Wednesday 4 November 2009

Isu sekolah bawah flat ke parlimen

Hazayani Zakaria Tue | Nov 03, 09 | 4:41:40 pm MYT
KUALA LUMPUR, 3 Nov: Ahli parlimen PAS khususnya dari Wilayah Persekutuan akan membawa isu pembatalan pembinaan bangunan baru bagi Sekolah Kebangsaan Sri Perak yang kini masih ditempatkan di bawah flat milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke parlimen. Perkara itu disuarakan beberapa Ahli Parlimen PAS dalam program 'Tinjau dan Terjah' bersama PAS Kawasan Batu ke sekolah yang terletak di bahagian bawah empat blok flat 17 tingkat di Bandar Baru Sentul, pagi tadi. Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali sewaktu bertemu dengan penolong kanan sekolah, Hazijah Mohd Som berjanji akan membahaskan perkara tersebut di dewan rakyat. "InsyaAllah kita (ahli parlimen Pakatan Rakyat) akan bawa isu ini ke parlimen.Saya sebagai ahli parlimen Wilayah, memang tangungjawab saya untuk suarakan perkara ini," katanya. Ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin meminta kerajaan melaksanakan apa yang telah dijanjikan iaitu membina sekolah yang baru menggantikan sekolah di bawah flat berkenaan.

Beliau yang menyifatkan suasana tidak kondusif sekolah berkenaan satu penganiayaan kepada rakyat turut berkata, kedukan sekolah itu telah melanggar akta jalan dan perparitan serta akta perumahan dan kerajaan tempatan.

Image"Bagi saya ini pelanggaran akta ini sangat dasyat, selam hampir 20 tahun.Jadi kerajaan harus melihat kembali akta-akta ini dan membina sekolah yang baru untuk kemudahan anak-anak," ujarnya.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah meluluskan cadanagn membina dan menyiapkan sekolah tujuh tingkat, mengandungi 30 bilik darjah di atas sebahagian lot 133, Seksyen 85A Kuala Lumpur dan akan dilaksanakan oleh kontraktor Contracthouse Sdn Bhd.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ishak Surin, PAS kawasan telah menyerahkan memorandum bantahan pembatalan itu kepada Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan (JPWP).

Dalam pertemuan itu, Pengarah JPWP Sulaiman Wak gagal memberikan sebab KPM membatalkan projek berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menuntut pembatalan itu dikaji semula demi kepentingan rakyat di kawasan berkenaan.

"Kami amat kesal dengan pembatalan ini, dan akan memanjangkan perkara ini kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mahu kerajaan menjelaskan kepada rakyat sebab projek itu tidak dapat dilaksanakan.

"Kerajaan seharusnya menjelaskan terlebih dahulu kenapa projek ini dibatalkan supaya kita dapat berbincang samaada munasabah atau tidak projek ini dibatalkan,"katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau juga mempersoal ke mana kerajaan membelanjakan dana yang telah diperuntukkan untuk pembinaan sekolah itu.

"Kita bimbang wujudnya ketirisan dan kebocoran dalam dana awam. Mungkin ada unsur-unsur penyelewengan hingga membawa kepada pembatalan pembinaan sekolah ini," Tegasnya.

Turut meninjau keadaan sekolah pagi tadi, ahli parlimen jerai firdaus jaafar dan ahli parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusuf serta Setiausaha Dewan Muslimat PAS, Salbiah Wahab.

Sekolah yang mempunyai 204 orang murid dan 32 guru itu tidak mempunyai kemudahan yang lengkap seperti sekolah yang lain.

Selain pelajar-pelajarnya menghadapi masalah gangguan bunyi bising sewaktu belajar, sekolah itu juga tidak mempunyai kemudahan aktiviti luar bilik darjah. Padang, kawasan letak kereta guru dan ruang koridor pejalan kaki antara kelas ke kelas serta pejabat turut dikongsi dengan penghuni flat yang lain.

Sumber: http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=23090&Itemid=1

No comments: