Thursday 1 April 2010

Ucapan DSAI -APCO-

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ahli-ahli Yang Berhormat, seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Pembangkang Ahli Parlimen Permatang Pauh melalui surat bertarikh 22 Mac 2010 dan perbincangan saya dengan Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya dengan ini menjemput Yang Berhormat Permatang Pauh untuk memberi penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kota Belud iaitu 1999 1Israel, 2009 APCO, penasihat Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, 1Malaysia. Saya ingin memaklumkan bahawa saya tidak membenarkan sebarang pencelahan semasa Yang Berhormat Permatang Pauh memberi penjelasan terhadap isu ini. Silakan Yang Berhormat Permatang pauh.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih, Tuan Yang di- Pertua kerana memberikan ruang kepada saya untuk memberi penjelasan mengenai peranan dan skop penglibatan firma perhubungan awam bernama APCO. Isu ini wajar diberi perhatian khusus kerana ia bukannya sekadar isu 1Malaysia atau 1Israel atau tohmahan yang dilemparkan kepada saya sebagai seorang ejen Yahudi. Namun demikian, isu-isu yang terbabit ditenggelami jika hendak dibandingkan dengan skandal dahsyat yang bakal saya dedahkan pada hari ini, yang tidak bersangkutan dengan kedudukan, sama ada reputasi saya ataupun rakan-rakan.

Sesungguhnya keselamatan negara kita dalam bahaya. Isu ini membongkar politik kronisme yang membarah serta rundingan sulit pihak tertentu sehingga membelakangkan kepentingan rakyat dan negara. Tidak dapat dinafikan lagi, kini wujud ancaman terhadap keselamatan nasional, maklumat strategik negara terdedah kepada agen perisikan asing khususnya Israel dan tercalarnya maruah umat. Bagi mengelak sebarang keraguan penjelasan saya hari ini bukan sekadar muslihat politik ataupun tuduhan tidak berasas, insya-Allah setiap kenyataan saya ini akan disokong dengan dokumen, rencana, malah salinan perjanjian yang ditandatangani oleh pihak-pihak terlibat termasuk Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Israel. [Tepuk]

Sehingga kini Perdana Menteri belum pun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaan saya, agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasnya, jumlah dana yang diperuntukkan, setiap penama penasihat yang terbabit, peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan dan jaringannya. Selama ini kita hanya dimaklumkan bahawa penglibatan APCO adalah terhad tetapi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kebelakangan ini menunjukkan penglibatan yang lebih menyeluruh dan membimbangkan.

Ini berdasarkan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dua, tiga kali yang menyatakan di Parlimen, kerajaan ada melantik syarikat APCO Worldwide Sdn. Bhd. untuk melaksana perkhidmatan berkaitan komunikasi kepada Kerajaan Persekutuan secara menyeluruh. Syarikat APCO Worldwide juga disarankan menjayakan program untuk mempromosi dan meningkatkan imej negara di luar negara. Manakala APCO sendiri, yang pertama tadi menjawab soalan daripada Yang Berhormat Tanah Merah, 16 November 2009. Kedua, kenyataan APCO yang merumus penglibatan mereka seperti berikut: 18 Mac 2010: “APCO’s work has included communication support for a broad range of reform initiatives, undertaken by the government of Malaysia especially in the areas of creating jobs, promoting education and strengthening delivery of services to the people.” Kenyataan tersebut sebenarnya membuka pekong serta memunculkan lebih banyak persoalan. Ini bukan syarikat perhubungan awam biasa yang sekadar menulis ucapan, mahupun kenyataan akhbar ataupun bertindak melonjakkan imej Perdana Menteri. Itu pun amat dikelaskan kerana ia dilakukan dengan menggunakan dana rakyat. Dilaporkan usaha ini menelan belanja sekitar RM20 juta. Secara sedar ataupun tidak, kenyataan APCO mengakui bahawa lantikannya adalah untuk membantu strategi komunikasi yang menyeluruh. Ini bermakna firma tersebut terlibat secara langsung memberi bantuan komunikasi di dalam pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan.

Reform initiatives – ini bermakna APCO terlibat secara langsung dalam mempengaruhi mesej yang disampaikan kepada rakyat. Saya akan terangkan dengan mendalam kenapa perkara ini sangat merbahaya kepada rakyat dan negara. Pada 18 Mac tahun ini, APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan mereka dengan Gagasan 1Malaysia. Kononnya konsep itu wujud sebelum APCO dilantik sebagai firma perunding. Penafian yang dibuat oleh APCO itu merupakan usaha mereka untuk mengelirukan kita akan tarikh sebenar firma tersebut terbabit dengan pentadbiran Perdana Menteri sekarang. Penafian tersebut menggambarkan bahawa ia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pentadbiran Dato' Sri Mohd. Najib ataupun Dato’ Sri Mohd. Najib sendiri, pembantunya atau para penasihatnya. Sebuah portal berita telah melaporkan pada 28 Julai 2009 setakat mana penglibatan APCO dengan pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib. Antara lain dilaporkan bahawa perkhidmatan APCO diperkenalkan kepada Perdana Menteri oleh Omar Mustapha, penasihat Perdana Menteri dan juga teman Yang Berhormat Rembau  dalam firma perundingan Ethos Consultancy. Saya akan buktikan selepas ini bagaimana perkaitan di antara Omar Mustapha dan APCO, sebelum APCO dilantik secara rasmi sebagai perunding kerajaan. Walaupun ia diumumkan kepada negara dan rakyat bahawa 1Malaysia dicetuskan oleh Perdana Menteri, peranan Ethos Consultancy tidak boleh diremehkan. Ternyata kebanyakan daripada kita tidak menyedari hubungan akrab eksekutif Ethos dan APCO yang masih berterusan.

Oleh sebab itu kita tidak hairan sebaik sahaja Dato’ Sri Mohd. Najib menjadi Perdana Menteri, Omar Mustapha dikhabarkan membawa masuk APCO sebagai perunding komunikasi kerajaan. Malah kita mendengar berita dengan jelas telah pun ditempatkan di pejabat PM sejak dari awal PM mengambil alih... [Disorak] APCO dilaporkan secara langsung dalam menentukan strategi 100 hari pentadbirannya, termasuk mesej dan dasar utama 1Malaysia dan inisiatif lain. Berdasarkan laporan tersebut, pegawai-pegawai kanan kerajaan dikatakan tidak selesa apabila PM ingin menganugerahkan kontrak bernilai RM20 juta kepada APCO untuk meneruskan kerjakerja rundingan dengan kerajaan. Kontrak itu dijangka dianugerahkan di antara bulan Julai dan September 2009 iaitu selepas penglibatan individu daripada APCO yang dibawa masuk pada tempoh awal Perdana Menteri mengambil alih.

Semua ini bukan saya yang kata, bukan Pakatan Rakyat yang cipta, dilaporkan sejak tahun lalu, ia belum dinafikan oleh pihak kerajaan sehingga sekarang. Oleh sebab itu mengambil kira beberapa peristiwa atau contoh yang berlaku apabila kerajaan ditipu oleh penasihat-penasihat asing sehingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit atau diaibkan di peringkat antarabangsa, saya melihat episod pelantikan APCO sebagai satu lagi kelalaian yang boleh merugi dan malah membahayakan negara. Tanggungjawab saya memperingatkan Perdana Menteri dan kerajaan untuk tidak mengulangi kesilapan dan kelalaian lalu apabila terlalu percayakan penasihat asing, sehinggakan kita tidak memeriksa dengan tepat reputation mereka, serta penglibatan mereka sebelum ini. Apatah lagi pelantikan tersebut diselubungi misteri dan tanpa penelitian. Dulu mantan Perdana Menteri mengizinkan kerajaan melantik David Zaidner dari firma Marc Rich untuk menasihati agensi kerajaan dan Bank Bumiputera cuba memanipulasi pasaran timah sedunia sehingga kita mengalami kerugian besar. Tidak sewajarnya kita melupakan skandal Maminco. Mantan Perdana Menteri kita itu seolaholah tidak meneliti dahulu rekod David Zaidner yang diketahui umum tidak suka peraturan dan undang-undang di dalam amalannya.

Kemudian episod yang membabitkan Jack Abramoff hanya untuk mendapatkan satu temu janji dengan Presiden Bush dalam tahun 2002 dengan membayar USD1.2 juta tanpa memeriksa dulu latar belakang Jack Abramoff. Dalam tahun 2006, Kerajaan Malaysia dimalukan apabila Jack Abramoff didapati bersalah menipu dalam transaksi kewangan sehingga dipenjarakan dan pada masa itulah semua penglibatan Kerajaan Malaysia terbongkar. Jack Abramoff juga merupakan seorang pelobi yang terlibat dalam penipuan tanah kaum peribumi Amerika Syarikat, Red Indian untuk tujuan pembinaan kasino, satu lagi tauke judi. Pelantikan Abramoff juga dibuat dengan penuh kerahsiaan, dan pasti tidak diketahui umum sekiranya Abramoff tidak diheret ke muka pengadilan di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun mantan Perdana Menteri tersebut hanya memberikan tugasan yang spesifik kepada firma Marc Rich dan Jack Abramoff dan tidak melibatkan perjalanan jentera kerajaan secara menyeluruh. Dalam konteks ini kita melahirkan kebimbangan kerana kenyataan kerajaan sendiri menjelaskan bahawa mereka memainkan peranan penting membentuk strategi komunikasi kerajaan dalam dasardasar penting terutamanya melibatkan rakyat. Kenyataan APCO menyatakan, saya quote dengan izin, “will work to assist in strengthening the government’s online and others strategic communication capabilities, to speed the delivery of accurate information to the media and public.”
Sekarang kebimbangan kita bukan sahaja latar belakang APCO tetapi bentuk penglibatan APCO dengan Kerajaan Malaysia dan apakah maklumat yang telah dikongsi oleh kerajaan dengan APCO. Sebelum kita meneliti dengan lebih dalam kenapa penglibatan APCO secara rapat dengan kerajaan merupakan satu risiko yang besar yang wajar kita elakkan. Kita perlu meneliti dahulu modus operandi firma-firma seperti APCO. Hanya dengan memahami modus operandi digunakan oleh APCO baru kita boleh memahami kenapa penglibatan APCO dengan Kerajaan Malaysia diselubungi misteri dan rahsia. APCO memang sebuah firma hubungan awam bertaraf antarabangsa. Reputasinya digilap kerana penglibatan tokoh-tokoh yang ada kaitan dengan pentadbiran Amerika Syarikat ataupun ahli-ahli politik di Capitol Hill. Pada masa yang sama APCO juga menggunakan khidmat mereka yang mempunyai pengaruh di dalam bidang atau kerajaan masing-masing. Kalau kita lihat senarai panel penasihat antarabangsanya, ahli panel penasihat APCO termasuklah beberapa tokoh diplomatik dan tokoh perisikan Israel. Oleh itu adalah penting untuk Dewan Rakyat memahami bahawa reputasi APCO adalah sebagai sebuah firma pelobi.

Apa fungsi firma pelobi di Washington? Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan atau seminar seperti yang diadakan baru-baru ini. Untuk membaiki imej sebuah organisasi terutamanya, pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang terburuk di mata dunia. Jadi fungsi utama mereka adalah melunakkan, membaiki imej pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod yang tidak baik. Saya akan senaraikan selepas ini contoh-contoh pemimpin sebegini. Secara tidak langsung kini Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib telah mendapat penghormatan mahu diheret dan digolok dengan pemimpin-pemimpin sedemikian.

Untuk menjalankan tugas ini APCO mereka perlu menjaga nama dan reputation mereka sebagai firma perhubungan awam. Sebab itu ada beberapa perkara penting di dalam modus operandi mereka yang perlu kita fahami. Pertama, mana-mana pihak yang mengambil APCO sebagai perunding akan menandatangani perjanjian. Salah satu bahagian utama perjanjian adalah mengenai perkara-perkara rahsia dengan izin, confidentiality atau non-disclosure. Reputasi APCO sebagai firma pelobi banyak bergantung kepada kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan dan penglibatannya dengan badan yang melantiknya terutama pemimpin-pemimpin yang berimej buruk.

Sebab itulah tidak sukar untuk Barisan Nasional mengaburi mata rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan mereka dalam 1Malaysia atau peranan sebenar dalam Kerajaan Malaysia. Biar saya ingatkan bahawa rakyat Malaysia tidak mudah untuk diputarbelitkan. Mereka faham bahawa adalah menjadi sebahagian dari tugas APCO seperti termaktub dalam perjanjian lantikan bersabit perkara-perkara sulit dan rahsia. Untuk melindungi client mereka dan secara langsung menafikan penglibatan. Saya ambil contoh dua perjanjian lantikan yang melibatkan APCO.

Pertama, yang ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia dengan APCO bertarikh 4 Ogos 2009. Secara khusus memberi tugasan kepada APCO untuk membaik pulih imej Kerajaan Malaysia. Ini aneh dalam kerajaan - tandatangan di antara kerajaan dengan syarikat. Dalam konteks ini ia ditandatangani oleh pegawai dan disaksikan oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sendiri iaitu Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad. Ia menunjukkan hubungan langsung APCO dengan Perdana Menteri, sedangkan pada kebiasaannya perjanjian kerajaan hanyalah ditandatangani oleh pegawai-pegawai kerajaan.

Satu lagi contoh ialah perjanjian lantikan Kerajaan Israel yang melantik APCO menjalankan tugas yang sama. Pada jangka waktu yang sama iaitu Januari 1992, Ehud Barak berkhidmat sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera negara Israel. Saya akan jelaskan hubungan APCO dan ketenteraan dan intelligence Israel dan bagaimana penglibatan pegawai pengarah risikan Israel yang menjadi pegawai utama APCO. Kedua-dua perjanjian ini yang akan saya serahkan kepada Tuan Yang di-Pertua jelas menghuraikan peranan APCO sebagai pelobi. Antara lain menyimpan rahsia-rahsia kerajaan yang diberikan kepada APCO dalam menjalankan tugas. APCO tidak boleh mendedahkan maklumat kecuali diberi keizinan oleh kerajaan berkenaan - Israel atau Malaysia dalam konteks ini.

APCO malahan terlibat dengan apa yang dipanggil sebagai komunikasi strategik secara menyeluruh. Kita justeru itu berhak menuntut kerajaan dan Perdana Menteri datang ke Dewan terus terang mengenai perjanjian yang telah ditandatangani dengan APCO. Terutamanya semua soalan yang telah saya timbulkan minggu lalu mengenai tugasan, bayaran, penasihat terbabit dan pengaruh mereka dalam seluruh jaringan kerajaan setakat ini.

Berbalik kepada modus operandi yang kita katakan tadi, APCO dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya sebagai firma bersekutu. Ada yang atas nama APCO - ini yang dipertikai. Ada yang katakan sebelum APCO tidak ada, tidak benar kerana APCO berfungsi kalau dilihat cara modus operandinya dengan firma bersekutu (associates) di seluruh dunia. Selain ASERO, firma bersekutu lainnya adalah Global Political Strategies. Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah ASERO Worldwide yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon. Ingat - bekas Ketua Perlindungan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral. Selain peranan beliau dalam eksekutif, beliau juga adalah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO. Jadi kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di antara APCO dengan kerajaan semata-mata. Kerajaan boleh sahaja melantik firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari APCO. Ini kita pertahankan dengan rekod yang ada. Kalau di Israel lantikan dibuat melalui ASERO Worldwide - syarikat sekutu APCO. Contohnya kontrak lantikan bertarikh 9 Januari 1992 adalah di antara Kerajaan Israel dengan sebuah firma bersekutu APCO bernama GCI International. Akan tetapi apabila kita meneliti kandungan perjanjian tersebut, termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas melobi - pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini CEO kepada APCO. Oleh sebab itu kita perlu berhati-hati dengan penafian oleh APCO bahawa ia tidak terlibat.

APCO sebagai sebuah firma mungkin tidak terlibat dengan idea Gagasan 1Malaysia. Apa mungkin Perdana Menteri hadir di Dewan dan menyatakan secara tegas bahawa tidak ada mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO atau firma bersekutu APCO atau dengan APCO penasihatnya yang terlibat dengan gagasan 1Malaysia. Kita pertikai gagasan penting bagi pentadbiran sekarang tidak tergolong dengan apa yang dikira sebahagian dari komunikasi yang menyeluruh. Komunikasi menyeluruh tidak termasuk mempromosi 1Malaysia - ini aneh.

Bolehkah Perdana Menteri menerangkan, adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha yang dikatakan bertanggungjawab membawa Gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri - atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana individu yang dikaitkan dengan APCO. Perdana Menteri perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau manamana firma dilantik oleh kerajaan pernah melantik Mind Teams Sdn. Bhd.

Mind Teams Sdn. Bhd. iaitu nama syarikat sebelum APCO secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur. Jadi kalau perjanjian APCO itu bertarikh sedemikian sebelum APCO ada diwujudkan Mind Teams Sdn. Bhd. Siapa yang mengetuainya? Dua-dua tokoh besar APCO. Nama Mind Teams Sdn. Bhd. Paul Stadlen - Pengarah Mind Teams Sdn. Bhd. dan sekarang CEO APCO Kuala Lumpur.

Dato' Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Orang mana itu, orang Bukit Dewa kah?

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Seorang lagi ialah Margery Kraus yang saya ramalkan tadi. Siapa dia? Sekarang CEO APCO - individu penting yang terlibat dengan perjanjian dan akaun di Israel. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri perlu menerangkan kepada Dewan, ya Menteri Agama terpaksa keluar – Kenapa Omar Mustapha penasihat yang dipercayai Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melaporkan bahawa APCO untuk menasihati kerajaan dalam dasar-dasar penting terutama 1Malaysia. Tidakkah ini menimbulkan persoalan mengenai perkaitan di antara Ethos, APCO dan 1Malaysia? Oleh sebab itulah Omar Mustapha sekarang ditolak juga walaupun Lembaga Pengarah Petronas menolak penyertaan beliau sebagai Pengarah kerana gagal membayar biasiswa, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri masih mendesak dan Petronas akhirnya terpaksa menerima Omar Mustapha.

Soalan-soalan ini Tuan Yang di-Pertua perlu dijawab oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana kita tahu modus operandi APCO diselubungi dengan rahsia melibatkan banyak individu yang bernaung dengannya tetapi menggunakan firma-firma yang berlainan. Apakah kebimbangan kita? Kerajaan Malaysia dan APCO bersabit dengan rekod APCO dengan pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi manusia ataupun penyelewengan harta rakyat di seluruh dunia.

Ada dua aspek yang membimbangkan kita. Pertama, APCO banyak memberi khidmat untuk memulihkan imej pemimpin sebagai yang menindas rakyat di negara masing-masing sehingga akhbar The Times of India dengan laporan terperinci menulis bagaimana APCO mempunyai diktator-diktator di dalam senarai pelanggannya. Rencana tersebut menyenaraikan di antara lain dengan izin “Adolf Hitler was a brilliant propagandist. Narendra Modi too believe in the power of image which is probably why the chief minister hired a US lobbying firm which has serviced clients like former Nigerian dictator Sani Abacha and President for life of Kazakhstan Nursultan Abishuly Nazarbayev. This Washington based firm, APCO Worldwide, was hired by Modi sometime in August this year, in the run-up to an important assembly election to improve his image before the world community. Among its recent clients are Mikhail Khodorkovsky, a former Communist youth leader turned Russian billionaire with mafia links”.

Keduanya, mereka terlibat dengan APCO mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan Israel serta ahli politik Amerika Syarikat yang mempunyai pandangan yang serong terhadap umat Islam. Soalan saya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri jika ini reputasi dan rekod APCO yang diketahui umum apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat melalui pelantikan APCO sebagai perunding kerajaan? Apakah pentadbiran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengakui bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan partinya UMNO setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia?

Beberapa Ahli: Ya.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Sehinggakan khidmat APCO yang selama ini digunakan untuk membaiki imej diktator perlu diguna pakai. Saya ingin kupas kedua-dua aspek ini dan memberikan bukti bahawa berdasarkan rekod APCO selama ini sewajarnya kerajaan tidak melantik mereka kecualilah kepakaran yang diperlukan kerajaan adalah kepakaran menggunakan wang untuk membeli pengaruh di Washington. Dalam tahun 2007 seorang wartawan penyiasat yang terkenal di Amerika Syarikat bernama Ken Silverstein telah menyamar untuk melantik APCO mewakili Turkmenistan. Beliau telah melaporkan hasil siasatannya mengenai peranan dan pendekatan APCO membantu membersihkan imej diktator-diktator dunia di dalam sebuah rencana yang disiarkan di dalam majalah Harper’s, Julai 2007. “Their Men in Washington: Undercover with D.C.’s Lobbyist for Hire”. Saya dengan izin “APCO was the first firm I contacted because it was a natural candidate to represent Turkmenistan. It has experienced working not just on behalf of authoritarian regimes in general the dictatorship of General Sani Abacha in Nigeria for example which employed the firm in 1995, the same year it hanged nine democracy activists.

Pendedahan Ken Silverstein menunjukkan peranan dimainkan APCO membantu pemimpin yang begitu buruk rekodnya. Nama-nama yang disebut di dalam pendedahan tersebut termasuklah Barry Schumacher yang pernah terlibat dalam tugasan lantikan Kerajaan Israel. Sekali lagi, Barry Schumacher, tugasan lantikan Kerajaan Israel pada tahun 1992. Jennifer Millerwise Dyck, jurucakap CIA dan jurucakap naib presiden Dick Cheney yang rekodnya ialah perang Afghanistan dan Iraq, kita semua sedia maklum.

Sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat meneliti laporan tersebut, lebih membimbangkan pendekatan diambil oleh APCO dalam menjalankan assignment itu. Kepada kerajaan yang melantiknya mereka dijanjikan pertemuan dengan pemimpin kongres, dialog, seminar, pelbagai institusi untuk memberi imej yang amat berlainan dengan kenyataan yang berlaku di negara masing-masing.

Kepada pemimpin kongres dan kerajaan Amerika, mereka akan menjaja pertemuan sebagai peluang untuk memenuhi kepimpinan kerajaan yang melantik mereka sebagai perunding. Oleh sebab itu saya akan terangkan selepas ini risiko yang telah ditanggung oleh negara apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dicucuk hidungnya oleh Omar Mustapha dan juak-juak dari Ethos untuk melantik APCO. Senarai pemimpin-pemimpin yang menggunakan khidmat APCO untuk membaik pulih imej diktator adalah panjang dan mengejutkan. Selain Turkmenistan, Kazakhstan, Azerbaijan, salah seorang klien APCO yang terkenal adalah bekas diktator Nigeria, Jeneral Sani Abacha. Mengikut Laporan BBC, Jeneral Sani Abacha merupakan pemimpin berkedudukan nombor empat paling korup di dunia. Semasa pemerintahannya berbilion-bilion dolar dilesapkan. Yang dilesapkan oleh orang kanannya sahaja berjumlah USD2.5 bilion.

Aspek kedua adalah kehadiran ramainya tokoh-tokoh. Ini yang saya hendak tekankan. Ramainya tokoh-tokoh yang berkait rapat dengan kerajaan Israel, organisasi pertahanan Israel dan lebih parah agensi perisikan Israel sebagai perunding dan penasihat APCO yang boleh menjalar di Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia. Tidakkah tindakan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melantik APCO yang umum diketahui rapat dengan tokoh-tokoh kanan rejim Zionis merupakan sikap kepura-puraan? Di hadapan rakyat kerajaan Barisan Nasional bercakap mengenai perjuangan Palestin, mengutuk rejim Zionis malah merotan pesalah-pesalah rakyat marhaen yang lemah untuk membuktikan ia sebuah kerajaan yang menegakkan Islam, adil atau tidak itu belakang kira. Akan tetapi secara senyap tanpa pengetahuan rakyat, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri terus dekat dengan sebuah firma yang ditunjangi oleh tokoh-tokoh kanan rejim Zionis. Rejim yang memenjarakan Ghaza, menindas umat Islam termasuk rakyat Kristian di Palestin.

Secara khusus saya ingin bawa perhatian Dewan kepada tiga tokoh utama Israel di dalam APCO. Ini adalah relevan dengan kedudukan di Malaysia. Siapa tiga tokoh penting? Tiga tokoh utama Israel di dalam APCO yang juga tokoh kanan rejim Zionis.

Pertama Doron Bergebest-Eilon, kedua, Ittamar Rabinovich dan ketiga Shimon Stein. Yang pertama Doron Eilon, Ketua Bahagian Keselamatan Dan Perlindungan Agensi Keselamatan Israel - ISA (Israeli Security Agency). ISA adalah nama rasmi kepada satu organisasi yang cukup busuk namanya di kalangan umat Islam. Israeli Security Agency – Shin Bet. Apa Shin Bet? Shin Bet adik kembar kepada Mossad. Bezanya Shin Bet – agensi perisikan dalam negara, Mossad – agensi perisikan luar negara. Tokoh-tokoh kanan lain Zionis dalam APCO, Ittamar Rabinovich bekas Duta Israel ke Amerika Syarikat, jawatan terpenting diplomatik dalam rejim Zionis. Yang menjawat jawatan semestinya orang yang paling kuat pegangan Zionisnya. Begitu juga dengan Shimon Stein mantan Duta Israel ke Jerman. Kedudukan mereka yang kanan dalam lingkaran diplomatik memperlihatkan keupayaan mereka untuk mempengaruhi sistem melobi bagi pihak APCO sekarang.
Tuan Yang di-Pertua, sebab itulah kita menimbulkan isu ini kerana ia melibatkan keselamatan dan reputasi negara, serta maruah umat. Kita jelaskan mengapa kita bangkitkan isu ini ianya kerana kita mempertikaikan tindakan kerajaan menganugerahkan kontrak perkhidmatan puluhan juta ringgit kepada sebuah syarikat yang mana ada dari kalangan eksekutif kanannya pernah memegang jawatan tinggi dalam organisasi seperti Shin Bet dan Kerajaan Israel. Kita khuatir kerana pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib seperti tidak runsing dan gundah mengambil firma yang tercemar dengan rekod khidmat untuk para diktator dan para penindas. Sikap membisu Perdana Menteri pastinya mengundang pelbagai kemusykilan serta persoalan. Membicarakan persoalan seperti komunikasi menyeluruh pastinya berkait rapat dengan Jabatan Perdana Menteri, makna APCO secara langsung ada hubungan akrab dengan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Penerangan, dan banyak kementerian lainnya. Maknanya APCO mempunyai akses terdedah kepada jaringan strategik, serta penting dan pastinya memberi kesan kepada keselamatan negara. Melantik organisasi asing yang mempunyai rekod seperti APCO lalu mengamanahkannya dengan tanggungjawab besar serta kemudahan sedemikian rupa pastinya menggadai kepentingan negara. Oleh kerana itu saya menggesa kerajaan agar segera membatalkan kontrak perkhidmatan dengan APCO... [Tepuk] Dan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat skandal yang memalukan ini. Terima kasih... [Tepuk]

1 comment:

Anonymous said...

dajjal muncul di akhir zaman bersama pengikut2nya. Benar dikata salah, salah dikata benar.