Monday 1 March 2010

Kejayaan Kastam Diraja Malaysia

Dr. Lo’ Lo’ binti Mohamad Ghazali [Titiwangsa] minta Menteri Kewangan menyatakan, apakah kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh pihak Kastam Diraja Malaysia dalam membongkar kegiatan penyeludupan barangan atau produk untuk mengelakkan cukai dan nyatakan jenis barangan serta jumlah cukai yang sepatutnya dibayar mengikut negeri dan berapa tangkapan telah dibuat dari tahun 2008 hingga kini.

Timbalan Menteri Kewangan II [Dato’ Dr. Awang Adek Hussin]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat, Kastam Diraja Malaysia telah berjaya membongkar kegiatan penyeludupan barangan atau produk, dengan merampas barangan bernilai keseluruhannya sebanyak RM176 juta di seluruh negara bagi tahun 2008, dan sebanyak RM212 juta bagi tempoh Januari hingga November 2009. Jenis barangan yang berjaya dirampas adalah yang berisiko tinggi, iaitu yang mempunyai duti yang tinggi seperti rokok, minuman keras, kenderaan, alat telekomunikasi dan dadah. Dadah tidak dikenakan cukai, tetapi dirampas juga. Jumlah cukai yang sepatutnya dibayar bagi barang-barang seludup sejak tahun 2008 adalah RM472 juta. Itu yang perlu dibayar, tetapi tidak dibayarlah kerana dirampas. Bilangan tangkapan yang berjaya dibuat dari tahun 2008 hingga kini adalah seramai 4,193 orang. Terima kasih.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya, berapakah jumlah hasil cukai di pintu-pintu masuk utama di sempadan? Berapakah sebenarnya jangkaan cukai yang sepatutnya dikutip jika penguatkuasaan lebih berkesan? Kedua, apakah langkah-langkah proaktif yang telah dilaksanakan dalam masa tiga tahun ini berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara tentang ketirisan dalam kutipan cukai kastam?

Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Terima kasih Yang Berhormat. Saya tidak mempunyai perangkaan untuk setiap pintu masuk, tetapi saya boleh berikan jumlah mengikut negeri. Mengikut negeri, yang paling tinggi ialah negeri Selangor dengan nilai rampasan sebanyak RM131 juta dan cukai yang terlibat sebanyak RM168 juta. Tidak perlu kira yang sen-senlah. Keduanya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur nilai rampasan RM92 juta, cukai yang terlibat RM85 juta. Pulau Pinang RM63 juta, nilai rampasan cukai terlibat RM68 juta. Terengganu
yang kecil sekali, tidak Labuan yang kecil sekali nilai rampasan RM808,000 cukai terlibat RM1.2 juta, Terengganu RM1.2 juta nilai rampasan RM2.9 juta cukai terlibat. Seluruh negeri adalah kalau Yang Berhormat ingin saya boleh bagi. Keduanya dari segi peningkatan usaha untuk mengelakkan ketirisan. Pihak Kastam telah membeli umpamanya bot-bot laju supaya mengawal perairan penyeludupan melalui pantai-pantai, membeli scanner yang baru. Buat masa ini tidak semua pintu masuk ada scanner. Kita dalam proses pembelian scanner. Terima kasih.

No comments: