Wednesday 25 November 2009

Ahli Parlimen PAS rakam tahniah kepada Nik Aziz dan Ariffahmi

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Ahli parlimen PAS merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman kerana mendahului keputusan parti berbanding kepentingan peribadi dan keluarga.
Ahli parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusuf Rawa dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi tadi berkata, tindakan Nik Aziz yang menerima keputusan parti untuk menasihati Ariffahmi meletakkan jawatan merupakan satu tindakan yang mempamerkan ketinggian integriti beliau sebagai seorang Menteri Besar.
"Kami (ahli parlimen PAS) mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Kelantan (Nik Aziz) kerana telah menerima keputusan yang telah dibuat oleh PAS pusat agar beliau menasihati Ariffahmi meletakkan jawatan."
"Ini satu tahap integriti yang saya kira cukup baik bagi pihak menteri besar kerana akur tentang keperluan untuk menjaga kepentingan PAS termasuk kepada menantu beliau,Ariffahmi yang juga akur dengan keputusan yang dibuat oleh parti bagi memelihara kepentingan dan kesejahteraan serta integriti parti," katanya.
Mujahid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut berharap agar tindakan Nik Aziz itu dapat dicontohi oleh pemimpin-pemimpin parti lain dan juga rakyat.
"Kami mengalu-alukan keputusan itu dan ia boleh menjadi satu contoh yang baik kepada orang ramai betapa integriti perlu diletakkan lebih utama daripada apa-apa sahaja kepentingan,"
"Kami menyokong, kami harap ia boleh jadi contoh kepada orang lain tentang sikap yang ditunjukkan oleh Tok Guru Nik Aziz dan juga menantu beliau sendiri yang sanggup membuat keputusan itu di atas kepentingan integriti dan juga parti," katanya lagi.
Tindakan Nik Aziz dan Ariffahmi juga ujarnya membuktikan bahawa PAS merupakan sebuah parti yang terbuka dan menjaga disiplin.
"Ini memberikan gambaran bahawa PAS ini bukanlah satu parti yang hanya membuat sesuatu mengikut kehendak tetapi ada batas-batasnya dan mereka akur dengan kehendak dan kepentingan lebih tinggi iaitu jawatankuasa pas pusat," ujarnya.
Sidang media berkenaan turut disertai Ahli Parlimen Pasir Puteh Muhammad Husain, Ahli Parlimen Padang Terap Nasir Zakaria dan Ahli Parlimen Sik Che Uda Che Nik.
Nasir dalam pada itu menyifatkan tindakan Ariffahmi meletakkan jawatan sebagai tindakan bijak untuk jangka masa panjang.
"Tindakan Ariffahmi satu langkah yang jauh ke hadapan dan saya kira ia sepatutnya menjadi satu contoh kepada rakyat dan pemimpin malaysia dalam usaha memelihara integriti terutamanya kerajaan dalam berhadapan isu-isu yang dikatikan dengan nepotisme dan sebagainya," katanya yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat.
Semalam Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS selepas pertemuan dengan pimpinan parti di kediaman Menteri Besar, JKR 10 mengumumkan persetujuannya menasihati Ariffahmi meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Pertemuan semalam turut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din, dan Bendahari Dr. Hatta Ramli.

Friday 20 November 2009

INSAF Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap Yayasan Prihatin Titiwangsa kerana bekerjasama dalam Program Ibadah Qurban di Padang kali ini.
Pada mulanya INSAF Malaysia cukup sukar untuk mendapatkan peserta yang berminat dalam ibadah Qurban ini tetapi setelah pihak Yayasan Prihatin Titiwangsa mula mengambil bahagian..., maka tanpa disangka-sangka ramai pula individu-individu baik di dalam dan di luar negara mengikut jejak seperti langkah Yayasan ini.
2 ekor lembu yang disumbang oleh pihak yayasan diperingkat awal terus bertambah disaat-saat akhir oleh individu-individu tanpa diketahui latarbelakang kepada 4 ekor lembu dan diikuti 4 ekor kambing.
Wakil pihak INSAF, sdr Shamsul Ariffin yang sudah berada disana akan mewakili semua pihak Malaysia disini dalam proses penyerahan akad kepada pihak yang berwajib dan amanah untuk disampaikan terus kepada mangsa-mangsa gempa sempena Hari Raya Qurban.
email yang diterima dari Insaf Humanitarian Relief Malaysia (INSAF)

Monday 16 November 2009

Majlis Dailog Ahli Parlimen Titiwangsa bersama KRT PPR Desa Rejang

Perjumpaan dgn KRT iaitu Komuniti Rukun Tetangga PPR DESA REJANG. Turut serta AJK KRT, Pengerusi RELA, Ketua Komuniti Policing dan Pengerusi Surau. En Amir wakil zon Desa Rejang. Mereka bermurah hati menyediakan minuman dan kuih-muih.

Majlis Penyampaian Sumbangan untuk Masyarakat Cina

Pemberian sumbangan kepada orang2 miskin golongan Tiong Hwa sempena Majlis Makan Malam Amal di PPR Desa Rejang.
YDP juga turut serta membantu.
Ah So ni bersungguh2 meminta supaya cucunya juga diberi beg sumbangan.
Apek ni cukup gembira mendapat sumbangan walaupun tidak seberapa.
Para petugas menyediakan barang-barang yang hendak disumbangkan...En Hedzer, Abu Hassan, Syed dll.
Menyampaikan ucapan...kita berasal dari satu bapa dan satu ibu iaitu Adam dan Hawa.
Hidangan khusus utk Muslim.
Semalam saya mendapat peluang untuk menziarahi Puan Murni Agil ibu tunggal yang diuji Allah dengan 4 orang anak OKU. anak2 murni mengidap Muscular Dystrophy yg menyebabkan mereka lemah dan semakin lemah. Atas usaha kami beliau diberi satu unit rumah PPR di KL.

Majlis Khatam Al-Quran

Kelas Bimbingan An-Nur merupakan kelas pengajian AL-Quran yang dibimbing oleh seorang ibu tunggal, Puan Normah bt. Kassim mendidik anak-anak murid dari kanak-kanak sehingga orang dewasa... Hari sabtu baru-baru ini, mengadakan Majlis Tadarus serta Khatam Al-Quran bertempat di Surau Babul Khairat PPR Perkasa. YB Dr. Lo'lo' dijemput untuk merasmikan majlis tersebut...
Sebahagian anak murid yang dewasa... dari Klang
Persembahan dari adik-adik yang comel... yang telah dilatih oleh Ustazah...
YB memberi ucapan dan seterusnya merasmikan majlis Khatam Al-Quran
Dalam ucapan, YB menegaskan dalam kehidupan seharian kita biarlah seiring dengan Al-Quran, sentiasa dengan Al-Quran... didik anak-anak membiasakan Al-Quran, bukan hanya sekadar sekali khatam sahaja... AL-Quran merupakan wahyu kalam Allah yang menjadi panduan hidup manusia hingga hari qiamat...
Gambar kenangan bersama AJK Surau & Persatuan

Wednesday 11 November 2009

Kes VK Lingam: Saksi datang sendiri ke Parlimen

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 10 Nov: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam bahawa siasatan terhadap kes Datuk V.K Lingam terpaksa ditutup kerana tidak ada saksi telah dibidas dan disanggah.
Bidasan kenyataan itu telah dibuat oleh salah seorang saksi penting, dalam kes video terbabit, Jayanthi L.G Naidu yang hadir ke parlimen hari ini bagi menjelaskan perkara itu.
Beliau juga merupakan bekas setiausaha Lingam dan pernah terbabit dalam menguruskan perbelanjaan percutian VK Lingam dan mengagihkan sejumlah wang kepada hakim tertentu.
R. Sivarasa (PKR-Subang) dalam satu sidang media bersama Jayanthi di lobi parlimen tengahari tadi berkata, jawapan Nazri itu langsung tidak munasabah malah beliau sendiri mempunyai bukti yang kukuh berhubung percutian Lingam, dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin pada tahun 1994.
Menurutnya, beliau sendiri ketika itu membuat tempahan tiket untuk Lingam, Eusoff Chin serta keluarga masing-masing dan menguruskan bayaran untuk perjalanan mereka.
Beliau turut mengakui pernah mengeluarkan sejumlah wang bernilai RM 100, 000 hingga RM300, 000 untuk diberikan kepada hakim yang terlibat.
Sementara itu Dr. Dzulkifli Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dalam sidang media yang sama menegaskan meskipun Nazri mengatakan Lingam tidak melanggar sebarang undang-undang kerana melobi pelantikan hakim, namun tindakan Lingam jelas merosakkan institusi kehakiman.
"Mungkin dari sudut akta dan undang-undang betul tapi dalam suasana negara sangat-sangat berhajatkan untuk membaik pulih institusi kehakiman yang telah reput maka apa jua tindakan yang ditanggapi sebagai merosakkan lagi institusi kehakiman ini adalah salah," tegasnya.

"MEREKA" cuba melagakan KITA...

11 November 2009
Pagi tadi, En. Asri membawa beberapa poster yang "mereka" gantung di Pangsa Murni Datuk Keramat... Apa yang "mereka" dapat?? ada yang dapat dengan menyebarkan FITNAH?? saya tidak mahu menunding jari kepada sesiapa. tapi semua ini SIAP PUNYA ANGKARA?? sepertinya orang yang buat & mengadakan cerita ini betul-berul orang yang TIDAK PUNYA KERJA... Selalunya orang yang menyebarkan fitnah ini akan memakan diri mereka sendiri... Perkara ini telah Allah jelaskan di dalam Surah Al-Masad (Al-Lahab: gejolak api).
Di bawah ini, tulisan-tulisan yang ditulis dalam poster:
UMNO tak pecah belahkan Melayu ? Mengapa Melayu di Kelantan dan di Trengganu di janjikan wang ehsan sedangkan Sarawak dan Sabah dapat Royalti ? Jika umno betul2 nak bersatu, bubar umno dan masuk PAS sebab PAS dasarnya jelas iaitu Islam . Bersatu bawah panji2 Islam.
Bila TGNA sebut nak singkirkan DHA? TG minta diambil tindakan atas tindak-tanduk DHA yg memukul Kerajaan PR Selangor dari luar sedangkan beliau sendiri Exco dan sebahagian dari Kerajaan . Memang tanggung jawab DHA untuk menjaga dan mempertahankan kepentingan Melayu Islam sebab itu adalah portfolio beliau. Tidak ada sape yg halang utk beliau melunaskan tanggung jawab dalam mesyuarat2 exco, perundingan dan perbincangan dalaman. Kalu ada Menteri Kabinet BN yg mengkritik PM @ Menteri2 lain diluar mesyuarat kabinet @ dalam media saya yakin PM akan ambil tindakan lebih keras lagi.
Apa ingat TGNA tiada kewibawaan sendiri sehingga boleh mudah diperkudakan . TGNA pemimpin hebat yg tawadhuk dan sentiasa rapat dgn Allah melalui ibadah, solat dan zikir. Seluruh ahli PAS mengutuk mereka yg cuba merendah2kan kebolehan dan kemampuan TGNA yg merupakan satu2nya Ulama didunia abad ke 20 ini yang telah memerintah selama 20 tahun.
Perpaduan Islam atas dasar Aqidah dan Syariat bukan atas dasar Asobiyah macam yg umno amalkan.
Pimpinan PAS adalah pimpinan yang berpengalaman berpuluh2 tahun dalam jemaah dan politik serta dipandu ilmu petunjuk dari Allah SWT. Kita ada JK Pusat, Majlis Syuro dan JK perhubungan Negeri serta kawasan yang saling kuat menguatkan antara satu sama lain. Tidaklah sebegitu mudah untuk seorang manusia untuk memperkudakan seluruh kekuatan ini.
TGNA adalah Mursyidul Am PAS dan berhak menyatakan tegurannya secara dalaman mahupun secara publik jika dirasakan keperluannya; seperti dalam sesetengah keadaan TGNA terpaksa respon kepada media atau kritikan rakan atau orang luar parti.
Apa orang luar sibuk PAS nak buat EGM ke seminar ke seperti saranan TGNA. Ini medan muhasabah dan medan menilai dan memantau.
Astaghfirullah, Ya Allah Ya tuhanku, Engkau turunkan laknatmu keatas pemfitnah2 ini . Faezah yg masukkn gambar2 poster. Ulasan poster oleh Dr Lo'lo' _______________________________________________________ HARAKAHDAILY.NET Mereka sedang pecahkan kita
KUALA LUMPUR, 11 Nov: Selain melaga-lagakan mereka dalam media, pihak lawan juga menggunakan risalah dan sebaran lain untuk melaga-lagakan pemimpin PAS itu.

Ia dipercayai bertujuan untuk memburuk-burukkan PAS di mata umum, kata anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali. Menurut Lo' Lo', kakitangan pejabat beliau menemui banyak risalah yang disebarkan di merata-rata tempat dalam kawasan Parlimen yang diwakili beliau iaitu Titiwangsa. Antaranya, poster dan risalah itu di gantung dan bertaburan atas jalan di Keramat dan sekitar.

Poster itu berbunyi 'PAS pecahbelahkan Melayu' dan 'Anwar mainkan PAS'. Untuk pecahbelahkan Melayu, poster haram tanpa penerbit itu memaparkan gambar Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Risalah Anwar mainkan PAS pula memaparkan gambar Abdul Hadi dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penasihat DAP, Lim Kit Siang. "Mereka cuba pecahkan kita," tulis Dr Lo' Lo' dalam pesanan ringkasnya kepada Harakahdaily.

Ziarah Isteri Datuk Kamarudin meninggal dunia

11 November 2009
Isteri Datuk Kamarudin Jaffar, Datin Kamariah Kamarudin meninggal dunia jam 6 pagi ini selepas sekian lama melawan kanser.
Sebelum berangkat ke Persidangan Parlimen, YB sempat pergi ziaarah Allahyarhamah... Moga beliau di tempatkan bersama hamba-hambaNya yang soleh...ameen.

Tuesday 10 November 2009

RAYUAN QURBAN & AQIQAH 'EIDULAHDA 1430H

Bersama orang-orang miskin bandar, anak-anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, pesakit kronik, keluarga anak ramai & muallaf - peringkat Parlimen Titiwangsa.
* SEEKOR KAMBING RM580
* SATU BAHAGIAN LEMBU RM350
--> BANK CIMB 14410005980052
-->MAYBANK 162209944753
email: yb.drlolo@gmail.com
blog: docpearl.blogspot.com
"Penerima daging qurban juga terdiri daripada mangsa gempa di Padang, Indonesia".
untuk maklumat lanjut sila hubungi:
03-26980025 (Pejabat)
013-9844202 (En. Hafiezd)
012-3921148 (En. Asri)
019-5250445 (Cik. Faezah)

Thursday 5 November 2009

UCAPAN BAJET 2010

5 November 2009

Parlimen: Terima kasih Tan Sri/Dato Yang DiPertua kerana memberi saya peluang untuk membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010. oleh kerana masa yang terhad saya ingin menyentuh beberapa isu terutama yang bersangkutan dengan Wilayah Persekutuan khususnya Parlimen Titiwangsa. Isu pertama ialah tentang Penjualan Program Perumahan Rakyat (PPR) atau MTEN di mana dua PPR dalam Titiwangsa terlibat iaitu PPR Hiliran Ampang & PPR Jelatek. Saya juga mengambil berat penjualan PPR Desa Rejang yang terletak dalam Parlimen Setiawangsa kerana sebahagian penduduk merupakan permindahan dari Flat Jln Pekeliling. Saya mulakan dengan membaca beberapa petikan dari memo yang diberikan oleh JawatanKuasa Bertindak Penjualan PPR mewakili penduduk PPR Jelatek:

PPR Jelatek telah dibina pada tahun 1991 yang asalnya adalah PPRT @ projek perumahan rakyat termiskin di Kg. Berembang Hilir, 2 blok PPR ini dibina hasil dari sumbangan Ahli-ahli Korporat dan bank-bank tempatan dimana dikatakan 100j telah dikumpulkan. Saya minta penjelasan dari Kementerian Kewangan samada maklumat ini tepat dan jika ya mengapakah PPR yang dibina atas sumbangan korporat mahu dijual pula.

Janji DBKL pada penduduk dalam surat bertarikh 30 April 1997 adalah bahawa DBKL akan bangunkan Projek Perumahan Awam di tapak Kg Bumiputera Datuk Keramat seksyen 88 & 88A. Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa ketika itu Drs. Sulaiman penduduk asal Kg. Bumiputra akan diberi keutamaan membeli dengan harga RM25k. Ini dia salinan surat yang diberi penduduk kepada saya. Jadi sekarang mereka menagih janji tersebut dan mendesak agar PPR yang hendak dijual kepada mereka sekarang hendaklah pada harga RM25k kerana PPA yang dijanjikan oleh DBKL sejak 12 tahun lalu masih lagi dalam keadaan padang jarak padang tekukur.

Tuan Yang DiPertu, saya juga sebagai Wakil Rakyat Titiwangsa membawa rasa tidak puas hati dan keresahan penduduk PPR lain yang terlibat. Permasalahan yang paling besar adalah kebanyakan penghuni @ penduduk PPR tidak mampu/ tidak layak ambil pinjaman bank. Apatah lagi untuk bayar deposit awal sebanyak RM5922 yang sangat tidak munasabah. Kalau menurut perkiraan kasar melalui pinjaman bank pembeli akhirnya kena bayar RM80k dengan ansuran lebih kurang RM789/bulan. Sedangkan sewaan bulanan sebanyak RM124 pun banyak yang tertunggak. Bagaimana mereka hendak langsaikan ansuran pinjaman rumah yang berkali ganda. Jadi mereka pinta supaya Kerajaan menyediakan 1 dana khas untuk membantu mereka dimana melalui dana khas ini tiada 'interest' dikenakan, pembelian melalui sewa-beli pada kadar sewaan sekarang. Juga mereka pinta sewa yang telah dibayar sejak mula permindahan hendaklah diambil kira sebagai bayaran ansuran. Ada yang sudah duduk selama 16 tahun iaitu sejak 1995 lagi. Mereka ini pemindahan dari kampung yang mereka teroka sejak 40-45 tahun yang lalu. Masa itu DBKL pun belum ada lagi, mereka ini datang dari kampung meneroka bandar untuk mencari rezeki dan menyeimbangkan kadar penduduk berbilang kaum di Kuala Lumpur. Sepatutnya Peneroka-peneroka Bandar ini diberi unit-unit percuma yang merupakan hak mereka seperti mana penduduk @ peneroka Kg. Berembang yang mendapat hak milik unit kondo yang dibina atas tapak kampung mereka atas hasil usaha dan keprihatinan Kerajaan PR di Selangor. Apakah KWP & DBKL tidak mahu menjadi Kementerian & Agensi Kerajaan yang prihatin serta mengiktiraf hak rakyat.

Kelayakan untuk membeli hendaklah diberi juga kepada penduduk yang telah berumur 60 tahun ke atas,OKU yang tiada pekerjaan tetap,ibu tunggal yang anak-anak masih bersekolah,golongan asnaf yang menerima bantuan Baitulmal dan kumpulan yang menerima bantuan JKM - barulah golongan yang sebegini terbela dan ini bersesuaian dengan polisi DBKL yang mahu menjadikan KL sebagai tempat tinggal pelbagai golongan dan bukan hanya orang-orang kaya dan mampu sahaja.

Untuk mengelakkan berlaku kekecohan adalah dicadangkan agar mereka yang menyewa dan membeli diasingkan blok-blok mereka. Ini sangat penting jika tidak akan timbul masalah besar dalam urusan penyelenggaraan blok-blok PPR tersebut. Sebab yang menyewa tidak bayar yuran penyelenggaraan dan selama ini DBKL yang senggara sedangkan yang membeli bayar yuran senggaraan.Bagaimana nak tubuhkan JMB jika unit-unit yang dijual serta dibeli berada dalam blok yang sama. Kecualilah DBKL bercadang untuk terus memainkan peranan sebagai JMB yang saya kira lebih baik serta lebih terurus.

Namun begitu yuran penyenggaraan yang dikenakan sangat tinggi iaitu sehingga RM60/bulan sedangkan beberapa flat lain hanya antara RM10-30. Saya mencadangkan supaya yuran senggaraan ini diturunkan kadarnya.

Satu lagi perkara penting yang perlu saya sebutkan di sini ialah polisi DBKL yang membekukan urusan penyewaan unit-unit PPR sepanjang operasi penjualan.sudahlah maklumat ini langsung tidak disampaikan kepada Wakil-wakil Rakyat; kami terpaksa mengejar Bahagian Perumahan mengapa permohonan-permohonan menyewa tidak ada jawapan sedangkan sudah dipohon berbulan-bulan, malah ada yang bertahun.barulah dimaklumkan tentang pembekuan tersebut. Di sini saya sebagai Wakil Rakyat merakamkan kekesalan atas pembekuan ini kerana sangat menyusahkan rakyat sehingga ada yang merempat di Pusat Khidmat saya, sedangkan proses penjualan tidak tahu berapa lama baru akan selesai. Saya harap Dato’ Bandar segera cairkan balik pembekuan ini dan khususkan sebahagian kakitangan untuk terus kendalikan urusan penyewaan PPR.

Isu kedua yang ingin saya sentuh ialah tentang projek-projek yang saya namakan projek LEMBAP di Titiwangsa khususnya di Zon Keramat. Kalau sebelum ini projek terbengkalai, Sekarang sudah disambung kerja-kerja pembinaan tetapi lembap makngut, siput pun laju lagi. Antaranya Keramat Mall, Dewan Orang Ramai Dato Keramat, Taman Tasik Dato Keramat, Balai Bomba Jln. Jelatek serta Bangunan MARA di persiaran gurney. Apa sudahnya Keramat Mall yang sudah siap tetapi masih belum beroperasi. Untuk pengetahuan semua saya sebagai Wakil Rakyat yang lalu-lalang di situ langsung tidak diberi apa-apa maklumat tentang perkembangan Keramat Mall. Nak dapatkan maklumat macam tunggu hujan emas dari langit. Saya terpaksa tunggu Sesi Parlimen untuk mendapatkan maklumat. Bangunan Keramat Mall ini tersergam indah tapi berada di belakang deretan rumah kedai & stesyen minyak. Saya ingin bertanya adakah penambahbaikan yang dipinta oleh peniaga-peniaga asal Pasar Keramat telah dipenuhi. Apakah langkah-langkah mengatasi masalah parkir, loading base serta lift yang tidak cukup. Apakah stesyen minyak serta rumah kedai berhampiran akan dipindahkan? Saya difahamkan 4 notis pindah telah dikeluarkan oleh DBKL tetapi mereka enggan. Apa langkah DBKL selanjutnya? Juga difahamkan cabutan undi telah dibuat pada bulan puasa lepas tetapi hanya 90 lebih dari 444 peniaga yang menyertai, yang lain-lain tidak turut serta kerana membantah.

Begitu juga dengan Dewan Orang Ramai Dato Keramat kelihatan hampir siap tapi masih belum dibuka kepada orang ramai.apakah halangannya?.Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih atas sudahnya penambah baikan Taman Tasik Dato Keramat, cuma bahagian tandas masih belum siap serta belum dapat digunakan. Taman ini telah digunakan sepenuhnya dan saya kira terlalu sedikit dan kecil kemudahannya hingga penuh sesak dengan pengunjung-pengunjung terutama di hujung minggu. Saya cadangkan ditambah peralatan senaman supaya lebih ramai boleh melakukan senaman secara teratur.

Dalam sesi lepas Timb. Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan KWP telah mewujudkan 2 JawatanKuasa bagi menangani masalah projek terbengkalai iaitu JawatanKuasa Pemandu menangani masalah projek terbengkalai yang dipenguruskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan sendiri; juga JawatanKuasa kerja menangani masalah projek terbengkalai yang diketuai KSU. Saya ingin bertanya sejak Menteri baru ini berapa kalikah JawatanKuasa-jawatankuasa ini telah bermesyuarat,apakah keputusan-keputusan yang diambil untuk projek-projek yang saya sebutkan tadi dan bagaimana pula dengan proses pelaksanaannya.

Saya juga ingin penjelasan yang lengkap tentang perancangan bangunan Flat Jln. Pekeliling yang masih tersergam indah serta menjadi perhiasan di tengah-tengah bandaraya . Malah telah menjadi 'homestay' kepada penagih-penagih dadah serta muda/ mudi yang melampias nafsunya di situ. Semasa hendak pindahkan penduduk sebelum ini seolah-olah satu perancangan segera akan dibuat namun sekarang sudah setahun lebih masih tidak ada apa-apa yang dilakukan, harap dapat jawapan.

Dua lagi projek lembab di Keramat adalah Balai Bomba Jln. Jelatek yang sudah lama siap tetapi masih belum beroperasi - apa masalahnya dan saya harap Menteri KPKT bukan sahaja boleh bagi jawapan tapi terus bertindak dan saya bagi masa sehingga hujung tahun ini untuk Menteri memastikan balai tersebut beroperasi. Lagi satu “gajah putih” di Keramat adalah bangunan MARA di Persiaran Gurney. Saya tak faham, saya sudah bawa Menteri MARA sebelum ini untuk meninjau dengan berpuluh-puluh pegawai MARA turut serta. Pada masa itu bila Menteri tanya apa perancangan nampaknya pegawai-pegawai tersebut pun tidak berapa pasti.sampai sekarang sudah bertukar Menteri masih tidak bergerak juga. Ahli-ahli YB sekelian,inilah dia antara contoh punca pembaziran, ketirisan serta kebocoran yang menyebabkan poket negara kehilangan seperti dikatakan oleh Menteri Kewangan ke 2 dimana hampir 20% dari bajet tahunan negara bocor atau dibazirkan yang membawa kepada RM28b tambahan kos pada tahun lepas sahaja. Beginilah, sekiranya susah sangat tidak tahu apa nak buat bagi kepada Ahli Parlimen Titiwangsa menguruskan bangunan MARA tersebut. InsyaAllah dalam masa beberapa bulan bangunan kosong ini akan penuh dengan aktiviti.

YB. Dr. Lo’lo’ binti Dato’ Hj. Mohd Ghazali Isu ke 3 pula saya membawa rayuan dari golongan OKU. Mereka ucap terima kasih atas penambahan bantuan bulanan kepada anak-anak OKU dari RM50 ke RM150 sebulan. Tetapi bagaimana pula dengan bapa-bapa serta ibu-ibu OKU yang menanggung anak-anak.Bayangkan dengan RM200 sebulan elaun OKU yang bekerja dengan pendapatan yang minimum mana mungkin mencukupi untuk menanggung 4-5 orang anak yang bersekolah tambahan pula pekerjaan OKU selalunya tidak memberi pulangan yang sewajarnya. Ini belum dikira lagi belanja rawatan serta tambang berulang ke hospital, penyenggaraan alat-alat sokongan seperti wheelchair yang sudah tentu makin haus dan uzur, belum lagi kos dan kehilangan sumber pendapatan bila masuk wad. Jadi mereka mohon tambahan elaun pekerja OKU ie RM400 sebulan, bantuan harian jika masuk wad dan bil-bil penyenggaraan alat sokongn yang boleh dituntut semula. * Ada beberapa isu lagi yang akan dibangkitkan tetapi tidak sempat dan akan dibangkitkan semasa menteri-menteri menjawab mengikut kementerian. Dr Lo'lo' 5 Nov 2009

Wednesday 4 November 2009

Najib seleweng fakta hak royalti minyak Kelantan

Hazayani Zakaria Wed | Nov 04, 09 | 5:26:31 pm MYT
KUALA LUMPUR, 4 Nov: Ahli Parlimen PAS kesal dengan penyelewengan fakta yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di dewan rakyat berhubung pembayaran royalti petroleum kepada rakyat Kelantan. Pengumuman Najib bahawa kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan kepada rakyat Kelantan, bercanggah dengan akta 144 kemajuan petroleum 1974 yang memperuntukkan lima peratus mesti diberikan kepada negeri pengeluar minyak. Salahuddin Ayub (PAS - Kubang Kerian ) berkata, pembayaran wang ehsan yang diputuskan itu jelas bertentangan dengan akta 144 kemajuan petroleum 144 dan merupakan satu pembohongan terhadap rakyat Kelantan. "PAS kesal dan dukacita dengan jawapan perdana menteri tadi tentang pembayaran royalti minyak yang ditukar dengan wang ehsan. Jelas ianya penyelewengan fakta yang terkandung dalam akta 144 petroleum negara yang jelas memberikan lima peratus untuk negeri yang mengeluarkan minyak," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi tadi. Beliau juga berkata, rakyat Kelantan tidak mengharapkan wang ehsan sebaliknya mahu hak mereka ke atas royalti minyak dikembalikan.

"Rakyat Kelantan bukan peminta sedekah. Mereka memperjuangkan hak di atas semangat federalisme. Kita (ahli parlimen PAS) akan perjuangkan hak ini dan jelas jawapan perdana menteri tadi bertentangan dengan semangat federalisme, bertentangan dengan perlembagaan dan akta 144 petroleum yang disebut tadi," tegasnya yang juga Naib Presiden PAS.

ImageBeliau di dewan rakyat pagi tadi meminta Najib menyatakan bilakah tuntutan royalti kerajaan kelantan akan dilangsaikan petronas.

Najib dalam jawapannya berkata Kerajaan Persekutuan akan memberi wang ehsan kepada Kelantan daripada hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu mulai tahun depan.

Najib juga berkata, kerajaan Kelantan tidak berhak menerima wang royalti minyak di perairannya kerana ia terletak di kawasan bertindih.

Dr. Dzulkifly Ahmad (PAS Kuala Selangor) pula mahu tindakan undang-undang diambil terhadap Najib yang juga menteri kewangan kerana menyelewengkan fakta dengan mensyaratkan kedudukan telaga minyak mesti tiga batu nautika dari darat untuk mendapat royalti sedangkan dalam akta petroleum tidak disebutkan syarat itu.

"Jelas perdana menteri tadi melakukan penyelewengan fakta dengan menyebut tentang pensyaratan 3 batu nautika sementara akta 144 petroleum tidak dinyatakan syarat ituuntuk berikan royalty," tegasnya.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS Pokok Sena) pula menyifatkan Najib sebagai pengecut kerana tidak berani mengambil tindakan yang betentangan dengan tindakan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menarik kembali royalti minyak yang diberikan kepada rakyat Terengganu apabila PAS mengambil alih pemerintahan negeri itu.

"Saya melihat Datuk Seri NAjib begitu kerdil dan takut untuk mengambil tindakan yang sama dengan bekas perdana menteri dahulu, Tun Mahathir,"

"Tun Mahathir pernah tarik balik riyalti minyak Terengganu apabila PAS perintah negeri itu. Jadi tindakan yang sama dibuat apabila telaga minyak dan gas ditemui di Kelantan," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Menurut beliau juga, PAS akan mendapatkan bantuan daripada pakar undang-undang untuk mengambil tindakan kepada kerajaan persekutuan yang telah menafikan hak rakyat Kelantan.

"Kami akan bincang dalam parti untuk memberi nasihat kepada kerajaan Kelantan untuk dengan bantuan penasihat undang-undang untuk ambil tindakan perundangan sepertimana kerejaan Terengganu di bawah pimpinan PAS satu masa dahulu menyaman kerajaan pusat yang telah menafikan hak kerajaan negeri," katanya.

Khalid Samad (PAS, Shah Alam) pula menegaskan kerajaan pusat tidak berhak ke atas royalti minyak itu kerana laporan kewangan petronas mengakui negeri-negeri pengeluar minyak di Malaysia adalah Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

"Ia bercanggah dengan laporan kewangan petronas yang menyebut negeri-negeri pengeluar minyak di malaysia adalah Sabah, Sarawak Terengganu dan kelantan. Berdasarkan kepada laporan, ia mengakui ia milik kelantan. Maka royalti itu harus diserah kepada kerajaan yang dipilih rakyat,"

"Ianya bererti bahawa kerajaan pusat tidak ada hak untuk memegang wang rakyat Kelantan," tegasnya.

Siti Zailah Mohd Yusuf (PAS, Rantau Panjang) dalam pada itu meminta kerajaan menjelaskan kepada rakyat kenapa royalty yang telah sekian lama dituntut digantikan dengan pemberian wang ehsan.

Beliau turut mempersoal di bawah akta dan peruntukan manakah wang ehsan ini diberi.

"Kami mminta kerajaan jelaskan kenapa rakyat kelantan harus diberikan wang ehsan sedangkan mereka menuntut royalti minyak dikembalikan,"

"Dan kadar wang ehsan itu dikira berdasarkan akta mana?" Soalnya.

Sumber: http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=23103&Itemid=1

Isu sekolah bawah flat ke parlimen

Hazayani Zakaria Tue | Nov 03, 09 | 4:41:40 pm MYT
KUALA LUMPUR, 3 Nov: Ahli parlimen PAS khususnya dari Wilayah Persekutuan akan membawa isu pembatalan pembinaan bangunan baru bagi Sekolah Kebangsaan Sri Perak yang kini masih ditempatkan di bawah flat milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke parlimen. Perkara itu disuarakan beberapa Ahli Parlimen PAS dalam program 'Tinjau dan Terjah' bersama PAS Kawasan Batu ke sekolah yang terletak di bahagian bawah empat blok flat 17 tingkat di Bandar Baru Sentul, pagi tadi. Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali sewaktu bertemu dengan penolong kanan sekolah, Hazijah Mohd Som berjanji akan membahaskan perkara tersebut di dewan rakyat. "InsyaAllah kita (ahli parlimen Pakatan Rakyat) akan bawa isu ini ke parlimen.Saya sebagai ahli parlimen Wilayah, memang tangungjawab saya untuk suarakan perkara ini," katanya. Ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin meminta kerajaan melaksanakan apa yang telah dijanjikan iaitu membina sekolah yang baru menggantikan sekolah di bawah flat berkenaan.

Beliau yang menyifatkan suasana tidak kondusif sekolah berkenaan satu penganiayaan kepada rakyat turut berkata, kedukan sekolah itu telah melanggar akta jalan dan perparitan serta akta perumahan dan kerajaan tempatan.

Image"Bagi saya ini pelanggaran akta ini sangat dasyat, selam hampir 20 tahun.Jadi kerajaan harus melihat kembali akta-akta ini dan membina sekolah yang baru untuk kemudahan anak-anak," ujarnya.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah meluluskan cadanagn membina dan menyiapkan sekolah tujuh tingkat, mengandungi 30 bilik darjah di atas sebahagian lot 133, Seksyen 85A Kuala Lumpur dan akan dilaksanakan oleh kontraktor Contracthouse Sdn Bhd.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ishak Surin, PAS kawasan telah menyerahkan memorandum bantahan pembatalan itu kepada Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan (JPWP).

Dalam pertemuan itu, Pengarah JPWP Sulaiman Wak gagal memberikan sebab KPM membatalkan projek berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menuntut pembatalan itu dikaji semula demi kepentingan rakyat di kawasan berkenaan.

"Kami amat kesal dengan pembatalan ini, dan akan memanjangkan perkara ini kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mahu kerajaan menjelaskan kepada rakyat sebab projek itu tidak dapat dilaksanakan.

"Kerajaan seharusnya menjelaskan terlebih dahulu kenapa projek ini dibatalkan supaya kita dapat berbincang samaada munasabah atau tidak projek ini dibatalkan,"katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau juga mempersoal ke mana kerajaan membelanjakan dana yang telah diperuntukkan untuk pembinaan sekolah itu.

"Kita bimbang wujudnya ketirisan dan kebocoran dalam dana awam. Mungkin ada unsur-unsur penyelewengan hingga membawa kepada pembatalan pembinaan sekolah ini," Tegasnya.

Turut meninjau keadaan sekolah pagi tadi, ahli parlimen jerai firdaus jaafar dan ahli parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusuf serta Setiausaha Dewan Muslimat PAS, Salbiah Wahab.

Sekolah yang mempunyai 204 orang murid dan 32 guru itu tidak mempunyai kemudahan yang lengkap seperti sekolah yang lain.

Selain pelajar-pelajarnya menghadapi masalah gangguan bunyi bising sewaktu belajar, sekolah itu juga tidak mempunyai kemudahan aktiviti luar bilik darjah. Padang, kawasan letak kereta guru dan ruang koridor pejalan kaki antara kelas ke kelas serta pejabat turut dikongsi dengan penghuni flat yang lain.

Sumber: http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=23090&Itemid=1