Tuesday, 23 March 2010

Ahli-Ahli Parlimen seksis akan disenarai hitamkan



Wanita Malaysia tidak akan memilih calon-calon Ahli Parlimen yang seksis dalam pilihan raya akan datang.
Anutan seksisme (sexism) membawa pemikiran bahawa satu gender adalah lebih inferior atau lemah dari yang lainnya. Ia juga bermaksud mendiskriminasi gender dan tidak mempeduli soal memelihara maruah dan martabat gender, lelaki atau wanita. (kepercayaan ini boleh menyebabkan seseorang itu melakukan keganasan keatas gender yang dilihat lebih lemah dimana disini seringkali wanita menjadi mangsa rogol dan mangsa jenayah)

Seksisme adalah berlawanan dengan Perlembagaan Malaysia dan pengakuan Malaysia dalam mendukung tuntutan untuk menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita (CEDAW). Seksisme dalam Parlimen sering berulang kerana tiada pengharaman terhadap pengujaran dan kelakuan seksis dalam Peraturan Mesyuarat.

Ahli-Ahli Parlimen yang seksis yang sepatutnya dihukum, bebas lepas begitu saja (scott free). Seksisme adalah penghalang besar terhadap pencapaian keadilan dan kesetaraan gender. Seluruh rakyat Malaysia wajar berasa sangat bimbang jika AhliAhli Parlimen menganggap isu seksisme ini sesuatu yang remeh dan tiada bernilai sedikitpun.

Ahli-Ahli Parlimen yang seksis tidak akan mampu membawa keadilan untuk semua – lebih-lebih kepada wanita yang sentiasa menjadi golongan yang didiskriminasi dan dipinggir. ( Sebagai penggubal dasar, polisi dan undang2 negara Ahli Parlimen yang seksis TIDAK akan gender positif dalam memberi cadangan2 yang berkenaan malah mungkin akan membuat keputusan yang tidak peka kepada keperluan gender ). Menurut satu kajian, lebih 60% rakyat miskin adalah terdiri dari wanita. Wanita masih ketinggalan dalam sektor ekonomi, pekerjaan dan kepimpinan pentadbiran dan politik. Wanita belum berasa selamat dan aman dari penganiayaan dan keganasan yang masih berterusan berlaku.


Ahli-Ahli Parlimen yang seksis dikhuatiri tidak akan dapat menghayati situasi bahawa wanita perlu diberdaya (empowered) dalam menghasilkan sumbangan terbaik untuk negara dalam kesemua ruang lingkup kehidupan masyarakat dan negara. Dengan itu, kebiasaannya ialah segala keputusan penting untuk kepentingan umum akan meminggirkan keperluan khusus wanita.

Wanita Pakatan Rakyat akan menyenarai hitamkan para pemimpin yang bersikap seksis kerana individu seksis tidak mampu memberi pertimbangan yang adil dan saksama terhadap wanita. Di antara KPI calon-calon Ahli Parlimen akan datang ialah mereka mestilah bebas dari sebarang bentuk amalan seksis sepanjang keahlian mereka dalam Dewan Rakyat ke-12 ini. ( Islam telah memartabatkan wanita sejak lebih 1430 tahun yang lalu dan meletakkan wanita ditempat yang sangat mulia sebagaimana maksud hadis Nabi : Syurga terletak dibawah tapak kaki ibu )

Wanita Pakatan Rakyat






Senarai hitam MP seksis

Hazayani Zakaria. www.harakahdaily.net


KUALA LUMPUR, 23 Mac: Wanita Pakatan Rakyat (PR) hari ini menyeru seluruh wanita Malaysia menyenaraihitamkan ahli parlimen (MP) yang bersikap seksis pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam satu kenyataan bersama yang dibacakan oleh Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali (PAS-Titiwangsa) tengah hari ini, wanita PR berkata, ahli parlimen seksis tidak layak menjadi wakil rakyat.
Ahli parlimen, ujar mereka perlu bebas dari sebarang bentuk amalan seksis, dan ianya perlu dijadikan indeks pencapaian utama (KPI) terhadap calon-calon Parlimen akan datang.
"Wanita Malaysia tidak akan memilih calon-calon ahli parlimen yang seksis dalam pilihan raya akan datang," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu merujuk kepada perkataan 'anak jantan' dan 'anak betina' yang dikeluarkan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) di Dewan Rakyat semalam.
Menurut wanita PR, anutan seksisme (sexism) membawa pemikiran bahawa satu gender adalah lebih 'inferior' atau lemah dari yang lainnya.
Ia juga bermaksud mendiskriminasi gender dan tidak mempedulikan soal memelihara maruah dan martabat gender, lelaki atau wanita sekaligus berlawanan dengan Perlembagaan Malaysia.
"Kita bantah kerana penggunaan perkataan 'anak jantan' dan anak betina ini sangat tidak wajar sebab perkataan itu sering dikaitkan dengan binatang dan juga wanita yang tidak baik," katanya.
Menurutnya lagi, biarpun perkara itu dipandang remeh oleh sesetengah pihak, namun apa yang dibimbangi jika dibiarkan, lebih banyak lagi perkataan serupa digunakan di Parlimen.
Sementara itu, Siti Zailah (PAS-Rantau Panjang) menyifatkan kempen 'Budi Bahasa Budaya Kita' yang diwar-warkan kerajaan sebagai gagal apabila menteri sendiri tidak menunjukkan budi bahasa yang baik sewaktu berbahas di Parlimen.
"Kenyataan ini jelas membuktikan kegagalan kempen 'Budi Bahasa Budaya Kita' yang dilaungkan kerajaan. Kerajaan telah menghabiskan berjuta ringgit untuk melaksanakan kempen itu tapi malangnya \menteri sendiri tidak berbudi bahasa walaupun dalam dewan yang mulia," katanya.
Manakala Zuraida Kamarudin (PKR-Ampang) pula melahirkan rasa kecewa kerana Ahli Parlimen Barisan Nasional masih lagi gagal memahami konsep kesetaraan gender dan kenyataan-kenyataan bersifat seksisme.
"Ini menampakkan kelemahan kerajaan apabila ahli parlimen lelakinya masih gagal untuk memamahi konsep ini. Jika perkara semudah ini pun mereka tidak boleh faham, bagaimana rakyat khususnya wanita hendak meletakkan harapan kepada mereka," katanya.

Kalau DAP anti Islam, adakah Umno dua kali ganda anti Islam

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 23 Mac: “Kalau DAP (dan) Pakatan Rakyat dianggap ‘anti Islam’, adakah Umno dua kali ganda ‘anti Islam’ kerana memberikan peruntukan yang jauh lebih sedikit waktu memerintah kerajaan negeri dulu,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Justeru, beliau menempelak dakwaan Umno bahawa DAP melaksanakan dasar ‘anti-Islam’ di Pulau Pinang apabila membacakan jumlah peruntukan kewangan yang diberikan oleh kerajaan negeri era Pakatan Rakyat berbanding Barisan Nasional untuk perkembangan Islam.
“Waktu kita ambil alih kerajaan (2008), kerajaan Umno beri peruntukan (sebanyak) RM12.5 juta untuk perkembangan Islam di Pulau Pinang, selepas kita memerintah (2009), kita naikkan pada RM20.5 juta,” jelas beliau yang juga Setiausaha Agung DAP di Dewan Rakyat pagi tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan negeri turut meningkatkan peruntukan kewangan untuk aktiviti perkembangan Islam sehingga RM24.3 juta pada tahun ini.
Sebelum pada itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dalam sesi soal jawab, mendakwa Guan Eng dan DAP mengamalkan sikap anti-Islam ketika mentadbir kerajaan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, akhbar Utusan Malaysia turut didakwa cuba menutup pencapaian sebenar kerajaan negeri dalam memelihara kepentingan Islam dan umat Melayu di Pulau Pinang.
Tidak cukup dengan mendakwa Utusan Malaysia sebagai ‘utusan fitnah’, beliau turut mendakwa akhbar tersebut juga mengamalkan sikap anti Islam demi merealisasikan cita-cita Umno untuk menguasai kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) kelak.
Pun begitu, beliau melahirkan rasa yakin bahawa rakyat Pulau Pinang tidak terpengaruh dengan dakyah ‘anti Islam’ yang dipropagandakan oleh akhbar Utusan Malaysia kerana rakyat sekarang bermaklumat dan bijak menilai berita dari akhbar tersebut.

1Malaysia Najib lompang, tiada pengisian – Presiden PAS

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR, 23 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) menyifatkan slogan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai lompang dan tiada pengisian yang jelas.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat petang semalam berkata, 1Malaysia belum bebas daripada masalah moral di kalangan pemimpin Umno/BN.
"Bukan saya marah 1Malaysia, tapi jangan tulis 1Malaysia besar-besar tapi pengisian tidak tepat. Di negeri saya (Terengganu) contohnya, banyak sekolah didirikan di pedalaman tapi tiada pelajar. Ada kelas yang langsung tidak ada pelajar disebabkan kroni-kroni Umno/BN berebut untuk mendapatkan projek sehingga berlakunya lebihan sekolah.
"Tetapi ada pula di kawasan yang padat penduduk tapi sekolah tidak mencukupi. Bilik darjahnya tak cukup, makmal komputer runtuh kerana masih ada salah urus, rasuah yang perlu disiasat," katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan terdahulu bertanggungjawab terhadap salah guna kuasa dan penyelewengan yang berleluasa hari ini kerana ianya diwarisi oleh mereka.
"Perkara ini berlaku dalam era pemerintahan yang lalu. Jadi kerajaan hari ini harus berani menyatakan kesalahan pemimpin yang lalu," katanya.
Beliau menambah, slogan 1Malaysia akan juga menjadi seperti slogan yang terdahuliu jika kerajaan hanya memikirkan slogan pada zahirnya, tanpa berusaha meningkatkan mutunya.
"Media yang hanya mengiklankan 1Malaysia, sehingga salam pun 1Malaysia, bukan mengisi modal insan akan menyebabkan slogan 1Malaysia menerima nasib yang sama dengan slogan yang terdahulu," katanya.
Ustaz Abdul Hadi turut menyentuh mengenai media yang semakin tidak bermutu kerana lambakan rancangan hiburan yang melampau, mendahului fungsinya sebagai penyebar ilmu dan maklumat kepada rakyat.
"Media ialah alat mengilmukan rakyat tapi sekarang ini media dipenuhi oleh hiburan yang melampau. Media bukan lagi menjadi alat untuk kita mendapatkan ilmu yang berfaedah sebaliknya hanya menjadi penting ketika adanya pilihan raya kerana media digunakan Umno/BN untuk memenangkan mereka.
“Rakyat sedang diperbodohkan kerajaan melalui media dengan menyiarkan iklan-iklan yang melampau menjadikan rakyat lebih berkhayal di alam impian daripada berilmu dan beramal di alam nyata," katanya.
Menyentuh mengenai sistem kehakiman pula, Beliau berkata, sehingga kini sistem itu di Malaysia belum mendapat kepercayaan yang sepenuhnya daripada rakyat.
"Betapa besarnya bidang kehakiman, sehingga Islam meletakkannya dalam perkara fardu kifayah dan menjadi perkara fardu ain pula kepada pengamalnya. Oleh sebab itu, Islam meletakkan sistem ini terpisah dengan sistem lain," katanya.

Soalan Jawab Parlimen 18/03/2010

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Laluan. Saya minta laluan sedikit ya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mendengar jugalah dan saya bersetuju apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Kota Raja dan yang diperkatakan oleh Yang Berhormat Sri Gading. Fakta-fakta ataupun pembohongan yang diperkatakan oleh Yang Berhormat Bayan Baru, semua dalam maklumat kita, kita tahu, bukan kita tidak tahu apa yang dikatakan pembohongan itu dan kita tahu pembohongan, dia yang kata pembohongan...

Beberapa Ahli: [Menyampuk] [Dewan riuh]

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Pembohongan yang dikatakan oleh Yang Berhormat Bayan Baru, bukan saya kata. Pembohongan yang dikatakan oleh Yang Berhormat Bayan Baru itu kita tahu. Pada kita, perkara ini bukanlah perkara baru...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Tolong, tolong, Yang Berhormat. Tidak boleh dengar, Yang Berhormat.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Jangan bercakap. Siapa hendak cakap lagi? Bila saya hendak bercakap, bising macam ini. Ini adalah skrip yang ditulis, diulang-ulang lagi, Tuan Yang di-Pertua. Buang masa kita. Semalam sudah cakap, kenapa hari ini hendak cakap lagi. Apa sebenarnya tujuan Yang Berhormat Bayan Baru? Saya hendak cakap Yang Berhormat Bayan Baru pada hari ini, pada masa ini, ingatlah dengan nama Allah, apakah yang kita cakap itu pembohongan atau tidak... [Dewan riuh] Kenapa, saya sebut nama Allah, tidak boleh, kenapa, apa masalah? Ingat dengan nama Allah, adakah kita buat itu betul-betul ikhlas? Yang kita cakap orang bohong itu, benarkah kita tidak berbohong.

Dato’ Dr. Mohamad Shahrum Osman [Lipis]: Baru sekarang ingatkan Allah. Buat fitnah tidak ingat Allah.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Dan saya ingatkan, insaflah.

Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed [Sekijang]: [Bangun]

Dato' Zahrain bin Mohamed Hashim [Bayan Baru]: Saya nampak. Jangan emosi sangatlah.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Sekijang, duduklah. Yang Berhormat Sekijang, biar ia reda sedikit supaya kita boleh dengar perkara-perkara yang berlaku.

Dato' Zahrain bin Mohamed Hashim [Bayan Baru]: Biar saya...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Saya hendak kita sedar apa benda yang berlaku ini.



Monday, 22 March 2010

Saya mungkin ditahan di bawah ISA - Mazlan

Hashim Abdullah  

BERA, 22 Mac: Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar) berkata, terdapat banyak maklumat yang menunjukkan kerajaan akan melakukan tindakan agresif terhadapnya termasuk kemungkinan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, penahanannya baru-baru ini bertujuan untuk menakutkan dirinya dan masyarakat peneroka menghadiri program yang dianjurkan sekali gus berusaha menutup kepincangan pengurusan Felda dan kerajaan Umno/BN.  
“Penahanan saya adalah untuk menakutkan masyarakat Felda untuk menjemput saya berceramah. Mereka berusaha untuk menutup kepincangan yang dilakukan dalam pengurusan Felda termasuk penindasan terhadap masyarakat peneroka. 
“Saya menerima banyak maklumat yang diberikan oleh banyak pihak tentang bagaimana penyelewengan berlaku. Saya ada 15 isu yang akan saya dedahkan satu persatu. Saya akan dedahkan walau pun saya juga mendapat maklumat bahawa saya dicadangkan agar saya ditahan dibawah ISA,” katanya ketika berucap dalam program yang dianjurkan PAS kawasan di Darul Ikhwan, Mengkarak, dekat sini semalam. 
Selepas peristiwa yang berlaku di Felda Lembah Klau, baru-baru ini, beliau menerima banyak sokongan dari masyarakat peneroka dan generasi kedua Felda yang mahu penjelasan diberikan agar kehidupan mereka terbela. 
“Selepas saya ditangkap ramai peneroka terutama generasi keduanya tak puas hati dan marah kepada Felda. Malahan, selepas itu semakin ramai anak Felda yang mahu menyertai persatuannya kerana tahu inilah saja pentas yang boleh diharapkan dapat membela masa depan mereka,” katanya.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=25621:saya-mungkin-ditahan-di-bawah-isa-mazlan&catid=1:utama&Itemid=50

Saturday, 20 March 2010

Karnival Kesihatan 2010

20 Mac 2010

Kg. Baru, Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa menganjurkan Karnival Kesihatan 2010 dengan kerjasama rawatan Syifa' di Pusat Khidmat Kg. Baru berlangsung jam 9 pagi hingga 3 petang, rawatan diberikan secara percuma kepada setiap pengunjung yang hadir. Alhamdulillah sambutan yang amat menggalakan. Jenis rawatan yang ditawarkan:
- Rawatan Syifa'
- Homeopathy
- Refleksologi
- Rawatan Moden (Alopathy)

sempat YB menegur sapa dengan salah seorang Pegawai DBKL, En. Raziff


Pendaftaran dibuka...

Rawatan dilakukan oleh Ustaz-ustaz yang arif...

Ziarah Ust. Mohamad Ali

19 Mac 2010

Sumbangan Pusat Khidmat


En. Abu bersama Cikgu Yusop menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima

KLINIK SYIFA HARI INI SABTU 20 Mac

Klinik Syifa HARI NI d pusat khidmat wakil rakyat TW Jln Raja Muda Musa KgBaru KL mulai 9pg-3ptg.Hubungi 0326980025. Mutiara Indah SPA jg mnawarkn pakej HAWA 3dlm1 dgn diskaun 50%.Hbngi Linda +60133983845.Mjls Tadarrus Alquran smpena M/Rasul 3ptg ini d PPR Jelatek.Anda sume djemput hadir n sila bawa kwn2

Percuma. Sumbangan dialu2kan.

"BERANGKATLAH SAMA ADA RINGAN ATAU BERAT DAN BERJIHADLAH DENGAN HARTA DAN JIWA KAMU DI JALAN ALLAH, YANG DEMIKIAN ITU TERLEBIH BAIK BAGI KAMU JIKA KAMU MENGETAHUI" - AT TAUBAH 41

Thursday, 18 March 2010

Soalan Jawab Parlimen -FELDA-

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya minta laluan sedikit. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin mendapat penjelasan daripada Yang Berhormat Permatang Pauh berkenaan isu FELDA. Seperti yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kuala Krau semalam di mana kita semua sama-sama mendengar Yang Berhormat Kuala Krau mengatakan bagaimana seorang pemimpin PAS pusat iaitu Mazlan Aliman yang juga merupakan Pengerusi kepada NGO anak ataupun generasi kedua FELDA dikatakan telah meracuni dan mempengaruhi anak-anak peneroka FELDA ataupun generasi kedua FELDA untuk membenci kerajaan melalui ceramah-ceramah dan juga buku yang diterbitkan iaitu ‘FELDA Dulu Tolong Sekarang Ah Long’. Jadi saya ingin bertanya Yang Berhormat Permatang Pauh adakah generasi kedua FELDA ini begitu kurang cerdik sehingga boleh dipengaruhi oleh seorang aktivis dan juga sebuah buku ataupun memang sebenarnya mereka menyedari kepincangan dan penyelewengan yang telah dilakukan oleh pengurusan FELDA ke atas mereka.

Minta penjelasan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ini memang kalau wakil-wakil rakyat UMNO apabila berucap biar rakyat itu sedar sedikit semua dihasut. Kalau mahasiswa sedar sedikit ini semua dihasut. Dia dulu tidak apa sekarang semua kena hasut. Bagilah ruang sedikit, takkanlah rakyat FELDA generasi kedua ini ada peguam, ada akauntan yang cukup terlatih, dia hendak suarakan hak dan kepentingan tidak terbela, pengkorporatan untuk memperkaya beberapa kerat. Berilah ruang apa salahnya. Takkan semua orang kalau beda pendapat penghasut belaka. Jadi sebab itu saya sebut di sini FELDA kerana memang panjang dibicarakan. Baik disentuh di dalam titah Tuanku dan juga oleh pencadang usul dari Kuala Krau. Syarikat untung berbilion ringgit. Tujuannya ialah menjamin keselesaan hidup. Pemantauan tentang perjalanan syarikat tidak ada kerana ini satu korporat entiti dan dia buat belanja banyak mana sekali pun. Tidak ada pertanggungjawaban dari sudut ini terutama bagi kepentingan peneroka. Saya tahu juga bukan semua wakil rakyat UMNO yang bersetuju dengan cadangan ini kerana saya tahu dalam dialog mereka ada yang melahirkan rasa kesal kerana tidak ada kesediaan FELDA untuk membawa rombakan sedikit.

Tanam sendiri umpamanya, wang caruman peneroka di dalam tabung tanam semula RM17,000. Apa yang ditimbulkan masalah ini ialah halangan bagi yang sedia dan mendapatkan beberapa kemudahan sendiri dan juga apabila ada usaha menanam persendirian mereka dibayar hanya RM7,000 dari wang yang mereka carum di tabung tanam semula. Jadi ada diskriminasi. Akan tetapi kalau FELDA yang mengendalikan, pulangan yang lebih baik, itu dapat kita mempertahankan. Dalam kes ini seperti mana fakta sendiri yang saya dapat di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, peneroka yang tanam sendiri itu pulangannya lebih menggalakkan, lebih baik. Jadi patut kita beri kesempatan.

Saya masih ingat dan saya memang ucap terima kasih kerana orang-orang miskin di Pulau Pinang dahulu baru merdeka apabila buka rancangan tanah ramai berhijrah ke Pahang dan sedikit ke Negeri Sembilan. Akan tetapi sekarang generasi kedua dia sudah anak Pahang, masuk ke generasi ketiga tetapi tidak boleh dilayan
dengan mengetepikan perjanjian asal antara peneroka dan FELDA kerana apabila mereka berjaya, FELDA akan mengesyorkan kepada kerajaan negeri supaya dikeluarkan geran tanah.

Saya ke Jerantut baru-baru ini ada yang sudah sepuluh tahun selesai bayar tetapi geran tanah tidak diberikan. Sepuluh tahun selesai bayar semua hutang, langsai hutang tetapi geran tanah tidak diberikan dengan alasan, oh kalau diberi geran tanah akan dijual. Itu hak dia. Kalau kita hendak menjaga kepentingan dia harus ada satu cara atau kaedah untuk mengawal kepentingan supaya tidak ditipu ataupun menjadi mangsa kepada syarikat-syarikat persendirian yang lain. Jadi sebab itu apabila mereka mengenakan peraturan baru menekan peneroka menandatangani perjanjian baru dan di dalam perjanjian baru itu peneroka menyerahkan tanah ladang mereka kepada FELDA dan mereka tidak dibenarkan menanam semula secara persendirian lagi. Tekanan ini tidak adil. Pulangan dia buat sendiri lebih baik dari paksa buat perjanjian baru, kerana dia tidak ada modal dan ini keadaannya. Hantaran buah sawit pun begitu juga. Peneroka dikenakan tahanan sehingga 20% dari pendapatan dari setiap hantaran. Ini terlalu tinggi. Mana dia Menteri berkenaan, mana dia Pengerusi FELDA?
Dia bercakap bagi pihak korporat atau bagi pihak peneroka? Kalau bagi pihak peneroka dia patut sekurang kurangnya dengar. Adakah adil potongan itu 20% dalam keadaan dengan keuntungan berbilion-bilion ringgit oleh syarikat FELDA. Detail nya memang dia tahu. Masalah perahan pun begitu juga. Tidak kurang perahan 22% kerana buah mengkal dan muda sudah ditolak tetapi hampir keseluruhan peneroka hanya mendapat perahan hingga ke tahap 19% sahaja. Setiap peneroka kehilangan tidak kurang daripada 3% sehingga 5%. Kemudian tentulah isu perwarisan yang dibangkitkan dan ini isu besar kerana timbul apabila peneroka asal meninggal dunia, isteri atau anak yang tertua mungkin diletakkan sebagai pemilik dan empat atau lima orang anak yang lain tidak dibenarkan memiliki tanah itu. Ini dikatakan supaya jangan ada masalah fragmentation. Akan tetapi, negara dengan sistem yang canggih ini boleh menyelesaikan masalah ini. Jangan mengetepikan hak anak-anak yang lain. Selain daripada itu, tentulah ada masalah generasi kedua. Generasi kedua ini disebut masalah sosial, masalah dadah dan sebagainya. Mengapa tidak ada penekanan menjamin mutu pendidikan lebih baik, gerakan dakwah yang lebih berkesan, sistem sosial dan jaringan golongan muda yang lebih baik? Ini harus ditangani kerana ini satu gejala sosial buruk yang merebak di kawasan FELDA yang harus ditangani dengan baik.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: [Masuk ke Dewan]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya hendak tunggu Yang Berhormat Sri Gading. Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih sekali lagi kerana ruang diberikan untuk saya menyampaikan Ucapan Menjunjung Kasih Atas Titah Yang di-Pertuan Agong. Saya rumuskan keperluan kita melihat kelima-lima pertikaian ekonomi supaya kita dapat membetulkan kelemahan-kelemahan yang ada. Akan tetapi, saya ingin tekankan supaya jangan dianggap ini serangan agak peribadi tetapi saya tekankan bahawa Titah Diraja ini harus kembali sebagai Titah Diraja yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri dan tidak dijadikan sebagai Titah Diraja yang dimasukkan ayat-ayat memuji Perdana Menteri. Perkara ini belum pernah berlaku walaupun Yang Berhormat Sri Gading tidak mahu akui, dia sudah berapa penggal, dengar berapa puluh Titah Diraja. Tidak ada Titah Diraja yang diperalatkan sebegini rupa. Senyum sahaja tidak cukup Yang Berhormat Sri Gading.

Beberapa Ahli: [Ketawa]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya akhiri dengan mengukir kenyataan pendeta Za’ba, tokoh pendeta Melayu terulung yang mula menulis pada tahun 1919 dan tahun 1920. Kata Za’ba, “Apa erti perubahan, pembangunan, kecelikan daripada kepercayaan yang bodoh?” Kita tahu siapa. “Melemahkan akal kepada kepercayaan yang cerdik, membebaskan fikiran”. Itu seorang tokoh pemikir Melayu menulis pada tahun 1920. Tidak boleh kita kongkong dan belenggu pemikiran orang. Merdeka 52 tahun, media jadi alat murahan. [Tepuk] Tidak boleh ada pandangan berbeda. Apa erti merdeka kata Za’ba kalau tidak membebaskan fikiran. Dengar! Tidak setuju tidak mengapa, jangan halang, jangan ugut, jangan pukul orang seperti yang berlaku di Kampung Baru baru-baru ini. Ada perhimpunan aman. Pukul! Itu kenyataan
pertama Za’ba pada tahun 1920. Akan tetapi peringatannya tatkala melawan penjajah Inggeris peringkat awal, seorang tokoh yang cukup berani tetapi peringatannya konsisten sepanjang zaman. Kita mesti ada semangat pembaharuan berterusan. Kita mesti menolak, menentang, merubah kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu. Kita tahu siapa. Kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu, tidak mengikut rules of law, tidak ikut. Guna kuasa.

Tidak peduli tentang peraturan dan hukum. Brute force, tyranny of the majority. Itu pun majoriti yang diambil tidak semestinya secara telus. Tidak bolehkah Malaysia setelah 52 berganjak sedikit, hormat sedikit perbezaan pendapat, hak asasi? Jangan hina orang. Islam itu hebat, ketinggian Islam itu bukan kerana ia pandang rendah kepada orang lain. Rasulullah S.A.W [bercakap dalam bahasa Arab] itu kerana rahmat kepada sekalian alam, bukan kerana menghina, berbicara dengan angkuh agamaagama lain. Apabila saya pertahankan umpamanya hak menggunakan kalimat Allah itu bukan bermakna saya ini pro Kristian. Saya juga bersandarkan fatwa Sheikh Yusuf Al- Qaradawi. Hendak berbeza pendapat, beza pendapat dengan dia tetapi kita patut lihat ini sebagai perbezaan pendapat kalau ya pun. Akan tetapi, bolehkah kita hendak pertahankan dasar Kerajaan UMNO Barisan Nasional? Dia hendak pertahankan Allah, tetapi Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Wilayah boleh pula. Ternyata tidak konsisten dan tidak ikhlas. Itu sebab, hentikanlah cara kita menggunakan kuasa rakus, gunakan umpamanya ucapan dan kuasa, hina dan aibkan orang. Cuma, apabila kita kritik juga difitnah. Itu sebab saya pada hari ini dalam soal ekonomi sengaja saya pilih mengambil waktu hanya membaca angka dan data yang agak membosankan.

Akan tetapi, saya rasa cukup pada tahap ini. Saya tidak tahu sama ada Menteri MITI tadi dengar tentang ASEAN Secretariat Database yang saya kemukakan, yang dia pertikaikan semalam. Boleh jadi dia dengar ringgit dengan USD. Saya terima baiklah. Akan tetapi, harus ada keinginan untuk bawa perubahan terakhir ini. Saya hairan. Ada Ahli Yang Berhormat kata kawan dahulu, kawan lama, tidak apalah, kawan atau lawan itu tidak boleh zalim. Kawan atau lawan itu pun kita tidak boleh gunakan oleh kerana kita ada kuasa, kita boleh buat sewenangwenangnya. Kita mesti tunduk kepada hukum. Tidak boleh umpamanya fikir, oleh kerana kita ada kuasa, kita boleh aibkan orang sedemikian rupa dan kita rasa kita boleh lepas dengan cara itu semata-mata dengan brute force. Jadi, mudah-mudahan kita diberikan kekuatan kerana kata Za’ba sekali lagi, “Berubah dari kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu”. Kalau diambil commission, tidak siasat. Kalau ada kes pembunuhan, boleh cover up. Kalau ada tindakan umpamanya, tengok. Kalau ada kekuatan hendak beli, beli orang. Kalau tidak, ugut. Itu dikatakan kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu. Kepada apa tanya Za’ba. Kezaliman hawa nafsu itu diganti dengan apa? Kepada kesolehan. Mestilah kepada adab dan soleh. Mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan, terima kasih. [Tepuk]