SOLAT DI ANGKASA I
Tahniah dan syabas kerana rakyat Malaysia berjaya mengatasi dan menyelesaikan masalah solat angkasawan. Sekurang-kurangnya solat di angkasa menjadi satu agenda penting sehingga diseminarkan. Sekali lagi syabas dan tahniah kepada penganjur dan semua peserta seminar tentang permasalahan solat di angkasa raya. Meskipun yang akan naik ke angkasa seorang atau 2 angkasawan Muslim tetapi sikap prihatin dan ambil berat itu sangat patut dan terpuji.
Namun begitu fikiran saya ligat berputar adegan-adegan dan pengalaman sendiri di ‘angkasa’ . Bukan sebagai angkasawan tentunya tetapi sebagai penumpang kapal terbang MAS dan AirAsia yang merupakan syarikat penerbangan rakyat dan Negara Malaysia. Persoalan saya bagaimana juruterbang solat, saya percaya mereka boleh solat kerana ada 2 juruterbang dan boleh ambil giliran. Jika boleh bergilir untuk makan dan ke tandas sudah pasti ada ruang masa untuk solat. Bagaimana pula pramugara, Alhamdulillah saya pernah tengok pramugara solat dalam kabin, namun bukan dalam kabin MAS atau Airasia, pramugara system penerbangan sebuah Negara Timur Tengah. Pramugara MAS harap2nya solat walaupun saya tidak pernah terserempak.
Bukan hendak bersikap prejudis, bagamana pula pramugari solat di angkasa, bukan kerana mereka tidak boleh solat tetapi pakaian yang mereka pakai tidak menutup aurat untuk membolehkan mereka solat. Malah pakaian sendat, pendek dan terbelah pramugari Airasia sangat memalukan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam atau mungkin sesuai dengan Negara Islam Hadhari. Bagaimana dan macamana pramugari MAS terutamanya solat. Mungkin pramugari Airasia dapat solat masa di Lapangan Terbang atau masa di bumi kerana masa penerbangan mereka tidak lama, tetapi MAS yang sampai ke US, UK dan serata dunia dengan masa penerbangan berbelas dan berpuluh jam tidak memungkinkan pramugari hanya solat bila sudah ‘landing’.
Tertanya-tanya saya adakah modul tentang solat di angkasa, cara penentuan waktu ketika kapal terbang membelah bumi, melangkau masa yang berbeza-beza, cara solat musafir, cara berwuduk dalam tandas kabin yang sumber airnya terhad dan segala permasalahan solat yang berkaitan dalam Sistem latihan krew kabin? Mungkin ada, saya tidak pasti. . Pramugara/i, juruterbang dan seluruh krew penerbangan telah lama berada di angkasa, tidak pernah pula kita mendengar Seminar Solat di angkasa untuk kakitangan kabin diadakan di Malaysia. Lebih malang lagi pakaian pramugari awal-awal lagi telah menidakkan dan menafikan peluang untuk mereka bersolat di angkasa dalam kabin yang ruangnya terhad dan dalam masa bertugas yang begitu sempit.
Mana para Mufti, alim ulama, ustaz-ustazah, ahli akademik, professional yang cerdik pandai, pemimpin Negara dan seluruh Ummat Islam Malaysia dalam isu yang begitu sensitive dan penting ini. Mengapa seorang dua angkasawan begitu diambil berat tetapi soal solat beribu-ribu krew kabin dipinggirkan dan diremehkan. Mengapa pramugari MAS dan Air asia tidak boleh menutup aurat. Jika penerbangan haji krew kabin boleh tutup aurat kenapa tidak penerbangan lain?
Saya masih terbayang wajah-wajah kecewa pramugari MAS yang saya temui dan berbual2 semasa menaiki penerbangan ke Misi Kemanusian mangsa gempa bumi Pakistan, Ramadhan yang lalu. Ground Staff MAS nampaknya berusaha memakai tudung saya percaya kerana kesedaran, tetapi sayangnya kaki terdedah hingga ke peha. Apabila saya memberi pandangan supaya mereka menutup aurat dengan sempurna dengan memakai seluar panjang sebelah dalam kain, sebab telah pun bertudung, jawapan yang saya terima sungguh melemaskan. Kata mereka pihak pengurusan tidak benarkan dengan alasan kerja pramugari bukan untuk wanita Islam yang mahu menutup aurat!!
Ternganga dan tercengang saya, kalau tak mahu percaya pun yang bercakap bukan seorang tetapi beberapa orang. Apa pilihan mereka, mana hak mereka, sedangkan perlembagaan Malaysia telah memastikan setiap rakyat boleh melakukan amalan dan kepercayaan anutan agama masing2. Apatah lagi Islam adalah agama rasmi Negara. Itu belum disentuh lagi tentang penyediaan arak dalam kabin, saya bukan menafikan hak dan kebebasan bukan Islam untuk minum arak dalam kabin, tetapi yang saya cukup marah dan geram bila krew kabin Muslim yang menghidang dan menawarkan arak. Saya sudah sentuh soal ini banyak kali dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini.
Baru-baru ni saya agak termalu sikit dengan rakan seParti apabila saya kata saya hendak hantar surat kepada Pengarah Urusan baru MAS yang bernama Idris agar menggunakan peluang reformasi dalaman MAS yang sedang dia lakukan untuk meniadakan arak dalam penerbangan MAS. Saya dengan sedikit lurus bendul kata barulah dapat pahala dan keberkatan sebagai Pengarah Urusan baru. Kekawan saya ramai2 kata, berkat apanya, pahala apanya Idris Jala bukannya seorang Muslim. Laa silap rupanya, tapi kata mereka seorang pimpinan tertinggi Negara juga tidak tahu yang P/urusan MAS bukan Muslim. Untuk ‘cover’ kebendulan saya , kalau gitu saya kata “ The VVIP leader and I were equally ignorant. Not so bad…laa “
Sampai masanya Kakitangan MAS dan Airasia bantah dan bertegas dalam soal pakaian seragam, mereka berhak berpakaian mengikut tuntutan Islam. Hak yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia dan sudah tentu perkara wajib dalam ‘Perlembagaan Islam‘. Menjadi tanggung jawab pimpinan Negara membetulkan polisi-polisi songsang ini agar beribu-beribu kakitangan kabin dan lain-lain staf sistem penerbangan yang berugama Islam diberi peluang untuk melunasi tanggung jawab mereka semasa dalam tugas, sama seperti angkasawan Muslim yang insya Allah tiada alasan untuk tidak solat.
Sebelum berakhir saya ambil kesempatan ini untuk ucap syabas dan tahniah kepada Dato Shahrir Samad atas ketegasannya menegakkan integriti dirinya sendiri sebagai YB ahli Parlimen, sebagai pengerusi BNBBC serta cuba mempertahankan integriti Parlimen itu sendiri. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada seorang pimpinan BN yang ada prinsip, yang lain-lain saya hendak kategorikan berikut: Di Malaysia ini ada ‘Profesor kangkong’, ada ‘Professional Bayam’, ada ‘Pimpinan Pelajar Ulam’ yang hanya sesuai dicicah dengan tempoyak, ada pula ‘YB Pucuk Ubi’, rebus-rebus buat cicah dengan sambal belacan... Jangan marah !! Kalau tak makan cili padi tak terasalah pedasnya
Oleh: Dr Lo’lo’ Mohamad Ghazali
---------------------------------
Solat di Angkasa II
Ada sedikit masa terluang ini teringat saya kepada Hari Keluarga alumni saya minggu lepas. Meskipun hadirnya saya kali ini sendirian tanpa teman seangkatan, namun kehadiran ramai lagi teman-teman (junior mahupun senior) dan ditambah lagi dengan adik-adik yang semakin ramai menghilangkan ingatan terhadap isu itu.
Ada pengajaran yang saya bawa balik. Namun dikesempatan ini, teringat saya kepada salah satu firmanullah
"Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)." (Al-Mulk: 15)
Sesungguhnya besar nikmat Allah berikan kepada kita, tanpa mata kita tidak dapat melihat, tanpa hidung tak dapatlah bernafas atau membau sesuatu, tanpa naluri dan nafsu pun tentu kelompongan di mana-mana. MasyaAllah!
Teringat saya kepada cerita seorang junior (ah, lupa pula namanya!). Tentang solat di angkasa. Seingat saya pada tanggal 19 April yang lalu Ketua Pengarah Angkasa telah bersungut mencari kaedah untuk anggotanya solat di angkasa. Maka dengan semangat itu, pada 26 April lalu sebuah agensi telah menganjurkan Seminar Solat di Angkasa. Hasil resolusi kemudiannya diserahkan kepada Ketua Pengarah Angkasa.
Saya nampak ada usaha tentulah ada jalan. Kefahaman bahawa solat adalah barang wajib dan tidak boleh tinggal, tentu akan sentiasa dikelek ke mana-mana tak kira tempat dan suasana. Kefahaman inilah yang kita mahukan. Ini baik.
Namun, ingin juga saya soal. Dato' Malek Maidin, si perenang itu solat bagaimana? Jaguh layar negara (apa ye namanya?) pun bagaimana solatnya di dalam kabin kapal sedang laut bergelora? Juga Datuk Paduka Syarifah Mazlina, wanita besi penjelajah Kutub Antartika, bagaimanakah solatnya? ( Sudah pasti Dato Malek boleh berhenti solat beberapa minit jika solat di agendakan dalam misi renangnya, sudah pasti dia beringat jika diberi ingatan oleh pimpinan Negara yang berugama Islam yang memberi galakan dan menaja misinya itu . Tentang Dato yang belayar solo keseluruh dunia, memang saya baca cerita ia kadang2 tidak sempat makan kerana terpaksa mengawal dan menangani kapal layarnya dalam laut bergelora seorang diri. Bagaimana dengan solat ? Ada ke nasihat dan peringatan serta panduan diberi. Datuk paduka Syarifah pula sedang bersiap untuk misi Antartika seterusnya, walaupun tidak terbaca saya tentang solatnya dalam misi tersebut,namun saya berharap dia tetap bersolat. Cuma saya hendak bertanya fatwa dari para Fuqaha’, apakah hukumnya seorang wanita mengembara seorang diri ditempat yang sudah pasti berisiko tinggi dari semua segi keselamatan, yang objektifnya sangat kabur pada saya selain dari mengharumkan nama Negara dimata dunia. Jika hendak menunaikan Haji dan Umrah kita beria-ia memastikan ada mahram bagaimana pula dengan misi solo tersebut. Wahai para mufti dan cerdik pandai, tolonglah jawab – sisipan dari Dr Lo’lo’ )
Bukan apa, tertarik hendak tahu bagaimana atau kalau tidak ingat sekurang-kurangnya pertanyaan ini akan mengingatkan. Seingat saya, bonda saya paling kerap bertanya soalan ini setiap kali ada misi pelik menempa nama seumpama ini. "Mereka ni solat bagaimana ye?" dan kerap kali soalan itu cuma berbalas dengan gelengan.
Mungkin ketiga-tiga kes diatas sudah lepas, maka kita rasa eloklah dicontohi para angkasawan ini (kita juga harap kaedah solat di angkasa itu benar-benar dipraktikkan di sana). Solat ialah tiang agama. Tidak solat, tinggalkan solat bererti runtuhlah agama seseorang. Inilah yang paling kita bimbang. Tidak solat, tidak berasakah di dalam hati? Tidak rasa bersalahkah? Di mana agaknya fitrah dan naluri bertuhannya?
Dunia sekarang orang sudah tidak memberatkan perkara solat, apatah lagi membaca Al-Quran. Orang yang solat boleh dikira dengan jari, di depan tok kadi pun tergagap-gagap membaca al-Fatihah! Sadis sungguh bakal pemimpin negara kita sekarang!
Allah adalah Maha pencipta, maka sewajibnya kita melaksanakan segala arahanNya dan mengelakkan segala tegahannya. Ini sebagai tanda kita seorang hamba yang taat. Allah tidak akan terjejas, namun kitalah yang akan terjejas akibat durhaka kita kepadaNya. Kenalkah kita dengan Allah?
Saya tinggalkan anda dengan soalan itu. Mari sama-sama fikir dan dalami...
Hannah LPHEL
(ps: kredit untuk Dr Lo'Lo atas pandangannya)