state development officer) peruntukan ini bagi parlimen yang dimenangi PR diberikan kepada Ketua UMNO Bahgian yang tiada local standi dan tiada audit dibuat. Kena ingat bahawa duit ini bukan duit umno bn tapi duit rakyat.

Dr Lo'Lo'

Thursday, 1 April 2010

Wakil Rakyat boleh masuk disetiap Sekolah

Dr. Lo’ Lo’ Haji Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Terima kasih Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran tentang jawapan yang begitu positif di mana saya selaku Ahli Parlimen, wakil rakyat di kawasan saya merasa gembira dengan jawapan positif daripada Yang Amat Berhormat Menteri berkenaan dengan sesiapa juga pimpinan masyarakat boleh masuk ke sekolah dengan tujuan untuk sama-sama membantu membangunkan sekolah di kawasan kita masing-masing, seperti yang dikatakan asalkan jangan dipolitikkan. Kita mengerti kerana kita semua adalah Ahli-ahli Parlimen yang matang, yang bukan maknanya mengambil semberono sahaja, semua tempat hendak dipolitikkan.

Akan tetapi baru-baru ini, untuk pengetahuan Yang Amat Berhormat Menteri, bagaimana UMNO Bahagian Segambut telah masuk ke sebuah sekolah menengah di Segambut dengan program-program tertentu dan malah Puteri UMNO membuat pendaftaran Ahli Puteri UMNO di sekolah tersebut. Ini jelas satu aktiviti politik dan saya harap mendapat perhatian daripada Yang Amat Berhormat Menteri. Saya mengharapkan supaya apa yang dikatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ini akan boleh kita praktikkan ataupun realisasikan di luar sana.

Baru-baru ini di kawasan saya sebagai contoh di mana seorang bekas Wakil Rakyat Titiwangsa yang merupakan pengerusi sebuah yayasan iaitu Yayasan Pendidikan Titiwangsa merasmikan sukan-sukan sekolah, PIBG sekolah dan sebagainya di kawasan saya sedangkan saya sebagai Ahli Parlimen memang dilarang memang masuk. Ini realitinya. Jadi, saya mintalah juga jawapan positif ini menjadi sesuatu yang kita boleh praktikkan di luar. Terima kasih.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Yang Amat Berhormat Menteri, satu soalan? Tentang dasar, apa yang saya ingin bangkitkan ialah bagaimanakah menyelesaikan masalah guru yang berkurangan secara berperingkat. Kedua, saya juga minta Tan Sri jelaskan sejak bila kementerian duduk dan berbincang tentang masalah kekurangan guru dengan Dong Jiao Zhong. Terima kasih.

Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin: Biar saya jawab dulu. Pertamanya terima kasih Yang Berhormat Titiwangsa. Saya sudah jelaskan, saya tidak perlu ulangkan. Akan tetapi kalau ada katanya Puteri UMNO masuk ke sekolah daftar Ahli Puteri UMNO saya pun fikir itu tidak sepatutnyalah walaupun dari parti. Saya akui kadang-kadang ada berlaku sebegitu sebab kita hendak mengelakkan kawasan itu menjadi kawasan orang kata di mana pihak parti politik menyalahgunakan. Jadi, kalau ada kelemahan itu kita boleh perbaiki.

Tuan Haji Ahmad Kassim [Kuala Kedah]: Yang Amat Berhormat Menteri, kalau dasar Yang Amat Berhormat Menteri sebutkan tadi boleh direalisasikan dalam kementerian bermakna parti-parti politik tidak dibenarkan masuk dalam sekolah. Kalau hendak benar, dibenarkan semua, kalau tidak hendak benar, tidak dibenarkan semua boleh dijadikan satu polisi. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri.

Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin: Cuma jangan dipolitikkan. Pemimpin-pemimpin masyarakat boleh pergi...

Tuan Haji Ahmad Kassim [Kuala Kedah]: Kami setuju. Be fair. Setuju.

Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin: Akan tetapi ia tidak boleh jadi forum untuk dipolitikkan.

Ucapan DSAI -APCO-

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ahli-ahli Yang Berhormat, seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Pembangkang Ahli Parlimen Permatang Pauh melalui surat bertarikh 22 Mac 2010 dan perbincangan saya dengan Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya dengan ini menjemput Yang Berhormat Permatang Pauh untuk memberi penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kota Belud iaitu 1999 1Israel, 2009 APCO, penasihat Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, 1Malaysia. Saya ingin memaklumkan bahawa saya tidak membenarkan sebarang pencelahan semasa Yang Berhormat Permatang Pauh memberi penjelasan terhadap isu ini. Silakan Yang Berhormat Permatang pauh.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua kerana memberikan ruang kepada saya untuk memberi penjelasan mengenai peranan dan skop penglibatan firma perhubungan awam bernama APCO. Isu ini wajar diberi perhatian khusus kerana ia bukannya sekadar isu 1Malaysia atau 1Israel atau tohmahan yang dilemparkan kepada saya sebagai seorang ejen Yahudi. Namun demikian, isu-isu yang terbabit ditenggelami jika hendak dibandingkan dengan skandal dahsyat yang bakal saya dedahkan pada hari ini, yang tidak bersangkutan dengan kedudukan, sama ada reputasi saya ataupun rakan-rakan.

Sesungguhnya keselamatan negara kita dalam bahaya. Isu ini membongkar politik kronisme yang membarah serta rundingan sulit pihak tertentu sehingga membelakangkan kepentingan rakyat dan negara. Tidak dapat dinafikan lagi, kini wujud ancaman terhadap keselamatan nasional, maklumat strategik negara terdedah kepada agen perisikan asing khususnya Israel dan tercalarnya maruah umat. Bagi mengelak sebarang keraguan penjelasan saya hari ini bukan sekadar muslihat politik ataupun tuduhan tidak berasas, insya-Allah setiap kenyataan saya ini akan disokong dengan dokumen, rencana, malah salinan perjanjian yang ditandatangani oleh pihak-pihak terlibat termasuk Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Israel. [Tepuk]

Sehingga kini Perdana Menteri belum pun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaan saya, agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasnya, jumlah dana yang diperuntukkan, setiap penama penasihat yang terbabit, peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan dan jaringannya. Selama ini kita hanya dimaklumkan bahawa penglibatan APCO adalah terhad tetapi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kebelakangan ini menunjukkan penglibatan yang lebih menyeluruh dan membimbangkan.

Ini berdasarkan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dua, tiga kali yang menyatakan di Parlimen, kerajaan ada melantik syarikat APCO Worldwide Sdn. Bhd. untuk melaksana perkhidmatan berkaitan komunikasi kepada Kerajaan Persekutuan secara menyeluruh. Syarikat APCO Worldwide juga disarankan menjayakan program untuk mempromosi dan meningkatkan imej negara di luar negara. Manakala APCO sendiri, yang pertama tadi menjawab soalan daripada Yang Berhormat Tanah Merah, 16 November 2009. Kedua, kenyataan APCO yang merumus penglibatan mereka seperti berikut: 18 Mac 2010: “APCO’s work has included communication support for a broad range of reform initiatives, undertaken by the government of Malaysia especially in the areas of creating jobs, promoting education and strengthening delivery of services to the people.” Kenyataan tersebut sebenarnya membuka pekong serta memunculkan lebih banyak persoalan. Ini bukan syarikat perhubungan awam biasa yang sekadar menulis ucapan, mahupun kenyataan akhbar ataupun bertindak melonjakkan imej Perdana Menteri. Itu pun amat dikelaskan kerana ia dilakukan dengan menggunakan dana rakyat. Dilaporkan usaha ini menelan belanja sekitar RM20 juta. Secara sedar ataupun tidak, kenyataan APCO mengakui bahawa lantikannya adalah untuk membantu strategi komunikasi yang menyeluruh. Ini bermakna firma tersebut terlibat secara langsung memberi bantuan komunikasi di dalam pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan.

Reform initiatives – ini bermakna APCO terlibat secara langsung dalam mempengaruhi mesej yang disampaikan kepada rakyat. Saya akan terangkan dengan mendalam kenapa perkara ini sangat merbahaya kepada rakyat dan negara. Pada 18 Mac tahun ini, APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan mereka dengan Gagasan 1Malaysia. Kononnya konsep itu wujud sebelum APCO dilantik sebagai firma perunding. Penafian yang dibuat oleh APCO itu merupakan usaha mereka untuk mengelirukan kita akan tarikh sebenar firma tersebut terbabit dengan pentadbiran Perdana Menteri sekarang. Penafian tersebut menggambarkan bahawa ia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pentadbiran Dato' Sri Mohd. Najib ataupun Dato’ Sri Mohd. Najib sendiri, pembantunya atau para penasihatnya. Sebuah portal berita telah melaporkan pada 28 Julai 2009 setakat mana penglibatan APCO dengan pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib. Antara lain dilaporkan bahawa perkhidmatan APCO diperkenalkan kepada Perdana Menteri oleh Omar Mustapha, penasihat Perdana Menteri dan juga teman Yang Berhormat Rembau  dalam firma perundingan Ethos Consultancy. Saya akan buktikan selepas ini bagaimana perkaitan di antara Omar Mustapha dan APCO, sebelum APCO dilantik secara rasmi sebagai perunding kerajaan. Walaupun ia diumumkan kepada negara dan rakyat bahawa 1Malaysia dicetuskan oleh Perdana Menteri, peranan Ethos Consultancy tidak boleh diremehkan. Ternyata kebanyakan daripada kita tidak menyedari hubungan akrab eksekutif Ethos dan APCO yang masih berterusan.

Oleh sebab itu kita tidak hairan sebaik sahaja Dato’ Sri Mohd. Najib menjadi Perdana Menteri, Omar Mustapha dikhabarkan membawa masuk APCO sebagai perunding komunikasi kerajaan. Malah kita mendengar berita dengan jelas telah pun ditempatkan di pejabat PM sejak dari awal PM mengambil alih... [Disorak] APCO dilaporkan secara langsung dalam menentukan strategi 100 hari pentadbirannya, termasuk mesej dan dasar utama 1Malaysia dan inisiatif lain. Berdasarkan laporan tersebut, pegawai-pegawai kanan kerajaan dikatakan tidak selesa apabila PM ingin menganugerahkan kontrak bernilai RM20 juta kepada APCO untuk meneruskan kerjakerja rundingan dengan kerajaan. Kontrak itu dijangka dianugerahkan di antara bulan Julai dan September 2009 iaitu selepas penglibatan individu daripada APCO yang dibawa masuk pada tempoh awal Perdana Menteri mengambil alih.

Semua ini bukan saya yang kata, bukan Pakatan Rakyat yang cipta, dilaporkan sejak tahun lalu, ia belum dinafikan oleh pihak kerajaan sehingga sekarang. Oleh sebab itu mengambil kira beberapa peristiwa atau contoh yang berlaku apabila kerajaan ditipu oleh penasihat-penasihat asing sehingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit atau diaibkan di peringkat antarabangsa, saya melihat episod pelantikan APCO sebagai satu lagi kelalaian yang boleh merugi dan malah membahayakan negara. Tanggungjawab saya memperingatkan Perdana Menteri dan kerajaan untuk tidak mengulangi kesilapan dan kelalaian lalu apabila terlalu percayakan penasihat asing, sehinggakan kita tidak memeriksa dengan tepat reputation mereka, serta penglibatan mereka sebelum ini. Apatah lagi pelantikan tersebut diselubungi misteri dan tanpa penelitian. Dulu mantan Perdana Menteri mengizinkan kerajaan melantik David Zaidner dari firma Marc Rich untuk menasihati agensi kerajaan dan Bank Bumiputera cuba memanipulasi pasaran timah sedunia sehingga kita mengalami kerugian besar. Tidak sewajarnya kita melupakan skandal Maminco. Mantan Perdana Menteri kita itu seolaholah tidak meneliti dahulu rekod David Zaidner yang diketahui umum tidak suka peraturan dan undang-undang di dalam amalannya.

Kemudian episod yang membabitkan Jack Abramoff hanya untuk mendapatkan satu temu janji dengan Presiden Bush dalam tahun 2002 dengan membayar USD1.2 juta tanpa memeriksa dulu latar belakang Jack Abramoff. Dalam tahun 2006, Kerajaan Malaysia dimalukan apabila Jack Abramoff didapati bersalah menipu dalam transaksi kewangan sehingga dipenjarakan dan pada masa itulah semua penglibatan Kerajaan Malaysia terbongkar. Jack Abramoff juga merupakan seorang pelobi yang terlibat dalam penipuan tanah kaum peribumi Amerika Syarikat, Red Indian untuk tujuan pembinaan kasino, satu lagi tauke judi. Pelantikan Abramoff juga dibuat dengan penuh kerahsiaan, dan pasti tidak diketahui umum sekiranya Abramoff tidak diheret ke muka pengadilan di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun mantan Perdana Menteri tersebut hanya memberikan tugasan yang spesifik kepada firma Marc Rich dan Jack Abramoff dan tidak melibatkan perjalanan jentera kerajaan secara menyeluruh. Dalam konteks ini kita melahirkan kebimbangan kerana kenyataan kerajaan sendiri menjelaskan bahawa mereka memainkan peranan penting membentuk strategi komunikasi kerajaan dalam dasardasar penting terutamanya melibatkan rakyat. Kenyataan APCO menyatakan, saya quote dengan izin, “will work to assist in strengthening the government’s online and others strategic communication capabilities, to speed the delivery of accurate information to the media and public.”
Sekarang kebimbangan kita bukan sahaja latar belakang APCO tetapi bentuk penglibatan APCO dengan Kerajaan Malaysia dan apakah maklumat yang telah dikongsi oleh kerajaan dengan APCO. Sebelum kita meneliti dengan lebih dalam kenapa penglibatan APCO secara rapat dengan kerajaan merupakan satu risiko yang besar yang wajar kita elakkan. Kita perlu meneliti dahulu modus operandi firma-firma seperti APCO. Hanya dengan memahami modus operandi digunakan oleh APCO baru kita boleh memahami kenapa penglibatan APCO dengan Kerajaan Malaysia diselubungi misteri dan rahsia. APCO memang sebuah firma hubungan awam bertaraf antarabangsa. Reputasinya digilap kerana penglibatan tokoh-tokoh yang ada kaitan dengan pentadbiran Amerika Syarikat ataupun ahli-ahli politik di Capitol Hill. Pada masa yang sama APCO juga menggunakan khidmat mereka yang mempunyai pengaruh di dalam bidang atau kerajaan masing-masing. Kalau kita lihat senarai panel penasihat antarabangsanya, ahli panel penasihat APCO termasuklah beberapa tokoh diplomatik dan tokoh perisikan Israel. Oleh itu adalah penting untuk Dewan Rakyat memahami bahawa reputasi APCO adalah sebagai sebuah firma pelobi.

Apa fungsi firma pelobi di Washington? Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan atau seminar seperti yang diadakan baru-baru ini. Untuk membaiki imej sebuah organisasi terutamanya, pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang terburuk di mata dunia. Jadi fungsi utama mereka adalah melunakkan, membaiki imej pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod yang tidak baik. Saya akan senaraikan selepas ini contoh-contoh pemimpin sebegini. Secara tidak langsung kini Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib telah mendapat penghormatan mahu diheret dan digolok dengan pemimpin-pemimpin sedemikian.

Untuk menjalankan tugas ini APCO mereka perlu menjaga nama dan reputation mereka sebagai firma perhubungan awam. Sebab itu ada beberapa perkara penting di dalam modus operandi mereka yang perlu kita fahami. Pertama, mana-mana pihak yang mengambil APCO sebagai perunding akan menandatangani perjanjian. Salah satu bahagian utama perjanjian adalah mengenai perkara-perkara rahsia dengan izin, confidentiality atau non-disclosure. Reputasi APCO sebagai firma pelobi banyak bergantung kepada kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan dan penglibatannya dengan badan yang melantiknya terutama pemimpin-pemimpin yang berimej buruk.

Sebab itulah tidak sukar untuk Barisan Nasional mengaburi mata rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan mereka dalam 1Malaysia atau peranan sebenar dalam Kerajaan Malaysia. Biar saya ingatkan bahawa rakyat Malaysia tidak mudah untuk diputarbelitkan. Mereka faham bahawa adalah menjadi sebahagian dari tugas APCO seperti termaktub dalam perjanjian lantikan bersabit perkara-perkara sulit dan rahsia. Untuk melindungi client mereka dan secara langsung menafikan penglibatan. Saya ambil contoh dua perjanjian lantikan yang melibatkan APCO.

Pertama, yang ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia dengan APCO bertarikh 4 Ogos 2009. Secara khusus memberi tugasan kepada APCO untuk membaik pulih imej Kerajaan Malaysia. Ini aneh dalam kerajaan - tandatangan di antara kerajaan dengan syarikat. Dalam konteks ini ia ditandatangani oleh pegawai dan disaksikan oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sendiri iaitu Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad. Ia menunjukkan hubungan langsung APCO dengan Perdana Menteri, sedangkan pada kebiasaannya perjanjian kerajaan hanyalah ditandatangani oleh pegawai-pegawai kerajaan.

Satu lagi contoh ialah perjanjian lantikan Kerajaan Israel yang melantik APCO menjalankan tugas yang sama. Pada jangka waktu yang sama iaitu Januari 1992, Ehud Barak berkhidmat sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera negara Israel. Saya akan jelaskan hubungan APCO dan ketenteraan dan intelligence Israel dan bagaimana penglibatan pegawai pengarah risikan Israel yang menjadi pegawai utama APCO. Kedua-dua perjanjian ini yang akan saya serahkan kepada Tuan Yang di-Pertua jelas menghuraikan peranan APCO sebagai pelobi. Antara lain menyimpan rahsia-rahsia kerajaan yang diberikan kepada APCO dalam menjalankan tugas. APCO tidak boleh mendedahkan maklumat kecuali diberi keizinan oleh kerajaan berkenaan - Israel atau Malaysia dalam konteks ini.

APCO malahan terlibat dengan apa yang dipanggil sebagai komunikasi strategik secara menyeluruh. Kita justeru itu berhak menuntut kerajaan dan Perdana Menteri datang ke Dewan terus terang mengenai perjanjian yang telah ditandatangani dengan APCO. Terutamanya semua soalan yang telah saya timbulkan minggu lalu mengenai tugasan, bayaran, penasihat terbabit dan pengaruh mereka dalam seluruh jaringan kerajaan setakat ini.

Berbalik kepada modus operandi yang kita katakan tadi, APCO dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya sebagai firma bersekutu. Ada yang atas nama APCO - ini yang dipertikai. Ada yang katakan sebelum APCO tidak ada, tidak benar kerana APCO berfungsi kalau dilihat cara modus operandinya dengan firma bersekutu (associates) di seluruh dunia. Selain ASERO, firma bersekutu lainnya adalah Global Political Strategies. Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah ASERO Worldwide yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon. Ingat - bekas Ketua Perlindungan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral. Selain peranan beliau dalam eksekutif, beliau juga adalah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO. Jadi kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di antara APCO dengan kerajaan semata-mata. Kerajaan boleh sahaja melantik firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari APCO. Ini kita pertahankan dengan rekod yang ada. Kalau di Israel lantikan dibuat melalui ASERO Worldwide - syarikat sekutu APCO. Contohnya kontrak lantikan bertarikh 9 Januari 1992 adalah di antara Kerajaan Israel dengan sebuah firma bersekutu APCO bernama GCI International. Akan tetapi apabila kita meneliti kandungan perjanjian tersebut, termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas melobi - pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini CEO kepada APCO. Oleh sebab itu kita perlu berhati-hati dengan penafian oleh APCO bahawa ia tidak terlibat.

APCO sebagai sebuah firma mungkin tidak terlibat dengan idea Gagasan 1Malaysia. Apa mungkin Perdana Menteri hadir di Dewan dan menyatakan secara tegas bahawa tidak ada mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO atau firma bersekutu APCO atau dengan APCO penasihatnya yang terlibat dengan gagasan 1Malaysia. Kita pertikai gagasan penting bagi pentadbiran sekarang tidak tergolong dengan apa yang dikira sebahagian dari komunikasi yang menyeluruh. Komunikasi menyeluruh tidak termasuk mempromosi 1Malaysia - ini aneh.

Bolehkah Perdana Menteri menerangkan, adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha yang dikatakan bertanggungjawab membawa Gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri - atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana individu yang dikaitkan dengan APCO. Perdana Menteri perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau manamana firma dilantik oleh kerajaan pernah melantik Mind Teams Sdn. Bhd.

Mind Teams Sdn. Bhd. iaitu nama syarikat sebelum APCO secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur. Jadi kalau perjanjian APCO itu bertarikh sedemikian sebelum APCO ada diwujudkan Mind Teams Sdn. Bhd. Siapa yang mengetuainya? Dua-dua tokoh besar APCO. Nama Mind Teams Sdn. Bhd. Paul Stadlen - Pengarah Mind Teams Sdn. Bhd. dan sekarang CEO APCO Kuala Lumpur.

Dato' Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Orang mana itu, orang Bukit Dewa kah?

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Seorang lagi ialah Margery Kraus yang saya ramalkan tadi. Siapa dia? Sekarang CEO APCO - individu penting yang terlibat dengan perjanjian dan akaun di Israel. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri perlu menerangkan kepada Dewan, ya Menteri Agama terpaksa keluar – Kenapa Omar Mustapha penasihat yang dipercayai Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melaporkan bahawa APCO untuk menasihati kerajaan dalam dasar-dasar penting terutama 1Malaysia. Tidakkah ini menimbulkan persoalan mengenai perkaitan di antara Ethos, APCO dan 1Malaysia? Oleh sebab itulah Omar Mustapha sekarang ditolak juga walaupun Lembaga Pengarah Petronas menolak penyertaan beliau sebagai Pengarah kerana gagal membayar biasiswa, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri masih mendesak dan Petronas akhirnya terpaksa menerima Omar Mustapha.

Soalan-soalan ini Tuan Yang di-Pertua perlu dijawab oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana kita tahu modus operandi APCO diselubungi dengan rahsia melibatkan banyak individu yang bernaung dengannya tetapi menggunakan firma-firma yang berlainan. Apakah kebimbangan kita? Kerajaan Malaysia dan APCO bersabit dengan rekod APCO dengan pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi manusia ataupun penyelewengan harta rakyat di seluruh dunia.

Ada dua aspek yang membimbangkan kita. Pertama, APCO banyak memberi khidmat untuk memulihkan imej pemimpin sebagai yang menindas rakyat di negara masing-masing sehingga akhbar The Times of India dengan laporan terperinci menulis bagaimana APCO mempunyai diktator-diktator di dalam senarai pelanggannya. Rencana tersebut menyenaraikan di antara lain dengan izin “Adolf Hitler was a brilliant propagandist. Narendra Modi too believe in the power of image which is probably why the chief minister hired a US lobbying firm which has serviced clients like former Nigerian dictator Sani Abacha and President for life of Kazakhstan Nursultan Abishuly Nazarbayev. This Washington based firm, APCO Worldwide, was hired by Modi sometime in August this year, in the run-up to an important assembly election to improve his image before the world community. Among its recent clients are Mikhail Khodorkovsky, a former Communist youth leader turned Russian billionaire with mafia links”.

Keduanya, mereka terlibat dengan APCO mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan Israel serta ahli politik Amerika Syarikat yang mempunyai pandangan yang serong terhadap umat Islam. Soalan saya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri jika ini reputasi dan rekod APCO yang diketahui umum apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat melalui pelantikan APCO sebagai perunding kerajaan? Apakah pentadbiran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengakui bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan partinya UMNO setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia?

Beberapa Ahli: Ya.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Sehinggakan khidmat APCO yang selama ini digunakan untuk membaiki imej diktator perlu diguna pakai. Saya ingin kupas kedua-dua aspek ini dan memberikan bukti bahawa berdasarkan rekod APCO selama ini sewajarnya kerajaan tidak melantik mereka kecualilah kepakaran yang diperlukan kerajaan adalah kepakaran menggunakan wang untuk membeli pengaruh di Washington. Dalam tahun 2007 seorang wartawan penyiasat yang terkenal di Amerika Syarikat bernama Ken Silverstein telah menyamar untuk melantik APCO mewakili Turkmenistan. Beliau telah melaporkan hasil siasatannya mengenai peranan dan pendekatan APCO membantu membersihkan imej diktator-diktator dunia di dalam sebuah rencana yang disiarkan di dalam majalah Harper’s, Julai 2007. “Their Men in Washington: Undercover with D.C.’s Lobbyist for Hire”. Saya dengan izin “APCO was the first firm I contacted because it was a natural candidate to represent Turkmenistan. It has experienced working not just on behalf of authoritarian regimes in general the dictatorship of General Sani Abacha in Nigeria for example which employed the firm in 1995, the same year it hanged nine democracy activists.

Pendedahan Ken Silverstein menunjukkan peranan dimainkan APCO membantu pemimpin yang begitu buruk rekodnya. Nama-nama yang disebut di dalam pendedahan tersebut termasuklah Barry Schumacher yang pernah terlibat dalam tugasan lantikan Kerajaan Israel. Sekali lagi, Barry Schumacher, tugasan lantikan Kerajaan Israel pada tahun 1992. Jennifer Millerwise Dyck, jurucakap CIA dan jurucakap naib presiden Dick Cheney yang rekodnya ialah perang Afghanistan dan Iraq, kita semua sedia maklum.

Sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat meneliti laporan tersebut, lebih membimbangkan pendekatan diambil oleh APCO dalam menjalankan assignment itu. Kepada kerajaan yang melantiknya mereka dijanjikan pertemuan dengan pemimpin kongres, dialog, seminar, pelbagai institusi untuk memberi imej yang amat berlainan dengan kenyataan yang berlaku di negara masing-masing.

Kepada pemimpin kongres dan kerajaan Amerika, mereka akan menjaja pertemuan sebagai peluang untuk memenuhi kepimpinan kerajaan yang melantik mereka sebagai perunding. Oleh sebab itu saya akan terangkan selepas ini risiko yang telah ditanggung oleh negara apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dicucuk hidungnya oleh Omar Mustapha dan juak-juak dari Ethos untuk melantik APCO. Senarai pemimpin-pemimpin yang menggunakan khidmat APCO untuk membaik pulih imej diktator adalah panjang dan mengejutkan. Selain Turkmenistan, Kazakhstan, Azerbaijan, salah seorang klien APCO yang terkenal adalah bekas diktator Nigeria, Jeneral Sani Abacha. Mengikut Laporan BBC, Jeneral Sani Abacha merupakan pemimpin berkedudukan nombor empat paling korup di dunia. Semasa pemerintahannya berbilion-bilion dolar dilesapkan. Yang dilesapkan oleh orang kanannya sahaja berjumlah USD2.5 bilion.

Aspek kedua adalah kehadiran ramainya tokoh-tokoh. Ini yang saya hendak tekankan. Ramainya tokoh-tokoh yang berkait rapat dengan kerajaan Israel, organisasi pertahanan Israel dan lebih parah agensi perisikan Israel sebagai perunding dan penasihat APCO yang boleh menjalar di Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia. Tidakkah tindakan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melantik APCO yang umum diketahui rapat dengan tokoh-tokoh kanan rejim Zionis merupakan sikap kepura-puraan? Di hadapan rakyat kerajaan Barisan Nasional bercakap mengenai perjuangan Palestin, mengutuk rejim Zionis malah merotan pesalah-pesalah rakyat marhaen yang lemah untuk membuktikan ia sebuah kerajaan yang menegakkan Islam, adil atau tidak itu belakang kira. Akan tetapi secara senyap tanpa pengetahuan rakyat, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri terus dekat dengan sebuah firma yang ditunjangi oleh tokoh-tokoh kanan rejim Zionis. Rejim yang memenjarakan Ghaza, menindas umat Islam termasuk rakyat Kristian di Palestin.

Secara khusus saya ingin bawa perhatian Dewan kepada tiga tokoh utama Israel di dalam APCO. Ini adalah relevan dengan kedudukan di Malaysia. Siapa tiga tokoh penting? Tiga tokoh utama Israel di dalam APCO yang juga tokoh kanan rejim Zionis.

Pertama Doron Bergebest-Eilon, kedua, Ittamar Rabinovich dan ketiga Shimon Stein. Yang pertama Doron Eilon, Ketua Bahagian Keselamatan Dan Perlindungan Agensi Keselamatan Israel - ISA (Israeli Security Agency). ISA adalah nama rasmi kepada satu organisasi yang cukup busuk namanya di kalangan umat Islam. Israeli Security Agency – Shin Bet. Apa Shin Bet? Shin Bet adik kembar kepada Mossad. Bezanya Shin Bet – agensi perisikan dalam negara, Mossad – agensi perisikan luar negara. Tokoh-tokoh kanan lain Zionis dalam APCO, Ittamar Rabinovich bekas Duta Israel ke Amerika Syarikat, jawatan terpenting diplomatik dalam rejim Zionis. Yang menjawat jawatan semestinya orang yang paling kuat pegangan Zionisnya. Begitu juga dengan Shimon Stein mantan Duta Israel ke Jerman. Kedudukan mereka yang kanan dalam lingkaran diplomatik memperlihatkan keupayaan mereka untuk mempengaruhi sistem melobi bagi pihak APCO sekarang.
Tuan Yang di-Pertua, sebab itulah kita menimbulkan isu ini kerana ia melibatkan keselamatan dan reputasi negara, serta maruah umat. Kita jelaskan mengapa kita bangkitkan isu ini ianya kerana kita mempertikaikan tindakan kerajaan menganugerahkan kontrak perkhidmatan puluhan juta ringgit kepada sebuah syarikat yang mana ada dari kalangan eksekutif kanannya pernah memegang jawatan tinggi dalam organisasi seperti Shin Bet dan Kerajaan Israel. Kita khuatir kerana pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib seperti tidak runsing dan gundah mengambil firma yang tercemar dengan rekod khidmat untuk para diktator dan para penindas. Sikap membisu Perdana Menteri pastinya mengundang pelbagai kemusykilan serta persoalan. Membicarakan persoalan seperti komunikasi menyeluruh pastinya berkait rapat dengan Jabatan Perdana Menteri, makna APCO secara langsung ada hubungan akrab dengan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Penerangan, dan banyak kementerian lainnya. Maknanya APCO mempunyai akses terdedah kepada jaringan strategik, serta penting dan pastinya memberi kesan kepada keselamatan negara. Melantik organisasi asing yang mempunyai rekod seperti APCO lalu mengamanahkannya dengan tanggungjawab besar serta kemudahan sedemikian rupa pastinya menggadai kepentingan negara. Oleh kerana itu saya menggesa kerajaan agar segera membatalkan kontrak perkhidmatan dengan APCO... [Tepuk] Dan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat skandal yang memalukan ini. Terima kasih... [Tepuk]

Tidak dakwa Chua, peguam negara amal "double standard" TAHAP TERTINGGI

Apa beza tuduhan salah laku perlakuan seks melampau antara DSAI & CSL

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Abdul Gani Patail dituduh bersikap "double standard" berikutan keputusannya tidak mendakwa presiden MCA yang baru dilantik, Dr Chua Soi Lek kerana perlakuan seks melampau.

"Tuduhan salah laku Chua di bawah Seksyen 337B Kanun Keseksaan, adalah peruntukan undang-undang sama yang dikenakan terhadap Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim kerana dituduh meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan," kata peguam Sankara Nair.


"Meskipun beberapa laporan polis telah dibuat (tentang kes Chua ini) dan terdapat bukti-bukti yang sah, peguam negara enggan mendakwa Chua," kata Sankara yang mewakili Anwar dalam kes pertuduhan liwat itu.

Dalam satu kenyataannya, Sankara berkata, "ini merupakan satu bentuk diskriminasi tahap tertinggi dan jelas Gani bersikap berat sebelah."

Katanya, terdapat bukti dalam bentuk video, yang dimiliki orang ramai, menunjukkan bekas menteri kesihatan itu terlibat dalam perlakuan seks "oral" dengan seorang wanita.

Beliau (Chua) telah berkahwin dan mempunyai anak-anak yang telah pun dewasa.

Sankara juga berkata, Chua mengakui secara terbuka bahawa orang dalam video itu adalah beliau sendiri dan kemudian meletakkan jawatan sebagai menteri.

Beliau berkata, seks "oral" secara sukarela atau tidak ada beza dengan perlakuan liwat dan oleh itu beliau menggesa peguam negara menggugurkan pertuduhan terhadap Anwar.

Semalam, Chua memenangi kerusi presiden MCA dengan mencatat 901 undi.

Beliau menewaskan bekas presiden Ong Ka Ting yang meraih 833 undi dan penyadang presiden Ong Tee Keat dengan 578 undi.

http://freemalaysiatoday.com

Tugu: Akhirnya Umno henti amalan syirik

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 1 April: PAS mengucapkan syukur kepada Alllah kerana akhirnya Umno-BN mengumumkan akan berhenti melakukan upacara meletakkan bunga dan bertafakur di hadapan Tugu Negara yang jelas perbuatan syirik dan khurafat.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, pengumuman Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam membuktikan dakwaan PAS selama ini bahawa perbuatan itu adalah dosa besar Umno kepada Allah adalah benar.
Zahid yang juga Naib Presiden Umno, mengumumkan semalam bahawa upacara memperingati Hari Pahlawan tidak akan dilakukan di Tugu Negara lagi mulai tahun ini dan akan dipindahkan di Putrajaya dalam bentuk majlis yang berbeza.
Idris berkata, PAS tegas menolak amalan meletakkan bunga dan bertafakur di Tugu Negara setiap 1 Julai sempena Hari Pahlawan, dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berbincang pada 6 hingga 7 Oktober 1987 juga telah mengeluarkan fatwa berhubung isu itu bahawa ianya adalah amalan yang bercanggah dengan Islam dan syirik.
“Rakyat, khususnya kaum Melayu selalu bertanya. Apa beza PAS dan Umno, dua-dua parti yang dipimpin Melayu dan Islam, kenapa tidak boleh bersatu?” katanya.
Justeru, ujarnya PAS berharap, isu Tugu Negara itu membuka mata rakyat bahawa PAS dan Umno memang jelas berbeza walaupun Umno mengaku Islam tetapi mereka jelas menolak syariat Islam yang ditetapkan oleh Allah.
“Isu ini juga jelas membuktikan bahawa Islam dan politik tidak dapat dipisahkan. PAS yakin, Umno akhirnya mengambil keputusan ini setelah tertekan bila mana PAS serius membawa isu ini hinggalah ke pentas politik,” ujarnya lagi. 
Menurutnya, walaupun Umno mempunyai biro agama dan menteri agama, tetapi mereka mengambil masa 23 tahun untuk memahami Fatwa Majlis Kebangsaan.
“Hakikatnya perkara ini tidak perlu dibawa ke Majlis Fatwa jika Umno benar-benar memahami Islam dan berjuang atas nama Islam.
“Walaupun Umno bangga mengatakan mereka berjaya membawa syiar Islam dengan wujudnya Tabung Haji, pusat zakat, masjid-masjid besar dan sebagainya, tetapi 23 tahun mereka menafikan fatwa syirik yang dikeluarkan Majlis Fatwa,” katanya.
Jelasnya, Allah sendiri memperingatkan dalam Al-Quran, bahawa semua dosa besar akan diampunkan kecuali syirik dan jelaslah bahawa saranan Majlis Fatwa itu serius dan Umno-BN telah menyesatkan rakyat dengan melakukan upacara syirik itu sejak tahun 1963 iaitu tarikh tugu itu dibina dengan kos RM1.3 juta ketika itu.
PAS, jelasnya menghormati pengorbanan dan jasa pahlawan negara.
Oleh itu, katanya PAS mahu majlis kesyukuran dan tahlil serta memberikan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga pahlawan yang telah gugur menjadi program rasmi sempena Hari Pahlawan, bukannya bertafakur dan membazir duit untuk meletakkan bunga di tugu yang tidak bernyawa itu.
Tambahnya, PAS juga berharap agar Umno menghapuskan semua amalan syirik dan khurafat yang mereka lakukan termasuk amalan menepung tawar dan menabur beras kuning seperti yang dilakukan oleh Datuk Ismail Sabri dalam Majlis Pelancaran Van Umno Bahagian Wangsa Maju, minggu lepas.
“PAS yakin rakyat semakin cerdik dan melihat siapa sebenarnya yang memperjuangkan Islam dan siapa sebenarnya yang mengkhianati Islam,” ujarnya.