Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu 2010 (RUU PPKB 2010) telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) di Dewan Rakyat pada 17 Disember 2010. Pada mulanya telah dijadualkan untuk bacaan kali kedua pada sesi Parlimen pada bulan Mac 2011. Walau bagaimana pun setelah mendapat tentangan dan bantahan para pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu cadangan bacaan kali kedua telah ditangguhkan ke sesi Parlimen pada Jun 2011 kali ini.
Bantahan dan tentangan para pemilik dan pewaris tanah ini kerana mereka telah didedahkan dengan beberapa peruntukkan di dalam RUU PPKB 2010 tersebut yang jelas akan menganaktirikan, memanipulasi, menindas dan akhirnya akan merampas tanah milik mereka. Kementerian dalam beberapa sesi penerangan kepada para pemilik dan pewaris tanah memberi jaminan bahawa kepentingan pemilik tanah tetap terjamin tetapi jaminan tersebut tidak boleh diterima begitu sahaja. Kenapa? Kerana sebelum-sebelum ini para pemilik dan pewaris tanah sudah diperdaya, dimanipulasi dan ditipu oleh pihak Kementerian.
Cadangan untuk menggubal suatu Akta bagi membangunkan Kg. Bharu bukan sesuatu yang baru. Ia telah bermula sejak tahun 2007 apabila suatu draf rang undang-undang mengenainya telah digubal. Bermula daripada deraf tersebut, beberapa siri perbincangan di antara kerajaan melalui KWPKB telah dilakukan antaranya melalui suatu makmal yang dihadiri oleh pelbagai pihak berkepentingan di Melaka. Keputusan di dalam makmal tersebut antaranya mahukan KWPKB meminda beberapa perkara yang difikirkan tidak wajar dan hendaklah membentangkan naskah akhir rang undang-undang tersebut sebelum dibentangkan di Parlimen. Malangnya Kementerian bertindak sebaliknya iaitu tidak menghiraukan segala cadangan yang diputuskan di dalam makmal tersebut dan tidak juga membentangkan terlebih dahulu kepada para pemilik tanah. Kerajaan terus dengan bangganya membentangkan RUU PPKB 2010 di Dewan Rakyat. Apa maksud tindakan ini? Maksudnya para pemilik dan pewaris tanah telah diperdaya dan dimanipulasi. Memang benar Kerajaan meminta pandangan mereka tetapi pandangan mereka tak pernah diambil perhatian. Sekarang sekali lagi Kementerian Wilayah dan Kesejahteraan Bandar hendak meneruskan bacaan kedua di Dewan ini untuk meminta semua ahli Parlimen bersetuju dengannya.
Hari ini, bersama saya adalah wakil pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu ingin menegaskan di sini dan untuk kesekian kalinya bahawa para pemilik dan pewaris tanah menolak sebarang cadangan menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu sekaligus menolak RUU PPKB 2010 ini.
Kami Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membawa mesej ini daripada para pemilik dan pewaris tanah bahawa apa sahaja yang berkaitan tanah Kg. Bharu hendaklah mengambilkira kepentingan dan persetujuan pemilik dan pewaris tanah dan bukannya wakil-wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang mempunyai kepentingan tersendiri.
Kg. Bharu yang wujud sejak 110 tahun lalu ditadbir secara sah oleh Lembaga Pentadbiran MAS (Malay Aggricultural Settlement). Lembaga MAS ini merupakan pentadbir yang sah melalui Malay Agricultural Settlement Rules 1950 [Selangor G.N. 50/51 & Selangor G.N. 66/51 dan Selangor G.N. 480/54 yang sehingga kini masih berkuatkuasa. Enakmen dan Lembaga MAS juga akan dihapuskan melalui RUU PPKB 2010 ini. Persoalannya, jika Kg. Bharu sudah mempunyai suatu institusi pentadbiran yang sah, kenapa perlu suatu Perbadanan baru diwujudkan melalui RUU PPKB 2010 ini? Kenapa tidak dibangunkan Kg. Bharu melalui Lembaga Pentadbiran MAS yang sudah mempunyai kuasanya yang sah. Kenapa tidak Kerajaan memperkukuhkan institusi ini dan memberikan segala bantuan dan sokongan kepada institusi ini yang telah lama mentadbir Kg. Bharu?
Kami juga maklum bahawa Klausa untuk membubarkan Enakmen dan Lembaga MAS di dalam RUU PPKB 2010 ini telah dicadangkan untuk ditarik balik, tetapi jika Lembaga MAS masih wujud, kenapa perlunya Perbadanan? Kenapa perlu ada dua institusi untuk mentadbir Kg. Bharu? Apa status Lembaga Pentadbir MAS jika Perbadanan ini diwujudkan? Adakah hanya sekadar pemerhati sahaja sedangkan mereka adalah pentadbir yang sah.
Terdapat banyak lagi isu dan persoalan berkaitan niat RUU PPKB 2010 ini yang perlu dibahaskan. RUU PPKB 2010 yang dibacakan kali pertama yang mendapat tentangan para pemilik dan pewaris tanah masih ada di hadapan kami. Kemudian kami dimaklumkan oleh para [pemilik dan pewaris tanah ini bahawa mereka telah dibentangkan beberapa pindaan kononnya penambahbaikan kepada RUU PPKB 2010. Tetapi cadangan pindaan tersebut juga sebenarnya terlalu kabur dan mempunyai muslihat-muslihat tertentu. Antara pindaan yang dicadangkan seperti berikut :-
a) Keanggotaan Perbadanan
a. Telah ditambah keanggotaan bagi jawatan Timbalan Pengerusi yang mana tiada dalam RUU asal;
b. Dua (2) wakil tuan tanah Kg. Bharu telah digantikan dengan lima (5) wakil NGO;
b) Majlis Penasihat
a. Nasihat Majlis Penasihat hanya akan dikaji, diteliti dan diambilkira jika sesuai;
c) Akta Pengambilan Tanah 1960
a. Peruntukkan berkaitan penggunaan Akta ini ditarikbalik tetapi tidak bermakna Akta ini tidak boleh digunapakai dalam proses pembangunan Kg. Bharu.
d) Pemansuhan dan Pembubaran Lembaga Pentadbiran MAS
a. Peruntukkan ini telah ditarikbalik tetapi lebih banyak menimbulkan persoalan seperti yang disebutkan sebelum ini.
Justeru hari ini, saya bersama wakil-wakil pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu menyeru dan mendesak KWPKB supaya menarikbalik RUU PPKB 2010 dan dengarlah hasrat dan suara pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu kerana ini adalah tanah dan hak mereka.
YB Salehhuddin Ayub mewakili YB Dr Lo’Lo