Sunday, 18 June 2006

Penduduk Titiwangsa paling malang… Sepanjang beberapa hari ini iaitu selepas pengumuman Isa A.Samad didapati bersalah dalam politik wang UMNO atau sekali lagi dipertegaskan bersalah merasuah perwakilan-perwakilan UMNO dalam perhimpunan yang lalu, saya seolah-olah mengomel sendirian betapa malangnya rakyat Titiwangsa. Menterinya rasuah, wakil rakyatnya rasuah dan tidak tahu berapa ramai lagi penjawat-penjawat politik yang rasuah. Saya tidak tahu apa yang ada dalam minda rakyat Titiwangsa, yang saya jumpa nampaknya hanya mampu menggeleng kepala. Tidak terkata apa-apa. Orang-orang UMNO atau pengundi-pengundinya masih menaruh harapan yang rasuah dalam UMNO akan terhapus dan UMNO akan bersih. Ingin saya bertanya pada orang UMNO, anda masih menaruh harapan? Isa A.Samad menabur duit , Astaman wakil rakyat Titiwangsa menabur duit untuk menang, menawarkan ‘budi’ untuk meraih undi. Disini ada yang memberi dan ada yang menerima. Yang memberi RASUAH sudah dijatuhkan hukuman tetapi masih bergayut lagi dengan gelaran yang diberi dan yang paling meloyakan masih tergamak bersembunyi dibelakang jawatan YB. Bagaimana pula beratus mungkin beribu yang menerima RASUAH ? Muka selamba bagi makan anak isteri duit haram RASUAH ?? Saya teringat satu sticker yang masih dalam simpanan saya : MENYOGOK DAN DISOGOK SAMA-SAMA KE NERAKA – oleh kumpulan wanita peduli Parti Keadilan Sejahtera Indonesia. Jadi meminjam kata-kata tersebut menggunakan konotasi yang bermaksud yang lebih kurang sama MERASUAH DAN MENERIMA RASUAH SAMA-SAMA KE NERAKA – saya Cuma pinjam kata-kata kumpulan wanita peduli PKS. Neraka syurga memang hak Allah, tetapi kita manusia sudah diajar halal haram, dosa pahala, yang mana boleh membawa kesyurga dan yang mana boleh bawa keneraka Perwakilan UMNO yang terlibat menerima rasuah siapa yang akan ambil tindakan, mereka pegang jawatan dalam parti dan dalam kerajaan. Ramai yang berkata bukan Isa A.Samad saja yang terlibat, ramai lagi, tapi belum terbukti. Katakan 20%, 25% atau 50% yang terlibat merasuah, berapa ribu pula yang menerima masa perhimpunan Agung UMNO yang lalu? bolehkan kita buat andaian kabinet PM dijawati oleh kalau tidak pemberi rasuah, penerima rasuah atau yang tahu dan membiarkan rasuah berleluasa. Sanggupkah kita rakyat Malaysia ditadbir dan diurus pelaku-pelaku maksiat RASUAH. Saya sebenarnya tidak menaruh harapan yang tinggi kepada rakyat Malaysia untuk berasa gempar dengan isu rasuah ini. Paling lama pun 3 minggu lepas tu hidup berjalan seperti biasa. Menurut kajian sebuah badan yang menjalan penyelidikan di Malaysia, lebih 40% rakyat Malaysia dewasa termasuk orang Islam menganggap duit kopi untuk mendapatkan sesuatu projek atau memudahkan sesuatu urusan adalah Norm atau boleh diterima sebab sudah terpaksa dan ramai orang buat. Sikit mungkin tidak berdosa yang berdosa bila banyak….Begitu mentaliti rakyat Malaysia yang cemerlang, Patutlah dapat menteri dan wakil rakyat yang gemilang, sebab masing-masing mahu title terbilang, terbilang dan tersohor dengan rasuah !! Cemerlang, gemilang terbilang dan paling malang rakyat Titiwangsa. Menteri RASUAH, YB rasuah. Mungkin orang Titiwangsa juga masuk dalam 40% yang sudah anggap duit kopi selagi dipanggil duit kopi dan bukan rasuah atau politik wang adalah halal. Tidak kurang juga rakyat N9 yang 22 tahun bermenteri besarkan pelaku rasuah, orang negeri tidak cemburukah dengan orang Titiwangsa atau mungkin orang N9 lebih malang dari orang Titiwangsa. Atau lebih baik kita sama-sama tarik ‘selimut’, tidur dan jangan ambil peduli, bukan hal kita, asal jaga dan bagi makan anak isteri serta keluarga (sumber haram halal perkara kedua)sudah atau jadi macam burung unta bila rasa malu sorokkan muka dalam pasir, biarlah bontot dan ekor jadi tontonan.. Malang sungguh rakyat Titiwangsa, lebih malang rakyat Negeri Sembilan, terlalu malang rakyat Malaysia kerana tidak mampu bangkit menggempur kemungkaran dan maksiat rasuah ini malah yang terlalu sangat malang ialah pengundi-pengundi yang bersubahat bagi undi kepada calun-calun parti yang bergelumang dengan dosa rasuah. Berapa peratus saham rasuah mereka yang kita tanggung? Dr Lo’lo’ Hj Mohd Ghazali Timbalan Ketua DMPP AJK PAS Pusat docpearl@hotmail.com

No comments: