Tuesday, 10 June 2008

TABUNG AMANAH TITIWANGSA

Senario kenaikan harga barang keperluan pada hari ini tidak dapat dibendung lagi. Hari demi hari dapat saja kita mendengar harga barang keperluan yang akan melambung naik di pasaran oleh kerana kenaikan harga bahan api. Hal ini memberi impak yang sangat besar kepada semua golongan, lebih-lebih lagi kepada golongan yang berpendapatan sederhana atau golongan yang boleh dikatagorikan sebagai fakir dan miskin.

Jika kita yang bergaji tetap dan ada sedikit pendapatan lebihan pun terasa bahang atau penangan kenaikan kos sara hidup ini, bayangkan keluarga yang mempunyai ramai anak, ibu tunggal dan juga ibu "tinggal", pesakit kronik, golongan OKU, tentulah mereka ini lebih perit untuk menghadapi tuntutan kos sara hidup yang tinggi.

Saya terpanggil untuk menubuhkan Tabung Amanah Titiwangsa untuk membantu golongan-golongan seperti ini, dengan adanya sumbangan seperti ini, saya kira ianya dapat membantu meringankan bebanan, sekurang-kurangnya bebanan tekanan perasaan kerana mereka merasakan ada lagi pihak yang sudi mengambil berat tentang diri mereka.

Saya dan juga wakil-wakil lain dari Pakatan Rakyat (PR) akan terus berusaha keras dalam parlimen nanti untuk memastikan kerajaan tidak terus mengambil polisi-polisi yang akan membebankan rakyat.

Sebagai salah seorang daripada Ahli Parlimen, saya mengambil langkah jangka pendek bagi meringankan bebanan yang terpaksa dihadapi oleh golongan fakir miskin dan berpendapatan rendah di kawasan saya dengan menubuhkan TABUNG AMANAH TITIWANGSA [CIMB BANK 14410005980052]. Dengan sumbangan RM20 - 200 daripada para dermawan , Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa akan menyampaikan sumbangan beras, tepung, minyak masak kepada mereka yang memerlukan.

Bagi para penyumbang, inilah masa untuk kita berkongsi duka dan luka rakyat, pada masa yang sama meraih laba saham akhirat. Sedarlah bahawa RM20 anda adalah sangat bermakna untuk menampung belanja makan sebuah keluarga.

No comments: