Dr Lo' Lo': Suka bercakap dengan pokok bunga
Mon Apr 17, 06 04:56:00 PM
Oleh Kusyi Hirdan
Tawa kami berderai apabila agakan saya yang dia wanita sensitif rupanya salah. "Antara adegan drama Melayu yang saya tidak suka ialah adegan menangis dan adegan peluk bantal. Aduh ... bukan kerana saya ni langsung tidak menangis tetapi kalau sudah asyik menangis bila hendak bergeraknya. Saya perfectionist."
“Zaman sekolah lagi saya mahu buat yang terbaik. Di kelas mesti duduk paling depan sebab nak tumpu betul-betul pada pelajaran. Saya susah hati kalau tidak dapat memberi yang terbaik, emak tahu benar perangai saya yang satu ni. Guru pun tahu. Kini apabila sudah berkecimpung dalam politik saya kommitted sungguh-sungguh demi jemaah dan Islam.”
Kerana waktu temu bual itu tengah hari dan perut berdendang lagu keroncong, penulis mengajak Dr Lo’ Lo’ Haji Ghazali, 49, menjamu selera di gerai berhadapan kliniknya. Lo’ Lo’, suka ulam-ulaman. Kalau makan nasi, dia memenuhkan pinggannya dengan segala macam ulam yang dicicah bersama sambal belacan atau sambal tempoyak. Ada ikan keli bakar, lagi membangkit seleranya. Tetapi Lo’ Lo’ mengurangkan jumlah pengambilan nasi demi menjaga kesihatan. Patutlah dia awet muda dan kulit wajahnya yang putih, licin dan mulus.
“Kalau hendak awet muda, kenalah amal selalu makan ulam. Memang bagus ulam-ulaman ni. Untuk kesihatan dan membangkit selera. Saya memang menjaga makan, kalau tidak badan cepat naik, umur-umur begini nak naik memang senang, nak turunnya susah.” Sebagai doktor Lo’ Lo’ ternyata prihatin kesihatannya. Padanya hendak makan jangan berlebih-lebihan.
“Sebenarnya lagi puas kalau memasak sendiri. Saya suka memasak,” dia merenung penulis seketika. Mungkin dapat membaca fikiran penulis yang tertanya-tanya, adakah waktu anak kelahiran Perak itu memasak dengan masanya yang sentiasa terisi dan berkejar ke sana ke mari?
“Kalau sekarang memang sudah kurang saya memasak. Jika siangnya di klinik tiga kali seminggu, hari-hari lain saya membuat kerja-kerja pentadbiran. Malam dan hujung minggu pula terikat dengan kerjaya politik. Sebagai wanita urusan rumahtangga juga perlu diambil kira. Memang benar saya tidak punya masa menyingsing lengan di dapur. Saya pun manusia biasa, dengan jadual yang ketat tentu ada yang terpaksa dikorbankan,” jelasnya santai sekali.
Lo’ Lo’ seakan menerima keadaan hidup yang dilalui. Katanya kesibukan adalah kejadian normal yang dilaluinya sehari-hari kerana dia tidak betah duduk diam. Malah duduk diam membuatkanya rasa letih dan susah hati pula. Dia mahu sentiasa bergerak, membuat sesuatu dan mengubah keadaan ke arah kebaikan.
Namun Lo’ Lo’ menegaskan, sebagai wanita, memasak memang kegemarannya.
Jika saudara-mara datang berkunjung dia paling suka memasak sendiri. Kadang-kadang menjamu nasi beriani, roti arab, nan atau capati. Kalau ada hari istimewa keluarganya dia akan memasak mengikut selera mereka. Saat indah bagi seorang wanita, walaupun dia mendidik anak-anak berdikari sejak mereka kecil lagi namun melihat anak-anak dan suami tercinta menikmati masakannya dengan berselera, hilang segala kepenatan ibu.
Penulis dapat rasakan Lo’ Lo’ juga wanita romantik. Rasa cinta pada suami diungkap penuh mendalam dari hatinya.
“Kami melalui susah senang bersama-sama. Kahwin di usia muda kemudiannya terus berkeluarga, cabaran waktu itu bukan sedikit. Mana hendak belajar, belum tamat lagi anak sudah dua. Faham-faham saja keadaan kewangan waktu itu. Ingat lagi zaman naik bas Mara hendak pulang ke kampung. Gantung buaian anak di dalam bas, mana ada kereta. Semua itu kami lalui bersama yang menguatkan lagi kasih sayang kami hingga kini,” Lo’ Lo’ mengenang jauh. Kenangan lampau dan segala cabarannya. Dia kemudiannya mengukir senyuman puas, mungkin harga pengorbanan lalu telah membuahkan hasil dan dia merasa kenikmatan.
“Bila anak sudah bertambah dan melalui alam kerjaya, rasanya saya sudah cuba melakukan yang terbaik terhadap tugas-tugas sebagai isteri dan ibu. Hasilnya hidup keluarga kami aman bahagia dan kami gembira melihat anak-anak sudah dewasa dan bakal menjadi harapan kami kelak,” dia berhenti seketika sebelum menyambung lagi.
“Bermakna semua itu sudah saya lalui dan kini tibalah masa saya berkhidmat untuk masyarakat dan agama. Bukan hendak mengabai keluarga tetapi menambah satu lagi sayap tanggungjawab. Sejak dulu lagi urusan keluarga memang banyak saya uruskan. Saya umpama pengurus besar dalam keluarga kami, suami pula pengarah urusan, bermakna pangkat dia lebih besar dan banyak memberi arahan. Saya pula yang melaksanakan.
“Kalau hendak dikira, suami lelaki tipikal biasa. Suami yang mahu dilayan isteri dan mengharapkan isterinya ada di rumah menyediakan makan pakainya. Tetapi kini Allah mentakdirkan saya berkecimpung dalam politik, berkhidmat untuk masyarakat, saya meminta izin dan berbincang dengannya, Alhamdulillah, suami kini menerima untuk turut sama berkongsi saya dengan masyarakat.”
Bagi anak kelima dari lapan beradik itu, latar belakang kepimpinan menyerap dalam dirinya dari ayahnya sendiri. Itu juga mungkin membuatkan kebanyakan adik-beradiknya turut terlibat dalam perjuangan PAS.
“Bapa saya dulu mufti dan imam besar pertama Masjid Negara. Ingat lagi, dia selalu mengadakan kelas pengajian agama dan saya selalu mengikut. Selain mendengar pengajiannya, keadaan itu banyak memberi pengaruh dalam hidup saya sehingga kini. Kehidupan bapa sendiri selalu ke sana ke mari, jadi apa yang saya lalui hari ini bukan perkara baru dalam keluarga kami.
“Tiap-tiap Sabtu ada kelas agama untuk kaum wanita. Kami sekeluarga kena menyiapkan rumah, menyediakan makan minum, melayan tetamu dan membentang tikar. Suasana rumah penuh didatangi orang perkara biasa dan sekarang saya pula melaluinya. Orang datang ke rumah siang atau malam, bukan masalah bagi saya ...,” cerita Lo’ Lo’ sambil menambah hubungan kekeluargaan mereka sangat kukuh, begitu juga kini dengan keluarga mentuanya. “Saya sayang emak mentua sebagaimana emak kandung sendiri. Suami juga buat begitu.”
Nilai-nilai kewanitaan tradisional nampaknya masih menebal walau Lo’ Lo’ wanita bekerjaya dan aktif dengan kerja-kerja politik dan kemasyarakatan. Siapa menyangka dia menjahit sendiri langsir di rumah dan suatu waktu dahulu suka menjahit set katil untuk setiap bilik di rumahnya.
Bunga-bungaan pula minat nombor satunya. “Rumah saya penuh pokok bunga yang saya tanam sendiri. Laman menghijau jadi kebanggaan saya. Jangan terkejut kalau saya bercakap-cakap dengan pokok bunga ketika membubuh baja atau mencantas. Pendek kata penuh kasih sayang. Dalam rumah pula saya suka menggubah bunga. Hah, ini bakat terpendam saya (ketawa). Kalau rasa nak buat perubahan dalam rumah saya akan longgok dan basuh semua bunga-bunga tiruan yang ada dan mula menggubah dari tengah malam hingga ke subuh.
“Bagi saya bunga menghidupkan suasana. Kalau tak ada bunga rasa tak berseri langsung rumah kita. Kadang-kadang saya hairan ada orang yang tidak meminati bunga dan kehijauan. Sebenarnya menggubah bunga atau bergelumang dengan pokok-pokok bagaikan suatu terapi bagi saya. Ia menenangkan fikiran dan saya rasa segala masalah yang ada jadi ringan,” akui Lo’ Lo’.
No comments:
Post a Comment