Wednesday, 31 March 2010

MP BN Kalabakan desak Zahrain mohon maaf secara terbuka

Hampir seminggu selepas pendedahan Datuk Zahrain Hashim [ Bebas Bayan Baru ], Datuk Abdul Ghapur Salleh [ BN Kalabakan ] marah terhadap wakil rakyat Bayan Baru itu kerana menamakan beliau sebagai antara lapan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang kononnya diumpan bagi menyertai rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan pada 16 Sept 2008.
Abdul Ghapur mendesak Zahrain, yang baru-baru ini keluar daripada Parti Keadilan Rakyat untuk menjadi wakil Bebas, supaya menarik balik kenyataan yang menamakan beliau antara yang diumpan untuk lompat parti serta meminta maaf kepadanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Zahrain menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai komunis.

“Bolehkah dalam dewan ini tunjuk satu orang antara kita ini komunis. Ini (tuduhan Zahrain) bukan bukti, ini salah dari segi peraturan, mana boleh duduk dalam Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri seorang komunis,” kata beliau dipetik Bernama.
“Saya sudah katakan saya tidak pernah diumpan, tidak pernah dipujuk dan tak pernah pergi Taiwan, bererti saya bukanlah golongan yang dipujuk untuk lompat.
“Jadi bererti umpan yang dibagi kepada rakan mungkin tidak cukup, jadi tidak lompat, umpan yang dibagi kepada Ahli Parlimen Bayan Baru ini besar, sebab dia lompat,” kata Ahli Parlimen BN Kalabakan ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Abdul Ghapur turut mempersoalkan tindakan Zahrain yang meninggalkan PKR dua tahun selepas mengetahui pembohongan peristiwa 16 Sept yang diilhamkan Anwar.
“Sekarang sudah jadi Bebas dan kemudian nanti mahu masuk Umno. Jangan terima orang seperti ini. Kalau dia boleh gigit ketua dia, dia boleh gigit ketua kita juga,” katanya.
Abdul Ghapur berkata beliau membangkitkan isu itu selepas dihubungi ramai pemberita setelah Zahrain menyebut namanya ketika membuat pendedahan di Dewan Rakyat mengenai rancangan Anwar mengambil alih kerajaan minggu lepas.
“Mungkin sekarang sudah gemuk, sudah kenyang, jadi macam-macam tohmahan, saya tidak tahu perjanjian dia dengan parti pembangkang, saya tidak tahu, saya bukan pernah di sana, tapi kenapa libatkan saya yang tidak ada dosa ini,” katanya.
Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) kemudian bangun mencelah dan meminta Abdul Ghapur bertenang.
“Bayan Baru menceritakan, dia tidak menuduh Kalabakan, jadi…,” kata Mohamad.
Abdul Ghapur enggan memberi ruang serta mempertikaikan tindakan Mohamad mahu membela Zahrain.
“Takkan Sri Gading mahu bela, sedangkan saya dalam BN, mahu bela pembangkang yang mungkin mahu masuk Umno.
“Saya minta maaf saja, kalau orang seperti ini masuk Umno, mungkin Umno punya orang akan keluar,” katanya.
Beliau juga enggan membenarkan Zahrain mencelah walaupun untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu.
Abdul Ghapur turut menyatakan pendiriannya berhubung tindakan keluar parti.
“Saya kalau keluar parti, (adalah kerana) saya tidak percaya kepada pucuk pimpinan, bukan kerana dibeli. Ini penting, jangan bikin tohmahan yang bukan-bukan,” katanya.

http://mppas.wordpress.com/2010/03/23/mp-bn-kalabakan-desak-zahrain-mohon-maaf-secara-terbuka/

Tuesday, 30 March 2010

Ucapan Junjung kasih Titah YDPA

Akhir-akhir ini Dato YDP, kita dipaparkan dengan berita-berita yang mengejutkan dan sebahagiannya berkenaan dengan perkara-perkara atau insiden-insiden yang mengancam keselamatan negara. Bukan sahaja orang boleh terbang melompat Dato Speaker, enjin jet pejuang juga boleh terbang, juara lawak tahun 2009, Kita juga diberitakan tentang Kementerian Pertahanan dicerobohi sehingga menyebabkan rahsia keselamatan negara bocor malah dikatakan pemberi maklumat berada dalam Kementah sendiri dan ditaja oleh kedutaan tertentu. Ini kenyataan Menteri Pertahanan sendiri. Yang terkini PDRM pula dicerobohi pihak ketiga yang memberi tekanan sehingga menyebabkan KPN mengadu kepada pihak media. Saya kira ini satu SOS dari KPN seperti mana kapten kapal yang hampir karam atau terhempas menghantar distress signal. Saya ingin merakamkan kekecewaan rakyat diatas sikap Menteri Dalam Negeri yang dilihat tidak serius dan tiada “urgency“ dalam menangani isu ini.

Saya memang agak kecewa kerana usul 18(1) saya ditolak dalam kamar, namun sempena Hari Polis ke-203 pada 25 Mac 2010 yang lalu saya  sebagaimana ahli Parlimen Puchong mendesak jawapan yang telus dari menteri untuk memastikan teka-teki dan spekulasi yang berlegar dikalangan masyarakat tentang pencerobohan langsung ke atas sebuah institusi yang sepatutnya paling selamat.

Yang paling menghairankan apabila Menteri Dalam Negeri yang menjaga PDRM menyatakan tidak maklum tentang isu pihak ketiga ini. Kita kesal kerana Menteri dan KPN bermain kata-kata dalam media dan tidak serius untuk duduk berbincang bagi menyelesaikan isu pihak ketiga dalam PDRM yang saya kira Mat Rempit tepi jalan pun tahu ini merupakan ancaman serius kepada keselamatan negara.

Kita mahu menteri DN menyiasat dengan segera dan memaklumkan kepada dewan ini siapakah pihak ketiga ini, apakah arahan-arahan yang telah diberikan dan Pegawai-pegawai Polis yang mana yang telah akur kepada arahan-arahan ini. Kita juga perlu dimaklumkan apakah yang telah berlaku hasil campurtangan pihak ketiga ini serta apakah tindakan-tindakan segera yang telah diambil oleh KDN untuk menangani pencerobohan keselamatan dalam PDRM sendiri.

Apakah mungkin campur tangan pihak ketiga menyebabkan ada pihak polis yang tidak menggunakan pendekatan melalui undang-undang yang sedia ada sebaliknya membuat keputusan sendiri yang tidak selari. Sebagai contoh tindakan Pemangku Ketua Polis Dang Wangi yang membawa berpuluh-puluh FRU menyerbu program sambutan 2 tahun PR di Kelab Sultan Sulaiman Kg. Baru. Sedangkan KSS adalah kawasan persendirian yang berpagar dan ada kawasan yang luas, lebih-lebih lagi KSS adalah tanah milik Kerajaan Negeri Selangor dimana Tan Sri MB sendiri merupakan Presiden Kelab. Alasannya kerana dibuat luar dewan sedangkan dalam penghakiman kes YB Kuala Krai isu ceramah dalam Markaz di Raub/ Rompin jelas menyatakan kawasan persendirian termasuk kawasan yang berpagar. Alasan pemasangan pembesar suara dan skrin besar yang disediakan adalah sangat dangkal kerana seperti yang saya nyatakan tadi KSS mempunyai kawasan yang luas dan sebarang aktiviti dalam kawasan tidak langsung mendapat perhatian orang ramai di luar kawasan KSS.

Tahanan Pelajar Luar Negara diBawah ISA:
Isu seterusnya yg ingin saya sentuh adalah berkenaan penahanan 10 atau 12 orang dibawah ISA dalam Bulan Januari atau secara bkhususnya pada 21 Jan 2010 yg kebanyakannya adalah dari kalangan penuntut2 pasca ijazah di beberapa Universiti di Malaysia. Saya harap Menteri Dalam Negeri memaklumkan secara tepat maklumat orang-orang yang tahan seperti nama, warganegara mana dan apakah yang mereka lakukan di Malaysia seperti pelajar Universiti mana mereka yang ditahan ini. Sudahlah mereka ditahan dan dituduh terlibat dengan aktiviti sunversif, dituduh pengganas dll tuduhan yang berat mereka dinafikan peguam dan dinafikan lawatan keluarga. Bayangkan jika pelajar kita diluar negara ditahan, dituduh militan tanpa bicara apa agaknya tindakan Kerajaan Malaysia.
Setelah mungkin menyedari kesilapan yang dilakukan dan mungkin juga tekanan antara bangsa terutama dari negara asal  tahanan-tahanan tersebut, tiba-tiba mereka dibebaskan dan secepat kilat dihantar pulang tanpa memaklumkan pada keluarga iaitu anak isteri yang masih lagi di Malaysia. Bayangkan seorang isteri ditinggalkan di negara orang dengan anak-anak 4-5 orang, suami pula dihantar pulang, sedangkan mereka masuk Malaysia atas visa pelajar suami. Mereka dibiarkan tanpa pembelaan dan dalam keadaan yang sangat takut dan bimbang, Anak isteri tidak bersalah dan sangat tidak patut mereka dihukum dengan penderaan psikologi, emosi dan tanpa sumber kewangan yang mencukupi untuk tambang balik. Dimanakah sifat tanggungjawab Kerajaan yang memerintah, dimana menteri wanita yang sering dipaparkan di media sebagai sangat prihatin tapi tutup mata dari menyelesaikan isu ini.
Saya bariskan di sini Dosa-dosa UMNO/BN terhadap tangkapan sekumpulan Pelajar Luar Negara Pascasiswazah tersebut :
1- Menuduh mereka sebagai pengganas tanpa peluang membela diri kerana dinafikan peguam.
2- Menafikan hak untuk berjumpa ahli keluarga.
3- Menahan tanpa bicara.
4- Menghantar balik tanpa dimaklumkan pada keluarga.
5- Membiarkan isteri dan anak-anak tanpa pembelaan dan tersadai di negara orang.
6- Melabel mereka dengan label pengganas yang akan menyebabkan mereka menghadapi tindak-balas dari kerajaan mereka sendiri yang mungkin 'bacul' seperti kerajaan Malaysia yang takut kepada tekanan Amerika.
7- Menyebabkan mereka menghadapi tindak-balas antara bangsa kerana telah dicop pengganas.
8- Menyebabkan Malaysia hilang daya tarikan untuk menjadi Hub pendidikan Antara Bangsa dan mungkin juga akan semakin mengurangkan minat pelaburan asing.
Maklumat yang saya ada antara Isteri-isteri tersebut adalah Bashirah isteri kepada Luqman Abdul Salam yang dihantar pulang pada 13 Mac 2010 dan Khalidah isteri kepada Abdul Alhi Bolajoko Uthman yang dihantar pada 14 Mac 2010. Kedua-duanya dihantar pulang ke Nigeria.
Tindakan kerajaan Malaysia yang mempunyai elemen penderaan emosi dan psikologi terhadap isteri mangsa ISA adalah bertentangan dengan Konvensyen Antarabangsa, CEDAW yang menghendaki setiap negara di dunia menghentikan sebarang bentuk penderaan dan keganasan terhadap wanita dan Sudah tentu bertentangan dengan amalan soleh terhadap sesama manusia lebih-lebih lagi orang Islam terutama kaum wanita dan kanak-kanak.
Saya ingin mendapat maklumat lengkap berapa orang dari mereka telah dihantar pulang, tarikh penerbangan dan ke negara mana mereka dihantar balik. Saya mendesak agar Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Luar atau Kementerian Pembangunan, Wanita dan Keluarga agar menanggung sepenuhnya perbelanjaan keluarga yang ditinggalkn juga kos penghantaran balik mereka. Kerajaan hendaklah memohon maaf atas kesilapan menahan suami mereka dan membayar gantirugi pengajian suami mereka yang terhenti disebabkan penangkapan ISA.

Kita ingin mengingatkan Menteri Dalam Negeri bahawa kes penangkapan ini akan menjadi bebanan dan memburukkan lagi imej Malaysia di mata dunia. Malaysia yang selama ini mempromosikan bahawa negara kita adalah destinasi pelancongan dan sebagai hub pendidikan pelajar luar negara khususnya dari negara-negara Timur Tengah telah tercemar dan menakutkan mereka kerana adanya undang-undang drakonian iaitu ISA.

Selepas ini bukan hanya indeks FDI menurun malah FS atau foreign students akan juga menurun kerana mereka berasa takut menjejakkan kaki mereka di bumi Malaysia yang menggerunkan mereka. Kami PR bersama rakyat Malaysia yang waras bukan yang berfikiran songsang seperti beberapa NGO yang membuta-tuli menyokong ISA; menuntut ISA dimansuhkan kerana ISA zalim kepada rakyat Malaysia dan zalim kepada rakyat luar. Paling utama zalim kepada kaum wanita dan kanak-kanak. Katakan tidak kepada ISA dan tidak kepada pindaan ISA.

Pembangunan Kg Baru

Isu seterusnya adalah berkenaan dengan pembangunan Kg Baru. Baru-baru ini Perdana Menteri telah turun dalam program 'walk-about' beliau yang dikatakan sangat terpuji dan sangat popular ke Kg Baru. Walau pun saya tidak langsung dimaklumkan tentang kehadiran YAB dan hanya mendapat maklumat dari orang ramai itu pun setelah berada jauh di Utara tanah air, saya berasa berbangga kerana PM memilih untuk bersarapan pagi di kedai nasi lemak Mak Wanjor yang terletak betul-betul disebelah Pusat Khidmat saya. Namun isunya di sini adalah pembangunan Kg Baru yang begitu bercelaru dan mengelirukan . Setiap pemimpin BN yang berjawatan Menteri WP hinggalah kedua-dua orang PM yang lalu dan yang kini mengeluarkan kenyataan yang berbeza-beza dan adakalanya kontradik antara satu sama lain.

Perdana Menteri menyatakan pembangunan Kg Baru akan mengekalkan pemilikan dan penduduk Kg Baru tidak perlu pun berpindah, tetapi Menteri WP menyatakan akan bayar pampasan hingga RM4juta seorang, akan guna Akta Pengambilan Tanah 1960 dan mengugut pemilik-pemilik supaya akur. Ini semua mengelirukan. Saya dapat maklumat bahawa Kementerian WP sedang rancak mengadakan perbincangan-perbincangan tentang pembangunan Kg Baru bersama beberapa pihak seperti DBKL, beberapa individu , sebuah NGO iaitu PAKAM dan pimpinan UMNO Titiwangsa. Pertamanya saya ingin bertanya sebab orang Kg Baru yang mengundi dan menyokong saya sering bertanya kenapa wakil rakyat yang dipilih rakyat untuk mewakili mereka tidak diturut serta dalam perbincangan yang penting itu. Sejak bila pula NGO PAKAM mewakili pemilik-pemilik aset Kg Baru. Apa dengan izin 'local standi' UMNO Titiwangsa dipanggil dalam mesyuarat terseut.  Adakah aspirasi1 Malaysia PM tidak dihayati oleh Menteri WP sehingga mewujudkan 2 WP dan 2 'standard'.

Namun begitu selaku wakil rakyat yang bertanggung jawab saya mengemukakan beberapa cadangan berkaitan pembangunan Kg Baru seperti dalam kenyataan media saya sebelum ini:

Saya menyeru PM agar memperuntukkan satu Dana Khas seperti peruntukan pembangunan Wilayah Iskandar, ECER dan NCER, tapi kali ini khas untuk pembangunan Kg Baru. Peruntukan ini mesti dikendalikan satu Badan Amanah sebagaimana yang dijanjikan di mana Badan Amanah ini mestilah dianggotai wakil-wakil pemilik dan pewaris dari setiap Kampung yang terdapat di Kg Baru yang sememangnya terdiri dari  kalangan mereka yang pakar dalam pelbagai bidang, DBKL, M.A.S, wakil rakyat dan dari ICU mewakili Kerajaan Pusat; dengan ini penduduk Kg. Baru boleh memberi keyakinan bahawa pembangunan itu adalah demi kepentingan mereka.

Badan Amanah ini akan merancang secara bersama kaedah dan mekanisma pembangunan Kg. Baru dengan mengambil kira kebajikan dan hak pemilik, memastikan pembangunan dimulakan dalam masa yang sewajarnya dan secara berfasa supaya penduduk tidak perlu semuanya dipindahkan, memilih satu konsortium yang akan menjadi “Pemaju” dengan ini memastikan tiada penyelewengan, ketirisan dan kebocoran berlaku dan pemilik akan mendapat manfaat dengan terus memiliki dan menjadi 'stake-holder'.

Isu Keramat Mall:

Dato YDP, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Selangor yang telah berjaya menyelesaikan kemelut Flat PKNS Pusat Bandar Taman Keramat yang bersempadan Parlimen Titiwangsa, dimana pemilik unit flat 2 bilik bersaiz 500 kaki persegi dibayar pampasan RM250,000 dan pemilik 3 bilik dibayar RM350,000. Mari kita bandingkan dengan layanan  Kerajaan Pusat melalui DBKL terhadap 8 orang pemilik sederet rumah kedai 2 tingkat, saya ulangi rumah kedai 2 tingkat dimana aset mereka diambil menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk menambah keluasan Keramat Mall. Sudahlah mereka menjadi mangsa kepada kelemahan perancangan DBKL, pampasan yang ditawarkan kepada mereka adalah lebih kurang RM200,000 untuk sebuah rumah kedai yang jauh lebih tinggi nilainya dari sebuah flat 500 kaki persegi.

Saya berharap Kerajaan Persekutuan akan lebih prihatin pada rakyat seperti mana prihatinnya Kerajaan PR di beberapa negeri.

Berbalik kepada isu Keramat Mall sekali lagi saya mewakili rakyat yang sudah bosan dengan projek-projek sakit sampai bilakah Keramat Mall akan beroperasi. Rakyat juga bertanya berapakah jumlah kos pembinaan keseluruhannya, iaitu dari pembayaran kepada kontraktor pertama hinggalah kepada kontraktor yang menyudahkan pembinaan. Berapa pula kos pembaikan atas kerosakan seperti kebocoran bumbung dan lain-lain serta kos ubah-suai. Kita juga mahukan penjelasan tentang kos penyenggaraan bulanan Keramat Mall yg tidak berpenghuni.

Dato YDP, saya mendapat aduan dari kakitangan bawahan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang tidak berpuas hati dengan Kursus Selama Tiga Bulan Kerja Asas Sosial yang telah dan sedang berjalan.

Untuk makluman semua,bahawa kami kakitangan bawahan agak rasa tertekan dengan adanya kursus tiga bulan ini,dengan tempoh yang terlampau lama ini agak menyukarkan bagi mereka meneruskan tugas harian mereka sebagai pekerja sosial yang mahu berbakti kepada masyarakat. Memang kakitangan ini wajar mengikuti kursus-kursus untuk meningkatkan kemahiran mereka tetapi 3 bulan secara berterusan mungkin agak lama sehingga menyebabkan kebajikan keluarga mereka sendiri terabai, terutama yang telah mempunyai suami atau isteri dan anak-anak. Tambahan pula kursus-kursus seperti ini menambah kos saraan keluarga dan memberi tekanan kepada keluarga yang ditinggalkan.

Pekerja sosial waktu ini secara purata memegang sehingga 200 hingga ke 400 kes dalam suatu masa dan ini juga sebenarnya sudah membebankan dan bertambah-tambah pula kerana terpaksa menanggung kerja rakan mereka yang pergi berkursus selama tiga bulan. Apatah lagi pekerja yang menanggung kerja tidak dapat untuk menuntut elaun menanggung kerja dengan alasan pembantu kebajikan masyarakat   S17 ramai.

Isu seterusnya Dato YDP  ialah tentang Hari Wanita SeDunia yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun di seluruh dunia. Saya percaya ramai wanita Malaysia yang tidak menyedari kerana sering diraikan pada 25 Ogos yang sebenarnya adalah hari penubuhan wanita umno. Itu bukanlah isunya di sini, kerana saya kira ada banyak isu-isu yang perlu diambil kira dalam memperkatakan tentang wanita khususnya wanita Malaysia kini. Kejadian pembuangan bayi, penderaan terhadap kanak-kanak sehingga maut, masalah ragut yang mencedera dan meragut nyawa, jenayah kekerasan rogol dan pemerkosaan terhadap wanita semakin menjadi-jadi dan menakutkan. Wanita sering menjadi mangsa, malah ahli keluarga sendiri boleh menjadi pemangsa.

Kejayaan dan penguasaan wanita dalam dunia pekerjaan juga kini dipersoalkan. Apakah hukum 'merit' tidak terpakai bila melibatkan kaum hawa? Wanita adalah gender yang rajin bekerja, sanggup berkorban dan sedia berkhidmat walaupun ada beberapa pengecualian. Buktinya di Malaysia Pusat-pusat Pengajian Tinggi terpaksa merendahkan markah kemasukan pelajar lelaki bagi menyeimbangkan peratus siswa dan siswi. Namun begitu dalam dunia pekerjaan wanita seringkali menghadapi dilema antara kepentingan karier dengan keutamaan keluarga. Proses mengandung, melahirkan dan menyusukan anak sama mencabar dengan 'dateline' di pejabat. Malangnya proses fitrah ini dipersoalkan, sedangkan proses ini adalah merupakan sebahagian dari sumbangan wanita kepada negara iaitu melahirkan modal insan yang berkualiti. Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Selangor yang telah memberi cuti bersalin 90 hari kepada pekerja wanita seperti juga yang telah lama dipraktikkan oleh Kerajaan Kelantan. Saya yakin langkah yang sama akan diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah dan Pulau Pinang.

Wanita muda sering terperangkap dengan proses biologi dan fitrah ini sehingga menjadi mangsa kepada kejahilan dan nafsu menggila yang tidak terkawal. Maka lahirlah sikecil yang tidak diperlukan dan dibenci. Dibuang di tong-tong sampah, dinyah dalam aliran sungai, ditinggalkan tepi surau dan to'kong, dibakar, dipotong-potong malah dicampak dari tingkat atas flat. Bayi tidak berdosa, yang berdosa adalah ibu dan jangan lupa bayi ini lahir dari benih seorang lelaki yang bernama bapa yang berdosa. Kita sering lupa bahawa setiap bayi yang dicampak, bapanya ada di luar sana. Bapanya mungkin tahu mungkin tidak tahu atau memang tidak mahu ambil tahu. Disini peranan wanita sebagai ibu, sebagai guru penting untuk mengingatkan anak lelaki, pelajar lelaki bahawa setiap benih yang mereka tumpahkan dalam rahim wanita disitu ada kemungkinan akan tumbuh nyawa yang akan menuntut pembelaan.
Para bapa lagi amat penting dan sangat penting untuk menjadi tauladan kepada anak-anak lelaki, mengingatkan mereka tentang kedudukan lelaki yang Allah martabatkan sebagai pelindung dan pemimpin kepada wanita dan zuriat mereka. Kejadian pembuangan bayi yang berleluasa memerlukan pendekatan yang berbeza untuk ditangani. Sudah pasti sistem atau model (sibghah) yang dinukilkan melalui Kalimah Allah yang Maha Pencipta adalah yang terbaik.

Dato YDP saya juga disini ingin mendapat penjelasan mengenai cadangan mengemukakan ke Parlimen satu Bill yang bertajuk Akta Veteran Angkatan Tentera Malaysia. Ramai dikalangan bekas tentera tidak pernah dibawa berbincang, dimaklumkan atau diberi penerangan mengenai isi kandungan Bill yang akan dikemukakan ke Parlimen mungkin pada sesi depan. Saya difahamkan bill ini telah pun berada di pejabat AG. Oleh kerana Bill ini secara eksklusifnya menyentuh mengenai urusan bekas tentera sewajarnya lah mereka dimaklumkan atau diberi penerangan apakah hasrat yang tersirat dan tersurat di dalam cadangan Akta tersebut. Mereka mahu merakamkan kekesalan kerana pandangan mereka tidak diambil kira terlebih dahulu sebelum draf bill itu dikemukakan.

Umno minta bantuan Israel laknatullah

“Surat" Mahathir: "Israel, Tolong Bantu Kami (UMNO)"

"Surat" ini ditandatangani oleh Dr. Mahathir Mohamad, bertarikh 16 Ogos 1999 yakni sebelum Pilihanraya Umum ke-10 (PRU 10) dan ditujukan kepada Perdana Menteri Israel, Ehud Barak.

Meneliti kandungan "surat" tersebut, Mahathir memulakannya dengan mengucapkan tahniah sebagai mewakili UMNO, BN dan kerajaan Malaysia atas kejayaan Barak dilantik sebagai Perdana Menteri Israel.Perenggan kedua "surat" ini menyatakan keikhlasan Mahathir yang berharap agar dapat diaturkan satu pertemuan (antara beliau dengan Barak) melalui Menteri Luar ketika itu,

Syed Hamid Albar dengan David Levy (Menteri Luar Israel) bersempena dengan Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) bagi membincangkan perkara berkaitan pungutan dana untuk parti UMNO dalam persediaannya menghadapi PRU 10.
Secara mudahnya, Mahathir memohon bantuan Israel untuk melobi Presiden Bill Clinton bagi mendapatkan bantuan kewangan untuk membiayai perbelanjaan pilihanraya UMNO!Perenggan ketiga pula menyebut kesediaan Mahathir untuk membenarkan pasukan tentera udara Amerika Syarikat menggunakan tanpa had (unlimited use) kemudahan pengkalan tentera di Malaysia sebagai balasan timbalbalik atas bantuan dana oleh Clinton Fund dalam membiayai perbelanjaan pilihanraya parti UMNO.

Ini adalah surat yang sudah lama berlegar dialam maya tetapi masih tiada jawapan yang konkrit dari kerajaan samada surat ini benar atau palsu. Apa yang diminta disini adalah penjelasan. Jika surat ini benar maka rakyat berhak untuk mempersoalkan tindakan seorang bekas PM yang bercanggah dengan pendirian kerajaan.

Wanita umno ciplak Kami Prihatin

Pada 23 Mac iaitu minggu lepas saya dimaklumkan tentang berita muka depan utusan malaysia tentang kempen kami prihatin wanita umno. Pada keesokan harinya saya dapati lapuran berita yang KPWK telah 'adopt' (dengan izin) kempen Kami Prihatin ini sebagai program kementerian. Saya ingin bertanya adakah Menteri sedar bahawa logo dan motto Kami Prihatin seperti ini telah lama menjadi slogan dan bahan kempen LKKPP dan sebuah lagi NGO yang saya asaskan tetapi tidak mahu saya nyatakan di sini untuk mengelakkan tindakbalas pentadbiran, iaitu sejak tahun 2006 lagi.

Saya mohon supaya wanita umno dan KPWK cukup bermaruah untuk menggunakan slogan atau motto serta logo lain dari Kami Prihatin sebab LKKPP dan NGO yang saya nyatakan tadi sedang dalam proses untuk patent logo dan motto ini.  Jikapun mungkin Kementerian tidak boleh patah balik saya harap agar tidak akan ada apa-apa tindakam selepas ini untuk menghalang LKKPP dan NGO dari terus mengguna Logo dan Motto Kami Prihatin.

Dr Lo'Lo'
29 Mac 2010

Maruah PDRM tercalar lagi

http://episodeperjuangan.blogspot.com/

1. Pada tahun 2007 tanggal 12 ogos , Tun Hanif Omar bekas ketua polis negara telah mendedahkan melalui ruangan khas beliau di akhbar The Star bahawa 40% pegawai - pegawai polis terlibat dengan rasuah .

[ sehingga kini tiada siasatan dan tindakan diambil terhadap kes yang didedah dan tiada juga tindakan diambil ke atas Tun Hanif Omar jika beliau membuat tuduhan palsu .]

2. Kini Tan Sri Musa Hassan Ketua Polis Negara mendedahkan betapa wujud campur tangan pihak ketiga dalam pentadbiran Polis diRaja Malaysia . Beliau turut mendakwa bahawa pihak ketiga ini telah membuat arahan terus kepada pegawai bawahan beliau . Persoalannya siapakah pihak ketiga ini ? Gengster atau ahli politik ?

3. Pendedahan seperti ini meletakkan rakyat dalam keadaan gelisah dan negara dalam bahaya . Sebelum ini pun telah wujud pertelagahan antara pegawai tinggi polis yang akhirnya membawa pendedahan demi pendedahan yang menggemparkan malah menakutkan .

4. Pendedahan seperti wujudnya hubungan pihak polis dengan kumpulan - kumpulan gengster , pertelagahan pihak polis dengan timbalan menteri dalam negeri sebelum ini yang akhirnya mendedahkan betapa wujudnya keadaan satu pihak menangkap penjenayah yang sangat dikehendaki dan satu pihak lagi membebaskan penjenayah tersebut yang telah ditangkap .

5. Justeru itu tidak hairanlah jika bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar menyebut mengenai 40% pegawai polis terlibat dengan rasuah dan pendedahan terkini dari Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sendiri mengenai wujudnya pihak ketiga yang campur tangan dan mampu mengeluarkan arahan kepada pegawai - pegawai polis .

6. Lebih malang apabila usul dari ahli parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Ghazali agar parlimen mendapat penjelasan dari Menteri dalam Negeri mengenai kewujudan pihak ketiga yang mengeluarkan arahan kepada pegawai polis ini ditolak oleh speaker . Kenapa penjelasan enggan diberikan ? apa yang sedang disembunyikan ? perkara ini bukan remeh dan kecil sebaliknya berkait soal keselamatan rakyat dan negara !

7. Pihak Menteri Dalam Negeri dan Polis DiRaja Malaysia mesti melakukan suatu yang lebih berkesan untuk mengembalikan reputasi mereka sebagai pasukan keselamatan yang bertanggungjawab memastikan keselamatan rakyat dan negara bukan membiarkan indeks jenayah meningkat dan pasukan keselamatan sendiri bergelut dengan krisis integriti .

8. Sehingga kini Suruhanjaya Penambahbaikan Polis DiRaja Malaysia masih dilihat tidak berkesan . Jelasnya PDRM hanya menonjolkan kecekapannya bertindak ke atas parti - parti politik pembangkang dan di musim - musim pilihanraya dengan ribuan polis akan ditempatkan di kawasan berlangsungnya pilihanraya . Setiap lorong dan simpang akan kelihatan pasukan polis gagah bersiapsiaga .

9. Persoalannya kenapa jumlah polis yang sedemikian ramai dan gah tidak boleh dikerahkan untuk memburu habis - habisan sehingga ke lubang cacing segala macam bentuk penjenayah dalam negara kita ? Lebih malang apabila ada balai polis yang memberi alasan kami tidak cukup kakitangan untuk bertindak apabila mereka dihubungi agar segera mengambil tindakan menangani ke samun dan rompak seperti berlaku di Maran dan beberapa tempat yang lain .

10. Kes terbaru pembunuhan Mendiang Siva dari Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak dan pembunuhan abang ipar Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Shah Alam telah meningkatkan angka indeks jenayah dalam negara kita . Sewaktu pilihanraya berlangsung , negara kita seperti negara polis tetapi pada waktu - waktu lain tatkala sedang berdepan dengan penjenayah , negara kita seperti tiada polis .

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Monday, 29 March 2010

Fitnah: Kenapa tuding jari kepada Pakatan

Nazri Abdullah, Harakahdaily.net
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo’ Mohamad Ghazali (gambar) mempersoal tindakan Mohd Nizar Zakaria (BN- Parit) yang hanya menuding jari kepada Pakatan Rakyat berhubung isu fitnah yang dibangkitkan ahli parlimen itu.

Beliau yang bangun mencelah, memohon penjelasan Nizar berhubung isu fitnah terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didedahkan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) sebelum ini.

"Yang Dipertua, semasa Kulim Bandar Baharu berucap, saya telah menerima satu SMS daripada seorang ahli jemaah surau Al-Mutmainnah Pandan Perdana kalau tak silap saya, beliau menyatakan kenapa Kulim Bandar Baru atau Zul Noordin lidah bercabang?

"Saya tanya balik apa yang dimaksudkan lidah bercabang, maka dia kata di surau hari itu dia cakap 'PM yang bom Monggolia' tetapi sekarang dia mengatakan ada fitnah pula tentang perkara tersebut.

"Kemudian pada masa yang sama juga Kulim Bandar Baharu juga menyebutkan fitnah terhadap Permatang Pauh (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Kenapa perkara ini tidak langsung diambil perkiraan oleh YB Parit? Saya mohon penjelasan," katanya sambil memohon maaf kerana terpaksa membacakan SMS tersebut.

Beliau membangkitkan persoalan itu sewaktu Nizar membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong.

Nizar sewaktu memulakan perbahasannya mendakwa pihak pembangkang serta akhbar Harakah, Suara Keadilan dan Roket sering memutarbelitkan fakta.

Bangun mencelah sejurus dakwaan itu, Datuk Ismail Muttalib (BN-Maran) yang memohon penjelasan berhubung dakwaan Zulkifli Noordin bahawa banyak fitnah berlaku dalam Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, persoalan Dr Lo' Lo’ tidak dijawab Nizar yang kemudiannya diarah Timbalan Yang Dipertua, Datuk Ronald Kiandee supaya menggulung perbahasan.

Soalan Jawab Parlimen 23-03-2010

Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Jadi saya nampak bahawa dengan menyebut satu dua nombor iaitu nombor 20, nombor 40 yang secara kebetulan anak Perdana Menteri, adik Perdana Menteri itu diungkit-ungkit seolaholahnya bila anak Perdana Menteri, adik Perdana Menteri, bila orang UMNO mesti jadi papa kedana. Itulah saya dapati tanggapan sebahagian daripada pemimpin-pemimpin yang kononnya berjuang untuk Islam. Bagaimana komen Yang Berhormat Pasir Salak? Terima kasih. [Ketawa]
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Boleh sambung sedikit?

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tuan Yang di-Pertua, beri saya jawab dahulu sedikit.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Okey.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Sebenarnya disebutkan bahawa manusia ini dijadikan sama tetapi perselisihan berlaku disebabkan hasad dengki. Yang Berhormat Titiwangsa seorang Muslimat PAS, tahu tentang ini? Yang Berhormat Wangsa Maju, silap, Titiwangsa... Yang Berhormat Wangsa Maju ikut saya
pergi Washington, hati-hati ya Yang Berhormat Permatang Pauh. [Ketawa] Tidak lama lagi. Jadi, ini soalnya perebutan di antara pihak sebelah sana dengan sini yang inginkan kuasa, kedudukan dan harta benda. Ini yang menyebabkan berlakunya pergaduhan, perselisihan yang mana berlaku di antara kita sesama kita. Akan tetapi berbezanya bagi pihak kita, kuasa yang telah dimiliki selama 50 tahun lebih kita gunakan untuk rakyat, bukan untuk kepentingan individu.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Laluan.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Sedikit lagi saya hendak teruskan.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Sedikit lagi?

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Nanti saya beri masa kepada Yang Berhormat.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Nanti terlupa pula point.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tidak, tidak lupa. Catit, catit itu. Tulis, tulis.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Sedikitlah sebab tadi sudah sebut panggil Muslimat PAS tadi. Terpanggil ini.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tetapi jangan berpantun apa, siakap senohong, apa semua tu, jangan lagi lah. [Ketawa]

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Tidak ada, tidak ada. Sudah habis sudah pantun itu, sudah habis. Terima kasih. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Pasir Salak. Saya pun hairan jugalah bila Yang Berhormat Pasir Salak kata yang Titiwangsa Muslimat PAS. Memanglah saya Muslimat PAS, ada masalah kah? Itu satulah. Yang keduanya berkenaan dengan apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Hulu Terengganu tadi tentang ‘anak jantan’ tadi. Anak jantan, kita tidak ada masalah. Sebutlah beberapa kali pun, tidak ada masalah. Akan tetapi apabila dianalogikan, disebutkan perkataan ‘anak betina’ dan dianalogikan bahawa ‘anak betina’ itu penakut, pengecut dan sebagainya, maka inilah masalahnya yang kita kata kita tidak mahu perkataan...

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Ini digunakan sewenang-wenangnya di dalam Parlimen ini.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Okey, terima kasih.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Ya, anak-anak sekolah pun boleh melihat, boleh mendengar tentang perkara ini.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Okey, baik.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Jadi tidak timbul masalah kita sebagai orang Melayu kalau dikatakanlah, kalau apa yang saya faham daripada Yang Berhormat Hulu Terengganu, tidak mendaulatkan kemelayuan itu.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Okey.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Wallahu’alam.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih. Saya Tuan Yang di-Pertua, tidak mahu melanjutkan perbalahan ini.

-----------------------------------------------------------------------

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Saya hendak sebut nombor 20 anak kepada bekas Perdana Menteri, nombor 40 adik Perdana Menteri sebab Yang Berhormat sebut dan membaca nama dan Yang Berhormat bertanya Robert Kuok ini adakah UMNO? Saya sudah sebut, itulah dia UMNO. Nombor 40 itu UMNO, nombor 20 UMNO. Itu sahaja, saya bukan dengki.

Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Tuan Yang di-Pertua, saya mencelah sikit.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya.

Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Terima kasih Yang Berhormat Pasir Salak. Saya melihat perbahasan sejak semalam, saya tidak hairan kalau Yang Berhormat Bukit Mertajam menyuarakan. Saya lagi tidak hairan kalau Yang Berhormat Batu Gajah menyuarakan. Akan tetapi sejak semalam saya nampak, bila kita faham akar umbi kita yang berasas kepada kita, yang berasas darah daging kita. Semalam Yang Berhormat Padang Rengas menyebut tentang satu peribahasa ‘anak jantan’ tetapi kita dapati bahawa orang yang sepatutnya menjiwai peribahasa Melayu tempat kita, darah yang mengalir dalam badan kita tetapi golongan inilah yang mula menyuarakan seolah-olah mereka sudah tercabut akar asal usul mereka. Saya dapati tidak tahulah saya, apakah jenis darah yang mengalir dalam badan mereka. Kalau orang tua dahulu bercakap ‘ambil tempurung, kencing dalam tempurung dan lihat wajah siapa di dalam tempurung tersebut’.

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Menyampuk] Wajah UMNO.

Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Jadi saya nampak bahawa dengan menyebut satu dua nombor iaitu nombor 20, nombor 40 yang secara kebetulan anak Perdana Menteri, adik Perdana Menteri itu diungkit-ungkit seolaholahnya bila anak Perdana Menteri, adik Perdana Menteri, bila orang UMNO mesti jadi papa kedana. Itulah saya dapati tanggapan sebahagian daripada pemimpin-pemimpin yang kononnya berjuang untuk Islam. Bagaimana komen Yang Berhormat Pasir Salak? Terima kasih. [Ketawa]
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Boleh sambung sedikit?

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tuan Yang di-Pertua, beri saya jawab dahulu sedikit.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Okey.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Sebenarnya disebutkan bahawa manusia ini dijadikan sama tetapi perselisihan berlaku disebabkan hasad dengki. Yang Berhormat Titiwangsa seorang Muslimat PAS, tahu tentang ini? Yang Berhormat Wangsa Maju, silap, Titiwangsa... Yang Berhormat Wangsa Maju ikut saya
pergi Washington, hati-hati ya Yang Berhormat Permatang Pauh. [Ketawa] Tidak lama lagi. Jadi, ini soalnya perebutan di antara pihak sebelah sana dengan sini yang inginkan kuasa, kedudukan dan harta benda. Ini yang menyebabkan berlakunya pergaduhan, perselisihan yang mana berlaku di antara kita sesama kita. Akan tetapi berbezanya bagi pihak kita, kuasa yang telah dimiliki selama 50 tahun lebih kita gunakan untuk rakyat, bukan untuk kepentingan individu.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Laluan.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Sedikit lagi saya hendak teruskan.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Sedikit lagi?

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Nanti saya beri masa kepada Yang Berhormat.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Nanti terlupa pula point.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tidak, tidak lupa. Catit, catit itu. Tulis, tulis.
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Sedikitlah sebab tadi sudah sebut panggil Muslimat PAS tadi. Terpanggil ini.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tetapi jangan berpantun apa, siakap senohong, apa semua tu, jangan lagi lah. [Ketawa]

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Tidak ada, tidak ada. Sudah habis sudah pantun itu, sudah habis. Terima kasih. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Pasir Salak. Saya pun hairan jugalah bila Yang Berhormat Pasir Salak kata yang Titiwangsa Muslimat PAS. Memanglah saya Muslimat PAS, ada masalah kah? Itu satulah. Yang keduanya berkenaan dengan apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Hulu Terengganu tadi tentang ‘anak jantan’ tadi. Anak jantan, kita tidak ada masalah. Sebutlah beberapa kali pun, tidak ada masalah. Akan tetapi apabila dianalogikan, disebutkan perkataan ‘anak betina’ dan dianalogikan bahawa ‘anak betina’ itu penakut, pengecut dan sebagainya, maka inilah masalahnya yang kita kata kita tidak mahu perkataan...

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Ini digunakan sewenangwenangnya di dalam Parlimen ini.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Okey, terima kasih.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Ya, anak-anak sekolah pun boleh melihat, boleh mendengar tentang perkara ini.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Okey, baik.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Jadi tidak timbul masalah kita sebagai orang Melayu kalau dikatakanlah, kalau apa yang saya faham daripada Yang Berhormat Hulu Terengganu, tidak mendaulatkan kemelayuan itu.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Okey.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Wallahu’alam.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih. Saya Tuan
Yang di-Pertua, tidak mahu melanjutkan perbalahan ini.

Soalan Jawab Parlimen -tajaan Tabung Haji-

Dr. Lo’ Lo’ Haji Mohamad Ghazali [Titiwangsa] minta Perdana Menteri menyatakan tentang individu atau kumpulan RA yang pergi menunaikan haji secara ditaja sepenuhnya oleh Lembaga Tabung Haji sedangkan mereka ini adalah dari kalangan penyokong parti politik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim]: Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakaatuh.

Dato’ Haji Ismail bin Mohamed Said [Kuala Krau]: Ada penaja pergi Mekah.

Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim: Tuan Yang di-Pertua, saya mohon untuk menjawab soalan ini bersekali dengan pertanyaan lisan daripada Yang Berhormat Kota Bharu yang dijadualkan pada 30 Mac kerana ia adalah berkaitan.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Baiklah Yang Berhormat.

Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim: Terima kasih. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, RA adalah Rombongan Am yang ditaja sepenuhnya oleh Lembaga Tabung Haji. Senarai Rombongan Am terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) dan Ahli Majlis Penasihat Haji (AMPH). Pada tahun 2009, seramai 7 orang Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji telah menunaikan ibadat haji dan kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada mereka adalah penerbangan haji pergi dan balik, kemudahan pengangkutan di Tanah Suci, penginapan di Mekah dan Madinah, perkhidmatan perubatan, sajian makanan harian dan juga elaun penghargaan. Bagi individu pula atau pun mana-mana penyokong parti politik, Lembaga Tabung Haji tidak menaja mana-mana individu untuk tujuan menunaikan fardu haji. Terima kasih.

Dr. Lo’ Lo’ Haji Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih atas jawapan Timbalan Menteri. Saya dimaklumkan tahun-tahun sebelum ini, bilangan yang mengikuti Rombongan Am ini adalah antara 50 sehingga 60 orang. Kalau tadi Timbalan Menteri ada mengatakan dalam 7 orang ahli lembaga pengarah. Jadi kalau boleh disebutkan lagi siapakah yang selain daripada ahli-ahli lembaga pengarah? Kemudian pada tahun ini dikatakan hampir 100 orang dalam Rombongan Am ini. 
Saya ingin bertanya adakah pendeposit-pendeposit tabung haji dimaklumkan tentang perbelanjaan Rombongan Am ini yang mendapat layanan VVIP. Saya masih ingat lagi semasa saya mengikuti rombongan haji atau pun saya menunaikan haji, pakej pertama yang diperkenalkan Tabung Haji pada masa itu Pengerusi Tabung Haji menginap di penthouse dengan anak beranaknya. Ini yang dikatakan oleh kakitangan Tabung Haji sendiri dan ditanggung sepenuhnya oleh Tabung Haji. Jadi, kita ingin tahu adakah pendeposit-pendeposit tabung haji dimaklumkan tentang perbelanjaan RA ini dan adakah mereka ini reda duit mereka diambil untuk memberi layanan VVIP kepada RA ini? Saya perlukan penjelasan. Terima kasih.

Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim: Terima kasih kepada Yang Berhormat. Untuk menjawab soalan Yang Berhormat secara tepat, kalau kita melihat pada tahun 2009 atau 1430 Hijrah, jumlah Rombongan Am yang mengikuti, yang ditaja oleh Tabung Haji seluruhnya hanyalah 11 orang yang mana mereka ini dibenarkan untuk membawa pasangan masing-masing. Jadi jumlahnya adalah seramai 22 orang sahaja. Senarai mereka terdiri daripada Yang Berhormat Menteri dan isteri, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa selaku Pengerusi Tabung Haji dan isteri, Dato’ Ismi Ismail dan isteri, Dato’ Zainol selaku Ahli Lembaga Pengarah, Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Hussin Ahli Lembaga Pengarah, Dato’ Paduka Badruddin, Ahli Lembaga Pengarah, Dato’ Abd. Halim Said Ahli Lembaga Pengarah, Dato’ Latifah Abdul Mansur Ahli Lembaga Pengarah, Dato’ Rasul, Dato’ Ibrahim dan Dato’ Abd. Rahman selaku Ahli Majlis Penasihat.
Jumlah mereka cumalah 22 orang sahaja. Mereka ini pergi bersama dengan pasangan masing-masing. Yang Berhormat, untuk makluman kita tidak perlu memaklumkan kepada pendeposit tentang urusan ini kerana ia termasuk di antara kos operasi yang ditanggung. Mereka yang terdiri daripada ahli lembaga ini perlu maklum dan perlu mendapat gambaran sebenar dalam setiap isu yang berlaku di tanah suci. Jadi kehadiran mereka ini adalah kehadiran untuk bertugas dan memantau operasi yang berlakunya di tanah suci. Telahan Yang Berhormat mengatakan 100 orang ditaja sepenuhnya itu nampaknya memang fitnahlah Yang Berhormat. 

[Dewan riuh]

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Bukan telahan.

Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim: Tidak benar.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Itu adalah maklumat daripada mereka yang...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Mengikuti RA itu sendiri.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah I [Dato’ Haji Hasan bin Malek]: Bohong lagi.

Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim: Maklumat itu...

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Bukan telahan.

Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim: Besar kemungkinan... [Dewan riuh] Besar kemungkinan Yang Berhormat, kadang-kadang ada di antara jemaah haji yang pergi ini adalah daripada pakej-pakej tersendiri yang dibayar dengan harga yang agak mahal daripada pakej yang mereka sendiri bayar tetapi ia bukan tajaan daripada Tabung Haji. Terima kasih. 

[Dewan riuh]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Jempol.

Dato’ Haji Lilah Yasin [Jempol]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Penyimpan-penyimpan kepada Tabung Haji ini tidak kisah. Siapa hendak pergi, pergilah sebab mereka hendak pahala dan juga masuk syurga. Akan tetapi mereka bertanya Tuan Yang di-Pertua, kenapakah dividen dan bonus Tabung Haji sekarang ini rendah sangat?
Jikalau dahulu pernah mencapai sampai 9% telah ditolak zakat. Akan tetapi sekarang ini adakah mana-mana kelemahan tertentu yang menyebabkan dividen dan bonus ini tidak dapat dibayar sewajarnya kepada penyimpan-penyimpan Tabung Haji? Jikalau dividen dan bonus ini meningkat tinggi, hendak tambah bilangan pergi pun tidak ada masalah.

Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim: Terima kasih Yang Berhormat Jempol. Yang Berhormat, kalau Yang Berhormat lihat kepada pelaburan semua daripada syarikatsyarikat yang lain pun mengalami lebih kurang kita katakan keuntungan yang sama juga. Apa lagi kalau kita lihat penyimpan atau pendeposit di Tabung Haji, kalau Yang Berhormat simpan dalam bank untuk akaun semasa pun Yang Berhormat tidak dapat keuntungan seperti mana yang diberi oleh Tabung Haji. Ini kerana pendeposit ini dia boleh keluar seperti mana daripada bank tiap-tiap hari dia boleh keluar dan dalam masa yang sama kita memberi pulangan atau dividen yang cukup meyakinkan. Terima kasih.Yang Berhormat.

Sunday, 28 March 2010

AMARAN ALLAH: JANGAN KAMU DEKATI ZINA

AMARAN ALLAH: JANGAN KAMU DEKATI ZINA

Tapi manusia engkar dengan melakukan segala perkara yang menjurus kepada situasi yang merangsang nafsu serakah: Contoh2:

- Ibu bapa tidak kesah anak gadisnya membonceng motor teman lelaki

- Ibu bapa jarang sekali mengingatkan anak remaja lelaki agar menjaga matanya dari melihat perkara-perkara yang haram, menjaga kemaluannya dari wanita yang haram buatnya. Berapa orang bapa atau guru yang duduk dengan seorang anak remaja lelaki dan mengongsikan pengalaman sibapa/ guru dalam menguasai nafsu remaja lelaki yang biasanya membuak-membuak sehingga umur matang dua puluhan.

- Berapa orang bapa/ guru/ ustaz yang mengingatkan lelaki bahawa setiap benihnya yang ditaburkan dan menjadi seorang manusia kecil adalah tanggungjawab dia dunia akhirat. Mungkin di dunia siibu yang menderita dan terhukum tapi LELAKI tidak akan terlepas dari hukuman Allah. Manusia kecil yang terbit dari benih yang sesuka hati ditabur sana sini akan mengheret sibapa ke liang NERAKA Jahannam.

- Media tiada tanggungjawab langsung dalam hal ini. Agaknya lagi lucah lagi menarik untuk dipertontonkan.

- Pemerintah kurang peka dengan hubungkait hiburan melampau, tempat-tempat hiburan dan arak yang menyubur suasana ke arah perzinaan.

- Rakyat lagi tidak peka hingga terus-terusan pilih pemerintah diperingkat pusat yang mengabaikan tanggung jawab ini. Pemerintah yang gagal menanamkan pendidikan rohani dalam sistem pendidikan kebangsaan.

     Tanam lalang lalu tumbuhnya pasti lalang.

Dr Lo'Lo'

Setiap 17 minit seorang anak luar nikah dilahirkan di Malaysia. Dan perkara ini berlaku setiap jam, setiap hari dengan kadar yang semakin meningkat. Malangnya perkara ini bukan tajuk utama akhbar. Umat Islam di Malaysia leka dengan cerita sensasi , cerita politik , cerita artis di akhbar.

Lupa kerja dakwah, lupa ingat mengingati untuk sembahyang, lupa ke masjid. Cinta DUNIA, Takutkan MATI. Inilah Virus W1H1N iaitau WAHAN yang sedang melanda umat Islam sekarang ini.

Itu yang direkodkan 83 anak luar nikah setiap hari, yang tidak direkodkan?

Jangan lupa, kita di akhirat nanti sendiri-sendiri.

************ ********* ********* ********
STATISTIK ANAK LUAR NIKAH DI MALAYSIA

Di Malaysia, anak luar nikah dalam maksud pendaftaran kelahiran terdiri daripada kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan ibu bapa yang tidak berkahwin tetapi maklumat dimasukkan ke dalam daftar dan sijil kelahiran.

Pendaftaran tersebut dibuat di bawah peruntukan pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf.

Ada sesuatu yang luar biasa pada sijil kelahiran anak tidak sah taraf. Nombor sijil yang lazimnya tertera di bahagian kanan dokumen, dicetak di bahagian bawah. Ini menunjukkan bahawa pemiliknya tidak mengetahui ayah kandungnya.

STATISTIK
Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Ini bermakna secara purata, 2500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika dianjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.

Pecahan mengikut negeri:

Selangor = 12,836 orang

Perak = 9,788 orang

Kuala Lumpur = 9,439 orang

Johor = 8,920 orang

Sabah = 8,435 orang

Negeri Sembilan = 4,108 orang

Pahang = 3,677 orang

Kedah = 3,496 orang

Pulau Pinang = 3,412 orang

Melaka = 2,707 orang

Kelantan = 1730 orang

Perlis = 691 orang

Sarawak = 617 orang

Terengganu = 574 orang

JUMLAH = 70,430 orang.

PAMPASAN RUMAH KEDAI 2 TINGKAT DATO KERAMAT vs FLAT 2 BILIK TAMAN KERAMAT

Lapuran didalam Utusan Kota muka surat 26 bertarikh 27/03/2010

Projek Keramat Mall tidak gagal. Yang gagal ialah pengurusan tertinggi DBKL yang tidak mempunyai kekuatan untuk memindahkan peniaga pasar keramat (PPPKM-Persatuan Peniaga yang diketuai Ketua Cawangan UMNO pasar keramat). Sebagai pemilik bangunan Keramat Mall dan juga pasar keramat lama DBKL gagal menggunakan kuasanya dan terpaksa akur dengan segala permintaan & ugutan dari penyewa gerai pasar basah yang berkeras tidak mahu pindah. Sebelum ini mereka mengugut tidak mahu pindah jika DBKL tidak mengambil kedai kami yang terletak bersebelahan Keramat Mall (dihadapan Stesyen LRT Damai). DBKL sudahpun mengambil tanah kami secara paksa dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) tetapi PPPKM masih berdegil tidak mahu pindah dan menggunakan alasan yang lain pula. Kami sedang merujuk kepada mahkamah berkenaan pampasan dan bercadang akan mengambil tindakan undang undang keatas pihak yang menyebabkan tanah kami dirampas.

Untuk makluman, Orang ramai yang datang membeli belah di Pasar Keramat telah jatuh mendadak disebabkan:

1. Saingan dari JayaJusco AU, Carefoure di Wangsa Maju dan Giant di Setiawangsa yang menjual barang lebih murah dan bermutu dari Pasar Keramat.

2. Keadaan pasar Keramat yang tidak bersih, tidak ada tanda harga, lesen perniagaan tidak dipamerkan.

3. Kebanyakan penyewa asal gerai telah menyewakan gerai mereka kepada peniaga lain dan mereka ini khuatir jika DBKL akan menghalang mereka menyewakan gerai di Keramat Mall (harta kerajaan) kepada orang lain.

Proses pengambilan tanah kami juga telah dijalankan dengan cara tidak adil dan tidak professional. Terdapat beberapa prosedur yang tidak dipatuhi. Tetapi oleh kerana kuasa yang ada pada APT 1960, kami terpaksa menyerahkan secara mandatori tanah kami kepada DBKL sebagaimana yang dituntut oleh PPPKM.

Berkaitan dengan pampasan, sejarah tetap berulang dimana jika mana-mana pengambilan tanah yang melibatkan orang melayu, pampasan yang dibayar paling rendah dan berbeza jika perkara yang sama berlaku kepada bukan melayu.

Hj Ramli wakil pemilik 8 unit Rumah Kedai 2 tingkat.

(Yang dipaparkan diatas adalah email dari wakil pemilik rumah kedai 2 tingkat yang hanya mendapat lebih kurang RM200k sahaja yang telah diputuskan oleh Pentadbir Tanah. Untuk makluman Rumah kedai sederet ini terletak bawah bidang kuasa DBKL agensi dibawah Kerajaan Persekutuan yang diterajui umno/bn. Jawapan saya: Bandingkan dengan pengambilan tanah dan aset Flat Bandar Taman Keramat berhampiran LRT Jelatek oleh Kerajaan Negeri Selangor. Pemilik unit flat 2 bilik dengan keluasan 500 kaki persegi dapat pampasan RM250k. Pemilik unit flat 3 bilik pula dapat RM350k. Sebentar tadi {27 Mac}Tan Sri Khalid Ibrahim Dato' MB Selangor telah menyerahkan simbolik pampasan tersebut. Semasa pemerintahan Kerajaan Selangor UMNO/BN mereka hanya ditawarkan unit flat di AU3 yang bernilai antara RM60-70k sahaja, sedangkan Flat Tmn Keramat terletak dekat dengan LRT Jelatek dan dekat Jln Ampang.
 
Tuan-tuan pemilik rumah kedai 2 tingkat sepatutnya mendapat tidak kurang dari RM1juta)

Jawapan dari Hj Ramli:

Saya telah memaklumkan kepada pemilik yang lain. Saya juga ada satu salinan surat tawaran dari PKNS yang saya fotostat dari kawan saya dari Flat Tmn. Keramat.

Semasa di dalam perbicaraan tanah yang lalu telah pun ditunjukkan kepada Pentadbir Tanah. Malangnya perkara ini tidak diberi perhatian. Nampaknya Kerajaan Selangor di bawah pakatan Rakyat sangat prihatin kepada rakyat. Saya diberitahu kalau kerajaan BN memang tak sampai kepada jumlah tersebut.
 

RAKYAT NILAILAH SENDIRI
 
Dr Lo'Lo'

Perhimputan Pemuda PAS Titiwangsa

20 Mac 2010

Perjumpaan bersama MPs PR dan Wakil Majlis Peguam Malaysia

24 Mac 2010

Ahli-ahli Parlimen PAS telah bersetuju untuk mendengar taklimat dari Majlis Peguam Malaysia atau Malaysian Bar Council berkenaan NFL atau Non Fault Liability yang dikatakan sedang dalam proses draf untuk dikemukakan ke Parlimen sebagai satu bil/rang undang-undang.

 
RUU ini bertujuan untuk menetapkan pampasan sehingga RM100k sahaja kepada penerima 3rd party insurance coverage. Setiap kecederaan akan menerima pampasan yang telah ditetapkan melalui RUU yang dicadngkan ini.

Apa yang dikesali ialah bill / RUU ini hanya dibincang oleh Wakil-wakil Syarikat Insuran dan Wakil-wakil Bank Negara. Ini dibimbangi akan menyebabkan kepentingan pembeli-pembeli insuran 3rdparty yang biasanya terdiri dari pemilik motor dan kenderaan dar golongan berpendapatan rendah akan terabai. Malaysian Bar Council yang ahli-ahlinya sering mewakili tuntutan-tuntutan pampasan di mahkamah iaitu sebagai 'stakeholder' tidak dilibatkan dalam perbincangan penyediaan draf bill/RUU tersebut.


YB Senator Mumtaz mempengerusikan majlis perbincangan tersebut.

Yang ini pula gambar kami sebahagian Ahli-ahli Parlimen PAS yang menyambung perbincangan di ruang rehat pejabat AP PAS Tingkat 14 Menara Parlimen


Dr Lo'Lo'

Wednesday, 24 March 2010

Majlis Syura PAS akan tentukan siapa Mursyidul Am malam ini

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Majlis Syura Ulamak PAS bermesyuarat buat pertama kalinya malam ini untuk sessi baru bagi melantik barisan kepimpinan tertinggi badan yang paling berkuasa dalam PAS itu.

Mesyuarat malam ini yang dipengerusikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pemimpin paling kanan di kalangan anggota yang ada. Mereka akan menentukan siapakah pengerusi Majlis Syura Ulama iaitu Mursyidul Am dan timbalannya serta empat lagi anggota majlis itu.

Mursyidul Am PAS dan timbalannya kini disandang masing-masing oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Dr Haron Din.

Mesyuarat malam ini juga buat pertama kalinya akan mengikut format baru Majlis Syura berdasar pindaan terbaru kepada Perlembagaan PAS.

Melalui pindaan ini, anggota majlis ini adalah empat dipilih oleh Jawatankuasa PAS Pusat, empat dari Dewan Ulamak PAS Pusat dan dua dari setiap dewan iaitu Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Mereka pula akan memilih empat lagi anggota tambahan.

Sebelum ini, Majlis Syura hanya terdiri dari 12 anggota iaitu empat dilantik oleh Jawatankuasa PAS Pusat dan empat oleh Dewan Ulamak PAS. Kelapan-lapan mereka pula akan melantik empat lagi anggota serta Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am.

Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat sebelum ini telah memilih Abdul Hadi bersama dengan timbalan presiden Nasharudin Mat Isa, naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta AJK Datuk Abdul Halim Abdul Rahman sebagai wakil mereka ke Majlis Syura.

Dewan Ulamak pula telah memilih ketuanya Datuk Harun Taib, timbalan Datuk Ahmad Yaakub, naib Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan AJKnya Ustaz Nik Zawawi Salleh sebagai anggota Majlis Syura.

Wakil Dewan Pemuda PAS pula adalah ketuanya, Nasharudin Hassan dan AJKnya Ustaz Zaharudin Mohamad.

Namun begitu, Dewan Muslimat tidak membuat keputusan di kalangan mereka tetapi menyenaraikan lima nama untuk dipilih dua di kalangan mereka oleh mesyuarat Majlis Syura yang pertama malam ini.

Tuesday, 23 March 2010

Wanita UMNO ciplak logo dan motto Lajnah Kebajikan PAS pusat KAMI PRIHATIN


Saya terkejut bila dimaklumkan dalam utusan meloya hari ini 23 Mac tertera dimuka hadapan logo dan motto kami prihatin yang dikatakan dari skuad syang wanita umno. Motto dan Logo KAMI PRIHATIN telah diilham dan digunapakai oleh LKKPP sejak tahun 2006 lagi. Kami telah ada pelbagai korporat item dari T-shirt, baju F1, payung, vest, beg, pen, key-chain dll.

Saya berharap wanita umno cukup bermaruah untuk tidak terus menggunakan logo dan motto ini kerana KAMI PRIHATIN sudah sinonim dengan Lajnah Kebajikan PAS di seluruh negara.


Dr Lo'Lo'



Ahli-Ahli Parlimen seksis akan disenarai hitamkan



Wanita Malaysia tidak akan memilih calon-calon Ahli Parlimen yang seksis dalam pilihan raya akan datang.
Anutan seksisme (sexism) membawa pemikiran bahawa satu gender adalah lebih inferior atau lemah dari yang lainnya. Ia juga bermaksud mendiskriminasi gender dan tidak mempeduli soal memelihara maruah dan martabat gender, lelaki atau wanita. (kepercayaan ini boleh menyebabkan seseorang itu melakukan keganasan keatas gender yang dilihat lebih lemah dimana disini seringkali wanita menjadi mangsa rogol dan mangsa jenayah)

Seksisme adalah berlawanan dengan Perlembagaan Malaysia dan pengakuan Malaysia dalam mendukung tuntutan untuk menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita (CEDAW). Seksisme dalam Parlimen sering berulang kerana tiada pengharaman terhadap pengujaran dan kelakuan seksis dalam Peraturan Mesyuarat.

Ahli-Ahli Parlimen yang seksis yang sepatutnya dihukum, bebas lepas begitu saja (scott free). Seksisme adalah penghalang besar terhadap pencapaian keadilan dan kesetaraan gender. Seluruh rakyat Malaysia wajar berasa sangat bimbang jika AhliAhli Parlimen menganggap isu seksisme ini sesuatu yang remeh dan tiada bernilai sedikitpun.

Ahli-Ahli Parlimen yang seksis tidak akan mampu membawa keadilan untuk semua – lebih-lebih kepada wanita yang sentiasa menjadi golongan yang didiskriminasi dan dipinggir. ( Sebagai penggubal dasar, polisi dan undang2 negara Ahli Parlimen yang seksis TIDAK akan gender positif dalam memberi cadangan2 yang berkenaan malah mungkin akan membuat keputusan yang tidak peka kepada keperluan gender ). Menurut satu kajian, lebih 60% rakyat miskin adalah terdiri dari wanita. Wanita masih ketinggalan dalam sektor ekonomi, pekerjaan dan kepimpinan pentadbiran dan politik. Wanita belum berasa selamat dan aman dari penganiayaan dan keganasan yang masih berterusan berlaku.


Ahli-Ahli Parlimen yang seksis dikhuatiri tidak akan dapat menghayati situasi bahawa wanita perlu diberdaya (empowered) dalam menghasilkan sumbangan terbaik untuk negara dalam kesemua ruang lingkup kehidupan masyarakat dan negara. Dengan itu, kebiasaannya ialah segala keputusan penting untuk kepentingan umum akan meminggirkan keperluan khusus wanita.

Wanita Pakatan Rakyat akan menyenarai hitamkan para pemimpin yang bersikap seksis kerana individu seksis tidak mampu memberi pertimbangan yang adil dan saksama terhadap wanita. Di antara KPI calon-calon Ahli Parlimen akan datang ialah mereka mestilah bebas dari sebarang bentuk amalan seksis sepanjang keahlian mereka dalam Dewan Rakyat ke-12 ini. ( Islam telah memartabatkan wanita sejak lebih 1430 tahun yang lalu dan meletakkan wanita ditempat yang sangat mulia sebagaimana maksud hadis Nabi : Syurga terletak dibawah tapak kaki ibu )

Wanita Pakatan Rakyat






Senarai hitam MP seksis

Hazayani Zakaria. www.harakahdaily.net


KUALA LUMPUR, 23 Mac: Wanita Pakatan Rakyat (PR) hari ini menyeru seluruh wanita Malaysia menyenaraihitamkan ahli parlimen (MP) yang bersikap seksis pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam satu kenyataan bersama yang dibacakan oleh Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali (PAS-Titiwangsa) tengah hari ini, wanita PR berkata, ahli parlimen seksis tidak layak menjadi wakil rakyat.
Ahli parlimen, ujar mereka perlu bebas dari sebarang bentuk amalan seksis, dan ianya perlu dijadikan indeks pencapaian utama (KPI) terhadap calon-calon Parlimen akan datang.
"Wanita Malaysia tidak akan memilih calon-calon ahli parlimen yang seksis dalam pilihan raya akan datang," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu merujuk kepada perkataan 'anak jantan' dan 'anak betina' yang dikeluarkan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) di Dewan Rakyat semalam.
Menurut wanita PR, anutan seksisme (sexism) membawa pemikiran bahawa satu gender adalah lebih 'inferior' atau lemah dari yang lainnya.
Ia juga bermaksud mendiskriminasi gender dan tidak mempedulikan soal memelihara maruah dan martabat gender, lelaki atau wanita sekaligus berlawanan dengan Perlembagaan Malaysia.
"Kita bantah kerana penggunaan perkataan 'anak jantan' dan anak betina ini sangat tidak wajar sebab perkataan itu sering dikaitkan dengan binatang dan juga wanita yang tidak baik," katanya.
Menurutnya lagi, biarpun perkara itu dipandang remeh oleh sesetengah pihak, namun apa yang dibimbangi jika dibiarkan, lebih banyak lagi perkataan serupa digunakan di Parlimen.
Sementara itu, Siti Zailah (PAS-Rantau Panjang) menyifatkan kempen 'Budi Bahasa Budaya Kita' yang diwar-warkan kerajaan sebagai gagal apabila menteri sendiri tidak menunjukkan budi bahasa yang baik sewaktu berbahas di Parlimen.
"Kenyataan ini jelas membuktikan kegagalan kempen 'Budi Bahasa Budaya Kita' yang dilaungkan kerajaan. Kerajaan telah menghabiskan berjuta ringgit untuk melaksanakan kempen itu tapi malangnya \menteri sendiri tidak berbudi bahasa walaupun dalam dewan yang mulia," katanya.
Manakala Zuraida Kamarudin (PKR-Ampang) pula melahirkan rasa kecewa kerana Ahli Parlimen Barisan Nasional masih lagi gagal memahami konsep kesetaraan gender dan kenyataan-kenyataan bersifat seksisme.
"Ini menampakkan kelemahan kerajaan apabila ahli parlimen lelakinya masih gagal untuk memamahi konsep ini. Jika perkara semudah ini pun mereka tidak boleh faham, bagaimana rakyat khususnya wanita hendak meletakkan harapan kepada mereka," katanya.