Friday 7 May 2010

Perbadanan Kemajuan Kg Baru - PAS mahu pemilik tanah dilibatkan

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 April: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali mahu Perbadanan Kemajuan Kampung Baru (PKKB), yang mahu ditubuhkan kabinet turut dianggotai wakil pemilik dan pewaris tanah yang terlibat.



Beliau yang sebelum ini mencadangkan penubuhan perbadanan itu kepada kerajaan berkata, penduduk perlu diberi peluang melantik sendiri wakil mereka.



Selain mereka, tenaga pakar dalam pelbagai bidang juga perlu dilibatkan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Malay Agriculture Settlement (MAS) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) serta beliau sendiri sebagai Wakil Rakyat kawasan itu.



"Saya minta Perbadanan ini diwakili oleh Kementerian Wilayah sendiri, DBKL dan mesti diwakili oleh penduduk secara rasminya.



"Jadi kita mahu penduduk sendiri yang mencalonkan siapa wakil mereka di situ dan termasuk juga MAS dan saya sendiri sebagai wakil rakyat," katanya yang juga AJK PAS Pusat.



Beliau juga berkata, penduduk juga tidak pernah melantik mana-mana NGO sebagai wakil mereka seperti yang didakwa sesetengah pihak.



Meskipun menyambut baik keputusan kerajaan itu, beliau juga terkilan kerana tidak pernah dilibatkan dalam sebarang perbincangan mengenai perkara itu.



"Saya difahamkan ada beberapa perbincangan sebelum ini antara Kementerian dan juga Jabatan Perdana Menteri dan sebagainya tapi saya tidak pernah mendapat maklumat dan dilibatkan dalam perbincangan itu walaupun saya yang mengutarakan cadangan itu termasuk dalam ucapan saya di Parlimen sesi lepas," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.



Konsortium pemaju juga jelas Lo'lo perlu dilantik di kalangan pemaju yang merupakan penduduk Kampung Baru sendiri supaya mendapat keyakinan penduduk kawasan itu.



Ianya ekoran pemilik tanah di kawasan itu sudah jemu mendengar janji pembangunan kerajaan sejak zaman Tun Dr.Mahathir Mohamad lagi.



"Kita minta konsortium pemaju untuk membangunkan kampung baru ini hendaklah terdiri daripada pemaju yang merupakan anak-anak kampung Baru sendiri untuk mendapatkan keyakinan orang kampung yang selama ini sudah dijanjikan macam-macam oleh Kerajaan," katanya.



Semalam, Nong Chik berkata, penubuhan perbadanan itu merupakan antara tiga perkara yang telah dipersetujui oleh kabinet mengenai konsep dan kaedah pelaksanaan pembangunan Kampung Baru yang dikemukakan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) dalam memorandumnya kepada kabinet.



Projek pembangunan Kampung Baru meliputi kawasan seluas 151.57 hektar iaitu lebih luas daripada projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC) iaitu 40 hektar, yang merupakan antara projek pembangunan hartanah yang terbesar sekali di dunia

No comments: