Tuesday 15 December 2009

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya

sedang membaca laporan daripada Utusan Konsumer di mana Bank Rakyat pernah kerugian sebanyak RM65 juta pada tahun 1975. Antara sebabnya adalah kerana pinjaman-pinjaman yang diberikan tanpa keterangan yang betul dan kolateral yang jelas. Pada masa yang sama juga didapati ada di kalangan Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan juga keluarga terdekatnya meminjam sehingga sampai angka jutaan ringgit. Jadi, saya ingin bertanya adakah sekarang ini ada satu sistem safety net untuk memastikan perkara ini tidak berterusan berlaku di Bank Rakyat. Terima kasih.

Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob: Terima kasih. Sejarah hitam Bank Rakyat. Kita tahu perkara itu dan saya tahu laporan itu mungkin daripada makalah Consumer Association, Penang. Saya pun baca. Itu sejarah hitam dahulu tetapi saya rasa banyak prosedur telah pun diubah. Oleh sebab itulah pada hari ini kita lihat Bank Rakyat menjadi sebuah bank perbankan Islam yang terbesar di negara kita. Jadi, saya percaya segala perkara lepas, isu-isu legasi yang lepas tentang penyalahgunaan dan sebagainya tidak lagi berlaku pada hari ini. Jadi saya kira itu sahaja yang saya hendak...

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: [Bangun]

Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob: Ada lagi? Saya sudah hendak berhenti.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Tuan Yang di-Pertua, kalau boleh izinkan. Mungkin perkara ini saya tidak... tetapi saya rasa terpanggil untuk bertanya kepada Yang Berhormat Menteri di sini. Koperasi-koperasi yang telah pun disebutkan oleh Yang Berhormat

DR. 21.10.2009

39

Menteri mengalami pelbagai yang kalau kita baca itu memang banyak skandalnya. Bukan skandal sahaja tetapi keruntuhan MOCCIS, yang sebesar gergasi suatu masa dahulu. Saya ingin bertanya Yang Berhormat Menteri. Saya tidak menekuni perkara ini tetapi rasa terpanggil untuk bertanya. Apakah Lembaga-lembaga Pengarah koperasi-koperasi ini seperti mana Lembaga-lembaga Pengarah yang menduduki kedudukan di Public Listed Companies (PLCs) di Bursa Malaysia. Mereka dikenakan, saya pun berpengalaman sedikit, melalui akreditasi ataupun perkara akreditasi, kursus-kursus as Board of Directors dan pelbagai kursusnya on good governance, compliance, accounting dan sebagainya. Saya ingin tahu kerana perkara ini juga penting, apakah mereka juga dalam koperasi yang beramanah menguruskan jumlah wang yang berbilion ini, walau di mana pun mereka, apakah mereka juga dikenakan regulation seperti itu, Yang Berhormat Menteri? Terima kasih.

Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob: Terima kasih Yang Berhormat. Memang Ahli Lembaga Pengarah Koperasi dikenakan untuk mengikuti kursus-kursus yang dimaksudkan sama ada dianjurkan oleh pihak ANGKASA ataupun oleh Maktab Kerjasama Malaysia (MKM). Jadi, prosedurnya sama.

Sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan Ahli Parlimen yang

terlibat dalam perbahasan dan mencelah di dalam Pindaan Akta Bank Rakyat ini. Insya-Allah segala pandangan daripada Yang Berhormat akan dijadikan sebagai panduan kepada Bank Rakyat untuk terus bergerak maju, kekal menjadi sebagai bank pilihan dan meneruskan agenda membela masyarakat terutamanya orang Melayu dan masyarakat luar bandar. Terima kasih.

http://www.parlimen.gov.my/hindex/pdf/DR-21102009.pdf

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya

tidak mahu bercakap panjang, cuma saya menyokong pindaan rang undang-undang ini. Sudah selayaknya mereka yang telah memberi pengorbanan kepada negara diberi pengiktirafan daripada asal elaunnya RM400 kepada RM2,000, saya kira memang sudah cukup wajar. Walau bagaimanapun, saya ingin menyokong beberapa orang sahabat kita tadi, Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah bangun menyatakan masih ramai lagi, sebenarnya mereka yang mungkin layak untuk diberi pingat seperti ini untuk menghargai pengorbanan mereka. Saya memberi contoh, misalnya seorang, kalau boleh saya sebutkan nama di sini. Saya panggil Pak Majid Salleh, orang Perak, pejuang kemerdekaan masuk penjara tujuh, lapan kali, tidak ada satu penghargaan pun kepada dia. Langsung tidak ada apa-apa. Malah sebelum ini rumahnya pernah dinafikan air. Air pun dinafikan semata-mata kerana dia adalah penyokong kuat PAS. Jadi, saya kira tidak....

Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Ya, ini memang perkara yang benar dan

tidak sepatunya berlaku dalam negara kita. Kalau kita benar-benar mengatakan kita 1Malaysia bersepadu dan sebenarnya satu Malaysia bukan baru sekarang muncul, dari dulu lagi sepatutnya. Jadi, memberi contoh seorang. Malah alhamdulillah, atas rezeki yang ada Allah bagi kepada kita, saya sering kali jugalah memberi kerana saya lihat kehidupannya agak daif dan kerajaan Perak, Pakatan Rakyat yang sebelum ini juga telah memberi sumbangan-sumbangan kepada beliau. Jadi, saya memberikan satu contoh dan saya mencadangkan kalau boleh cadangan di sini iaitu kalau boleh dibentangkan kriteria kepada kita dan kalau boleh diberi peluang kepada orang ramai, terutama misalnya Ahli-ahli Parlimen, Wakil-wakil Rakyat untuk mencadangkan beberapa nama di mana di situ kita akan kemukakan bukti-buktinya kenapa mereka ini patut diberi pingat, layak dan sebagainya. Jadi, saya kira kalau boleh diberi pertimbangan ini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Maran.

12.45 tgh.

Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya untuk membahaskan pindaan Akta Seri Pahlawan Gagah Perkasa (Elaun Kenangan) 1990 ini. Tuan Yang di-Pertua, Seri Pahlawan Gagah Perkasa adalah satu gelaran ataupun pingat yang cukup besar kepada pahlawan kita yang berjasa kepada negara. Saya setuju benar dengan apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Sri Gading tadi bahawa nilai wang boleh dicari, Tuan Yang di-Pertua. Pada saya bukan sekadar kita meminda daripada RM400 kepada RM2,000, bahkan kalau kita pinda pun kepada RM5,000, bahkan jutaan ribu, pengorbanan yang dimainkan oleh pahlawan kita, tidak boleh kita bayar. Hari ini kita aman, Tuan Yang di-Pertua, bukan kerana kita sendiri. Ia adalah hasil daripada pengorbanan dan perjuangan pahlawan-pahlawan kita yang telah pergi dan juga masih tinggal dalam keadaan cedera dan sebagainya. Apakah kita tidak berterima kasih kepada mereka? Saya kadang-kadang kecewa dengan apa yang ditimbulkan oleh sebahagian pembangkang, bukan semua pembangkang. Apa yang dilakukan oleh polis, apa yang dilakukan oleh pasukan keselamatan, seolah-olahnya selama ini mereka selamat, mereka jaga sendiri. Saya hendak tanya kepada mereka, siapa yang jaga kita hari ini? Apakah kita sendiri yang jaga, ayah kita jaga, anak kita jaga. Semua pasukan keselamatan, polis dan sebagainya. Akan tetapi, apabila sedikit berlaku kepada polis, umpamanya kita hendak sambung sahaja perkhidmatan Ketua Polis Negara, ia dipersoalkan. Seolah-olahnya seluruh masyarakat di Negara ini tidak menyokong. Di mana buktinya, Tuan Yang di-Pertua? Ini membuktikan kepada kita bahawa mereka tidak berterima kasih kepada apa yang berlaku.

Tuan Yang di-Pertua, duit boleh kita cari. Berapa juta boleh dicari? Bagi perompak mungkin mudah dia cari. Apakah perompak yang berjasa mencari duit dan memberi kepada anak mereka, yang ini kita hendak beri mereka pingat? Saya kecewa dengan pandangan sebahagian daripada Ahli Parlimen. Bagi mereka yang kena ISA, apakah orang kena ISA ini orang yang melakukan perkara baik? Kalau begitu, semua orang masuk ISA. Sebab itulah biarlah kita berfikir. Begitu juga bila ditimbulkan masalah politik, PAS ini. Saya tidak tahu. Ada juga mungkin orang yang baik. Ini kadang-kadang memang dia melakukan kesalahan, tetapi oleh kerana parti kita, kita bela mereka walaupun mereka buat jahat. Ini satu keadaan yang cukup mengecewakan kita, Tuan Yang di-Pertua. Sebab itulah Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Boleh mencelah sedikit, Maran?

Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Sila, sila.

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Maran. Yang saya sebut tentang yang kena ISA tadi, bukan sahaja orang PAS. Maksudnya orang UMNO pun kena. Penghargaan kita bagi kepada mereka yang layak. Itu maksud saya. Boleh Yang Berhormat Maran bersetuju bahawa orang PAS pun kena, orang UMNO pun ada, orang DAP pun ada, orang yang terlibat dalam banyak pertubuhan lain pun kena dan mereka ini perlu dinilai. Maksud saya begitu, ya.

Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Terima kasih Padang Terap. Maksud saya ISA, Akta Keselamatan Dalam Negeri, maknanya akta keselamatan. Orang yang diambil tindakan kerana akta ini kerana mereka telah menimbulkan masalah yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Maknanya, bagi orang yang tidak terlibat dengan benda-benda yang boleh mengancam keselamatan negara, mereka tidak dikenakan ini. Jadi, bermakna perbuatan mereka itu mungkin pada saya, mengikut akta ini tidak baik yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Begitu juga macam perompak, penyamun dan sebagainya. Bererti mereka ini sebenarnya dia baik untuk kerja dia, tetapi dari segi undang-undang, tidak baik. Mereka baik mencari duit untuk dia, untuk keluarga dia dan sebagainya, tetapi dari segi peraturan undangundang

kemanusiaan, undang-undang negara, salah. Apakah mereka ini kita juga hendak beri

mereka bayaran-bayaran seperti ini? Jadi, tidak betul.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: [Bangun]

Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Jadi, Tuan Yang di-Pertua, saya tidak beri Yang Berhormat Shah Alam ini. Yang Berhormat Shah Alam kadang-kadang dia banyak menyeleweng. Saya hendak benda yang realiti. Jadi, saya hendak biarlah kita bercakap dalam Dewan ini...

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Titiwangsa boleh agaknya.

Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Yang Berhormat Titiwangsa sudah

bercakap tadi. Tuan Yang di-Pertua, beri peluang kepada saya.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Hendak komen sedikit, Tuan Yang di-

Pertua, boleh?

Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Sila, sila.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ya, saya minta komen jugalah sedikit.

Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Sahabat saya, Yang Berhormat Titiwangsa, kasihan dia.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Okey, terima kasih banyak-banyak. Tuan

Yang di-Pertua, kita kena ingat sejarah bagaimana Nelson Mandela yang dipenjarakan berpuluhpuluh tahun, akhirnya dia diangkat menjadi pemimpin tertinggi negara dia. Jadi tidak semestinya orang yang dipenjarakan itu langsung tidak boleh diberikan penghargaan. Jadi saya kira apa yang diperkatakan itu, bukan kita kata semua orang tetapi pihak-pihak tertentu. Kalaupun dia dipenjarakan tetapi sekiranya dia layak dan mungkin ada kesilapan di situ dalam memenjarakan dia dan sebagainya atau rejim yang sebelumnya telah melakukan kesilapan, jadi saya kira kita tidak perlu berbahas tentang perkara ini dan yang penting orang yang layak. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua: Perkara itu Yang Berhormat, biar kita bincangkan dalam akta yang lain pula. Yang ini Akta Gagah Berani.

Dato' Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Tuan Yang di-Pertua, kerajaan tidak

sezalim itu. Kita dalam peraturan sama ada undang-undang negara, Undang-undang

Perkhidmatan Awam kalau penjawat awam melakukan kesilapan kita boleh surcaj dia. Kalau kita silap menghukum dia, kerajaan akan bayar balik. Kalau gaji dia diberhentikan, tiba-tiba dia menang, kita akan bayar gaji dia balik. Sebab itu saya dari segi ini, saya tidak timbulkan masalah. Saya tidak soal dari segi ini maknanya kalau betul-betul berlaku saya tengok tidak ada masalah pada saya dan yang penting pada saya sekarang ini ialah bagaimana kita hendak berterima kasih kepada pahlawan pahlawan seperti ini yang saya kecewa kadang-kadang kita sendiri tidak menerimanya, tidak berterima kasih kepada mereka. Hari ini kita aman Tuan Yang di-Pertua. Memang kita selesa tetapi kita belum tahu lagi 10 tahun, 20 tahun akan datang. Apakah kita rela mengorbankan keamanan negara ketika ini...

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: [Bangun]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Shah Alam masih juga mahu penjelasan Yang

Berhormat.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Sedikit sahaja.

Dato' Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Saya kadang-kadang kena tengok

juga Yang Berhormat Shah Alam ini stail macam mana. Terima kasih.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: [Ketawa] Terima kasih Tuan Yang di-

Pertua, terima kasih Yang Berhormat Maran. Bukan apa, saya hendak betulkan sedikit sahaja hendak samakan orang yang kena tahan bawah ISA dengan perompak dengan penyamun tidak betul kerana perompak dengan penyamun dia dibawa ke mahkamah dan terbukti kesalahannya. Akan tetapi orang yang ditahan di bawah ISA adalah seperti orang-orang seperti Nelson Mandela, seperti pejuang-pejuang kemerdekaan yang pernah ditahan oleh kerajaan penjajah British yang ditahan atas sebab-sebab politik dan kepentingan politik dan tidak dibuktikan kesalahannya. Inilah apa yang dicadangkan sama ada daripada UMNO ataupun daripada PAS ataupun daripada DAP orang-orang yang berjuang demi kepentingan negara atas satu wawasan inginkan negara ini adil, bebas, merdeka, bebas daripada cengkaman pemimpin-pemimpin yang makan rasuah sebagai contoh. Maka orang-orang yang seperti ini oleh kerana perjuangan mereka untuk kepentingan negara dan kepentingan masyarakat bukan atas desakan perut mereka masing-masing. Orang-orang ini telah ditahan dan atas sebab pengorbanan mereka maka pengorbanan mereka patut dihargai dan ini semua merupakan sumbangan ke arah membawa satu demokrasi yang matang di negara kita.

Dato' Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Saya ingat Yang Berhormat Shah

Alam sudah beri ucapan Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Saya minta Yang Berhormat Maran

khususnya apabila hendak berhujah biarlah faktanya tepat dan jangan kita samakan ISA dengan kes rompak dan mencuri. Ianya hanya menunjukkan kedangkalan ataupun kekurangan dan kejahilan diri kita sendiri apabila kita membawa hujah-hujah yang seperti itu... [Dewan riuh]

Dato' Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Tuan Yang di-Pertua....

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Saya pun menyokong cadangan menaikkan elaun.

Dato' Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Sila duduk.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: RM2,000 sekarang ini memang tidak

cukup bagi orang yang sudah telah mengorbankan diri mereka dan ada yang cedera, ada yang tidak ada kaki dan sebagainya. Terima kasih.

Dato' Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Tuan Yang di-Pertua, beri peluang kepada saya Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, saya sudah jelaskan contoh tadi, penjawat awam saya sudah jelaskan sebagai contoh, Yang Berhormat Shah Alam masih tidak faham juga lagi?

Saya malas hendak jawab, saya contohkan kalau ISA punya kes, orang-orang di ISA yang memang jelas menimbulkan ancaman kepada negara dan kita hendak beri dia peluang. Serupa saya bagi contoh macam perompak, jelas perompak tadi bukan saya hendak beri perompak pingat, tidak. Ini tidak boleh hendak fikir kah Yang Berhormat Shah Alam.

Tuan Yang di-Pertua, serupa juga dengan SPRM. Kita akan bincang tentang SPRM di

sini. Kita setuju SPRM ada tetapi apabila sebelah sana kena SPRM, macam-macam salah SPRM, kita tidak timbul pun. Jadi kalau sungguh, biarlah kena semua, sebab itu saya pernah cakap dahulu rasuah bukan masalah BN sahaja, bukan masalah sebahagian sahaja tetapi masalah universal, international problem, dengan izin. Jadi Yang Berhormat Shah Alam pun sebagai orang lama, faham-fahamlah sedikit. Saya kecil lagi, bukanlah muda, tidak tetapi kecil. Tuan Yang di-Pertua, sebab itulah saya sebagai Ahli Parlimen Barisan Nasional dengan berterima kasih kepada jasa dan pengorbanan yang diberikan oleh pasukan keselamatan kita seperti polis dan tentera bahkan yang telah pergi, mereka tidak merasa nikmat seperti yang kita rasa Tuan Yang di-Pertua. Mereka tidak rasa, mereka korbankan nyawa mereka, darah mereka, harta benda mereka tetapi yang menikmati ialah kita hari ini. Akan tetapi kita yang dipilih sebagai Ahli Parlimen, Yang Berhormat, orang besar-besar, orang-orang kaya dan sebagainya kenapa tidak boleh kita berterima kasih kepada mereka. Ini kadang-kadang menafikan jasa yang dimainkan oleh pasukan keselamatan.

Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya ingin bertanya sedikit sahaja lagi di samping saya bersetuju oleh kerana ini mungkin kemampuan kerajaan paling tidak kita naikkan elaun mereka daripada RM400 kepada RM2000. Saya hendak bertanya berapa orang kah daripada kumpulan ini yang mendapat faedah daripada elaun ingatan ini dan apakah faedah juga yang diberikan oleh kerajaan kepada anak dan isteri mereka? Saya kira oleh kerana bapa ataupun pasukan keselamatan ini sebagai bapa adalah merupakan kepala dalam keluarga. Kalau mereka telah cedera dan sebagainya sudah tentulah beban yang ditanggung oleh keluarga mereka agak berat. Jadi apakah faedah-faedah lain yang diperoleh oleh anak, isteri, keluarga dan sebagainya. Tuan Yang di-Pertua, atas kesedaran itu, saya menyokong cadangan pindaan akta ini. Terima kasih banyak.

http://www.parlimen.gov.my/hindex/pdf/DR-21102009.pdf

4. Dr. Lo’ Lo’ binti Mohamad Ghazali [Titiwangsa] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan, kejayaan rampasan dadah dan lain-lain bahan yang salah di sisi undang-undang secara besar-besaran yang telah berjaya oleh pihak PDRM mengikut negeri sejak 2008 hingga kini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I [Datuk Wira Abu Seman Yusop]: Tuan Yang di-Pertua, saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat dari Titiwangsa yang telah mengemukakan soalan. Untuk makluman Yang Berhormat bagi tahun 2008 dan tahun 2009 sehingga bulan September kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membuat rampasan dadah dan lain-lain bahan atau barang yang menyalahi undang-undang secara besar-besaran adalah seperti berikut:

(i) Tahun 2008 terdapat 25 kes rampasan secara besar-besaran dibuat oleh PDRM dalam tahun tersebut. Kementerian ini ingin mengetengahkan beberapa kes yang menarik perhatian dengan jumlah rampasan yang besar seperti berikut:

(a) kes rampasan yang dibuat pada 4 Mac, 2008 di Senai, Johor. Dalam operasi ini PDRM telah berjaya membongkar sebuah makmal haram yang digunakan untuk memproses dadah. Dadah yang dirampas ialah 52.8 kilogram syabu, 163,000 liter syabu cecair, 45.8 kilogram ketamine. Nilai rampasan dadah di pasaran gelap dianggarkan RM44 juta dan tangkapan yang dibuat dalam kes ini ialah seramai 12 orang termasuk sepuluh orang warga asing;

(b) rampasan yang dibuat pada 29 Mac, 2008 di Permas Jaya, Johor. Dalam operasi ini, PDRM telah berjaya membongkar dua buah makmal haram yang digunakan untuk memproses dadah. Dadah dan barang-barang yang dirampas ialah 66.5 kilogram heroine, 20.4 kilogram syabu, 100,980 biji pil Eramine-5, 22,316 biji pil ecstacy, 5.5 gm ketamine, tiga alat penimbang, dua buah oven, satu dapur gas, peralatan membungkus dadah, wang tunai sebanyak RM11,940. Nilai rampasan dianggarkan dalam pasaran gelap sebanyak RM1.2 juta. Tangkapan yang dibuat ialah seramai lapan lelaki dan empat wanita termasuk empat warga asing;

(c) rampasan yang dibuat pada 18 April, 2008 di Kajang, Selangor. Dalam operasi ini PDRM telah berjaya membongkar makmal haram yang digunakan untuk memproses dadah. Dadah dan barang-barang yang dirampas ialah 60 kilogram syabu, 65 kilogram kafein, enam pucuk pistol, satu submachine gun, tiga butir bom tangan, 850 butir peluru, wang tunai sebanyak RM200,000. Nilai rampasan dianggarkan RM13.2 juta dan

tangkapan yang dibuat ialah seramai lapan lelaki dan empat wanita termasuk tiga warga asing; dan

(d) rampasan yang dibuat pada 30 Julai 2008 di Seri Kembangan, Selangor. Dadah dan barang-barang yang dirampas adalah 987,500 biji pil Eramine-5, 195 gram syabu, wang tunai RM189,591, USD14 dan lain-lain mata wang asing. Nilai rampasan dianggarkan RM13.2 juta dan tangkapan yang dibuat ialah seramai tujuh lelaki, tiga wanita termasuk tiga warga asing.

(ii) Bagi tahun 2009, sehingga September tahun ini, tangkapan terdapat 30 kes rampasan secara besar-besaran dibuat oleh PDRM. Kementerian ini mengetengahkan berapa kes yang menarik dengan jumlah rampasan yang besar adalah seperti berikut. Ada lapan kes sahaja yang saya cuba ketengahkan Tuan Yang di-Pertua;

(a) kes pertama ialah rampasan yang dibuat pada 14 Januari 2009 di Johor Bahru, Johor. Dalam operasi ini PDRM telah Berjaya membongkar dua buah makmal haram yang digunakan untuk memproses dadah. Dadah dan barang-barang yang dirampas ialah 10.06 kilogram serbuk Ecstacy, 6.1 kilogram Ketamine, 13,015 biji pil Eramine-5, 16,636 pil Ecstasy, 102 gram syabu, 500 gram ganja. Wang tunai sebanyak RM30,612, SGD3,897, IDR347,000, dan lain-lain mata wang asing serta empat mesin acuan tablet, enam buah komputer riba, 17 buah pencetak logo tablet, alat-alat memproses dadah. Nilai rampasan dianggarkan RM1.5 juta dan tangkapan yang dibuat ialah seramai 11 lelaki, seorang wanita warga asing; dan

(b) Kes kedua ialah kes rampasan yang dibuat pada 16 Januari 2009 di Johor Baru, Johor. Dalam operasi ini PDRM telah berjaya membongkar makmal haram yang digunakan untuk memproses dadah. Dadah dan barang-barang yang dirampas ialah 6.42 kilogram syabu, 1.75 kilogram heroin, 3.2 kilogram Ketamine, 26 gram ganja, 3,245 biji pil Eramine-5, dua buah ketuhar, 44 botol asid, dua sealer, dua buah penimbang, sepuluh buah balang kaca, dua tong, lain-lain alat memproses dadah. Nilai rampasan dianggarkan RM7.6 juta dan tangkapan yang dibuat ialah seramai lima lelaki dan tiga wanita.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, statistik boleh dihantar secara bertulis Yang Berhormat... [Dewan riuh]

Datuk Wira Abu Seman Yusop: Just one more Tuan Yang di-Pertua iaitu rampasan yang begitu besar iaitu rampasan yang dibuat pada 2 Mei 2009 di Rompin, Pahang. Dadah dan barang-barang rampasan yang dirampas ialah 978.2 kilogram syabu, nilai rampasan dianggarkan RM254 juta dan tangkapan yang dibuat ialah seramai tiga orang. Terima kasih.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih Timbalan Menteri dan terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ambil kesempatan ini untuk ucap tahniah atas kejayaan kepada semua pihak yang terlibat dalam rampasan besar-besaran tersebut, terutama kepada bahagian Narkotik PDRM. Namun begitu, ada beberapa perkara lagi dalam masalah dadah ini, terutamanya yang melibatkan tentang penagihan gam di kalangan anak-anak remaja terutama anak-anak remaja di sekolah menengah rendah dan juga sekolah rendah yang terlibat dengan ketagihan gam. Sehingga kini sebagaimana yang kita maklum, tidak ada satu undang-undang pun yang boleh diguna secara langsung untuk mengawal ketagihan gam ini. Jadi saya ingin bertanya, bilakah pihak kerajaan akan menggubal satu undang-undang untuk mengawal pembelian dan ketagihan gam di kalangan anak-anak remaja terutama pelajarpelajar sekolah? Terima kasih.

Datuk Wira Abu Seman Yusop: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, sehubungan dengan penagihan gam ini, memang benar seperti mana yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat. Buat masa ini kita belum ada satu rang undang-undang yang telah digubal untuk membuatkan penagihan gam ini sebagai satu aktiviti yang salah dari segi undang-undang. Walau bagaimanapun, pihak penguat kuasa terutamanya AADK membuat kempen-kempen di kalangan masyarakat terutamanya di sekolah-sekolah untuk menyedarkan kepada masyarakat dan kepada anak-anak di sekolah ini bahawa betapa bahayanya penagihan gam ini yang mana boleh mengakibatkan kematian dan kalau berlarutan boleh merosakkan saraf. Sehubungan dengan undang-undang yang disarankan oleh Yang Berhormat itu bahawan daripada segi drafnya, pihak kementerian telah menghantar ke pihak yang bertanggungjawab iaitu Jabatan Peguam Negara untuk meneliti berkaitan dengan undang-undang ini.

http://www.parlimen.gov.my/hindex/pdf/DR-28102009.pdf

No comments: