Thursday 6 May 2010

Nostalgia Kemanisan Perjuangan Anti-ISA

(Terjumpa tulisan sahabat saya pejuang gigih anti ISA selaku mangsa langsung kpd kekejaman ISA. Walau pun sudah berlalu peristiwa yang dipaparkan saya percaya ramai yang tidak menyedari kezaliman ISA kerana tidak merasainya sendiri. ISA memisahkan antara anak dan ayah/ibu, ISA memisahkan cinta-kasih suami isteri, ISA memisahkan anak dari ibu-bapa dan keluarga. ISA menghancurkan karier dan masa depan. ISA menidakkan nilai kemanusiaan kerana ISA undang2 zalim dimana orang yang dituduh ditahan tanpa bicara tanpa dibawa ke muka pengadilan. Mansuhkan ISA, Rakyat Malaysia benci ISA)

Oleh Norlaila Othman


“Ila, abang dah ada depan rumah ni, tapi pagar berkunci.” Begitu ceria suara Mat Sah di hujung talian.
“Kami kat Sabah ni! Betul ke Abah dah bebas?” balasku dalam rasa gementar berbaur gembira.

Perbualan dan peristiwa pembebasan Mat Sah @ Abah Suhaib pada hari Selasa, 15 September 2009 yang lalu tentunya tidak dapat aku lupakan sepanjang hayat, sepertimana tarikh penahanan beliau pada 18 April 2002 dahulu, yang begitu kuat terpahat di ingatanku walaupun lebih tujuh tahun berlalu. Itulah takdir Allah. Lebih tujuh tahun aku dan Suhaib menanti kepulangannya, dan ketika beliau diizinkan Allah untuk pulang ke rumah, kami berdua pula tiada di sana untuk menyambut ketibaannya.

Keesokan malamnya, sebaik saja tiba di KLIA, aku terus bergegas menjemput Mat Sah di rumah bapa mentuaku dan terus pulang ke rumah kami di Taman Keramat. Suhaib menunggu ketibaan kami berdua dengan sabar. Senyuman terukir di bibirnya walaupun ketika itu jam sudah menunjukkan hampir pukul 2.00 pagi!

Sebaik saja keluar dari kereta, Mat Sah dan Suhaib berpelukan. Kemudian suamiku masuk ke dalam rumah manakala aku menurutinya dari belakang. Beberapa langkah berada di ruang tamu, beliau sujud syukur untuk beberapa ketika. Aku dan Suhaib memerhatikan peristiwa itu dengan rasa sebak dan hiba. Bangun dari sujud, beliau terus masuk ke bilikku, membuka almari dan semua laci. Beliau memandangku sambil bertanya, kenapa tiada sehelai pun pakaiannya di dalam bilik tersebut. Kemudian beliau ke bilik Suhaib dan melakukan perkara yang sama. Akhirnya beliau duduk di birai katil sambil bertanya pada Suhaib, ke mana perginya semua pakaian beliau yang ditinggalkan tujuh tahun yang lalu.

“Ada beberapa helai baju Abah, Suhaib pakai setiap hari. Tapi banyak yang dah disedekahkan. Abah jangan marah ya.” Suhaib bersuara dalam nada yang amat perlahan. Mat Sah tidak berkata apa-apa. Beliau hanya membalas dengan senyuman.

Kesan Tujuh Tahun “Dibekukan”

Ketika rencana ini ditulis, beliau telah dikeluarkan dari Kem Kamunting lebih dari 30 hari. Lebih tujuh tahun beliau menghuni sel dan dorm tanpa sebarang jadual mahupun aktiviti harian sepertimana manusia yang bebas, perangai beliau kelihatan agak pelik sedikit.

Pada hari pertama beliau pulang ke rumah, aku rasa agak terganggu dengan leteran dan bebelannya. Katanya, rumah kami nampak semak dengan perabot dan hiasan. Semua perkara diperkatakannya, kecuali lampu dan kipas! Bila berada di dapur, beliau pelik kenapa terlalu banyak makanan sama ada di luar atau di dalam peti ais. Beliau asyik bercakap saja dan aku terpaksa bersabar dan terus cuba menjadi pendengar yang setia.

Ketika dibebaskan dari Police Remand Center (PRC) sehari sebelum itu, beliau pulang sehelai sepinggang. Aku dan Suhaib membawa beliau ke Jaya Jusco AU2. Beliau pening melihat orang ramai di pusat membeli-belah itu dan sesekali seperti “gayat” berdiri di atas eskulator. Beliau juga tidak tahu hendak memilih barangan keperluannya sendiri sedangkan dahulunya beliau seorang yang amat bijak memilih pakaian untuk disesuaikan dengan penampilan dirinya. Alhamdulillah, Suhaib sudah cukup bijak memilihkan beberapa helai baju yang sesuai untuk ayahnya. Kasihan aku melihat keadaan Mat Sah. Terlalu banyak perkara yang perlu dipelajari semula. Tujuh tahun berada di dalam kem, seolah-olah selama itulah kehidupannya di“bekukan” dan dihentikan!!

Berita kepulangan Mat Sah tersebar luas dan kesannya, aku tenggelam dalam deretan SMS ucapan tahniah dan “Selamat Pengantin Baru”. Mungkin orang ramai tidak tahu bahawa pada ketika itu, perasaanku agak “terseksa” dengan segala perubahan Mat Sah yang amat berbeza daripada kebiasaannya. Ada ketikanya agak sukar untukku menerima hakikat tersebut kerana Mat Sah yang kukenali sejak pernikahan kami pada tahun 1990 yang lalu adalah seorang yang amat pendiam tetapi sentiasa tersenyum ceria. Beliau juga amat jarang memberikan komen, jauh sekali membebel dan berleter. Benci dan geramku terhadap ISA dan penguasanya makin bertambah-tambah!!

Walaubagaimanapun, aku amat bersyukur kerana ramai teman yang mengingatkanku supaya bersabar dengan segala perubahan tersebut. Aku amat hargai kesudian saudara-mara serta sahabat-handai yang datang ke rumah kami. Ternyata lawatan tersebut membuatkan kehidupannya lebih terisi dan mempercepatkan beliau mengingati semula nostalgia kehidupan normal yang pernah dilaluinya tujuh tahun yang lalu. Kehadiran wartawan yang bersedia dengan pelbagai soalan juga amat baik dalam merangsang minda beliau supaya berfikir dan mengingati semula peristiwa penahanannya itu. Beliau kelihatan sudah bijak menjawab soalan yang diberikan dengan berhati-hati.

Suhaib, Bagaimana?

Suhaib sebenarnya dalam dilema. Beliau gembira bapanya telah pulang ke rumah. Namun, pada masa yang sama beliau seolah-olah belum dapat menerima kenyataan bahawa lelaki yang dipanggil “Abah” itu adalah bapa kandungnya. Rasa kasih sayang daripada bapa kepada anak, belum lagi dirasai olehnya. Suhaib merasakan, seolah-olah aku baru berkahwin dengan seorang “lelaki asing” yang selama ini dia panggil sebagai “Abah”.

“Siapa yang Umi lebih sayang, Suhaib atau Abah?” tanya beliau. Aku terperanjat dengan soalan tersebut. Aku juga agak tergamam bila Suhaib berbisik mengatakan panggilan “sayang” sepatutnya cuma untuk dia seorang saja!!

Sedih aku melihat hubungan dua lelaki ini. Yang tua, terlalu bersabar dan berhati-hati untuk bersuara hingga rasa “takut” hendak menegur perbuatan anak sendiri yang dirasakan kurang molek di matanya. Beliau amat khuatir jika teguran itu akan membuatkan Suhaib marah dan terus menjauhkan diri darinya. Manakala yang muda pula lebih banyak memerhati dan berdiam diri. Akulah yang menjadi “orang tengah” mereka berdua. Oh Tuhan.. betapa teruknya kesan penahanan yang terlalu lama ini! Bila melihat keadaan Mat Sah dan Suhaib, aku jadi semakin marah pada ISA.

“Laila” Telah Berubah?

“Isteri saya dah berubah…” kata Mat Sah kepada semua orang yang datang ke rumah kami.

Mula-mula terdengar ungkapan tersebut, terbeliak biji mata dan jantungku berdegup lebih kencang daripada biasa. Kenapa dia berkata demikian ya..

“Laila bertugas sebagai guru di sebelah pagi. Bila petang, balik ke rumah dah letih.. terus tidur. Saya yang banyak membantunya mengurus anak dan rumahtangga. Tapi sekarang, dia bukan saja uruskan semuanya, tetapi sangat berdikari. Dia juga banyak menghabiskan masa di hadapan komputer. Beliau menulis rencana, mengisi blog dan masih membaca buku-buku tentang hak asasi. Laila punya ramai teman wartawan dan begitu petah menjawab semua soalan bila diwawancara. Bila tengok youtube, rupanya ada banyak koleksi ucapan dan ceramah beliau. Ketika dalam tahanan dulu, isteri saya memang amat popular dalam kalangan Polis Cawangan Khas @ SB kerana “kerja-kerja dengan GMI”. SB kata, Laila amat berbahaya kerana ceramah dan tulisannya sangat “keras mengutuk kezaliman ISA”.

Walaupun saya tidak pernah memperkenalkan Laila pada mana-mana tahanan ISA, tetapi semua tahanan di kem mengenali Laila kerana dia sering memberikan duit kepada keluarga tahanan yang lain. Membantu keluarga tahanan adalah satu kerja yang ditakrifkan SB sebagai satu “kesalahan besar dan boleh menggugat keselamatan Negara”! Selama ini, saya sangka Laila hanyalah sekadar menghadiri dan meramaikan program GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) saja, tapi rupa-rupanya beliau adalah salah seorang AJK GMI, turut terlibat dalam Himpunan MANSUH yang menggegarkan Kementerian Dalam Negeri Ogos lalu. Sejak saya dibebaskan, di mana saja kami berdua berada, orang ramai lebih mengenali dia. Saya rasa bagai bertemu seorang “Norlaila” yang baru…” kata Mat Sah panjang lebar sambil mengakui beliau telah kehilangan terlalu banyak kemahiran untuk hidup disebabkan penahanan yang terlalu lama.

Ooh! Perubahan yang itu rupanya…

Manisnya Kejayaan Ini

“Apa hikmahnya Mat Sah lambat dibebaskan ya?” tanyaku pada Kak Jije @ Aliza Jaafar, isteri YB Saari Sungib ketika kami berdua duduk di tepi longkang besar di hadapan rumahnya. Air mataku mengalir deras tanpa dapat dibendung lagi. Aku amat sedih, semakin banyak kempen anti-ISA dilakukan, semakin ramai tahanan ISA yang dibebaskan, tetapi Mat Sah tetap terkurung di sana.

"Sabar! mesti ada  hikmahnya. Mat Sah akan bebas juga nanti..” Begitu optimis jawapan itu dan sedikit sebanyak berjaya memujuk hatiku yang sedang lara ketika itu. Dialog itu terjadi beberapa hari sebelum Himpunan MANSUH yang diwartakan sebuah akhbar Indonesia sebagai “melumpuhkan Kota Kuala Lumpur”. Aku terasa tersangat letih kerana sejak pulang dari Geneva, aku terus terlibat dengan Pemuda PAS dalam proses mobilisasi rakyat supaya turun ke Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2009.

Dan pada tarikh tersebut, aku serta Suhaib telah ditahan polis walaupun belum lagi masuk waktu berhimpun dan kami berdua tidak langsung berada di lokasi himpunan. Namun, tiada siapa yang menyangka bahawa Himpunan MANSUH, yang mengumpulkan puluhan ribu rakyat Malaysia rupa-rupanya telah berjaya membuka pintu yang menyebabkan Mat Sah dikeluarkan dari kurungannya di Kem Kamunting.


Perjuangan Akan Tetap Diteruskan...

Syukur ke hadrat Allah dan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah sudi turun ke Masjid Negara, Masjid Jamek serta Sogo pada Sabtu 1 Ogos tersebut. Sesungguhnya, kehadiran anda untuk menyertai demo anti-ISA pada hari itu telah memberikan satu tekanan yang kuat kepada Menteri Dalam Negeri supaya membebaskan tahanan tujuh tahun ISA daripada terus merengkok di dalamnya.

Ketika dikhabarkan pembebasan Mat Sah, aku merasakan betapa berita itu bukanlah kejayaanku seorang, tetapi ia turut dirasai oleh ramai yang lain. SMS yang aku terima daripada mereka yang pernah memegang “lilin” dalam ‘candle light Vigil’, mereka yang pernah menampal poster anti-ISA di tembok dan pokok, mereka yang pernah mengisi poskad, menandatangani petisyen di internet, menyumbang dana ke Geneva, mencetak baju T yang ada lambang anti-ISA, yang disembur air asid, yang dicaj di mahkamah dan ramai lagi.. membuktikan betapa mereka amat puas menjadi sebahagian daripada solusi penahanan tanpa bicara ISA.

Insya-Allah, selagi hayat dikandung badan, semangat dan perjuangan untuk memansuhkan akta zalim ISA ini akan tetap diteruskan…


Norlaila Othman adalah ahli JIM Daerah Ampang Jaya dan antara penggerak utama dalam Jawatankuasa Kerja Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

No comments: