Wednesday 7 April 2010

Dr. Lo' Lo' Haji Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Mohon laluan! 

Tuan Mohd. Nizar bin Haji Zakaria [Parit]: Nasib rakyat yang dikatakan tidak terbela...

Dr. Lo' Lo' Haji Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Kawan Yang Berhormat Parit, kawan sesama satu kampung.

Tuan Mohd. Nizar bin Haji Zakaria [Parit]: ...Untuk pembangunan dan sebagainya, sering dijadikan isu politik.

Dr. Lo' Lo' Haji Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Sekampung, sekampung!

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, hendak bagi Yang Berhormat Titiwangsa?

Tuan Mohd. Nizar bin Haji Zakaria [Parit]: Saya bagilah Yang Berhormat Titiwangsa kerana dia sekampung dengan saya, orang Parit.

Dr. Lo’ Lo’ Haji Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Ha, macam itu lah. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Memang kami ini sekampung.
Tuan Yang di-Pertua, semasa Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu berucap, saya telah menerima satu SMS daripada seorang Ahli Jemaah Surau Al-Mutmainnah, Pandan Perdana, kalau tidak silap saya Pandan Perdana. Beliau mengatakan, kenapa Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu ataupun dia kat Zul Nordin lah dalam SMS itu ya, lidah bercabang? Jadi apabila saya bertanya balik, apakah yang dimaksudkan dengan lidah bercabang? Semasa di surau tempoh hari, dia cakap, ini apa yang disebutkan. Minta maaf saya kena sebut sebab itu SMS yang dia kata, “Perdana Menteri yang bom Mongolia”. Ini SMS yang disebut sebab itu saya minta maaf dahulu. Perdana Menteri yang bom Mongolia katanya tetapi sekarang dia mengatakan ada fitnah pula tentang perkara tersebut.

Pada masa yang sama juga Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu menyebutkan fitnah terhadap Yang Berhormat Permatang Pauh. Kenapa perkara ini tidak langsung diambil kira oleh Yang Berhormat Parit? Minta penjelasan. Terima kasih.

Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Yang Berhormat, boleh mencelah lagi sekali, tambahan?

Tuan Mohd. Nizar bin Haji Zakaria [Parit]: Lagi?

Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Sedikit sahaja.

Tuan Mohd. Nizar bin Haji Zakaria [Parit]: Bolehlah. Yang Berhormat Pokok Sena boleh ya?

Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Yang Berhormat Parit, Tuan Yang di-Pertua. Saya respect Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu dan saya hargai. Saya rasa kalau kita pun - katalah mula-mula kita masuk PKR, ingat bagus PKR ini. Cuba-cuba tengok masuk rupa-rupanya teruk sangat. Jadi lebih baik jadi Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu. Dia sedar walau pada mulanya dia dengar bahawa ada fitnah dan sebagainya tetapi dia dapat tahu bahawa memang tidak betul, sebab itu dia lari. Jadi saudara di sebelah sana, kalau boleh jangan ikut! Kalau masuk terjun gaung, jangan ikut terjun gaung. Saya minta ini dan saya setuju dengan Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu. Saya ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu. Terima kasih banyak Yang Berhormat Parit.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Sedikit. Yang Berhormat Parit sedia beri.
Tuan Mohd. Nizar bin Haji Zakaria [Parit]: Terima kasih.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Laluan sedikit Yang Berhormat Parit.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Cukuplah tu. Yang Berhormat Parit sudah beri.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Yang Berhormat Shah Alam.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Sekejap sahaja.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Parit boleh gulung Yang Berhormat... [Ketawa]

Tuan Mohd. Nizar bin Haji Zakaria [Parit]: Ha, itulah kacau. Tuan Yang di- Pertua sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat Maran sebentar tadi kalau kita lihat khususnya Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat kadangkala boleh kita istilahkan, tidur sebantal mimpi berlainan. Itu sebab banyak kecelaruan yang berlaku termasuklah yang ada di sebelah sana, blok bebas yang diketuai oleh Yang Berhormat Pasir Mas dan yang terbaru Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu menyatakan perkara-perkara yang sebenar. Ada unsur-unsur penaburan fitnah yang cukup berleluasa dan akhirnya mereka keluar oleh kerana tidak mahu bersekongkol dengan perkara-perkara yang bersifat fitnah.

Tuan Yang di-Pertua, ada tohmahan yang mengatakan terdapat campur tangan kerajaan di dalam kehakiman negara tetapi kerajaan sememangnya tidak menganiaya mana-mana pihak ataupun melindungi sesiapa di dalam menegakkan kebenaran. Tindakan kerajaan adalah berasaskan kepada kepentingan negara dan rakyat semata-mata.

Ini merupakan fitnah yang amat berat yang sengaja diada-adakan untuk memburukkan kerajaan. Sebagai langkah mengatasi budaya fitnah ini setiap individu di dalam negara mesti ada rasa kasih, sayang dan cinta yang cukup tinggi terhadap negara yang kita cintai ini. Saya percaya dengan penolakan terhadap fitnah yang selama ini dibuat akan menjadikan rakyat lebih tenteram di dalam suasana yang aman dan kita seterusnya boleh memberikan komitmen, berdedikasi serta bertanggung jawab. Keikhlasan kita untuk membawa rakyat kepada kemakmuran, keharmonian, kemajuan dan perpaduan hendaklah dibuktikan bukan sahaja dengan perkataan diikuti pula dengan pelaksanaan.

Ingatlah bahawa dosa seseorang pembuat fitnah itu lebih besar dosanya daripada pembunuh. Oleh kerana saya akur dengan apa yang disebut oleh Tuan Yang di-Pertua, saya juga mengharapkan khususnya di negeri Perak esok insya-Allah, akan berlakunya sidang DUN, Dewan Undangan Negeri Perak. Saya berharap marilah kita bersamasama mendoakan mudah-mudahan kelancaran Mesyuarat DUN Negeri Perak dan tidak ada kacau ganggu.

Saya minta kepada pihak Pembangkang agar akur dengan keputusan-keputusan yang dibuat kerana mesyuarat adalah amat penting kerana Allah menyebut dalam al Quran... [Membaca sepotong ayat al-Quran] Dan di antara kamu, putuskanlah di dalam mesyuarat. Sekian saya mohon menyokong.

No comments: