Saya ingin mengulas mengenai pengumuman YAB Perdana Menteri mengenai cadangan konsep pembangunan semula Kampung Baru iaitu pembangunan akan dijalankan setelah mendapat persetujuan pemilik tanah dan penduduk disamping memastikan mereka tidak perlu berpindah ke tempat lain.
PM menyatakan sebuah badan khas yang dikelolakan oleh badan amanah kerajaan TANPA pembabitan sektor swasta akan diwujudkan bagi menggerakkan pembangunan semula Kampung Baru demi kepentingan penduduk. ( BH 7 Feb 2010 )
Sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa saya menyokong penuh sekiranya pembangunan Kg Baru diteruskan dengan segera memandangkan pemilik tanah di Kg Baru telah jemu mendengar janji kosong semenjak zaman PM Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan selama itulah juga Menteri WP yang bertukar ganti juga membuat janji yang sama kepada penduduk Kg baru.
Sebelum PM Najib Tun A.Razak datang ke Kg Baru, mantan PM Tun Abdullah Ahmad Badawi, satu minggu sebelum menyerahkan jawatan, juga telah datang ke tapak pasar minggu bersama Menteri WP ketika itu, DS Zulhasnan dan Datuk Bandar iaitu pada 30 Mac 2009 dan melakukan upacara pecah tanah projek Menara Puncak Baru berharga RM 500 juta yang melibatkan sebuah menara kondominium setinggi 60 tingkat mengandungi 392 unit kediaman dan sebuah bangunan 40 tingkat mengandungi unit pejabat selain tiga tingkat ruang beli belah dan perniagaan. Projek ini dikatakan akan dimulakan dalam masa tiga bulan dari tarikh tersebut dan siap dalam masa empat hingga lima tahun yang diberikan secara runding-terus kepada Naza TTDI.
‘Beliau ( Tun Abdullah ) menyatakan pembangunannya bukan sekadar ditumpukan kepada kediaman semata-mata tetapi juga daripada sudut ekonomi bernilai tinggi yang dapat memberi manfaat kepada penduduknya. Perdana Menteri berkata, ‘‘Pembangunan Kampung Baru juga perlu mengambil kira aspek alam sekitar selain mengelakkannya menjadi kawasan mundur dalam bandar yang mempunyai segala ciri-ciri keburukan dan sesak,’’ katanya. PM menegaskan menara tersebut akan menjadi mercu tanda Kampung Baru. Abdullah menegaskan, selepas pembangunan Puncak Baru, pembangunan di kawasan lain Kampung Baru akan dilakukan satu persatu’. Untuk makluman etelah hampir setahun sejak Mac tahun lepas Projek Puncak Baru belum lagi bermula.
Berbalik kepada isu lawatan tinjau mesra .Kg Baru, apa yang diperkatakan oleh PM Najib telah banyak kali saya perkatakan dalam ucapan dan kenyataan saya sebelum ini antaranya boleh dirujuk dalam suara keadilan 7-14 julai 2009 “dibimbangi sekiranya dibuat pembangunan, hak orang Melayu di kawasan itu akan terpinggir kerana tidak ada mekanisma yang jelas untuk memastikan orang melayu para pemilik aset di Kg Baru akan mendapat hak mereka” ; “ justeru itu beliau(saya) ,mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan satu DANA berciri pinjaman mudah dan sebuah Konsortium atau Perbadanan bagi memastikan pemilik asal tanah di kawasan Kg Baru kekal memiliki aset mereka yang sedia ada ".
Dalam berita harian 9 ogos 2008 saya menyatakan “ penduduk Kg Baru tidak mahu kehilangan hak mereka dan tidak menyokong pembangunan yang tidak memberi manfaat secara terus kepada mereka. Mereka mempunyai hak untuk dibabitkan sama dalam projek pembangunan Kg Baru kerana sebarang cadangan pembangunan membabitkan tanah dan masa depan mereka “
Itulah antara kenyataan yang saya keluarkan mendahului kenyataan PM terkini. Kenyataan yang sama saya kemukakan dalam parlimen, semasa sesi soal-jawab mahu pun dalam perbahasan yang saya turut semasa membawa suara rakyat Kg Baru dan Kampung2 Tradisional sekitar KL
Menurut PM seperti yang dilapurkan dalam BH Ahad 7 Feb 2010 “ Konsep yang akan diperkenalkan tidak memerlukan penduduk dan pemilik tanah berpindah ketempat lain dan mereka akan kekal di Kg Baru dengan kaedah TANAH DISERAH PADA KERAJAAN dan kerajaan meluluskan semula tanah itu kepada mereka”, katanya dalam sidang media selepas mendengar taklimat DBKL dan melawat beberapa kawasan Kg Baru’.
Saya kira apa yang diperkatakan oleh PM iaitu TANAH DISERAH PADA KERAJAAN perlu penjelasan lanjut kerana kaedah yang dinyatakan agak mengelirukan dan kontradik dengan kenyataan awal PM dimana dikatakan penduduk dan pemilik tidak perlu berpindah..
Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang menyatakan “ Setiap (SETIAP) pemilik tanah boleh menjadi jutawan…..” ; dan menurut lapuran akhbar yang sama iaitu Kosmo Isnin 8 Feb dimana dikatakan Pemilik tanah di Kampung Baru bakal menjadi jutawan dengan menerima bayaran sehingga RM4 juta SEORANG jika mereka bersetuju dengan cadangan konsep pembangunan semula kawasan itu telah menambahkan kekeliruan dan kekhuatiran penduduk kerana apa yang difahamkan dari kenyataan tersebut tanah Kg Baru akan diserahkan kepada kerajaan dan pampasan akan dibayar kepada pemilik sehingga RM4juta seorang.
Kenyataan PM kelihatan kontradik, kenyataan Menteri WP lagi jauh dari keyakinan yang cuba ditanamkan oleh PM kepada pemilik tanah yang rata-ratanya tidak mahu aset mereka yakni aset Islam/Melayu ditengah-tengah Kosmopolitan KL tergadai. Pengalaman pahit sebahagian pemilik tanah dan pewaris yang tanah mereka tergadai kepada bank setelah geran tanah diserahkan kepada Syarikat Korporat kepercayaan PM pada masa tersebut untuk dibangunkan yang akhirnya mereka kehilangan hak kepada asset mereka dan pada masa sama tidak mendapat pampasan sewajarnya menyebabkan para pemilik sukar meletakkan keyakinan mahu pun kepercayaan kepada sesiapa pun.
Saya menyeru PM agar memperuntukkan satu Dana Khas seperti peruntukan pembangunan Wilayah Iskandar, ECER dan NCER, tapi kali ini untuk pembangunan Kg Baru. Peruntukan ini mesti dikendalikan satu Badan Amanah seperti yang dijanjikan dimana Badan Amanah ini mestilah dianggotai juga wakil2 pemilik dan pewaris tanah Kg Baru yang sememangnya terdiri dari kalangan mereka yang pakar dalam pelbagai bidang, DBKL, MAS, wakil rakyat dan dari ICU mewakili Kerajaan Pusat supaya penduduk Kampung Baru yakin dengan pembangunan itu yang dijalankan adalah demi kepentingan mereka.
Badan Amanah ini akan merancang secara bersama kaedah dan mekanisma pembangunan Kg Baru dengan mengambil kira kebajikan dan hak pemilik, memastikan pembangunan dimulakan dalam masa yang sewajarnya dan secara berfasa supaya penduduk tidak perlu semuanya dipindahkan, memilih satu konsortium yang akan menjadi “Pemaju” dengan ini memastikan tiada penyelewengan, ketirisan dan kebocoran berlaku dan pemilik akan mendapat munafaat dengan terus memiliki dan menjadi stake-holder.
Selaku Wakil Rakyat yang dipilih rakyat, selagi amanah ini saya pikul saya akan terus memperjuangkan keadilan dan membela kepentingan rakyat terutama pemilik-pemilik serta pewaris-pewaris tanah Kg Baru dan akan terus memastikan aset orang Islam/Melayu yang semakin mengecil dan mengurang terutama di Kuala Lumpur akan terus dipertahankan. Amanah ini amanah yang berat dan saya berdoa agar terus diberi kekuatan dan kesihatan oleh Allah SWT untuk memikulnya.
Dr Lo’Lo’ bt Datuk Hj Mohamad Ghazali
Ahli Parlimen Titiwangsa
Pusat Khidmat Wakil Rakyat TW
No 10 Jalan Raja Muda Musa,
Kg Baru 50300 KL
Tel: 0326980025 Fax: 0326980026
Blog: docpearl.blogspot.com
Email: yb.drlolo@gmail.com
1 comment:
Salaam Dr. Lo'Lo',
Saya selaku penduduk Kampung Baru, melihat apa yang berlaku sebagai 'Lang Grab' yang akan di lakukan olih pihak tertentu. Mereka nampak dengan jelas nilai tanah di tengah bandar dan sedang merancang supaya golongan tertentu dan bukan penduduk yang akan meraih kan keuntungan. Kami, selaku penduduk Kampung Baru berupaya membangunkan tanah kami dengan sendiri jikalau pernilaian yang wajar di beri. Kenapa pernilaian yang wajar ini diberi kepada pihak luar saperti mana di cadangkan? Di dalam bahasa ingeris, "I smell a RAT".
Salaam,
Ismail Ibrahim
Post a Comment